KAMPUNG HALAMANKU
satu nostalgia


Rumah Tuan Hj. Rejab dan Hjh. Embon
 di Alor Madi circa 1970
*Rumah kelahiranku*

    Menceritakan tentang kampung halaman merupa sesuatu yang nostalgik. Kenangan serta imbauan tentang masa lalu semasa berada di kampung merupakan detik detik yang tak akan berulang kembali dan pastinya tidak mungkin dilupakan.
    Dilahir dan dibesarkan di Kampung Alur Madi, Anak Bukit yang jauhnya lebih kurang 7 kilometer dari bandar Alor Setar.
    Anak Bukit merupakan 'Bandar Di Raja' dimana bersemayamnya DYMM Tuanku AlSultan Kedah Darul Aman. Lebih kurang 1.5 km. dari sini menghala ke Jitra ialah kediaman asal PM ke empat.
    Mengalir selari dengan pekan Anak Bukit ialah Sungai Anak Bukit yang banyak menyimpan sejarah kehidupanku. Sungai ini memisahkan pekan Anak Bukit dengan Kampung Alur Madi. Penghubung utama diantara keduanya ialah sebuah jambatan ala jambatan Bailey. Diatasnya merentang landasan keretapi yang menghala dari Bandar Alor Setar menuju ke Arau, Perlis dan seterusnya membawa ke Thailand.
    Diwaktu persekolahan dulu, jambatan sempit inilah yang selalu aku lintasi untuk pergi dan balik ke sekolah.
    Begitu juga dengan sungai yang mengalir di hadapan rumah bapaku, menjadi nadi kehidupan kami. Sungai ini sejajar dengan jalan yang menghubungkan kampung dengan dunia luar.


Jalan kampung menghala ke Pekan Anak Bukit
di kiri ialah Sungai Anak Bukit manakala disebelah kanan ialah laman rumah bapaku

    Sungai Anak Bukit yang jernih kebiruan merupakan tempat kami membasuh, mandi serta mendapatkan air minuman. Memancing, menjala, memukat, memasang taut, 'menyua', menggunakan serampang, memasang 'tangkoi' sejenis alat menangguk ikan, merupakan kaedah mendapatkan ikan di sungai ini. Waktu itu ikan seperti kaloi, haruan, keli, siakap, belida, ikan ubi dan lain lain merupakan rezeki yang tak pernah putus putus. Udang galah juga sering dikail dan dijala.
    Balik dari sekolah atau selepas mengaji Quran, tiada tempat lain yang dituju melainkan ke pangkalan untuk mandi sehingga mata merah dan kulit jari menjadi kecut. Pokok baru, pokok nipah dan pokok gorah yang banyak terdapat di sepanjang sungai menjadi tempat 'Tarzan' kampung membuat terjun junam serta  'sommersault'. Batang nipah pula menjadi pelampung yang sangat setia untuk bergerak kesana-sini.


Pangkalan tempat mandi manda selepas balik mengaji Quran
*kelihatan perahu Tok Wan


PERAHU dan RAKIT

    Selain dari berenang ke hulu dan ke hilir atau menyeberang ke seberang sana sungai, kami juga sering berperahu dan berakit. Perahu peninggalan Tok Wan Hj. Jusoh selalu kami gunakan untuk 'meronda' atau 'lawan perahu'. Ini adalah antara acara yang paling menyeronokkan. Beberapa buah perahu akan bertanding untuk pecutan sejauh lebih kurang 100 meter. Walaupun tiada apa-apa hadiah disediakan, namun semangat berlumba-lumba itu amat meriah.
    Berakit dengan buluh juga adalah salah satu aktiviti air yang mengasyikkan. Kami akan bersama sama mencari dan menebang buluh yang banyak rumpunnya di tebing sungai untuk dibuat rakit. Batang-batang buluh yang telah dipotong sepanjang 1.5 atau 2 meter akan diikat dengan tali. Sebelum itu, miang buluh akan dibuang dulu.
    Kalau buluh sukar diambil kami akan menggunakan batang nipah atau batang pisang. Empat atau lima batang pisang sudah mencukupi untuk sebuah rakit. Buluh akan digunakan untuk mencucuk bagi mencantumkan batang pisang. Sebuah rakit yang ringkas tetapi berfungsi.

IKAN O IKAN

Sawah padi di belakang rumah berlatarbelakangkan Gunong Keriang


    Musim hujan merupakan satu lagi musim yang amat menggembirakan. Ini berlaku di akhir bulan Februari sehingga bulan Mei. Di kala ini bendang di belakang rumah dipenuhi air hujan yang jernih. Terasa seolah -olah lautan terbentang luas. Inilah masa untuk mencari dan menangkap ikan.

