Pada mulanya sekolah ini letaknya di Kampung Hilir Maludam. Bangunan sekolah pada masa itu beratap dan berdindingkan daun nipah. Ia telah dibuat secara gotong-royong oleh penduduk. Jumlah murid pada masa itu ialah 50 orang sahaja. Guru yang pertama sekali mengajar ialah En. Hj Mas b. Mas Jais. Beliau juga merupakan pengasas sekolah ini.
Pada tahun 1946 hingga 1949, En. Hj Mas b. Mas Jais mula menjadi Guru Besar di sekolah ini. Pada tahun 1948, sekolah ini dipindahkan ke Kampung Hulu Maludam. Kedudukan sekolah kekal hingga ke saat ini. Pada tahun 1950 hingga 1951, En. Hj Maslem b. Sabang menjadi Guru Besar di sekolah ini. Pada masa itu, hanya terdapat sebuah sahaja bangunan yang berlantaikan tanah. Terdapat 3 buah bilik darjah sahaja. Pada tahun 1952 hingga 1957, En. Hj Mas b. Mas Jais telah dilantik semula menjadi Guru Besar di sekolah ini. Setelah perkhidmatan beliau tamat, tempat beliau diambil alih semula oleh En. Hj Maslem b. Sabang yang berkhidmat dari tahun 1958 hingga 1961.
Dari tahun 1962 hingga 1964, En. Hj Ahd Rais b. Hj Mas telah menjadi Guru Besar. Pada masa beliau berkhidmat, sekolah ini telah memiliki 10 orang guru dan terdapat 6 buah kelas. Sebuah rumah untuk Guru Besar dan sebuah berek panjang yang mempunyai 3 buah bilik juga telah disediakan. Pada tahun 1965 hingg 1967, En. Hj Nerawi b. Saat telah menjadi Guru Besar. Pada masa beliau berkhidmat, Peperiksaan Penilaian Darjah Enam mula diperkenalkan. Murid-murid yang lulus dalam peperiksaan tersebut akan dihantar untuk menyambung persekolahan ke sekolah menengah di SMK Simanggang, Sri Aman. Sebelum itu, murid Darjah Empat akan menyambung pelajaran ke Darjah Lima dan Enam di SRK Tuanku Bagus, Sebuyau.
Pada tahun 1968, En. Abu Samad b. Said telah menjadi Guru Besar.Beliau cuma berkhidmat di sekolah ini selama setahun. Selepas itu tempat beliau diambilalih oleh En. Hj Ahd Rais b. Hj Mas semula iaitu dari tahun 1969 hingga 1972. Pada tahun 1972 dan 1973, murid lepasan Darjah Enam telah melanjutkan pelajaran mereka ke sekolah menengah di SMK Saribas, Debak. Setelah tamat tempoh perkhidmatan beliau di sini dan berpindah ke sekolah lain maka En. Hishamudin b. Abdullah pula menjadi Guru Besar iaitu dari tahun 1973 hingga 1974. En. Awg Ahd Naim b. Hj Mas mula menjadi Guru Besar di sekolah ini mulai tahun 1975. Pada masa inilah murid di sekolah ini mula melanjutkan pelajaran mereka ke SMK Sebuyau (SRK Tuanku Bagus sekarang).
Sekolah ini buat pertama sekali menerima kehadiran Pekerja Sekolah pada tahun 1975 iaitu En. Lamat b. Luti. Beliau masih menyumbangkan khidmat dan baktinya sehingga sekarang. Pada tahun 1982, sekolah ini telah dihantar seorang Penolong Kanan iaitu En. Iberam b. Bujang. Pada tahun 1986 pula, En. Mazeni b. Bakar menjadi Penolong Kanan di sini.Menjelang bulan Disember 1988, ekoran Kementerian Pendidikan mewujudkan berbagai jawatan, maka SRK Maludam telah dihantar tiga orang Penolong Kanan iaitu Penolong Kanan I (Pentadbiran), Penolong Kanan II (Hal Ehwal Murid) dan Guru Kanan Ko-Kurikulum yang bertanggung-jawab dalam hal ehwal sukan. Tujuan pertukaran ini adalah untuk mengemaskinikan lagi sistem pentadbiran di sekolah. Setelah En. Awg Ahd Naim b. Hj Mas menamatkan perkhidmatannya sebagai Guru Besar, beliau diganti buat sementara oleh En. Razali b. Sli pada tahun 1992 hingga pertengahan 1994. Dan kini sejak pertengahan tahun 1994, Guru Besar SRK Maludam ialah En. Wahab b. Hj Julaihi.
