Pendahuluan
Kita adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah, namun kita masih tidak terlepas
daripada menghadapi tekanan ketika bekerja. Pelbagai tekanan yang dihadapi
menyebabkan hati menjadi runsing dan semua kerja tidak akan terlaksana. Tidak
mustahil bagi individu yang berhadapan dengan masalah ini akan terbawa-bawa
ke rumah hingga anak-anak pula menjadi mangsa. Namun, hati akan menjadi tenang
sekiranya kita kembali kepada Allah. Apa jua yang dilakukan mestilah berdasarkan
kepada Al-Quran dan Al-Sunnah disertai dengan niat yang ikhlas semata-mata
untuk mendapat keredhaan Allah.
Terdapat beberapa tips yang kita boleh amalkan bertujuan mengurangkan tekanan
kerja. Antaranya ialah :
1) Biasakan diri berada dalam keadaan berwuduk
Jiwa kita akan menjadi tenang jika kita membiasakan diri mengambil wuduk sebelum
melakukan pekerjaan. Kerja yang susah akan menjadi senang dan mudah diselesaikan.
Para pelajar misalnya, disarankan agar membiasakan diri mengambil wuduk sebelum
mengulang kaji pelajaran agar apa yang dibaca akan mudah dingati.
2) Perbanyakkan membaca Al-Qur’an
Ganjaran yang besar akan diberikan Allah bagi sesiapa yang membaca Al-Quran
walaupun satu ayat. Waktu yang sesuai bagi kita untuk membaca Al-Quran ialah
selepas solat lima waktu dan waktu-waktu lain seperti ketika berehat dan sebelum
tidur. Oleh itu, jadikanlah Al-Quran sebagai teman paling akrab pada sepanjang
waktu.
3) Banyakkan Solat Sunat
Sebagai makhluk paling mulia di sisi Allah, kita disuruh membanyakkan amal
ibadat kita sehari-hari. Antaranya, dengan mendirikan solat sunat. Solat sunat
hajat, solat sunat taubat, solat sunat tasbih adalah antara pelbagai solat
sunat yang terdapat dalam Islam. Kita bangun pada sepertiga malam dan mendirikan
solat-solat sunat tersebut agar beroleh ketenangan dan kekuatan daripada Allah.
4) Selalu berdoa kepada Allah
Allah telah berpesan iaitu jangan menyembah selain daripada-Nya. Ini bererti
kita disuruh berdoa hanya kepada Allah yang Maha Esa dan dilakukan secara
berterusan. Waktu-waktu mustajab berdoa adalah pada malam Jumaat, tengah malam,
pagi sebelum waktu Subuh, malam hari raya, ketika waktu azan dan iqamah. Insya-Allah,
Allah akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya yang benar-benar ikhlas. Namun,
kita perlulah sedar bahawa sebarang rezeki tidak akan datang bergolek sekiranya
tanpa usaha yang bersungguh-sungguh. Maka kita perlulah berusaha supaya mencapai
sesuatu di samping berdoa hanya kepada Allah yang Esa.
5) Bersangka baik dengan Allah
Kita sebagai manusia biasanya tidak akan terlepas daripada berhadapan dengan
ujian dalam hidup. Semuanya itu adalah ujian daripada Allah yang Berkuasa
bertujuan menguji keimanan kita sebagai hamba Allah. Oleh itu, kita mestilah
bersangka baik dengan Allah dan janganlah menyalahkan-Nya jika terjadi sesuatu
ke atas diri kita. Kita juga mesti percaya bahawa tentu ada hikmah di sebalik
kejadian itu.
6) Lakukan kegiatan luar seperti bersukan
Orang ramai selalu berkata bahawa badan yang cerdas akan membentuk otak yang
cergas. Segala tekanan sewaktu bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan
aktiviti-aktiviti luar yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan.
Situasi akan menjadi lebih menggembirakan jika kita meluangkan masa membawa
keluarga pergi beriadah. Ikatan kekeluargaan juga akan bertambah erat dan
kukuh.
7) Amal diet dengan disiplin yang kuat
Pengambilan makanan yang berlebihan dan tidak seimbang juga merupakan salah
satu faktor tekanan sewaktu bekerja. Oleh itu, cara untuk mengurangkan tekanan
adalah mengamalkan diet dengan disiplin yang kuat. Diet yang tidak terkawal
akan menyebabkan kegemukan dan menimbulkan penyakit kronik yang lain seperti
lemah jantung, darah tinggi, kencing manis.
8) Menangis dengan sepuas hati
Tekanan yang dihadapi sekiranya melibatkan individu yang lain dapat diredakan
melalui luahan hati kita dengan menuliskan rasa ketidakpuasan hati kita itu
dalam sehelai kertas. Sikap cuba menyimpan perasaan tersebut dalam hati boleh
menyebabkan diri merana. “ Luaran lain hati lain” ada sesetengah individu
apabila mereka mengalami sesuatu tekanan, mereka seolah-olah tidak menunjukkan
permasalahan mereka itu. Sebagai contoh, mereka akan sentiasa gembira bila
dilihat bersama rakan-rakan tetapi dalam hatinya hanya Allah yang Maha Mengetahui.
Maka dengan itulah, menangis dilihat sebagai salah satu cara kita dapat mengurangkan
tekanan yang dihadapi di tempat kerja.
9) Hargai kebolehan diri sendiri
Kita perlu mempunyai satu sikap yang dipanggil yakin diri. Apabila kita mempunyai
keyakinan diri, maka kita tidak akan mempunyai masalah untuk melakukan sesuatu
pekerjaan yang disuruh oleh pihak lain sewaktu bekerja. Kita yakin bahawa
kita boleh melakukan kerja yang disuruh dengan mudah dan tiada sebarang masalah
yang dihadapi. Apa yang penting ialah, kita mesti menghargai kebolehan diri
sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.
10) Cintai diri sendiri
“Cintailah diri kamu sendiri sebelum kamu mencintai diri orang lain”. Jelas
daripada maksud sepotong hadis ini, kita dapat memahami bahawa kita perlu
mencintai diri sendiri terlebih dahulu berbanding orang lain. Diri kita yang
selama ini masih pada tahap lama dalam pekerjaan perlu dipertingkatkan dengan
cara yang dinyatakan di atas. Kita perlu memulakan kehidupan kita dengan ceria
dan penuh dengan senyuman. Kesimpulan Sebagai kesimpulannya, tekanan kerja
bukanlah satu bebanan yang sukar untuk diatasi. Dengan usaha yang gigih dan
kesabaran yang tinggi serta jalan penyelesaian yang jitu, bebanan yang kita
alami pastinya akan dapat diselesaikan dengan jayanya.
Tips Mengurangkan
Tekanan Kerja
Oleh : Ustazah Norihan Mohd. Noor