Ratusan lagi tiba sokong bekas Timbalan PM

                   Pihak berkuasa dedah lebih banyak tuduhan

                   

                   KUALA LUMPUR -- Beratus-ratus orang penyokong telah berpusu-pusu mengunjungi rumah
                   kediaman bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam
                   selepas pihak berkuasa mendedahkan lebih banyak tuduhan mengenai salah laku jenayah
                   terhadapnya yang boleh menyebabkan beliau ditangkap,

                   Seramai 2,000 orang penyokong telah berkumpul di rumah beliau sebagai tanda sokongan
                   yang diberi kepada bekas anggota kabinet yang telah dipecat minggu lalu oleh Perdana
                   Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

                   "Mereka berpendapat bahawa dengan berbuat begitu mereka boleh mematahkan semangat
                   saya, tetapi mereka silap," kata Datuk Seri Anwar kepada para penyokongnya.

                   "Malah tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada saya hanya akan menguatkan keazaman
                   dan semangat perjuangan saya," tambah beliau lagi.

                   Selain berucap kepada para penyokongnya, beliau turut mengerjakan solat hajat bersama
                   mereka. Semalam, kebanyakan masa beliau dihabiskan untuk menyambut ketibaan para
                   pembantu dan berbual-bual dengan para penyokong yang semakin ramai berhimpun di luar
                   perkarangan rumahnya.

                   Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Abdul Rahim Noor, mengatakan kelmarin bahawa polis
                   mempunyai bukti bahawa Datuk Seri Anwar cuba mempengaruhi siasatan yang dijalankan
                   terhadap empat laporan polis berhubung dakwaan yang terkandung dalam buku 50 Dalil
                   Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM.

                   Laporan pertama dan kedua mendakwa Datuk Seri Anwar cuba menakut-nakutkan saksi
                   supaya tidak bekerjasama dengan penyiasatan polis berhubung buku tersebut.

                   Para pengamat politik mengatakan ini adalah tanda-tanda pihak berkuasa sedang menyiapkan
                   satu kes undang-undang terhadap Datuk Seri Anwar yang suatu masa dulu pernah menjadi
                   orang yang dipilih oleh Dr Mahathir untuk menggantikannya.

                   Mereka mengatakan bekas pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) itu mempunyai
                   ramai penyokong di kalangan golongan muda dan ramai antara mereka mengunjungi
                   rumahnya semalam.

                   Pengamat politik, Encik Rustam Sani, memberitahu Reuters; "Saya lihat ramai orang terutama
                   golongan muda berdiri di belakang Anwar.

                   "Saya berpendapat, Dr Mahathir mungkin telah salah anggap sokongan yang diberikan
                   kepada Anwar." -- Reuters.
 

                   Pemuda Umno kecam
                   campur tangan luar

                   KUALA LUMPUR -- Pergerakan Pemuda Umno mengecam tindakan pihak luar termasuk
                   Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang cuba campur tangan dalam urusan dalaman parti
                   itu berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kabinet dan Umno. Pergerakan itu
                   turut membidas segelintir pelajar institusi pengajian tinggi tempatan yang membiarkan diri
                   mereka dengan sewenang-wenangnya diperalatkan oleh pihak tertentu atas nama obor
                   pembaharuan rakyat yang secara terang menentang kerajaan.

                   Naib ketua pergerakan tersebut, Datuk Hishamuddin Hussin, berkata tindakan Abim
                   mempengaruhi segelintir cendekiawan dan mahasiswa untuk mencapai hasrat mereka adalah
                   liar dan tidak bertanggungjawab. Malah, katanya, tindakan Abim mengumpul dan membakar
                   semangat mahasiswa dengan menyebar maklumat palsu adalah budaya buruk dan
                   membahayakan.

                   "Saya ingin memberi amaran kepada mereka (Abim) supaya jangan sekali-kali cuba
                   mencampuri urusan rumahtangga kita dan parti kita. Saya juga ingin menasihati para siswa
                   supaya tidak mudah terpedaya atas nama gerakan pembaharuan rakyat. Mereka sebaliknya
                   harus matang dan rasional serta meneliti fakta sebelum membuat sebarang keputusan. Ini
                   kerana tindakan mereka itu jelas mencemar kedudukan sebagai golongan terpelajar," katanya
                   dalam satu kenyataan tiga muka kelmarin.

                   Datuk Hishamuddin, yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Utama, berkata kejadian memaki
                   hamun dan membaling para pemimpin negara, terutama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri
                   Dr Mahathir Mohamad, sebelum dan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Khamis lalu
                   adalah perbuatan biadap keterlaluan dan tidak bertanggungjawab. Menurutnya ini kerana
                   perbuatan mereka yang semuanya anak Melayu amat memalukan dan terang-terang
                   bertentangan dengan budaya dan nilai bangsa yang disanjung selama ini.

                   "Sehubungan dengan itu, kita menggesa pihak yang bertanggungjawab di institusi pengajian
                   tinggi mengambil tindakan sejawarnya bagi mengelak perbuatan itu berulang," katanya. --
                   BMM.
 

                   Zahid diminta nyatakan pendirian

                   ALOR SETAR -- Pemuda Umno Kedah mahu pemimpin pergerakan itu, Datuk Ahmad Zahid
                   Hamidi, menyatakan pendiriannya mengenai pemecatan bekas timbalan presiden Umno, Datuk
                   Seri Anwar Ibrahim, daripada parti tersebut.

                   Ketua Pemuda Umno Kedah, Encik Abdul Halim Said, berkata semalam langkah Datuk Zahid
                   mendiamkan diri mengenai isu itu telah menimbulkan keadaan tidak menentu dan keraguan di
                   kalangan anggota kerana mereka tidak pasti apakah langkah yang akan diambil.

                   Menyatakan rasa kesalnya tentang cara Datuk Zahid menangani isu itu, beliau berkata
                   tidaklah wajar seorang pemimpin membiarkan pergerakan yang dipimpinnya dalam keadaan
                   tidak menentu tanpa mengambil suatu pendirian yang tegas.

                   Pergerakan Pemuda Umno Kedah dalam satu mesyuarat kelmarin menyokong dengan sebulat
                   suara tindakan yang diambil bagi memecat Datuk Seri Anwar. Ia juga melahirkan rasa kesal
                   dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang berkelakuan tidak wajar terhadap para anggota
                   Majlis Tertinggi Umno selepas mesyuarat Khamis lalu memecat Datuk Anwar daripada Umno.

                   Sementara itu, tiga lagi anggota Exco Pemuda Umno semalam menyatakan rasa kecewa
                   terhadap Datuk Ahmad Zahid yang dilaporkan menyokong gerakan pembaharuan yang
                   dilaungkan oleh Datuk Seri Anwar.

                   Ketiga-tiga anggota Exco itu -- Zulkifli Alwi, yang juga Setiausaha Pemuda Barisan Nasional
                   (BN), Zein Isma Ismail dan Mohd Supardi Md Noor -- turut menyokong kenyataan beberapa
                   ketua Pemuda negeri yang kecewa kerana Datuk Zahid belum memanggil mesyuarat bagi
                   menetapkan pendirian Pemuda Umno berhubung pemecatan Datuk Anwar. -- Bernama.
  1