Engku 1938-2005
Engku (YM Almarhum Ayahanda Hj Che Wan Ismail Ghani Bin Engku Hj Hassan) telah pergi ke hadrat Illahi, meninggalkan kami semua pada Jumaat 19 Ogos 2005 jam 9.25 malam, bersamaam 14 Rejab 1426, selepas solat Isyak.
Sesungguhnya Allah lebih mengasihi Almarhum Engku, pemergiannya kami redha walaupun ianya amat pilu dan sedih, kerana pemergian Almarhum amat mengejutkan kami sekeluarga, dia pergi kerana kemalangan jalanraya, sewaktu Almarhum mahu menyeberang jalan untuk kekedai membeli sate untuk anak-anak dan cucunya nanti. Sesungguhnya kami sekeluarga telah merancang untuk membuat majlis aqiqah untuk anak saudara kami yand baru lahir dan Almarhum Engku sangat gembira dengan kelahiran seorang lagi cucunya. Berkebetulan hari berikutnya itu adalah hari ulangtahun perkahwinan Almarhum dengan bonda kami. Almarhum telah khabarkan kepada Wok (kekanda kami) bahawa dia mahu membuat 'surprise' untuk majlis ulangtahun perkahwinannya pada kali ini. Namun hajat ini tidak kesampaian apabila sewaktu Almarhum baru meletak kereta dibahu jalan dan baru keluar dari kereta, sebuah kereta yang dipandu laju melanggar Engku menyebabkan Almarhum terpelanting jauh, kemalangan itu menyebabkan tulang tengkuk Engku patah, hidungnya patah, giginya patah, dan kepala belakangnya juga pecah. Almarhum dikatakan oleh seorang saksi, putus nafas tidak berapa lama selepas itu.
Tidak ada ungkapan yang boleh menceritakan betapa sebak dan sedihnya kami, namun kepergian Engku adalah kerana menemui Tuhannya, dari Dia kita datang, dan kepada Dia juga kita kembali. Walaupun kepergian Engku sangat mengejutkan semua pihak, bukan sahaja kami sekeluarga, juga semua penduduk disitu dan semua saudara-mara dan rakan taulan Almarhum Engku. Sehingga sekarang ini pun masih ada antara mereka yang tidak boleh menerima kepergian Almarhum.
Sewaktu kejadian itu berlaku penulis masih berada di Johor Bahru, apabila menerima SMS dari adik bongsu penulis, mengatakan ENGKA DAH TAKDE... penulis sudah tidak dapat menahan perasan sebak, namun beberapa minit kemudian penulis berjaya mententeramkan diri, cuba menghubungi saudara yang lain untuk bertanyakan perihal yang terjadi, penulis dimaklumkan bahawa Almarhum Engku terlibat dalam kemalangan dan meninggal ditempat kejadian. Sungguh, hakikat ini tidak dapat diterima langsung oleh penulis, kerana Almarhum Engku adalah seorang kuat dan sangat berhati-hati, sebelum ini pun Almarhum banyak kali terlibat dalam kemalangan, namun Almarhum cuma tercedera ringan sahaja sedangkan kenderaan yang dinaiki hancur terus. Inilah yang menyebabkan amat sukar bagi penulis untuk menerima hakikat bahawa Engku sudah tiada lagi dan telah pulang kehadrat Illahi.
Semasa hayatnya Almarhum jarang sakit, cuma sakit-sakit biasa sahaja, yang selalu sakit adalah bonda penulis, sudah acap kali masuk keluar hospital, tetapi tidak dengan Almarhum Engku, seingat penulis, tak sampai 5 kali Almarhum masuk hospital kerana sakit. Hakikat inilah maka ramai lagi saudara dan rakan-rakan Almarhum sukar untuk menerima ketiadaannya. Menurut bonda, sebelum pemergiannya, Almarhum tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda yang dia akan pergi untuk selama-lamanya... setiap hari dilalui dengan biasa sahaja. Begitulah pada hari berlakunya kemalangan tersebut, memang Almarhum selalu singgah dikedai itu untuk membeli makanan dan bersembang dengan rakan-rakan yang baru pulang dari masjid selepas solat Isyak. Tidak ada apa-apa yang janggal dan pelik dalam kelakuan Almarhum. Sehinggalah kejadian itu berlaku.
