Sumber Kedaulatan Politik Islam
Maka berilah peringatan dan ajaran
kerana sesungguhnya kamu hanyalah orang yang memberi peringatan dan kamu bukanlah orang
yang berkuasa keatas mereka. (al-Ghasiyah : 21-22)
Saudara muslimin sekelian;
Perkataan politik muncul setiap hari
di dalam akhbar yang kita baca atau di dalam alat sebaran am yang kita dengar, di kaca
talivisyen yang kita tonton. Ia menjadi cara didikan dan pengajaran yang dipelajari oleh
anak-anak kita di bangku-bangku sekolah dan universiti.
Perkataan politik menjadi buah mulut
,bahan bualan, alat perhubungan di kedai kopi, tempat kerja dan di mana-mana sahaja.
Politik tetap sampai kepada kita samada kita mahu atau tidak. Dia adalah wahyu semasa kita
hidup. Oleh itu mimbar jumaat hari ini akan cuba mendekatkan kefahaman mengenai politik
secara ringkas. Kita patut memahami apakah politik itu sebenarnya. Sebagai memenuhi
kehendak hadis RasululLah s.a.w. :
Maksudnya : Sesiapa yang tidak
mengambil berat mengenai urusan orang Islam maka bukanlah dari golongan mereka.
Sebelum perkataan politik digunakan
secara meluas dalam masyarakat melayu, mereka terlebih dahulu mengenali perkataan siasah.
Ia disebabkan pengaruh bahasa arab dalam masyarakat melayu. Di dalam kamus al-Munjid,
siasah bermakna mengendalikan urusan sesebuah negara, memperbaiki keadaan dan urusan
manusia dan pentadbiran urusan sebuah negara.
Dalam kamus moden bahasa Indonesia
ada menyebut mengenai perkataan politik dalam bahasa Belanda yang membawa erti tipu
muslihat. Politik pemerintahan bermakna tipu muslihat pemerintah. Politik perang bermakna
tipu muslihat perang atau pertempuran.
Para ulama telah membuat
perbandingan di antara perkataan siasah dan politik. Nilai yang terkandung dalam perkataan
siasah jauh lebih tinggi berbanding dengan apa yang terdapat di dalam perkataan politik.
Menurut mereka pengertian siasah tidak hanya terbatas dalam urusan keduniaan semata-mata
malah menekan urusan akhirat. Pengertian ini tidak terdapat pada perkataan politik, malah
lebih jauh dari itu, perkataan politik itu sendiri mengandungi unsur-unsur tipu helah
jahat yang memang bertentangan dengan pengertian siasah.
Antara tokoh ulama yang
menghuraikan kedudukan siasah ialah Abu Al-Baqa . Dalam tulisan beliau menyebut,
"Siasah ialah melakukan sesuatu yang membawa kebaikan kepada makhluk dengan
membimbimg mereka ke jalan yang membawa kejayaan masa kini (dunia) dan masa hadapan
(akhirat)". Seorang lagi tokoh utama ialah Abdul Wahab Khallaf menjelaskan ,"
Siasah ialah mentadbir urusan awam di dalam negara Islam dan pentadbiran dengan sesuatu
yang dapat melaksanakan kepentingan dan menolak bencana selagi tidak berlawanan dengan
hukum dan dasar-dasar syariat".
Al-Mawardi dalam kitabnya Al-Ahkam
Al-Sultaniah menerangkan fungsi pemerintahan Islam ialah " mendirikan Islam dan
mentadbir dunia dengannya (agama)". Ini bermakna siasah adalah bermaksud bagaimana
hendak mentadbir urusan dunia ini menurut kehendak Islam.
Walaupun sudah banyak penjelasan
diberi , namun nampaknya masih ramai orang yang keliru. Masih ada orang yang berpura-pura
tidak faham. Masih banyak fikiran yang dihantui oleh fahaman pemisahan agama dan politik.
