ANTARA NIKMAT DAN KUTUKAN
Oleh
Akhmad Bayhaqi
KALANGAN pakar ekonomi kini beranggapan bahawa hasil mentah atau sumber daya alam (SDA) lebih merupakan 'kutukan' daripada 'rahmat' untuk pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.
Pelik tetapi benar.
Dari segi ukur tara kepentingan, tentulah minyak di tempat teratas dalam senarai SDA.
Namun, banyak negara kaya minyak sebenarnya miskin atau kucar-kacir seperti Sudan, Venezuela dan Nigeria.
Hanya segelintir yang betul-betul berjaya seperti Malaysia dengan syarikat minyaknya, Petroleum Nasional atau Petronas.
Menurut perangkaan pendapatan negara Malaysia, Petronas merupakan penyumbang penting ekonomi, RM31.2 bilion ($13.9 bilion) dalam bentuk cukai pendapatan.
Malaysia berjaya kerana ia bijak menguruskan sumber minyaknya.
Lain pula halnya dengan Indonesia. Perusahaan Tambang Minyak Nasional atau Pertamina tidak begitu cekap.
Pada tahun 1975, ia dilanda krisis kewangan kerana tidak mampu membayar hutangnya. Padahal, harga minyak melambung pada awal 1970-an ekoran sekatan minyak negara-negara Arab untuk memprotes Perang Arab-Israel.
Tahun lalu, simpanan minyak Indonesia ialah 4.9 bilion tong. Pengeluaran minyaknya hanya 971,000 tong sehari sedangkan penggunaannya pula 1.183 juta tong sehari. Justeru, ia terpaksa mengimport minyak.
Minyak dan arang batu merupakan SDA yang boleh menyumbang kemakmuran sesebuah wilayah. SDA dapat menggerakkan pertumbuhan ekonomi dan perkembangan sektor-sektor lain.
Galian seperti minyak menerbitkan industri ekstraktif (extractive industries). Penghasilannya disebut sewaan ekonomi (economic rents).
Ia berbeza daripada sektor pertanian yang memerlukan banyak proses - penyemaian, penanaman, penyemburan se rangga, penuaian dan sebagainya. Ini demi memelihara mutu dan hasil pertanian memadai.
SDA lazimnya di bawah kuasa monopoli pemerintah. Akibatnya, muncullah pencari sewaan (rent-seekers) yang umumnya hanya mengejar keuntungan jangka pendek. Sebaliknya, pemodal atau pelabur mengutamakan keuntungan jangka panjang.
Pencari sewaan tidak peduli apakah kesan jangka panjang selepas seluruh sumber alam tadi dikeluarkan. Jadi, habis manis, sepah dibuang. Sebaik sahaja SDA di sesebuah wilayah habis, hilanglah sumber mata pencarian penduduk setempat kerana industri ditutup.
Bahkan berlaku kerosakan alam seperti hakisan tanah.
Siapa harus disalahkan?
Sering pemerintah disalahkan kerana tidak mempunyai dasar jelas, undang-undang telus dan pelaksanaan tegas demi memastikan pengganti kepada industri SDA yang bakal berakhir itu.
Seharusnya industri gantian tadi dibiayai daripada keuntungan yang diperolehi daripada cukai pendapatan ke atas SDA tadi. Jika tidak, wilayah atau kota perlombongan tadi akan 'mati'.
Hal ini sudah berlaku ke atas beberapa wilayah di Indonesia. Apabila telaga minyak kering, Indonesia tidak lagi memiliki industri ganti untuk mendukung ekonominya. Jadi, ia terpaksa bergantung pada pelaburan langsung asing (FDI).
Oleh itu, SDA juga dianggap 'kutukan' apabila negara yang dirahmati kekayaan alam itu bersikap 'lena' - tidak berusaha mendapatkan rancangan alternatif bagi mempelbagaikan pergantungan ekonominya.
Justeru, negara kaya SDA bukan bererti negara yang berjaya.
Yang menentukan bangun jatuh sesebuah negara adalah sumber manusianya. Manusialah yang menjadi pengurus sumber.
Sempena 40 tahun kemerdekaan Singapura, Menteri Pembimbing Lee Kuan Yew ditanya mengenai masa depan Singapura 40 tahun akan datang. Jawab beliau, semuanya bergantung pada cara Singapura 'mencipta semula' pergantungannya dan membangun warganya menerusi pendidikan dan latihan.
Singapura, Jepun, Belanda dan Switzerland merupakan negara kurang atau tiada SDA. Demi penakatan, pemerintah mengutamakan penyuburan bakat warganya atau sumber daya manusia (SDM) melalui pendidikan dan latihan.
Selain menghasilkan jurutera dan saintis, negara-negara ini melahirkan bakat-bakat usahawan.
Sebaliknya negara yang bertunjangkan SDA menjadi miskin dan melarat kerana kurang perancangan dan pelaksanaan berkesan, dan diperburuk oleh amalan rasuah dan tidak cekap.
Nota: Penulis pensyarah di Fakulti Ekonomi, Universiti Indonesia dan kini calon doktorat program Pengajian Asia Tenggara di Universiti Nasional Singapura (NUS).