Sekolah Kebangsaan Bukit Kepong telah tertubuh sejak tahun 1933, di Pekan Bukit Kepong. Bangunan sekolah ini telah dibina oleh penduduk kampung dengan dua orang tenaga pengajar tempatan yang gajinya tidak dibayar oleh pihak berkuasa. Muridnya seramai lebih kurang 50 orang. Kemudiannya bangunan sekolah ini telah dipindahkan ke Kampung Tui, Bukit Kepong berhadapan dengan rumah Datuk Penghulu. Seterusnya sekolah ini berfungsi dan berkembang dengan baik sehingga terhenti disebabkan tercetusnya Perang Pasifik pada tahun 1942. Setelah tamat Perang Dunia ke Dua, sekolah dibuka semula di bangunan yang sama dengan dua orang tenaga pengajar anak tempatan dengan murid seramai lebih kurang 100 orang.
Pada tahun 1955 kerajaan telah membina satu blok bangunan baru dengan tiga bilik darjah di tapak yang ada sekarang. Bangunan ini sekarang dikenali dengan Bangunan Amanah. Oleh kerana perubahan masa, bilangan muridnya juga bertambah melebihi 100 orang , maka pihak kerajaan telah menambahkan bilangan guru.
Pada tahun 1965 pihak kerajaan menambah lagi satu blok bangunan terdiri dari 2 buah bilik darjah dan dua unit rumah guru. Pada tahun 1980 sekali lagi pihak kerajaan mendirikan sebuah bangunan 2 tingkat untuk menempatkan 2 buak bilik darjah, sebuah perpustakaan, bilik tayang, pejabat Guru Besar, bilik sembahyang, stor dan tandas untuk murid-murid dan guru secara berasingan.
Melalui Projek Gotong Royong sekolah ini pada tahun 1992 telah memperolehi peruntukan sebanyak RM50 000.00 bagi mendirikan satu lagi blok bangunan yang menempatkan 3 bilik darjah dan 1 bilik kemahiran hidup.
|depan|