Sejarah Penubuhan
Bangunan Sekolah Menengah LKTP Nitar mula dibina pada 1988 dan siap pada tahun 1989. Pada 3 Jun 1990 bermulalah era persekolahan sekolah menengah yang keenam di Daerah Mersing. Nama sekolah ini diambil sempena kedudukannya di kawasan Felda Nitar.
Pada peringkat awal sesi persekolahan pelajar-pelajarnya datang dari beberapa buah sekolah menengah di Daerah Mersing iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Mersing, Sekolah Menengah Sri Mersing dan Sekolah Menengah Kahang Kluang. Nama Nitar diambil sempena nama seorang gadis orang asli yang bernama 'Nitar'.
Sejarah Pembangunan
Pada peringkat awal penubuhan (1990) sekolah ini mempunyai 3 buah bangunan kekal dengan 18 buah bilik darjah, 3 buah makmal sains, 1 bengkel kemahiran hidup (ubah suai dari bilik darjah), 1 perpustakaan, 1 bilik seni, 1 bilik kaunseling, 1 bilik sumber dan 1 bilik guru.
Pada peringkat awal persekolahan, terdapat 8 buah kelas tingkatan 1 hingga 3 dengan pelajarnya seramai 205 orang. Jumlah guru pada peringkat permulaan seramai 14 orang iaitu 10 orang guru terlatih dan 4 orang guru sandaran tanpa latihan. Seorang kerani sementara telah dilantik bagi menguruskan hal ehwal pejabat.
Kini telah berusia hampir enam tahun, sekolah ini telah berkembang maju dengan kehadiran pelajar seramai 962 orang iaitu tingkatan 1 hingga 5, 41 orang guru dan 7 orang kakitangan bukan guru. Untuk menampung kehadiran pelajar yang kian bertambah, sebuah bengkel kemahiran hidup , 2 buah bilik sembahyang , sebuah bilik wawasan , sebuah bilik kebal, sebuah padang serbaguna dan sebuah gelanggang sepak takraw ditambah.
Bagi keselesaan guru-guru, sebanyak 7 pintu rumah guru telah dibina. Walaubagaimanapun jumlah ini tidak mencukupi dengan kadar guru yang semakin bertambah. Oleh itu guru-guru ini terpaksa menyewa rumah-rumah peneroka dan kakitangan felda.
Mulai sesi persekolahan 1996 Kelas Rancangan Khas Tingkatan satu dan dua diwujudkan. Tujuan kelas ini adalah untuk melahirkan pelajar elit dan memperbaiki kualiti pencapaian akademik diperingkat kecemerlangan . Sebagai permulaannya seramai 35 orang pelajar Rancangan Khas tingkatan 1 dan 41 orang pelajar tingkatan 2. Kelas 4 sains tulin juga diperkenalkan pada tahun 1996 dengan pelajar yang terpilih 20 orang.
Pada peringkat permulaan persekolahan,
pengetua sekolah ini ialah En. Abdul Jaabar bin Ali. Beliau menjawat jawatan
tersebut bermula pada 16 Mei 1990 - 1 Jan 1993.