Reaksi kepada penjelasan berbeza-beza
Mahathir tetap yakin pemimpin Umno terima pemecatan Anwar
KUALA LUMPUR -- Sekitar 3,000 pemimpin Umno peringkat bahagian dan cawangan
yang
menghadiri satu perjumpaan khas tertutup di sini semalam menunjukkan reaksi
bercampur-campur apabila mendengar penjelasan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad
mengenai
pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.
Namun Presiden Umno itu yakin penjelasan beliau selama lebih sejam di Pusat
Dagangan
Dunia Putra (PWTC) yang bermula sekitar 5 petang semalam itu "menerimanya...
dan tidak ada
tanda-tanda mereka tidak menerima (penjelasan saya)", demikian beliau dipetik
oleh agensi
berita Bernama sebagai berkata kepada para pemberita selepas perjumpaan
itu.
Bernama juga memetik Perdana Menteri Malaysia itu sebagai berkata beliau
berharap selepas
penjelasan tersebut beliau tidak perlu lagi menjelaskan perkara itu. Perjumpaan
khas semalam
merupakan penjelasan pertama secara langsung oleh Dr Mahathir kepada para
anggota Umno
-- parti komponen terbesar Barisan Nasional (BN) yang memerintah -- sejak
Datuk Seri Anwar
dilucutkan jawatan Kabinet pada Rabu lalu dan pemecatannya daripada parti
itu sehari
kemudian.
Bercakap dalam sidang akhbar selepas pertemuan itu, Dr Mahathir menyingkap
kembali
tentang pilihan yang diberinya kepada Datuk Seri Anwar supaya meletakkan
jawatan dan
beliau akan memberitahu yang perletakan jawatan itu "adalah kerana perbezaan
dari segi
dasar".
Malah pilihan itu ditawarkan beberapa kali, kata Dr Mahathir, termasuk
sekali melalui Menteri
Tugas-Tugas Khas, Tun Daim Zainuddin, setelah siasatan polis dan beliau
sendiri
menunjukkan ada tanda-tanda kebenaran tentang tuduhan salah laku seks terhadap
Datuk
Seri Anwar itu.
"(Datuk Seri Anwar) mengaku yang beliau adalah manusia biasa. Tetapi beliau
menafikan
tuduhan-tuduhan itu. Katanya, dia seorang pejuang dan akan menentang saya,"
ungkap Dr
Mahathir menjelaskan mengapa beliau memecat timbalannya itu dan mengapa
Majlis Tertinggi
Umno membuat keputusan yang sama secara sebulat suara.
Dalam pertemuan tertutup semalam, Dr Mahathir memberitahu para pendukung
parti yang
hadir bahawa beliau telah menawarkan jalan keluar kepada Datuk Seri Anwar
kerana mahu
mengelakkan keluarganya daripada keaiban apabila butir-butir kurang menyenangkan
didedahkan kelak.
Dr Mahathir juga berkata latar belakang agama Datuk Seri Anwar sangat baik.
"Saya sepatutnya mencari alasan lain tetapi malangnya tiada alasan lain," katanya.
Mengenai sama ada Datuk Seri Anwar akan ditahan, Dr Mahathir berkata beliau
"tidak tahu".
Beliau menarik perhatian bahawa Datuk Seri Anwar telah menafikan dakwaan
itu dan berkata
beliau mangsa konspirasi politik peringkat tinggi. Mengenai hal ini, Dr
Mahathir berkata beliau
tidak boleh menyatakan yang beliau tidak tahu.
"Tetapi apa yang saya tahu sudah cukup untuk memberitahu saya beliau tidak
layak. Saya
tidak berpendapat ia berkaitan dengan politik".
Mengenai pendapat Datuk Seri Anwar yang beliau dipecat kerana anggapan
beliau akan
mencabar Perdana Menteri (sebagai Presiden Umno), Dr Mahathir berkata beliau
boleh
mempertahankan diri memandangkan beliau juga mempunyai sokongan yang cukup
dalam
parti. Tetapi Dr Mahathir mengakui terdapat perbezaan pendapat dengan Datuk
Anwar
berhubung pengurusan ekonomi negara.
Ditanya apa yang akan berlaku pada Datuk Seri Anwar jika polis tidak mempunyai
alasan
kukuh untuk menahannya, Dr Mahathir berkata sekali lagi beliau tahu beliau
agak yakin
(mengenai tuduhan-tuduhan itu).
Dr Mahathir berkata beliau tidak yakin dengan penafian Datuk Seri Anwar
itu, dan menambah
sehinggakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Bill Clinton, sendiri pun
menafikan
pembabitannya dalam skandal seks.