Antara hari dan semalam

Oleh : Imam Syaheed Hasan Al-Banna


Di Antara Semalam Dan Hari Ini oleh: Imam As-syahid Hassan Al-Banna BAINA AL AMS WA AL YAUM DI ANTARA SEMALAM DAN HARI INI. Sejak 1370 tahun yang lalu, Muhammad bin Abdullah, Nabi yang ummi telah menyeru di atas kemuncak bukit Safa, Mekah, maksudnya, "Wahai sekalian manusia, sesungguhnya saya adalah pesuruh Allah kepada kamu sekalian, yang memiliki seluruh langit dan bumi, tidak ada tuhan melainkan dia, yang menghidupkan dan yang mematikan. Berimanlah kamu dengan Allah dan RasulNya, Nabi yang ummi yang telah beriman dengan Allah dan kalimahNya. Turutlah kamu sekalian kepadaNya muga-muga kamu mendapat petunjuk". (al A'raf :158) Dakwah yang merangkum itu merupakan satu garis pemisah di seluruh alam di antara zaman yang gelap gelita dengan yang akan datang yang bersinar dengan cahaya dan kini bahagia abadi. Juga sebagai satu pengisytiharan yang terang dan nyata terhadap satu sistem yang baru yang disyariatkan Allah yang amat mengetahui dan amat bijaksana. Disampaikan oleh pesuruhNya Muhammad saw, pembawa khabar gembira dan pengingat manusia bersama kitabNya al Quran yang terang dan bersinar, juga bala tenteranya yang dahulu yang terdiri daripada orang- orang muhajirin dan ansar dan pengikut-pengikut jejak langkah mereka dengan penuh ihsan. Dakwah bukan satu ciptaan manusia, ia adalah ciptaan Allah yang tidak ada ciptaan yang lebih baik selain dari-Nya. Firman Allah, maksudnya, "Sebelumnya kamu tidaklah mengetahui apakah al kitab (al Quran) dan tidak pula mengetahui apakah iman itu tetapi Kami menjadikan al Quran itu cahaya yang Kami beri petunjuk dengan dia, siapa yang kami kehendaki di antara hamba Kami. Dan sesungguhnya Kami benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus (iaitu) jalan Allah yang kepunyaannya segala apa-apa yang ada di langit dan apa yang di bumi, ingatlah bahawa kepada Allahlah kembali semua urusan". (as Syura:52-53) 2). FAKTOR ASASI MEMBAIKI MASYARAKAT YANG DIDATANGKAN OLEH AL QURAN. Al Quran penghimpun segala cara untuk membaiki masyarakat yang menyeluruh telah diturunkan ke atas nabi saw dan di baca di kalangan orang-orang mukmin dari satu ketika menurut keadaan, gejala dan munasabah. Firman Allah, maksudnya. "Demikianlah supaya kami perkuat hati mu denganNya dan Kami (menurunkanNya) dan membacakanNya kelompok demi kelompok. Tidaklah orang-orang kafir itu datang kepadamu (membawa sesuatu yang ganjil melainkan Kami datangkan kepada mu suatu yang benar dan yang paling baik penjelasannya". (al Furqaan:32-33). Sehingga sempurna wahyu itu diturunkan dan dihafal di setiap dada dan baris dalam masa dua puluh dua tahun lebih kurang. Allah telah kumpulkan di dalamnya untuk umat ini penjelasan tiap-tiap perkara. Dasar-dasar membaiki masyarakat yang sempurna yang di datangkan oleh al Quran itu bertitik tolak: a) Ketuhanan (Rabbaniah). b) Ketinggian jiwa manusia. c) Ketetapan aqidah terhadap pembalasan. d) Pengisytiharan persaudaran di kalangan manusia. e) Kebangkitan laki-laki dan wanita seluruhnya serta pengisytiharan tanggungjawab dan persamaan di antara keduanya penentuan tugas masing- masing. f) Jaminan dari masyarakat dengan ketetapan hak-hak hidup, milik, kerja, kesihatan, kebebasan, pelajaran, keselamatan individu dan penentuan sumber laba. g) Memelihara dua sifat semulajadi; memelihara jiwa dan jenis, mengatur kehendak mulut dan seks. h) Kesungguhan dalam memerangi jenayah-jenayah besar. i) Menguatkan kesatuan umat ini menghapuskan seluruh unsur-unsur dan sebab pecah belah umat. j) Mewajibkan umat supaya berjihad dalam menegakkan prinsip-prinsip kebenaran yang didatangkan oleh sistem ini. k) Meletakkan negara bertanggungjawab melindunginya dan melaksanakan objektifnya dalam masyarakat yang tertentu dan menyampaikannya kepada seluruh manusia. 