BH Edisi Internet
Isnin 26 Julai 1999 13 Rabiulakhir 1420

Razaleigh sumpah al-Quran 31 Ogos

KOTA BHARU, Ahad - Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, akan bersumpah bersaksikan al-Quran di depan ahli Umno Kelantan pada 31 Ogos depan bagi membuktikan Pas selama ini berbohong.

Katanya, beliau akan bersumpah bahawa Pas bukan saja pernah berjanji memberi jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan kepada parti Melayu Semangat 46, tetapi jawatan yang sama di Terengganu, Kedah dan Perlis jika pakatan kedua-dua parti itu berjaya menawan negeri berkenaan pada pilihan raya umum 1990.

"Kita mahu seluruh rakyat Malaysia tahu Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam, berbohong," katanya ketika berucap pada majlis amanat pejuang bangsa di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan, di sini malam tadi.

Beliau berkata, upacara itu yang akan diadakan di sini secara besar-besaran dan dijangka dihadiri puluhan ribu rakyat dan seluruh ahli Umno Kelantan, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-43.

Tengku Razaleigh berkata, keputusan itu diambil bukan kerana politik, tetapi demi menegakkan kebenaran dengan menjadikan seluruh rakyat sebagai saksi.

Katanya, dengan bersumpah saja dapat menjelaskan hakikat sebenar pembohongan Pas enggan mengaku persetujuan perjanjian itu.

"Ambo (saya) sendiri akan bersumpah. Insya-Allah, ini bukan kerana politik tetapi demi menegak kebenaran. Ambo akan bersumpah bersaksikan al-Quran, bersaksikan rakyat ramai dan nescaya bersaksikan malaikat nak tunjuk palsu dan pembohongnya Pas," katanya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Annuar Musa; Ketua Penerangan Umno negeri, Datuk Zainal Abidin Abdul Kadir dan Ketua Penerangan BN negeri, Datuk Mohd Rozali Isohak.

Lebih 6,000 orang hadir pada majlis ceramah itu yang memenuhi Kompleks YKK Sri Peringat.

Pada majlis itu juga Tengku Razaleigh turut menyampaikan bendera BN untuk tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketereh, Kadok dan Melor kepada wakil DUN terbabit.

Sebelum ini, Tengku Razaleigh yang juga bekas Presiden S46 pernah mencabar Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor bersumpah dengan al-Quran jika benar tidak ada perjanjian mengenai pemberian jawatan TMB kepada S46 pada pilihan raya umum 1990 lalu.

Fadzil hanya memberi reaksi negatif cabaran Tengku Razaleigh itu dengan meminta bekas Presiden S46 itu pula berbuat demikian dengan bersumpah bersaksikan al-Quran.

Tengku Razaleigh berkata, jika Fadzil benar-benar tahu mengenai Islam, beliau kena sanggup bersumpah bersama-sama untuk membuktikan kebenaran.

Beliau juga mengaku tertipu dengan Pas kononnya mahu menubuhkan kerajaan Islam di Kelantan untuk dijadikan model kepada negeri-negeri lain di Malaysia.

Katanya, sebaliknya sehingga hari ini parti itu gagal melaksanakan apa yang dinyatakan dalam manifestonya itu termasuk menubuhkan kerajaan Islam di Kelantan.

"Ambo (saya) benar-benar percaya (kepada Pas) tapi rupanya kena tipu tetapi bukan saja ambo (saya) kena tipu, rakyat Kelantan turut ditipu kononnya nak tubuh kerajaan Islam di Kelantan termasuk Tuhan kena tipu.

"Ketika itu juga dalam perundingan (Pas dan S46) untuk Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis (negeri sasaran dikuasai Pas pada pilihan raya umum 1990), kita setuju bagi kepada Pas jawatan Menteri Besar dan S46 timbalan, sudah cukup.

"Jadi, Pas setuju perjanjian itu, tapi sekarang tidak mengaku. Jenis apa orang ini yang tak mengaku pula ada perjanjian," katanya.

Menyentuh hasrat Pas membawa Perlis keluar dari Malaysia dan lelong Putrajaya jika memenangi pilihan raya umum kali ini, Tengku Razaleigh berkata, tindakan itu keterlaluan.

"Parti dan orang macam ini tak boleh sokong dan ini pengkhianat bukan saja kepada negara tetapi bangsa dan agamanya sendiri kerana nak pecah-belahkan rakyat.

"Oleh itu, kita (Umno) kena buktikan Pas adalah parti pembohong kepada rakyat yang hanya masuk kampung berceramah menipu rakyat," katanya.

Komen Penulis: Syabas Tengku Razaleigh, kerana kembali kepada agama Islam bagi menyatakan kebenaran. Barulah itu maknanya berpegang teguh kepada Al-Quran. Itu lebih baik dari berceramah dan laungan ALLAH HU AKBAR. Baru orang kata cakap serupa bikin.

Pengkhianat bangsa dan negara akan menjadi sumpahan generasi akan datang.

 1