SERKAP

    Pelbagai cara dilakukan untuk menangkap ikan sama ada menggunakan serkap, sejenis alat yang diperbuat dari buluh yang menyerupai tempat kurungan ayam. Ianya satu kaedah yang unik di mana kita hanya perlu menerjah bahagian bawahnya untuk memerangkap ikan. Bagi mereka yang tidak mahir sekupan mereka bergantung kepada nasib semata-mata. Bila terdengar atau terasa gegaran pada serkap itu menandakan bahawa ikan telah terperangkap di dalam serkap tersebut. Apa yang perlu dibuat ialah, mengagau dari bahagian atas serkap (mulut) untuk menangkap ikan tersebut. Hati hati jangan sampai disengat ikan keli atau terkna duri ikan puyu. Kawasan berair di dalam petak petak bendang akan diserkup untuk memerangkap ikan.
    Tetapi bagi mereka yang cekap, olakkan dan kilasan di permukaan air membantu mengenalpasti kawasan yang mempunyai ikan. Serkapan dibuat pabila tempat tersebut dijangka mempunyai ikan. Ini mengurangkan penat menyerkap di tempat yang tidak mempunyai ikan. Kenikmatan merasa gegaran ikan yang terperangkap yang cuba melepaskan diri dari dalam serkap serta menggagau untuk menangkapnya adalah pengalaman yang amat terkesan.  Awas, kadang kadang ada makhluk lain yang terperangkap di dalamnya, ketam atau sang ular, sakit padahnya.

KAIL @ JORAN

    Kail atau joran merupakan satu lagi cara konvensional untuk menangkap ikan. Diperbuat dari batang buluh dengan tali tangsi dan mata kail yang sederhana. Berumpankan cacing, anak ikan, belalang atau perut ayam. Pelbagai jenis ikan boleh dipancing seperti puyu, haruan, keli, dan sepat. Keseronokkannya hanya mereka yang mengalami sahaja yang tahu. Rentapan ikan haruan atau keli pasti meriuhkan suasana.

TAUT

    Taut, pula ialah sejenis joran pendek yang diperbuat dari buluh yang diraut. Panjangnya lebih kurang satu meter. Taut biasanya dipacakkan di tepi batas bendang. Umpannya berbagai, dari anak katak, isi ikan, cacing, belalang dan perut ayam. Biasanya 'ditahan' beberapa jam atau semalaman. Kalau dipasang pada waktu petang, pagi keesokan hari baru di periksa untuk mengetahui sama ada  ikan telah memakannya atau tidak.

TUAQ

    Kalau di kawasan parit atau taliair yang airnya mengalir, 'tuaq' dipasang. Tuaq ialah sejenis alat yang diperbuat dari buluh yang panjangnya  lebih kurang dua meter. Mulutnya ternganga luas serta ber'badan' lurus panjang dan tertutup dibahagian belakangnya. Diletakkan di dalam parit dengan mulutnya menentang arus, ia merupakan perangkap statik yang berkesan. Hampir semua jenis ikan yang terkodek-kodek dibawa arus air akan terperangkap di dalamnya.


PELOMPAT

   " Batas"  ialah satu istilah untuk laluan antara tanah bendang yang menjadi sempadan antara satu sama lain. Di atas batas juga boleh menjadi tempat menangkap ikan. Tanah digali sedalam 30 sehingga 40 sentimeter dengan ukuran lilit 20 sentimeter. Ianya dibiarkan begitu sebagai perangkap bagi ikan keli atau haruan yang hendak melintasi petak bendang. Tabiat ikan-ikan ini ialah melompat atau merangkak dari satu petak ke petak yang lain, samada untuk mencari makanan atau untuk mengawan.
    Lubang yang dikorek ini menjadi halangan bagi ikan yang berhijrah itu. Mereka akan tersangkut atau tersadai di dalamnya. 'Pelompat' ini merupakan perangkap  semula jadi. Keberkesanannya bergantung kepada tempat ia dibuat.

bersambung.....

Sawah padi dibelakang rumah berlatarkan Gunong Keriang


Tempat mandi dibelakang rumahku




Ruang tamu rumah Pak



masih dalam pembinaan
harap bersabar
kemaskini: 24 November 2001



menu
[laman utama]
[iqwanhabib] [bits and pieces of me] [my room mate and my kids]
[selamat datang ke Terengganu] [kampung halamanku]
[resepi Kak Wan] [apa itu hidroponik?] [petua hidroponik] [ taman suri] [motivation and inspiring quotes] [corat coret] [galeri foto] [my favourite links] [english corner ] [laman seni]
[view my guestbook] [sign my guestbook]

1