CORAT CORET |
Kata orang tua-tua "Tuah ayam nampak di kaki",
tapi tuah manusia nampak di mana ya..? Inilah coretan mengenai tuah yang
akan sentiasa aku kenangi dan kusyukuri sepanjang hayatku.
Telah menjadi minat dan hobiku mengambil bahagian
dalam pelbagai peraduan dan pertandingan yang disiarkan dalam akhbar atau
majalah. Bukan apa, cuma untuk mengisi masa lapang dan menguji kebolehan
menjawab soalan. Manalah tahu, kalau bernasib baik mungkin hadiah yang
disediakan boleh menjadi milikku. Namun persaingan tentu saja sengit dan
hebat.
Sebagai pemegang sejenis kad kredit, aku telah
diberikan sekeping borang penyertaan untuk satu peraduan yang kuanggap
sangat mudah tetapi mencabar. Eh! ya ka..?
Peraduan ini hanya memerlukan tiga jawapan berdasarkan petikan yang
telah sedia diberikan dalam borang penyertaaan tersebut. Soalannya amat
mudah dan 'straight forward'. Jawapannya pula boleh didapati dalam petikan
tersebut. Cuma yang agak mencabar ialah mencipta slogan atau cogankata
yang mesti tidak melebihi 15 patah perkataan.
Jam pada ketika itu menunjukkan sudah pukul 11.30
malam. Aku masih berada di bilik bacaan di rumahku. Selesai membaca ruangan
pojok di akhbar kegemaranku, aku teringat akan borang peraduan tadi. Kuambilnya
dari laci meja tulisku dan kuhayati kehendak soalan serta slogannya. Ketiga-tiga
soalan mudah dijawab. Tapi slogannya.
Susah juga untuk memikirkan satu slogan
yang ada 'kick' atau ada 'punch'. Kukeluarkan sehelai kertas kajang kosong
untuk kureka-reka slogan yang sesuai. Sesi 'brain storming' pun bermula.
Buntu juga mindaku mencari perkataan, istilah serta ayat yang sesuai untuk
slogan tersebut. Ku perahkan juga otakku untuk mencari satu kombinasi perkataan
yang mantap.
Tiba tiba, isteriku masuk kebilik dan menghampiriku
yang sedang asyik memerah otak.
Dia lantas menyindirku. "Alaaa..takkan menang
punya. Pergi tidur aja la. Buang masa
saja." Dia kemudiannya berlalu pergi dengan senyuman sinisnya.
Sindirannya itu tiba tiba menjadikan aku bersemangat
untuk membuktikan kehandalanku. Aku terus menjawab."Kalau menang nanti,
jangan nak mengada ada.."
Aku tertarik dengan hadiahnya yang lumayan. Hadiah
pertama ialah percutian ke New Zealand selama seminggu, kedua alatan elekrik
begitulah seterusnya sehingga hadiah ke enam. Tetapi yang paling
menarik ialah Hadiah Utamanya bernilai RM90,000.00. Hebat hadiahnya.
Teringin juga aku memiliki kereta yang canggih
itu selain dari kereta Proton Saga merah yang kami beli di hari pelancarannya
pada tanggal 17 September 1985. Kereta kedua kami pada waktu itu ialah
sebuah Daihatsu Charade model 1984.
Malam itu aku bertekad untuk menyiapkan slogan
peraduan tersebut. Aku sendiri tidak sedar bila aku menyiapkannya. Keletihan
memaksa aku masuk tidur.
Kesokkannya, sampul surat yang berisi borang
penyertaan itu aku poskan.
Isteriku tersenyum sinis. Aku sendiri hanya mampu membalas senyumannya
dengan harapan yang menggunung.
Tiga bulan sudah berlalu. Aku sudah terlupa tentang
peraduan tersebut. Impian dan harapan terhadap hadiahnya juga tak lagi
kuingat.
Pada suatu hari Khamis November 1990, aku
seperti biasa balik dari tempat kerja dengan memandu kereta Proton Sagaku.
Sesampai di kawasan rumah, isteriku sudah pun berada dimuka pintu.
"Awal dia balik hari ni...?" fikirku.
Aku berhentikan kereta untuk membuka pintu pagar
rumah. Sebaik sahaja kereta kusimpan di bawah porch dan belum sempat aku
membuka pintu kereta, tiba-tiba isteriku terus menerpa kearah kereta. Cara
dia berlari menuju ke arahku menimbulkan rasa cemas dihati. Yang terfikir
olehku ialah sesuatu yang buruk telah berlaku.
"Kita menang bang...kita menang..." jeritnya
mengatasi bunyi enjin kereta yang belum kumatikan itu. Aku terpinga. Aku
masih belum mengerti maksudnya.
Sesudah kumatikan enjin dan keluar dari
kereta, dia terus mengulangi kata kata yang sama. Lalu dia terus menceritakan
tentang panggilan telefon yang diterimanya sebentar tadi.
