Berita Harian
                                                            Rabu 9 September 1998  18 Jamadilawal 1419
 

        Umno Bukit Bendera sokong Mahathir, Anwar

        GEORGETOWN, Selasa - Umno Bahagian Bukit Bendera bersama Pergerakan Pemuda dan Wanitanya
        sebulat suara melahirkan sokongan terhadap Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Presiden Umno
        dan Perdana Menteri Malaysia.

        Keputusan itu dibuat pada mesyuarat khas bahagian, Pemuda dan Wanita yang diadakan pada 7
        September lalu. Mesyuarat itu juga memutuskan untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan
        kedua-dua mereka adalah tokoh dan pemimpin yang sukar dicari ganti.

        Ketiga-tiga jawatankuasa Umno Bahagian Bukit Bendera itu juga memutuskan merayu kepada Dr
        Mahathir untuk menerima semula Anwar sebagai ahli Umno.

        Mereka juga mahu Anwar diberikan kembali jawatannya sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan
        Perdana Menteri atas alasan, Dr Mahathir sendiri pernah berkata, kita tidak seharusnya menuduh
        seseorang itu bersalah sehingga mahkamah mendapatinya bersalah.

        Kenyataan itu ditandatangani oleh Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Senator Datuk Ahmad Ismail;
        Ketua Pergerakan Pemudanya, Mohd Ismail Mohd Othman; dan Ketua Pergerakan Wanitanya, Haslinda
        Mohd Hashim; serta timbalan dan naib ketua masing-masing dihantar ke pejabat Berita Harian, hari ini.

        Umno Bahagian Bukit Bendera, Pergerakan Wanita dan Pemudanya memohon Anwar dibicara
        seadil-adilnya.

        "Beliau harus diberi peluang memberikan penjelasan kepada rakyat semoga rakyat terus tenang dan
        keamanan negara dipelihara. Jika tidak, rakyat akan berasa suatu ketidakadilan sudah berlaku," tegas
        mereka.

        Umno Bahagian Bukit Bendera dan Bagan tidak diwakili ketika Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang
        mengadakan mesyuarat khas, Ahad lalu. Ia dipengerusikan Timbalan Ketuanya, Datuk Mohd Shariff
        Omar.

                        [ Muka Depan | Berita | Editorial | Ekonomi | Pusparia | Sukan ] 1