3) CIRI-CIRI PRAKTIK BAGI SISTEM INI. Sistem al Quran ini berbeza dengan segala sistem ciptaan manusia dan teori-teori falsafah mereka. Ia tidak meninggalkan segala prinsip dan ajaran-Nya sebagai teori sahaja dalam jiwa, juga tidak sebagai pendapat-pendapat dalam buku-buku dan tidak sebagai kata-kata di bibir mulut sahaja. Ia diletakkan untuk dipusatkan, diperkukuhkan dan dimanfaatkan segala kesan dan hasilnya sebagai interpretasi yang praktik. Dimestikan umat yang beriman dengan-Nya dan bersandar kepada-Nya supaya bersungguh-sungguh mengamalkanNya dan tidak menjadikanNya suatu tanggungjawab ke atas mereka yang tidak boleh diterima untuk melemahkannya. Bahkan hendaklah digalakkan melaksanakannya dan di denda orang yang mencuaikannya dengan disingkirkan mereka dari masyarakat Islam dan diletakkan di tempat yang terpencil. Di antara tanggungjawab yang penting yang dijadikan oleh sistem ini sebagai satu tembok untuk memusatkan prinsip-prinsipnya: a. Sembahyang, zikir, taubat, istighfar dsbnya. b. Puasa, menjaga diri, beringat dari boros. c. Zakat, sedekah dan berbelanja di jalan kebaikan. d. Haji, melancung, mengembara, menyelidik dan memerhati kerajaan Allah. e. Mencari keuntungan, bekerja dan menjauhi dari meminta. f. Jihad, berjaung, menyediakan pejuang dan menjaga keluarga mereka serta kepentingan mereka di kala mereka berjauhan. g. Amar ma'ruf dan memberi nasihat. h. Mencegah dari yang mungkar, pemulauan orang ramai terhadapnya dan orang-orang yang melakukannya. i. Menambah pelajaran dan pengetahuan setiap muslim dan muslimat dalam berbagai bidang hidup yang sesuai untuk mereka. j. Baik pergaulan dan berakhlak dengan akhlak yang baik. k. Sentiasa menjaga keselamatan tubuh dan memelihara pancaindera. l. Jaminan masyarakat di antara pemerintah dengan yang di perintah dengan menjaga dan melindungi. Setiap Muslim dituntut supaya mempraktikkan kewajipan ini dan bangun memperjuangkannya sebagaimana ia telah di terangkan oleh peraturan al Quran. Setiap Muslim jangan sekali-kali mencuaikannya walau satu daripadanya. Kesemua kewajipan ini telah tersiar sebutannya dalam al Quran dan telah diterangkan dengan terperinci oleh segala perbuatan Nabi saw bersama para sahabatnya dan mereka yang mengikuti jejak langkah Nabi dan para sahabat dengan baik dalam keadaan mudah dan nyata dan juga tiap-tiap amal atau beberapa prinsip amal yang memperkuat prinsip atau beberapa prinsip daripada teori-teori yang lalu yang di datangkan oleh peraturan ini untuk di laksanakan dan di manfaatkan oleh manusia segala hasil dan kesannya. 4. NEGARA ISLAM YANG ULUNG. Di atas dasar sistem masyarakat al Quran yang mulia ini sebuah negara Islam yang pertama sekali telah ditegakkan, sebuah negara yang beriman kukuh dengan al Quran yang melaksanakan segala ajarannya dengan perlaksanaan yang tersusun rapi dan disebarkan ke seluruh dunia. Sehingga Khalifah yang pertama ada berkata "sekali pun seutas tali pengikat unta hilang dari jagaan saya, saya akan dapatinya dalam kitab Allah". Perlaksanaan itu juga beliau telah memerangi orang-orang yang enggan mengeluarkan zakat dan menyifatkan mereka itu murtad yang meruntuhkan salah satu rukun sistem ini. Beliau mengatakan, "demi Allah kalau mereka itu enggan menunaikan kepada saya seutas tali pengikat unta seperti mana mereka telah menunaikannya kepada Rasulullah saw pasti saya akan perang mereka apabila pedang berada di tangan saya". Sesungguhnya kesatuan yang penuh erti dan rupa terangkum dalam ummah yang muda ini. Ertikata kesatuan masyarakat adalah merangkum seluruh sistem al Quran dan bahasanya. Sementara kesatuan dan