INTRODUCTION

LOGO

BACKGROUND

EXCO MEMBERS

  BERSYUKUR KITA KE HADRAT ALLAH S.W.T. kerana dengan izinnya dapat kita berkumpul pada malam yang berbahagia ini untuk turut sama meraikan Sambutan Tahun Pertama Kelab Penerbangan 4B Malaysia.

Kelab Penerbangan 4B Malaysia, yang pelancaran rasminya telah dilakukan oleh Y.A.B. Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 3 Mei 1996 yang lalu, pada malam ini, telah berjaya membuktikan kematangan dan daya tahan untuk terus maju mengharungi cabaran dalam sukan penerbangan dan bidang pesawat microlight. Berkat sokongan dan usaha gigih semua anggota Jawatankuasa Kelab, Ahli-ahli Kelab serta Exco 4B dan anggota 4B amnya, KP4B telah berjaya melahirkan lebih ramai lagi juruterbang muda pada hari ini.

 

Bagi menyahut cabaran daripada Y.A.B. Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk menubuhkan Experimental Aircraft Association, KP4B telahpun menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Jurutera MAS dan kini di peringkat design dan pembuatan microlight prototype. Adalah diharapkan microlight prototype ini akan mendapat kelulusan daripada DCA dalam sedikit masa nanti. Buat masa ini, KP4B menggunakan microlight yang dibeli daripada Quicksilver USA yang mana kerja-kerja pemasangannya telah dilakukan oleh pelatih-pelatih KP4B sendiri dengan diketuai oleh Kapten Maniam Abdullah.

Selaku Yang DiPertua Kelab Penerbangan 4B, saya amat berasa gembira dan bangga kerana sambutan Tahun Pertama Kelab Penerbangan 4B Malaysia ini turut diraikan bersama oleh Tetamu Kehormat kita iaitu Y.A.B. Tun Daim Zainuddin, yang juga Penasihat Ekonomi kepada Kerajaan Malaysia. Kesudian Y.A.B. Tun Daim meluangkan masa pada malam ini untuk turut bersama KP4B adalah merupakan peniup semangat kepada kami untuk terus membangunkan KP4B serta berusaha memperingkatkan lagi kemampuan dan keupayaan untuk membantu negara mencapai matlamat pembangunannya seperti yang digariskan di dalam Wawasan 2020.

Kepada semua golongan korporat dan individu yang telah menyumbang untuk menjayakan majlis pada malam ini, saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana sumbangan mereka telah membangun dan mengembangkan ilmu penerbangan kepada belia tanah air. Juga kepada Jawatankuasa Penganjur, Ahli Exco 4B Kebangsaan, Ahli Exco KP4B dan ahli-ahli 4B umumnya, saya mengucapkan tahniah dan jutaan terima kasih kerana usaha yang mereka lakukan bagi menjayakan majlis pada malam ini. Usaha gigih semua pihak adalah diharapkan bagi memastikan kesungguhan dan keyakinan belia-belia untuk terus menerokai bidang penerbangan yang lebih mencabar ini akan mencapai kejayaan. Sekian.

 

 

1