Oleh:
TAN SRI SAMAD IDRIS
PILIHAN RAYA pasti akan diadakan selewat-lewatnya
Jun tahun hadapan. Tetapi Perdana Menteri
Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad belum dapat
menetapkan bila parlimen akan dibubarkan bagi mengadakan
pilihan raya. Hanya yang kita dengar sekarang
sekadar 'serkap jarang'dan mengikut 'rasa' di hati sahaja.
Berita-berita dari kaki lima dan penjuru kedai kopi sekarang ini sedang hangat membincangkan kononnya pilihan raya akan diadakan sebelum Hari Raya atau bulan puasa antara bulan September atau Oktober tahun ini. Ada juga yang menyatakan pilihan raya akan diadakan selepas Hari Raya Haji, kira-kira bulan Mac tahun hadapan.
Siapa pun boleh membuat andaian, sebaliknya Suruhanjaya Pilihan Raya sendiri tidak tahu bila pilihan raya akan berlangsung. Bagaimanapun kita lihatlah bila pengumuman akan dibuat nanti sama ada ditembak terkena sasaran atau ramalan awal meleset.
Dalam pada itu amat jelas sekarang parti-parti politik yang memang bermaksud akan mengambil bahagian dalam pilihan raya sudah membuat persiapan terutama parti-parti pembangkang bagi membuat perhitungan menentukan nasib parti masing-masing 'untung sabut timbul, untung batu tenggelam'.
Manakala Barisan Nasional (BN) dalam senyap-senyap memang sudah lama bersiap sedia kerana pemimpin-pemimpin kerajaan memang mempunyai kekuatan sendiri dengan sokongan padu di belakang mereka. Kalau tewas beberapa kerusi adalah sudah menjadi perkara biasa kerana ''gading mana yang tidak retak, bumi mana tak ditimpa hujan?''
Tetapi Pas nampaknya yakin dapat menawan lima negeri, seperti yang kita sedia maklum pengaruhnya memang kuat di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah. Satu lagi negeri yang termasuk dalam percaturan mereka untuk ditawan dalam pilihan raya kali ini ialah Pahang. Sama ada ia merupakan 'angan-angan Mat Jenin' adalah perkara lain, sebagai sebuah parti politik hasrat perjuangan wajar diluahkan.
Bagaimanapun Pas tidak menyebut mahu menawan Kerajaan Pusat. Kalau Pas sekadar mengimpikan lima kerajaan negeri bermakna mereka tidak berkeyakinan untuk merebut Kerajaan Pusat sekalipun mengadakan kerjasama dengan lain-lain parti pembangkang.
Memang Pas sudah menduga 'bukan mudah mahu memancing ikan di puncak gunung', kerana Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP sendiri sudah mengakui pembangkang tidak mempunyai harapan untuk menawan Kerajaan Pusat malah partinya juga tidak mungkin memenangi mana-mana kerajaan negeri.
Seperti yang kita tahu Pas, DAP, Keadilan dan PRM telah mengadakan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya ini. Datuk Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan bersetuju menggugurkan soal pokok yang diperjuangkan mengenai isu negara Islam demi mewujudkan kerjasama parti-parti pembangkang.
Memang DAP menentang keras konsep Negara Islam Pas, sementara parti itu pula tidak bersetuju dengan konsep Malaysian Malaysia DAP. Ini bermakna parti-parti pembangkang terpaksa mengorbankan konsep perjuangan masing-masing sekalipun berada dalam keadaan 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'. Memang betul 'ayam dan itik boleh tidur sereban, tapi bila dilepaskan, ayam mengekas di bawah pokok, itik tetap ke air juga''.
Nampaknya perjuangan Pas sudah jauh lari daripada tujuan asal. Mungkin Nik Aziz sendiri sudah merasakan Pas tidak mungkin dapat mewujudkan konsep negara Islam yang diimpikan dalam suasana negara Malaysia sebuah negara berbilang kaum.
Lim Kit Siang sudah menyatakan Pas tidak ada harapan untuk mendapat 2/3 majoriti di Parlimen untuk menukar Perlembagaan Persekutuan kerana konsep Negara Islam tidak dapat diwujudkan kecuali dengan meminda Perlembagaan Persekutuan sahaja.
Jika demikian halnya, apakah ada perbezaan perjuangan Pas dengan UMNO? Kalau UMNO tidak mencanangkan perkara negara Islam untuk digembar-gemburkan, tetapi pelaksanaan dasar yang dilakukan sudah terbukti menerapkan nilai-nilai Islam, di mana Islam telah mencapai satu tahap kemajuan yang terserlah di negara ini.