politik terangkum di bawah naungan Amirulmukminin dan di bawah lambaian bendera khalifah di ibu negara. Idea Islam tidak berlegar dalam tentera sahaja atau di Baitul Mal atau pada tindak laku pemerintah sebab mereka semua bekerja dalam satu aqidah dan dengan arahan yang satu dan menyeluruh. Prinsip al Quran ini telah menghambat keluar fahaman-fahaman keberhalaan yang khurafat dan menghapuskannya sama sekali di seluruh semenanjung tanah Arab dan Farsi. Ia juga telah menghambat keluar fahaman Yahudi penipu dan menghapuskan terus kekuasaan agama dan politik mereka. Prinsip ini juga telah berjuang menentang fahaman Kristian sehingga hapus dari benua Asia dan Afrika dan terpaksa berlindung di bawah naungan kerajaan Rum timur di Konstantinopel. Dengan ini ia telah memusatkan seluruh kuasa spiritual dan politiknya terhadap kerajaan Islam di dua buah benua yang besar itu. Prinsip ini juga telah berusaha memerangi benua ketiga (benua Eropah) iaitu menyerang Konstantinopel dari Timur dan mengepungnya dengan bermatian dan menyerangnya (benua Eropah) dari barat dengan melanda Andalus. Bala tenteranya telah berjaya sampai ke tengah Perancis serta utara dan selatan Itali. Ia juga telah mendirikan sebuah kerajaan yang agung di Eropah Barat yang disinari dengan ilmu dan peradaban. Dengan ini barulah Konstantinopel sempurna di buka dan Kristian diletakkan di sudut yang kecil di tengah Eropah. Kapal laut tentera Islam belayar hebat di dua lautan iaitu lautan Mediteranean dan laut Merah yang mana kedua lautan intu menjadi tasik Islam. Dengan ini tentera laut negara Islam memegang kunci laut di timur dan di barat, dengan itu juga seluruh kekuasaan di darat dan di laut berada di tangan Islam. Implikasi dari ini umat Islam dapat menghubungi bangsa-bangsa lain dan berjaya memindahkan segala tamadun mereka itu dengan kekuatan iman dan keteguhan peraturannya. Seluruh tamadun itu telah diubahsuai dengan kehendak-kehendak Islam dengan indah dan hidup. Islam tidak menahan dari mengambil faedah tamadun itu selagi ianya tidak mengesani buruk kesatuan masyarakat Islam dan politiknya. 5. FAKTOR-FAKTOR YANG MERUNGKAI KEADAAN KEHIDUPAN NEGARA DAN RAKYAT ISLAM. Di samping kekuatan memuncak dan kuasa yang meluas ini, faktor-faktor merungkai mula meresap ke dalam kehidupan umat al Quran ini dengan membesar, mengembang dan menguat sedikit demi sedikit sehingga telah merobek kehidupan ini dan akhirnya telah menghancurkan pusat kerajaan Islam di kurun ke 6 Hijrah iaitu di tangan Tartar dan selanjutnya pada kurun 14 Hijrah kali kedua. Dari peristiwa ini telah meninggalkan kesan yang amat buruk iaitu umat Islam bertaburan dan negara Islam menjadi negara-negara kecil yang tersangat ingin untuk bersatu dan bangun. Faktor-faktor yang menjadikan demikian: i). Krisis politik, fanatik kaum, berebut mennjadi pemimpin dan berebut untuk menjadi terkenal. Pada hal Islam sangat-sangat memberi ingat dalam masalah ini dan sangat menyuruh supaya bersifat zuhud dalam masalah pemerintahan. Untuk menjadi perhatian dalam masalah ini iaitu faktor yang merosak dan menghancurkan rakyat dan negara Allah berfirman, maksudnya; "Dan taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlan kamu gentar dan hilang kekuatanmua dan bersabarlah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar" (al Anfal :46). Disamping itu Islam juga sangat berpesan supaya ikhlas kerana Allah semata-mata dalam percakapan, perbuatan dan hindarkan dari suka kemasyuran dan pujian. ii.) Krisis agama dan mazhab, menyeleweng dari agama sebagai aqidah, melakukan hanya dengan cakap saja dan di bungai dengan istilah- istilah yang kaku dan yang tidak mempunyai jiwa, cuai dengan kitab Allah, sunnah Rasulullah saw, beku dan