Politik bukan urusan masjid, hendak campak politik di luar masjid: ulama, orang
agama maka bidang tugas mereka hanya terbatas dalam bidang rohani. Manakala urusan negara,
urusan kehidupan itu menjadi tugas orang politik dan bermacam-macam lagi.
Sebenarnya fahaman yang memisahkan
agama dengan politik adalah fahaman yang terpengaruh oleh barat yang telah memisahkan di
antara agama dan gereja yang bermula pada abad pertengahan lagi. Sikap permusuhan barat
terhadap Islam telah mendorong mereka mencari berbagai jalan untuk melemahkan umat Islam.
Fahaman bahawa agama tidak ada
kaitan dengan urusan politik disebarkan secara meluas dimerata negara umat Islam. Lebih
jauh daripada itu agama Islam dituduh sebagai agama yang tidak suci lagi kerana dikotori
dan dicampur-adukkan urusan politik dan negara ke dalam agama.
Kita tidak hairan dan bersedih hati
kalau barat berfahaman begitu atau melemparkan tuduhan itu terhadap Islam kerana memang
aliran pemikiran dan pegangan hidup mereka tidak sama dengan Islam. Tetapi apa yang paling
malang dan sangat memalukan ialah sikap yang ditunjukkan oleh orang yang mendakwa dan
mengaku dirinya Islam tetapi sanggup bertaqlid buta kepada barat. Lalu slogan pemisahan
agama dan negara telah diimpot masuk dan dijulang dan diperjuangkan bermatian-matian di
dalam negara umat Islam melalui bermacam-macam cara termasuk melalui tulisan-tulisan jahat
yang digerakkan oleh penulis upahan dan penulis suruhan.
Dalam usaha kita memahami politik
Islam suatu perkara yang asas ialah mengenai sumber kedaulatan. Titik permulaan dalam
mana-mana sistem politik ialah menentukan sumber kedaulatan atau sumber kekuasaan.
Dalam mana-mana sistem politik moden
,biar apa bentuk sekalipun samada kapitalis , komunis, sosialis, sekular dan lain-lain
semuanya mendakwa bahawa mereka bersandarkan kepada kehendak rakyat. Menegakkan
kepentingan umum dan sumber kedaulatan ialah dibuat oleh setiap sistem di zaman moden ini.
Jadi bagaimana kita hendak membezakan di antara satu sistem perseorangan dengan sistem
demokrasi.
Di dalam sistem perseorangan,
kehendak pemerintah dunia hari ini terdapat dua sumber kekuasaan. Pemerintah mempunyai
kuasa yang tidak terbatas keatas semua badan kerajaan, tidak kira samada pentadbiran,
undang-undang, kehakiman, ketenteraman awam dan penerangan dan lain-lain.
Di dalam sistem demokrasi pula badan
pemerintahan ditentukan oleh rakyat. Oleh itu kehendak rakyat adalah menjadi sumber
kekuasaan dan kedaulatan. Satu soalan yang perlu kita kemukakan ialah apakah sumber
kedaulatan dan kekuasaan politik Islam jika dirujuk kepada salah satu sumber tadi iaitu
kehendak pemerintah atau kehendak rakyat? Marilah kita melihat masyarakat Islam yang
pertama sejak Rasulullah s.a.w. menjadi pemerintah.
Firman Allah taala :
Maksudnya : "Dan kamu
bukanlah seorang pemaksa terhadap
.???? Maka berilah peringatan dengan al-Quran
kepada orang yang takut kepada ancaman."
(surah Qaff : 45)
Firman Allah lagi :
Maksudnya : "Dan tiada
ayat yang diucapkan itu al-Quran menurut kemahuan hawa nafsunya, ucapan itu tiada lain
hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya."
(An-Najmu : 3-4)
Itulah dia Rasulullah s.a.w. yang
menjadi pemerintah pertama umat Islam , menyampaikan risalah tuhannya. Dia tidak terkeluar
daripada wahyu yang diturunkan kepadanya.
