EPISOD : 1
YEA..YEA...TAK MALU.....
Saya mula
sampai ke negeri Terengganu pada bulan Disember 1979. Perjalanan ke Kuala
Terengganu (KT) pada waktu itu agak memakan masa kerana Lebuhraya Timur
Barat maupun Lebuhraya Utara Selatan belum lagi siap dibina. Perjalanan
dari tempat saya di Kedah, melalui KL dan seterusnya melalui Kuantan ke
KT biasanya mengambil masa 24 jam. Penerbangan dari Alor Setar ke KT juga
pada waktu itu tidak ada. Oleh itu, untuk menjimatkan masa saya serta bapa
saya terpaksa datang melalui Thailand.
Hebatkan?
Nak pergi ke suatu tempat di negara sendiri kena melalui negara lain. Siap
guna paspot / border pass lagi. Tak apa lah asalkan selamat sampai.
Apa yang
saya nak coretkan ialah mengenai pengalaman saya di minggu pertama berada
di Terengganu. Oleh kerana tiada tempat tinggal yang sesuai pada waktu
itu saya telah ditempatkan di asrama putera tempat saya bertugas. Diberikan
sebuah bilik yang sederhana serta kelengkapan seadanya.
Sekolah tempat
saya bertugas ini ialah sekolah berasrama penuh (SBP). Para pelajarnya
dibenarkan keluar ke bandar 2 kali dalam sebulan untuk mendapatkan bahan
atau alatulis yang diperlukan. Mereka ini biasanya keluar ke bandar pada
hari Sabtu kerana hari itu merupakan hari cuti mingguan.
Sudah menjadi
'tradisi' di Terengganu hari Sabtu merupakan hari di mana orang-orang dari
luar bandar keluar menjalankan segala jenis urusan seperti membayar bil-bil,
membeli belah di pasaraya, menonton atau sekadar bersiar-siar (lepak la
bahasa hari ini).
Saya sendiri
terpaksa keluar pada hari Sabtu minggu pertama saya di sini untuk mendapatkan
segala jenis peralatan/bahan yang diperlukan. Bertemankan seorang kenalan
yang sememangnya berasal di kampung dekat tempat saya bertugas, kami pergi
ke KT melalui bot penambang di Seberang Takir. Menyeberangi muara Sungai
Kuala Terengganu itu mengambil masa 10 minit. Tambang yang dikenakan ialah
sebanyak 40sen sahaja. Pengalaman dilambung gelombang seperti di dalam
buaian amat menyeronokkan.
Setelah sampai
di Pasar Kedai Payang kami berdua terus merayau rayau mencari beberapa
pekara yang dihajati. Pasar lambak yang terletak di kaki Bukit Puteri itu
menjual segala jenis barangan dari kraftangan sehinggalah sayuran, buah-buahan,
makanan serta alatan plastik dan lain lain barang runcit.
Setelah penat
membeli belah kami pergi menjamu selera. Makanan yang dijual agak asing
rasanya bagi saya namun kerana lapar kenalah juga makan.
Sewaktu hendak
balik pada lebih kurang jam 5.30 petang, sahabat saya ini mengesyorkan
agar kami balik dengan menaiki bas. Saya sebenarnya tak kisah. Apabila
kami sampai di stesen bas,alangkah terkejutnya bila kami dapati bahawa
orang terlalu ramai. Dari penerangan sahabat saya barulah saya tahu bahawa
perkhidmatan bas terakhir untuk hari itu ialah pada pukul 6 petang sahaja.
Kalau lewat kenalah naik 'teksi sapu' yang sewa/bayarannya berkali ganda.
Oleh kerana
tiada pilihan dan untuk berpatah balik ke pangkalan bot penambang agak
jauh, kami terpaksalah berebut dengan penumpang lain untuk menaiki bas
terakhir untuk balik ke Wakaf Tembusu.
Kerana ramainya
orang yang bersesak-sesak dan berasak-asak untuk menaiki bas tersebut,
sahabat saya telah mencadangkan agar kami naik ikut belakang. Saya mengikut
sahaja. Pada sangkaan saya kami akan menaiki bas
melalui pintu kecemasan,tapi
saya terperanjat bila sahabat saya kata tidak.
Dia kata kita akan menaiki bas
melalui tingkap yang berada di atas tayar belakang bas. Bimbang juga saya.
Tapi dia terus menyuruh saya memijak tayar belakang bas tersebut serta
masuk melalui tingkap yang sedia terbuka.
Penumpang mulai penuh di dalam
bas.
Sebaik saja
kepala serta separuh badan saya memasuki tingkap bas tersebut penumpang
yang sedang duduk di kerusi berdekatan terus berpaling dan menyapa saya.
"Sir....!?".
Alangkah terkejutnya saya bila saya dapati bahawa separuh daripada penumpang
bas yang berada di bahagian belakang adalah pelajar-pelajar saya. Mereka
menaikki bas melalui pintu walhal saya masuk melalui tingkap. Namun begitu,
saya tetap diberikan tempat duduk oleh pelajar saya.
Malu?....siapa
yang malu...? Tak lah.....
Moralnya:
Hmmmm....
"Orang yang marah
boleh menunjukkan kemarahannya
tetapi orang yang malu
takkan nak tunjukkan ke...........nya?"
back