fanatik terhadap pendapat dan cakap, suka bertengkar, berbahas dan berolok-olok sedangkan semua perkara ini telah di ingat dan ditegah oleh Islam sehingga Rasulullah saw ada bersabda, maksudnya "Tidak sesat sesuatu kaum itu selepas mereka mendapat hidayat kecuali mereka suka bertengkar". iii.) Tengelam dalam berbagai warna kemewahan dan kenikmatan, suka berhiburan dan syahwat yang mana perkara ini telah mengesani pemerintah-pemerintah umat islam di kebanyakan zaman sedangkan ia tidak mengesani orang lain dari mereka. Padahal mereka telah membaca firman Allah, maksudnya; "Dan jika kami hendak membinasakan negeri, maka kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaat Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu. Maka sudah sepatutnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan kami) kemudian kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya". (al Isra':16) iv). Peralihan kuasa dan pimpinann kepada bukan Arab; Farsi, Dailam (suku Kurd), Mamalik, Turki dll daripada mereka yang tidak pernah merasa makanan Islam yang sebenarnya, yang mana hati-hati mereka tidak pernah di sinari oleh nur al Quran di sebabkan mereka susah memahami maksud-maksudnya, sedangkan mereka telah membaca firman Allah, maksudnya, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaan mu orang-orang yang di luar kalangan mu (kerana) mereka tidak henti-hentinnya (menimbulkan) kemudharatan bagi mu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepada mu ayat-ayat (Kami) jika kamu mahu memahaminya". (Al Imran :118) v.) Mengabaikan ilmu-ilmu praktikal dan pengetahuan dunia, menghabiskan masa dan tenaga dengan teori-teori falsafah yang dalam dan ilmu-ilmu khayal yang tidak menghasilkan apa-apa. Pada hal Islam mengesa mereka supaya mengkaji dunia ini, menyelidik segala rahsia-rahsia kejadian dan meneroka di muka bumi dan juga menyuruh mereka berfikir tentang makhluk Allah sebagaimana firman Allah, maksudnya; "Katakanlah, perhatikanlah apa yang ada di langit dan bumi". (Yunus:101). vi.) Terlalu ghairah dengan kuasa dan tertipu dengan kekuatan diri sendiri di samping itu mereka juga cuai untuk mengkaji perkembangan masyarakat lain sehingga mereka ketinggalan dalm persiapan dan persediaan yang mana akhirnya mereka telah di cakup sekali gus. Sesungguhnnya al Quran telah memerintahkan mereka supaya sentiasa berwaspada dann mengingatkann jangan lalai. Ia mensifatkan orang-orang yang lalai dan cuai tak ubah seperti binatang bahkan lebih sesat dari itu. Firman Allah, maksudnya; "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak di pergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak di pergunakannnya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan untuk mendengar (ayat- ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang- orang yang lalai" ( al-A'raf:179). vii.) Terpedaya dengan tipu muslihat dari orang-orang yang hanya manis di bibir iaitu dari kalangan musuh mereka. Panik dengan kerja dan kemewahan hidup musuh mereka. Di samping itu terburu-buru meniru mereka dalam perkara-perkara yanng merbahaya dan tidak bermanfaat. Pada hal alQuran sangat-sangat menegah jangan meniru mereka. Ia terus terang memerintahkan supaya mengasingkan diri dari mereka dan memelihara unsur-unsur survival umat Islam. Ia telah mengingatkan keaiban meniru ini sebagaimana firman Allah, maksudnya; "Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang yang al Kitab nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman" (aL- Imran:100). Di ayat yang lain, maksudnya; "Hai orang-orang yang beriman, jika kamu taati orang-orang itu nescaya mereka mengembalikan kamu ke belakang (kepada kekafiran) lalu jadilah kamu orang-orang yang rugi" (aL-Imran:149) 6. PERTENTANGAN POLITIK. 