Jenazah Almarhum di bawa kehospital dan lebih kurang jam 2 pagi, jenazahnya dibawa kerumah kami di jalan Cheroh, kaum keluarga sudah ramai menunggu termasuklah adik Almarhum, Ayah Chik(YM Dato' Sri Wan Abdul Wahid) dan Ayah Busu(YM Hj wan Abdullah). Waktu itu penulis masih dalam perjalanan pulang ke Raub dari Johor Bahru. Penulis dimaklumkan bahawa jenazah Almarhum akan dibawa ke Chenor untuk dikebumikan dimakam keluarga, disamping Almarhum kekanda dan ayahanda Almarhum. Kurang lebih jam 6 pagi, penulis tiba di rumah dan terus mendapatkan bonda yang dalam kesedihan, kemudian terus kearah jenazah Almarhum, perasaan sedih melanda, bukan main hebatnya... namun terpaksa penulis atasi... wajah Almarhum sangat tenang sekali dan ada senyuman terukir di bibir Almarhum. Penulis menangis, air mata mengalir, kerana perasaan sedih bercampur gembira kerana Almarhum pergi dengan tenang dan InsyaAllah ditempatkan bersama orang-orang yang soleh dan para syuhada.
Selepas membaca yasin, penulis mengimamkan solat subuh, kemudian kereta jenazah tiba, dan jenazah Almarhum pun diangkat kedalam kereta jenazah, kurang lebih jam 7 pagi. Kami bertolak ke Chenor dan penulis bersama adinda menemankan Almarhum dalam kereta jenazah. Perjalanan ke Chenor mengambil masa kurang lebih 3 jam, kami tida di Chenor, perkarangan rumah Ayah De(YM Dato' Wan Ahmad Tajuddin) sekitar jam 10.30 pagi. Kala itu sudah ramai yang menunggu dan segala persiapan telah pun dibuat. Jenazah Almarhum diangkat masuk ke dalam rumah Ayah De, Almarhum ditempatkan ditepi jendela yang terang, kemudian seorang demi seorang saudara mara datang melihat Almarhum buat kali terakhir. Pada waktu itu, bonda Almarhum belum lagi di beritahu, dan Ayah De telah menggagahkan diri mengkhabarkan berita pilu itu, maka setelah bersiap penulis bersama seorang sepupu memangku Tok (Bonda Almarhum) datang ketempat jenazah, dan itulah pertemuan terakhir antara seorang ibu dan anaknya yang telah kembali ke hadrat Illahi. Antara lain Tok mendoakan supaya Almarhum ditempatkan bersama orang-orang soleh dan tergolong dalam golongan syuhada. Segala dosa-dosa Almarhum diampunkan oleh Bondanya. Tidak ada dosa walau sebesar zarah pun, semuanya diampunkan dan Bondanya redha dengan pemergian Almarhum.
Masuk jam 11 pagi, isyarat diberi supaya jenazah akan dimandikan, penulis dan saudara lain, Awi, Uki, Nino, Midon dan tiga orang lagi membawa jenazah kekamar mandi, kerja-kerja memandi jenazah mengambil masa kurang lebih satu jam, dan kemudian jenazah diangkat tempat mengkafan. Kain kafan dan segala kelengkapan, air mawar dan minyak attar telah disediakan, Almarhum Engku telah di kafankan dengan kain putih berserta Kopiah dan Serban. Setelah siap dikafan, sekali lagi ahli keluarga dipanggil untuk mellihat jenazah buat kali terakhir, maka ramailah yang datang melihat Almarhum, ini antara saat yang sangat pilu dan sedih untuk penulis, kerana inilah kali terakhir penulis berdepan dengan Almarhum Ayahanda yang akan di kebumikan sebentar lagi. Memang penulis tidak dapat menahan sebak, lalu mengalirlah titis-titis airmata... menandakan kesedihan yang teramat sangat. Sungguh, hanya Tuhan saja yang tahu betapa kehilangan ini sangat terasa, bukan sahaja oleh penulis malah oleh semua yang hadir pada hari itu, ini dapat dilihat dengan jumlah kehadiran dan riak muka mereka yang hadir...
Tepat jam 11.30 jenazah Almarhum di sembahyangkan, ada sekitar 60 orang yang memakmumkan sembahyang jenazah itu. Lebih kurang jam 11.45 jenazah telah diangkat ke dalam kereta jenazah untuk dibawa ke tanah perkuburan keluarga tidak jauh dari rumah Ayah De. Jam 12 jenazah tiba di tanah perkuburan, penulis dan adik penulis masuk kedalam ruang kubur untuk menerima jenazah dan untuk dimasukkan ke dalam liang lahad. Jenazah Almarhum Engku selamat dimasukkan ke liang lahad dan tanah-tanah mula diturunkan, sedikit demi sedikit... akhirnya semua ruang kubur itu terkambus. Bacaan talkin dimulakan oleh Imam dan sekitar jam 12.40 semuanya telah selamat dan selesai, penulis dan keluarga terdekat menyiramkan air atas makam Almarhum Engku dan bunga-bungaan ditabur atas pusara Almarhum...
Sekianlah sekitar istiadat pengkebumian Almarhum Engku. Almarhum disemadikan berdekatan dengan makam kekandanya Almarhumah Che Ngah dan Almarhum Ayah Teh (YM Datuk Wan Daud), dan Almarhum Tok, (YM Engku Hj Hassan), semoga roh-roh mereka mendapat tempat disisi Allah Azzawajalla...Amin.