SMASZAL
PENGENALAN

Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin merupakan sebuah pusat pengajian dan pendidikan yang tertua dan terbesar di Negeri Terengganu Darul Iman. Ianya telah diasaskan sejak lebih dari setengah abad yang lampau dengan mengharungi arus gelombang dan merasai banyak pahit getir dan suka duka sepanjang penubuhannya.Sekolah ini telah menempa sejarah tersendiri dalam perjuangan dan usaha untuk memberi pelajaran dan pendidikan Islam secara persekolahan yang lebih teratur dan sempurna.

Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang telah menyesuaikan dirinya dengan kehendak zaman dan masyarakat dengan melakukan beberapa perubahan penting. Dengan perubahan-perubahan tersebut menjadikan sekolah ini lebih terkenal bukan saja dalam Negeri Terengganu bahkan ianya termasyhur ke seluruh Malaysia dan luar negeri.Dahulunya pelajar lepasan sekolah ini telah mendapat penghargaan yang tinggi dan penerimaan masuk ke Kolej Islam Malaya (Kolej Islam Kelang), dan juga telah diakui dan diterima masuk belajar di tahun pertama di mana-mana fakulti Universiti Al-Azhar, Mesir dan Universiti Madinah tanpa menjalani ujian kelayakan.

Dahulu, dari segi pentadbiran, segala perbelanjaan tenaga pengajar dan alatan adalah dibiayai oleh Pejabat Pelajaran Kerajaan Terengganu. Kemudian pada tahun 1947 ia diserahkan kepada pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu hingga sekarang. Kini ianya telah mendapat sumbangan bantuan kewangan Kerajaan Negeri dan juga guru-guru dari Kementerian Pendidikan.

Berkat asuhan dan didikan sekolah ini, ramai diantara lepasannya mendapat peluang menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan akhirnya dapat menjejakkan kaki ke universiti-universiti dalam dan luar negeri. Ramai di antara lepasannya sama ada yang hanya berkesempatan belajar disekolah ini sahaja atau yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi telah berjaya menjadi penggerak masyarakat dan rakyat yang berguna. Itu semua adalah hasil dari benih baik yang disemai oleh sekolah ini kepada para pelajarnya. Alhamdulillah akhirnya lahirlah para pemimpin dalam pelbagai bidang seperti politik, pendidikan, pentadbiran, tokoh agama, penulisan, kesusasteraan, keusahawanan, perniagaan, keilmuan dan lain-lain.

 

1