6(a). Faktor ini mula merobek tubuh negara Islam dan umatnya. Bangsa-bangsa (musuh Islam) yang sentiasa mengekuri mereka mula menjangka bahawa peluang untuk membalas dendam dan menghapuskan negara Islam ini yang mana telah melanggar mereka telah tiba. Dengan ini turunlan bangsa Tatar seperti air mencurah ke atas negara Islam. Mereka telah memutuskan segala untaian negara Islam sepotong-potong dan akhirnya sampailah mereka ke Baghdad, ibu kota kerajaan Abbasiyyah dan telah memijak khalifah Mu'tasim sendiri dengan sepatu mereka. Dengan ini berkecailah untaian negara Islam dan bertaburanlah ikatan kalifah buat pertama kalinya. Seluruh umat Islam berpecah menjadi negara-negara yang kecil yang mana di setiap kabilah mempunyai amirulmukminin dan forumnya yang tersendiri. Umat Kristian mula sedar dan mengumpulkan sekutu-sekutu mereka. Akhirnya Timur yang Islam itu (Asia dan Afrika) telah ditendang oleh sembilan angkatan tentera Kristian yang mengandungi pahlawan- pahlawan, alat kelengkapan perang dan raja-raja mereka yang terpilih. Akhirnya angkatan tentera ini berjaya mendirikan negara Kristian di Baitul Maqdis dan menggugat seluruh umat Islam sama ada timur atau di barat dan menyerang Mesir sebagai salah sebuah negara Islam yang terkuat pada masa itu. 6(b). Kembali segar. Berikutan dari kemenangan bathil ke atas yang haq, Allah tidak mengizinkan lebih dari itu, iaitu Mesir berjaya mengumpulkan saki baki tentera Islam daripada kecaian negara-negara Islam dan mencampakkannya ke dalam kubu Kristian di bawah pimpinan Salahudin al Ayyubi dan Baitul Maqdis dapat di kembalikan semula dari mereka, di perlihatkan juga kepada mereka betapa kekalahan mereka di Hattin. Selepas itu sekali lagi tentera Islam ini berdiri gagah di hadapan Tartar di bawah pimpinan Sultan Zahir Bibras dan berjaya mengalahkan mereka dengan penuh kehinaan di Ain Jalut dan selepas ini sistem khalifah di hidupkan semula. Allah menghendaki selepas peristiwa-peristiwa ini Islam kembali tegak sebagai sebuah negara dan pelindung yang mempunyai kekuatan dan paling ditakuti yang dapat menyatukan seluruh umat dan rakyatnya di bawah panji-panjinya. Dia tidak mahu menerima ketinggian hemah setelah di perangi Kristian di hadapan rumahnya sendiri. Dengan ini Konstantinopal dibuka dan kuasanya menjangkau ke tengah benua Eropah sehingga sampai ke Vienna. Inilah dia negara Turki Othmaniah. 6(c) . Penyegeraan kebangkitan Eropah. Negara Islam menjadi tenang dan tertidur di bawah kuasa kerajaan Othmaniah dan akhirnya lalai dari apa yang berlaku sekelilingnya. Tetapi Eropah yang telah dapat menghubungi sinar Islam dari sebelah Barat iaitu di Andalus dan dari sebelah timur melalui angkatan perang salibnya, tidak pernah melepaskan peluang, tidak pernah cuai dan mengambil manfaat dan pelajaran yang lalu itu telah mula memperkuatkan diri dan berkumpul di bawah panji-panji Eropah di Portugal. Hasil dari itu mereka telah berjaya menahan kemaraan gelombang perang Islam di Barat dan menaburkan bibit-bibit perpecahan dan bercakaran sesama sendiri di kalangan umat Islam Andalus dan akhirnya mereka berjaya melontar umat Islam ke seberang laut atau ke seberang Afrika. Sebagai ganti tempat mereka sebuah negara baru Sepanyol telah bangkit. Eropah terus bersatu, berfikir, belajar, mengelilingi negeri-negeri dan meneroka negeri-negeri yang mana penerokaan Amerika adalah daya usaha Portugis. Timbul di kalangan mereka suara-suara lantang untuk pembaharuan dan lahir ramai pembaharu (reformer) masyarakat. Eropah juga telah mempelajari ilmu-ilmu dunia dan pengetahuan yang dapat menelurkan hasil. Dari revolusi-revolusi pembaharuan berkesudahan kepada pembentukan fahaman kebangsaan dan pengujudan negara yang kuat yang menjadikan matlamat mereka untuk menghancurkan negara Islam yang telah dicaingkan (dirobek dan dicincang) oleh Eropah itu termasuk Asia dan Afrika. Negara-negara baru ini telah membentuk beberapa pakatan yang mana di suatu ketika ia meningkat ke taraf yang tinggi. 