Katanya, panggilan telefon tadi adalah dari Kuala
Lumpur. Pemanggilnya ialah Mrs.Chan dari MBf, syarikat kad kredit . Dia
menelefon untuk mempastikan samada alamat serta nama isteriku itu betul
dan tepat. Dia turut mengucapkan tahniah kepada kami kerana telah memenangi
Hadiah Utama peraduan yang dianjurkan oleh syarikat itu lebih kurang 4
bulan yang lalu. Dia menyatakan bahawa surat pemberitahuan akan diposkan
secara berdaftar dan dijangka sampai dalam sehari dua lagi.
Esok hari Jumaat, pejabat pos tutup kerana ianya
hari minggu disini. Aduh! siksa menantikan hari Sabtu.
Aku bertambah bingung. Betul ke atau hanya sekadar
gurauan oleh teman teman..?
Tapi..aku sendiri tak pernah menceritakan tentang penyertaanku dalam
peraduan ini kepada sesiapa pun. Heran ya..? Aku masih terpinga-pinga.
Kami tidak tahu kemana harus kami hubungi untuk mendapatkan kepastian.
Selesai makan dan solat Zohor, aku kebilik bacaan
untuk menyelongkar bahan-bahan yang berkaitan dengan pertandingan tersebut
yang masih ada. Brosur dan keratan borang pertandingan masih tersimpan
di dalam laci di meja tulisku. Dalam brosur itu terpampang senarai dan
gambar hadiah yang ditawarkan. Kenangan diperli oleh isteriku masih terngiang.
Aku tunjukkan brosur itu kepada isteriku dan
kami terus berbincang mengenai panggilan telefon tadi. Aku masih tidak
yakin selagi tidak ada hitam putih. Isteriku juga turut keliru bimbang
dipermainkan atau mungkinkah salah orang?
Malamnya tidur kami tidak berapa nyenyak, teringatkan
panggilan telefon siang tadi.
Keesokan hari kami masih berbincang dan menilik brosur yang ada
pada kami. Boleh tahan comel kereta yang ditawarkan.
Hari Jumaat ialah "Hari Keluarga" di mana semua
ahli keluarga yang tiada urusan di luar daerah akan berkumpul di rumah
aruah ayah. Ahli keluarga seramai lebih kurang 30 orang akan berkumpul
sambil minum petang dan makan pisang goreng. Biasanya kami berbual serta
berbincang mengenai isu keluarga. Dalam perbualan pada hari itu, kami telah
menyatakan tentang panggilan telefon yang kami terima semalam. Ramai ahli
keluarga yang tertawa dan menganggap itu hanya sebagai gurauan sahaja.
Tapi, ada juga yang turut berdebar dan menyatakan rasa tak sabar
menanti surat dari pihak yang berkenaan.
Malamnya kami tidak juga boleh tidur dengan nyenyak.
Kami asyik berbual mengenai hadiah tersebut.
Keesokan hari kami tak bercadang untuk kemana-mana.
Yang kami tunggu hanyalah posmen yang biasanya sampai pada lebih kurang
jam 12.30 tengahari.
Saat yang dinantikan datang jua akhirnya. Posmen
yang ditunggu telah tiba. Pet..pet..bunyi hon motorsikalnya. Kami berdua
berlari anak mendapatkan posmen tersebut. Dia nampak terkejut dalam senyuman.
Kami dihulurkan sepucuk surat berdaftar dan sebatang pen untuk menandatangani
slip penerimaan.
"Dapat cek ke? tanyanya.
Kami hanya tersenyum.
Setelah siap, pen dan slip penerimaan dikembalikan.
Tanpa berlengah lagi kami terus membuka sampul
dan sahlah bahawa ianya membawa tuah dan rahmat. Syukur...ALHAMDULILLAH...
Ayah dan ibuku di Kedah terus dihubungi. Kesyukuran
diucapkan berkali-kali. Solat syukur aku tunaikan tanda terima kasihku
kepadaNYA.
Keseronokkan kami berterusan sehingga hari penyampaian
hadiah beberapa minggu kemudian.
Pada 10 Januari 1992, aku, isteri, anak sulung
serta abang iparku turut ke majlis tersebut di Kuala Lumpur. Kami diraikan
dalam satu majlis yang ringkas tetapi penuh bermakna. Acara penyerahan
hadiah dijalankan. Bila nama isteriku dipanggil untuk menerima "Grand Prize"
tersebut aku hanya mampu memanjangkan kesyukuranku kepada Illahi.
Kunci replika sepanjang satu meter beribon merah
diserahkan kepada isteriku dihadapan kereta hadiah tersebut.
Silauan lampu "flash" dari kamera pemberita memancar-mancar
bagai kilat. Saat itu aku rasakan teramat bahagia kerana isteriku telah
menerima hadiah harijadinya yang amat bermakna. Sebuah kereta Peugeot 405
GTI.
Walaupun aku yang menjawab soalan dan mereka
cogankata untuk peraduan tersebut namun nama isteriku telah aku gunakan
dalam borang tersebut. Itulah tuahnya nama isteriku.
Sehingga kini, kami masih lagi menggunakan kereta
tersebut kerana ia adalah lambang tuah dan kasih sayang kami sefamili.
Seterusnya untuk tahun-tahun berikut aku masih
menyertai beberapa peraduan dan memenangi berbagai hadiah yang menarik.
SYUKUR.....ALHAMDULILLAH.