Kita perhatikan suatu lagi gambaran
yang ditunjukkan oleh Khulafa Al-Rashidin . Abu Bakar As-Siddiq dalam ucapan pertamanya
mengatakan :"Wahai manusia aku telah dilantik untuk menjadi pengurus urusan kamu. Aku
bukanlah orang yang terbaik di antara kamu. Tetapi al-Quran telah turun dan nabi Muhammad
s.a.w. telah meletakkan sunnah. Dengan demikian kita boleh mempelajarinya. Wahai manusia
sesungguhnya aku ini adalah pengikut bukannya pembawa. Jika aku melakukan kebaikan berilah
pertolongan kepadaku. Jika aku melakukan kesalahan perbetullah daku. Taatlah kepada aku
selama mana aku mentaati Allah dan rasulnya. Jika aku mengengkari Allah dan rasulnya maka
kamu tidaklah lagi wajib mentaati aku."
Dua gambaran tadi jelaslah bahawa
kedaulatan politik Islam dan kekuatan kerajaan Islam bukanlah pada orang perseorangan,
bukan ditangan pemerintah tetapi pemerintah wajib tunduk kepada Al-Quran dan Sunnah
Rasulullah s.a.w. . Pemerintah hanyalah seorang individu yang memikul amanah dan
tanggungjawab daripada Allah taala.
Firman Allah :
Maksudnya : "Ingatlah
kepunyaan Allah sahaja hak cipta dan memerintah segala urusan."
Persoalan yang kedua, apakah sumber
kedaulatan politik Islam berada di tangan rakyat seperti sistem demokrasi? Biarlah sekali
lagi kita melihat makna kedaulatan menurut teori demokrasi. Ia bermakna kehendak rakyat
adalah mempunyai kebebasan sama sekali tidak terikat. Rakyat menjadi tuhan kepada dirinya
dan hanya kekuasaan sahaja yang dia mahu. Apakah perkara ini berlaku didalam Islam?
Marilah kita merujuk kepada perlembagaan umat Islam.
Allah berfirman :
Maksudnya : "Dan tidak
patut bagi seseorang mukmin dan mukminah apabila Allah dan rasulnya telah menetapkan
sesuatu ketetapan maka ada lagi pilihan yang lain mengenai urusan mereka. "
Maksud ayat tadi menjelaskan bahawa
rakyat di dalam politik islam adalah mempunyai pembatasan tidak bebas, rakyat adalah
diperintah bukannya memerintah. Semua urusan adalah kembali kepada Allah. Apa yang
diharamkan oleh Allah maka tidak ada seorang pun yang boleh menghalalkannya. Pendapat
ramai umat Islam tidak boleh menghalalkan sesuatu. Pendapat ramai umat Islam juga tidak
boleh mengharamkannya.
Sabda Rasululah s.a.w. :
Maksudnya: Umatku tidak akan
berhimpun dalam perkara yang sesat.
Sebagai kesimpulan bahawa sumber
kedaulatan dan kekuatan dalam kerajaan Islam bukannya kehendak pemerintah dan bukannya
kehendak rakyat. Ianya adalah hak Allah taala semata-mata. Allah taalalah yang menciptakan
perlembagaan umat Islam yang bersifat abadi dan manusia tidak berkuasa mengubah apa yang
telah sempurna daripada Allah taala.
Firman Allah taala :
Maksudnya: "Sesungguhnya
yang menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah"
Al-Quran adalah kitab Allah dan
perlembagaan orang Islam. As-sunnah pula adalah nota penjelasan kepada perlembagaan itu.
Perlembagaan itulah yang membatasi kekuasaan kerajaan. Kekuasaan pemerintah dan kekuasaan
rakyat semuanya kembali kepada kekuasaan Allah taala. Sesiapa yang mencari petunjuk yang
lain dari Allah adalah sesat.
|