6(d) . Serangan baru. Di bawah dasar dedah, serang dan mengembara, tangan-tangan Eropah telah menjangkau sepanjang-panjangnya sehingga ke negara Islam yang jauh seperti India dan setengah negeri Islam yang berhampiran dengannya. Mereka berusaha sepenuh daya untuk menghancurkan negara Islam yang luas dan kuat itu. Untuk tujuan itu mereka telah meletakkan berbagai rancangan kadang-kadang digambarkan dengan "masalah Timur" dan dengan "pembahagian peninggalan harta orang sakit". Setiap negara itu mengambil yang terluah itu dan mencipta sebab-sebab yang lemah dan menyerang negara yang terdedah nyanyok itu. Maka bermulalah sedikit demi sedikit anggota-anggotanya berkurangan dan terus runtuh. Serangan ini berterusan memakan masa yang panjang. Banyak negara-negara Islam terlucut dari kerajaan Othmaniah jatuh ke dalam kuasa Eropah seperti barat jauh dan utara Eropah. Juga turut sama negara-negara bukan Islam yang tertakluk di bawah kuasa kerajaan Othmaniah seperti Yunan (Greek) dan negara-negara Bolkan. Pusingan penutup dalam krisis ini dengan munculnya Perang Dunia I pada tahun 1914-1918 M yang membawa kekalahan kepada Turki dan sekutu-sekutunya. Dengan ini ia telah memberi kesempatan yang seluas-luasnya kepada bangsa Eropah yang terkuat di masa itu (England dan Perancis) dan di sertai Itali meletakkan tangannya ke atas pesaka yang paling banyak itu ialah umat Islam dan rakyat-rakyatnya. Negara-negara tersebut telah meluaskan kuasanya dalam berbagai nama seperti penaklukan, penjajahan, pengawasan dan perwakilan. Mereka telah membahagi negara-negara Islam seperti berikut; i.) Afrika Utara (Maghribi, Algeria dan Tunis) jajahan Perancis. Diselang pula satu kawasan di bawah kuasa antarabangsa di Tanjah dan jajahan Sepanyol di kampung-kampung. ii.)Tarablos dan Barqah di jajah oleh Itali. Itali tidak mengingini sedikit pun kesan-kesan Islam wujud di situ. Ia telah memaksa penduduk di situ berkerakyatan Itali dan dinamakannya sebagai Itali selatan, di situ juga dilontarkannya beribu-ribu orang tawanan yang berkebuluran dan manusia-manusia jahat. iii.) Mesir dan Sudan di bawah naungan Inggeris. iv.) Palestin di bawah jajahan Inggeris yang telah menghalalkan dirinya untuk menjualkan Palestin kepada Yahudi bagi mendirikan negara kebangsaan mereka. v.) Syria di bawah jajahan Perancis. vi.) Hijaz di bawah jajahan Inggeris. vii.) Hijaz sebuah kerajaan yang sangat lemah sentiasa menunggu sedekah dan mengharap kepada janji-janji palsu dan perjanjian-perjanjian yang tidak laku. viii.) Yaman sebuah kerajaan yang tinggal hanya rangka-rangka rakyatnya yang papa yang terancam dengan peperangan di setiap tempat pada bila-bila masa sahaja. ix). Di bahagian lain dari seluruh semenanjung Arab yang tinggal hanya negeri-negeri yang kecil saja yang mana para amirnya hidup di bawah ketiak konsol-konsol Inggeris. mereka berjuang dengan cebisan-cebisan makanan dari meja makan Inggeris. Sementara itu di dada mereka penuh menyala hasad dengki dan benci. x.) Iran dan Afghanistan adalah kerajaan-kerajaan yang sentiasa bergolak yang cuba di bahagikan oleh golongan tamak dari segenap tempat. xi.) India jajahan Inggeris. xii.) Turkistan dan sekitarnya jajahan Rusia yang mana tentera Rusia di timpa kesengsaraan yang amat getir untuk menawannya. Selain dari ini terdapat beberapa golongan minoriti Islam yang bertaburan di banyak negara yang tidak memberikan sebarang hak untuk melindung dan menjaga mereka seperti orang-orang Islam Habsyah (Ethopia), Cina, Bolkan, Afrika tengah, barat dan timur. Dengan kedudukan ini Eropah telah berjaya dalam sengketa politik, berjaya merobek empayar Islam, berjaya menghapuskan negara Islam dan menyingkirkannya secara poilitik dari senarai negara-negara yang besar dan hidup. 