Pas yang menguasai kerajaan negeri Kelantan sejak dua penggal lalu, tidak menampakkan apa-apa perubahan. Dalam hal ini yang menjadi pokok perjuangan asal untuk menegakkan Islam, tetapi apa yang dicanang dulu sebagai suatu yang mesti diperjuangkan, jangan sekadar 'ibarat menggenggam bara, terasa panas dilepaskan'.
Memang sesuatu yang betul kita harus berpijak di bumi nyata tidak sekadar berangan-angan untuk mencapai bintang di langit dengan mendongak kepala semata-mata. Bagaimana mahu belayar untuk sampai ke sebuah pulau di tengah lautan tetapi tidak mempunyai perahu dan dayung?
Di akhir-akhir ini kelihatan Datuk Nik Aziz sudah banyak berubah dalam perjuangan politiknya. Sepertimana kata-katanya sedia bekerjasama dengan DAP, sebuah parti bukan Islam, malah sudah terlepas cakapnya dengan menyebut tidak sahaja bekerjasama dengan parti yang bukan Islam malah dengan syaitanpun boleh!
Kita tahu syaitan memang tidak ada yang baik, bukan seperti jin terdapat ada yang Islam dan kafir. Memang dalam banyak perkara Nik Aziz kerapkali terlangsung kata seolah-olah lupa dengan pepatah Melayu 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa'.
Bagaimanapun apa yang dicakapkan oleh Nik Aziz itu memang ada benarnya, kerana beliau berbicara soal politik dan bukan perkara agama. Politik dan agama adalah berbeza dan lain sekali tempat jejaknya. Ibarat peria dan tebu kalau ditanam pada batas yang sama rasanya tetap berbeza juga.
Kalau ada orang yang berpendapat Nik Aziz sudah menyeleweng dari dasar perjuangan Pas, saya ingin menyatakan ia kurang tepat. Kerana bicara politik dan syarahan agama di masjid dan surau tidaklah sama sekalipun ia tidak berbeza.
Sebaliknya DAP pula sedang 'menangguk di air keruh' kerana setiap kali diadakan pilihan raya peluangnya menang di kawasan majoritinya Melayu amat tipis. Ini disebabkan konsep perjuangannya sendiri telah jelas umpama 'dari buah kenallah pohonnya' tetapi sebagai seorang ulama kata-katanya ini dipegang orang, mungkin Nik Aziz teringatkan pepatah Melayu 'air dan minyak tidak bercampur''.
Lebih-lebih lagi sekarang telah kedengaran dari mulut Lim Kit Siang untuk menegakkan Malaysian Malaysia yang kita sendiri faham ke mana hala tujunya. Konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh Kim Kit Siang sama seperti Malayan Union yang ditentang habis-habisan oleh orang Melayu tahun 1946 dulu.
Masakan orang Melayu dapat menerima DAP yang menyambung gagasan penjajah melalui konsep perjuangan mereka. Manakala parti Keadilan pula bukan sebuah parti Melayu tetapi ialah parti yang dianggotai dan dipimpin oleh berbagai bangsa sama seperti Parti Negara yang dipimpin oleh Datuk Onn, kemudiannya ditolak oleh orang Melayu dalam pilihan raya 1955.
Sudah tentu perjuangannya tidak sama dengan apa yang diperjuangkan oleh parti yang dianggotai dari orang Melayu. Manakala PRM pula hanya parti banyak mangkuk saja. Pengaruhnya kepada umum begitu tipis, kerana setiap kali pilihan raya ia tidak pernah menang satu kerusi pun.
Rumusan yang dapat diberikan ialah DAP dan Pas yang sudah ada tapak serta kekuatan serba sedikit awal-awal lagi sudah angkat tangan tidak berupaya membentuk Kerajaan Pusat. Apa yang diharapkan oleh DAP bila bekerjasama dengan Pas ialah bagi menyokong calonnya yang berhasrat untuk bertanding di antara 40 hingga 50 kerusi Parlimen.
Manakala Pas pula berhasrat bagi mendapatkan sokongan orang Cina apabila bekerjasama dengan DAP di mana pengundi-pengundi Cina boleh memainkan peranan di kawasan majoriti Melayu. Ini disebabkan setiap kawsan memang ada pengundi bukan Melayu sebagai golongan minoriti.
Keadaan demikian boleh menjadikan seorang calon itu menang walaupun pengundi daripada kaumnya golongan minoriti, seperti pernah berlaku di Negeri Sembilan dalam pilihan raya 1969 apabila calon-calon UMNO tewas kepada calon DAP di Linggi, Sirusa dan Pasir Panjang sekalipun majoriti pengundinya Melayu.
Kita jangan pelikkan perkara ini kerana begitulah perjuangan politik di mana-mana pun dalam dunia yang mengamalkan sistem demokrasi seperti negara kita. Sudah lumrah pula dalam perjuangan demikian 'kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai'.