Pengenalan
Kerja ialah satu aktiviti yang menjadi sebahagian daripada tuntutan kehidupan
manusia. Nilai kerja mempunyai pengaruh yang besar di jiwa setiap individu.
Pada masa dahulu, profesion perguruan mempunyai nilai kerja yang tinggi di mata
masyarakat. Namun, kini persepsi itu telah berubah. Kita jarang sekali menilai
nilai kerja kita. Sebagai guru, kita mungkin kecewa jika terdapat pandangan
negatif terhadap guru kini. Penilaian masyarakat sudah berubah terhadap guru.
Terdapat sebilangan guru pula tidak dapat menghayati bidang dan nilai kerja
mereka. Malah, ada yang tidak bersemangat untuk berkhidmat, dan bersikap sambil
lewa terhadap tugas.
Kepentingan Nilai Kerja
Nilai merupakan satu petunjuk ke arah kesejahteraan setiap individu. Nilai dan
kerja mempunyai hubungan yang rapat dan erat. Nilai yang positif dapat mempengaruhi
sikap dan pandangan individu terhadap sesuatu tindakan. Nilai kerja juga merujuk
pada sikap individu terhadap kerja dan berkaitan dengan makna yang diberikan
oleh individu terhadap kerja. Tidak ada nilai kerja yang lebih baik selain daripada
yang diasaskan pada kebersihan jiwa, akhlak mulia dan memperjuangkan kebaikan
serta kemakmuran. Keyakinan yang murni tidak akan wujud selagi manusia tidak
bersih hatinya dan meletakkan kebendaan lebih tinggi kedudukannya daripada nilai
kerohanian atau agama. Keyakinan seperti itulah yang patut ada dalam jiwa setiap
guru iaitu keyakinan untuk membentuk manusia yang amanah, bertanggungjawab dan
ikhlas bukan sahaja untuk dirinya malah untuk masyarakat, negara dan manusia
sejagat. Nilai kerja merupakan satu gagasan psikologi yang berkait dengan persepsi,
sikap dan falsafah seseorang terhadap pekerjaannya. Ia berkaitan dengan makna
yang diberikan oleh individu mengenai kerjanya.
Nilai kerja juga menjelaskan hubungan di antara tingkah laku orientasi kehendak
dan pencapaian. Secara amnya, nilai kerja merupakan daya terpendam yang mempengaruhi
dan mencorakkan kelakuan seseorang. Ia terbahagi kepada dua kategori.
Pertama, nilai kerja yang berhubung dengan tugas atau nilai instrinsik merangkumi
aspek kebanggaan dalam kerja, penglibatan dalam kerja dan keutamaan aktiviti
kerja yang menarik serta dapat memberi kejayaan kepada individu.
Kedua, nilai kerja yang tidak berhubung dengan tugas dan amat berkaitan dengan
ganjaran ekstrinsik seperti kenaikan gaji, pangkat, tanggungjawab kerja baru,
dan pengiktirafan.
Nilai kerja berkembang melalui interaksi dan identifikasi individu dengan pelbagai
model sosialisasi. Nilai kerja dapat memberi panduan ke arah mencapai matlamat
pekerjaan yang spesifik. Nilai kerja juga amat berkaitan dengan tingkah laku
individu di tempat kerja. Nilai individu dikenal pasti sebagai manifestasi budaya
kerja, budaya organisasi dan mempunyai hubungan rapat dengan kejayaan organisasi.
Ia juga sebagai pemboleh ubah bebas yang dapat menentukan kepuasan kerja dan
prestasi kerja individu dalam sesebuah organisasi. Kesimpulan Kecemerlangan
sesebuah organisasi amat bergantung pada nilai kerja individu dalam organiasi.
Nilai kerja yang dimiliki oleh individu akan menentukan prestasi kerja. Prestasi
kerja yang cemerlang hasil daripada nilai kerja yang positif dan amanah akan
dapat meningkatkan produktiviti organisasi. Nilai kerja amat berkaitan dengan
sikap, persepsi dan kepercayaan individu terhadap pekerjaannya. Ketiga-tiga
elemen ini dikawal oleh pegangan agama, moral, etika kerja dan persekitaran.
Ia menjadi panduan ke arah mencapai matlamat dalam pekerjaan. Oleh itu, nilai
kerja boleh dijadikan petunjuk untuk menilai sejauh mana penilaian pekerja terhadap
kerjayanya dan bagaimana pula kebanggaan, rasa tanggungjawab, kesungguhan, cara
bekerja dan akhirnya, prestasi kerja yang dihasilkan
Nilai
Kerja
Oleh : Encik Kasim Abd. Samad
Penyelia Petang SMK Jelai (Felda)