6(e) . Ke arah kekuatan baru. Sekalipun kezaliman yang berterangan, perjanjian dan dokumen bohong yang menyenak dada dan memanas jiwa, seluruh umat ini tetap bangun menuntut kemerdekaannya, berjuang mengembalikan kebebasan dan keagungannya, api revolusi tetap menyala, maka dengan ini Turki, Mesir, Iraq, Syria telah bangun memberontak. Sementara di Palestin pemberontakan seringkali berlaku begitu juga di Rif Maghribi. Kesedaran terus berkembang hasilnya umat Islam berjaya mencapai beberapa hak mereka maka merdekalah Turki dalam sempadannya yang baru, Mesir dan Iraq di kira sebagai 2 buah negara yang merdeka, Hijaz dan najd menjadi sebuah negara Saudi, Yaman, Iran dan Afghanistan berjaya mengekalkan kawasan bebas, Syria hampir berjaya mendapatkan pengiktirafan kemerdekaannya. Perjuangan Palestin telah menarik pandangan dunia ke arahnya. Orang Islam telah berjaya membuat langkah yang baik sekali pun sedikit dan lambat ke arah beberapa matlamat yang murni yang mereka ditumpukan untuk mengembalikan kebebasan dan keagungan dan membangun negara mereka. 6(f) . Perang baru. Negara-negara Eropah telah keluar dari kancah perang dunia dan bibit dengki dan benci berakar umbi di dada kebanyakan mereka. Muktamar damai beserta perjanjian-perjanjiannya telah memberikan satu tamparan hebat dan kecaian bagi kebanyakan negara-negara ini. Keadaan ini telah membawa kepada lahirnya idea-idea baru dan prinsip-prinsip fanatik yang ekstrim. Ini sudah tentu akan berkesudahan di kalangan umat ini (Eropah) satu krisis baru dan perang yang akan menghancur lebur kesatuan mereka dan akan menyedarkan semula mereka dan membuang kezaliman yang mereka lakukan itu. Umat Islam sekali lagi di kurniakan peluang untuk menyatukan barisan mereka dan berkumpul, melengkapkan kebebasan dan kemerdekaan mereka dan mengembalikan negara dan kesatuan mereka di bawah panji-panji Amirul-Mukminin. Firman Allah yang bermaksud; "Dan kami hendak memberi kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi (Mesir) itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi) (al Qasas:5). 7. PERTENTANGAN MASYARAKAT. Seluruh umat Eropah berjaya berhubung dengan Islam dan umatnya di Timur melalui perang-perang salib sementara di Barat melalui pendekatan mereka dengan umat Islam di Andalus.Perhubungan itu tidak saja ingin mengambil faedah untuk merasakan kuat atau kesatuan politik tetapi mengambil faedah sampingan yang lain iaitu kesedaran mental dan fikiran yang besar dan mengambil ilmu pengetahuan yang tulin dari Islam dan hasilnya telah melahirkan kebangkitan ilmu pengetahuan yang meluas. Gereja telah bangun menyanggah fenomena ini dengan segala kekuatannya yang mana para sasterawan dan cendikiawan telah dilimpari dengan berbagai keazaban, pencabulan dan merangsangkan rakyat dan negara lain supaya sama- sama menentang mereka. Tetapi kesemuanya ini sia-sia belaka, kebangkitan ilmu akhirnya berjaya penuh kemenangan. Dengan kebangkitan ini negara Eropah telah sedar dan sebaliknya telah menentang gereja. Dengan kebangkitan ini juga masyarakat Eropah telah menghapuskan sama sekali kuasa gereja dan meletakkan ahli gereja di tempat ibadat dan bertapa sahaja. Ini juga telah memaksa Pope tinggal di Kota Vatican. Masyarakat Eropah telah membatasi kerja ahli-ahli agama hanya berhubung dengan beberapa urusan kehidupan dalam lingkungan yang kecil. Mereka tidak boleh