Pernah seorang pegawai mengatakan bahawa SRK Maludam adalah salah sebuah sekolah yang terpanjang di Sarawak. Ini bukanlah gurauan kerana kalau diperhatikan memang pun. Bermula dari bangunan lama tahun 60-an, sekolah ditambah bangunannya kerana jumlah pelajar bertambah. Pertambahan bangunan sedikit demi sedikit tersebut menyebabkan bangunan yang pada mulanya pendek menjadi bertambah panjang. Pertambahan bangunan tersebut menjadikan kawasan sekolah semakin sempit. Keadaan persekitaran boleh mempengaruhi minda murid dan warga sekolah. Walau bagaimana pun, pihak pentadbiran sekolah telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkenaan agar Maludam dibina sebuah sekolah yang baru di tapak yang baru agar aktiviti boleh dijalankan dengan lancar dan terlahir pelajar berilmu dan bermutu menjelang 2020 nanti. Itulah harapan warga pendidik dan anak didik Maludam.
Pihak sekolah tidak mengabaikan aktiviti luar selain dari aktiviti waktu persekolahan yang sedia ada. Berbagai aktiviti petang turut diadakan untuk menambahkan lagi pengetahuan murid. Memandangkan satu-satunya rintangan besar yang dihadapi oleh murid Tahun 6 iaitu UPSR, pihak sekolah telah merancang banyak aktiviti untuk mereka antaranya ialah Program Kelas Bimbingan dan Projek Anak Angkat. Aktiviti- aktiviti ini menekankan pengetahuan mendalam kepada mereka. Turut memainkan peranan dalam perkembangan minda pelajar ialah aktiviti Ko-kurikulum. Bahagian Panitia Agama Islam juga memainkan peranan penting dengan mengadakan aktiviti-aktiviti keagamaan seperti ceramah di masjid, sembahyang berjemaah bersama murid dan sebagainya. Untuk memantapkan lagi pengetahuan murid tentang didikan agama, Kelas Fardhu ‘Ain turut diadakan
Pada era 90an ini, SRK Maludam telah mengalami perubahan pesat sama ada dari segi infrastruktur dan kemudahan pembelajaran. Jumlah kelas semakin bertambah dan bilangan guru adalah seramai 30 orang. Kemudahan pembelajaran seperti radio, televisyen, video, mesin fotostat dan komputer juga telah digunakan dengan meluas walaupun sekolah ini merupakan salah satu sekolah di kawasan persisiran yang payah dihubungi melalui jalan raya.
JASAMU DIKENANG
BIL | NAMA GURU BESAR | TAHUN BERKHIDMAT | TEMPAT ASAL |
1. | Tuan Hj. Mas b. Mas Jais | 1946 - 1949 | Maludam |
2. | Tuan Hj. Maslem b. Sabang | 1950 - 1951 | Sri Aman |
3. | Tuan Hj. Mas b. Mas Jais | 1952 - 1957 | Maludam |
4. | Tuan Hj Ahd Rais b. Hj Mas | 1958 - 1961 | Maludam |
5. | Tuan Hj Maslem b. Sabang | 1962 - 1964 | Sri Aman |
6. | Tuan Hj Narawi b. Saat | 1965 - 1967 | Sri Aman |
7. | En. Abu Samad b. Said | 1968 - 1968 | Sebuyau |
8. | Tuan Hj Ahd Rais b. Hj. Mas | 1969 - 1972 | Maludam |
9. | En. Hisamuddin b. Abdullah | 1973 - 1974 | Sebuyau |
10. | En. Awg Ahd Naim b. Hj. Mas | 1974 - 1991 | Maludam |
11. | En. Razali b. Sli | 1991 - 1993 | Maludam |
12. | En. Wahab b. Hj Julaihi | 1993 | Kabong |
BIL | PENOLONG KANAN | TAHUN BERKHIDMAT | TEMPAT ASAL |
1. | En. Iberam b. Bujang | 1982 - 1986 | Kabong |
2. | En. Mazeni b. Bakar | 1986 - 1987 | Sri Aman |
3. | En. Abg Sazali b. Abg Seruji | 1987 - 1990 | Sri Aman |
4. | En. Razali b. Sli | 1987 - 1994 | Maludam |
5. | En. Lagan ak. Apek | 1987 - 1994 | Lubok Antu |
6. | En. Sazali b. Mohamad | 1990 - 1996 | Maludam |
7. | Tuan Hj Kulana b. Hj Nancy | 1995 - 1996 | Maludam |
8. | En. Husaini b. Hj Rambli | 1997 - | Serabang |
9. | En. Wan Setia Wan Mashor | 1997 - 1997 | Sebuyau |
10. | En. Ahmad b. Amban | 1997 - | Maludam |
11. | En. Razali b. Sli | 1998 - | Maludam |