keluar dari lingkungan ini. Agama Kristian di Eropah hanya tinggal menjadi sebagai satu pesaka sejarah sahaja dan sebagai satu faktor mendidik rakyat biasa dan sebagai satu jalan untuk menguasai, menjajah dan menghancurkan pengacau-pengacau politik. Ruang ilmu makin meluas di kalangan umat Eropah, lapangan ciptaan dan pendedahan mula mengembang, jentera-jentera mula menggandakan pengeluaran, kehidupan mula berwajah baru, iaitu kehidupan industri. Serentak dengan ini negara mula menjadi kuat, kuasanya menjangkau ke negara-negara lain. Dunia telah berpaling menghadap Eropah dan mencurahkan segala hasil kepadanya. Segala harta benda datang melimpah dari segenap tempat. Dengan ini tidak dapat di sangkal lagi bahawa kehidupan Eropah dan tamadunnya yang bertunjang kepada penyingkiran agama dari kenyataan hidup bermasyarakat lebih-lebih lagi dari negara, kehakiman dan sekolah. Pandangan ke arah kebendaan yang keterlaluan dan menjadikannya sebagai ukuran dalam setiap perkara. Berikutan ini bentuk tamadun ini adalah bentuk tamadun materialis dan bercanggah dengan lunas-lunas yang ditetapkan oleh Islam yang suci ini yang mana menjadikannya sebagai asas tamadunnya yang mempersatukan di antara rohaniah dan kebendaan seluruhnya. Di antara petanda-petanda penting yang sentiasa wujud dalam tamadun barat jitu:- i) . Atheis dan ragu kepada Allah, tidak mempercayai ruh, melupakan balasan akhirat, berdiri dalam lingkungan alam kebendaan yang boleh di rasa. Firman Allah yang bermaksud, "Mereka hanya mengetahui yang lahir (sahaja) dari kehidupan dunia sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai" (ar-Rum:7). ii). Pengharusan, berebut-rebut kelazatan, mempelbagaikan kenikmatan, merombak abi'e alam dari undang-undangnya, memenuhi syahwat perut dan kemaluan, melengkapkan wanita dengan berbagai rupa yang menarik, mempersonakan tubuh dan akal, menghapuskan sistem keluarga dan meruntuh kebahagian rumahtangga. Firman Allah, maksudnya, "Dan orang-orang kafir itu bersenang-senang di dunia dan mereka makan seperti makannya binatang-binatang. Dan neraka adalah tempat tinggal mereka" (Muhammad:12). iii). . Mengagungkan individu. Oleh itu tiap manusia hanya mahu kepentingan diri sahaja. Mengagungkan kelas-kelas maka tiap-tiap kelas cuba meninggi dari yang lain dan masing-masing mengharap dapat harta yang melimpah dan tidak perlu kepada kelas-kelas yang lain. Mengagungkan bangsa. Maka setiap umat fanatik terhadap bangsanya dan bukan hanya cuba merendahkan bangsa-bangsa lain, bahkan ia cuba menelan bangsa-bangsa yang lebih lemah daripadanya. iv). Riba dan memperakui kebendaan dan menyifatkannya sebagai satu dasar dalam perlakuan dan di perindahkan bentuknya, jenisnya serta disebarkan di kalangan negara-negara dan individu-individu. Manifestasi kebendaan tulin ini telah melahirkan dalam masyarakat Eropah kerosakan jiwa, kelunturan akhlak, lemah untuk memerangi segala jenayah, masalah-masalah menjadi kalut, timbul berbagai prinsip yang meruntuhkan, timbul pemberontakan yang menghancurkan, sistem ekonomi, masyarakat dan politik tidak mantap, negara berpecah kepada puak-puak dan parti dan akhirnya orang ramai berbunuh-bunuhan sesama sendiri kerana tamak dan dendam. Ternyata tamadun moden ini lemah sama sekali untuk menjamin kedamaian masyarakat manusia, menetapkan ketenteraman dan keharmonian di dalamnya. Ia gagal memberikan kebahagiaan kepada manusia sekalipun pintu ilmu pengetahuan telah di buka kepada mereka. Pencapaian kuasa dan kekuatan untuk mereka hanya berlalu untuk satu kurun sahaja. CE


You can reach me by e-mail at: ssmedia@tm.net.my
This page was created using WEB Wizard Version 1.2
Copyright © 1995 ARTA Software Group and David P. Geller 1