DAN BERILAH INGATAN KERANA INGATAN ITU ADA MANFAATNYA UNTUK ORANG-ORANG YANG BERIMANN. Bismillahirrahmanirrahim. Ya ALLAH, Bila apa yang aku tuliskan ini Kau beri nilai dan erti Ku hadiahkan pahalanya kepada Kedua ayah bonda ku. Assalamu`alaikum w.w, anak-anak ku putera puteri Kenali tercinta! Segala puji hanya tertentu bagi ALLAH yang maha pemurah, pelimpah rahmat, maha penyayang tak banding sayang, selawat dan salam saya untukkan kepada nabi besar Muhammad s.a.w. Rasul Allah, pemimpin umat, pembawa panji-panji kehidupan bagi umat manusia untuk mencapai ketenteraman jiwa, kedamaian hidup menurut ridha Allah yang maha agong. Ketahuilah kalian yang saya hurmati! Jika kamu berjiwa seni, memandang jauh dari apa yang zahir pada pandangan kamu dengan mata hakikat, maka akan terbayanglah akan keagungan Allah; pada segala mergastua yang merangkak dibumi, pada burung-burung dan unggas-unggas yang berterbangan di sepanjang siang, seolah olah giat beramal bertasbih kepada Allah semua, juga pada rumput-rumpai dan lambaian daun-daun hijau di serata bumi seolah olah tunduk beribadat makhluk kepada Khalidnya, seolah olah mereka nampak akan wajah Allah Arrahman Arrahim - dan takut akan balasan azab Alniran. Dan fikirkanlah pula akan diri kita dan apa yang terselit di lipatan hati kita, pada i`tikad dan pada amal ibadat - malah di sebalik tabir amal ibadatpun ada terselit perkara-perkara yang merosakkan. Ya Allah ya tuhan kami, jadikanlah diri kami insan yang Muraqabah; sentiasa mengingati akan Allah serta hukum-hukum NYA, taqwa kepada Allah walaupun di mana berada. Dan jadikanlah diri kami hambamu yang bertaqwa dan redha di atas semua penentuanmu. Amin. Saudara saudari yang tersayang! Izinkan saya menggunakan ruang yang terhad ini menuliskan sesuatu bagi peringatan untuk diri saya sendiri dan bagi saudara saudari putera puteri Kenali yang saya muliakan, mudah mudahan akan mendatangkan kesedaran Rohani dan Agama kepada kita semua. Anggaplah tulisan saya ini sebagai nasihat kerana termasuk kewajiban saya sebagai seorang guru (dan kalian semua sebagai anak-anak saya), memberi nasihat dan pengajaran. Jika sekiranya saya berlaku salah, patutlah saya diberi nasihat dan teguran pula oleh kalian semua. Nabi Muhammad s.a.w. pernah bersabda bahawa Ugama itu nasihat, dan seseorang insan Muslim adalah cermin bagi seseorang insan Muslim yang lain. Kalian yang dikasihi! Segala pujian dan sanjungan itu kepada Tuhan yang telah meninggikan hati orang orang pilihannya dengan `Mujahadah', Tuhan yang telah membahagiakan hati aulia dengan `Musyahadah', Tuhan yang telah mengarahkan kehendak kehendak orang-orang yang zahid kepada jalan yang benar dan menyelamatkan jiwa orang-orang yang penuh dengan taqwa dari kemahrajalelaan nafsu. Hanya engkau mempunyai kuasa membolak balikkan kemudi hati dan menentukan segala sesuatu. Segala puji bagi engkau yang telah meluangkan masa dan memberi pertunjuk untuk saya menulis sesuatu pesanan kepada diri saya dan anak-anak yang saya sayangi; Sayang terhadap cita-cita luhur kalian yang murni agar tidak disia siakan oleh angan-angan tinggi yang tidak bermatlamat, sayang terhadap anak-anak saya yang masa depannya munkin kan terkorban kerana melupakan diri dari tatanilai Islam dan ciri-ciri keperibadian muslim yang sejati, sayang takut nanti kalian akan terikut ikut mereka-mereka yang tidak mempunyai harga diri (self esteem) lantaran kehausan Rohaniah. Tolong menolong dan kasih sayang antara sesama ikhwan muslimin adalah merupakan cara hidup Islam yang dituntut. Rasullah menganjurkan "Orang yang beriman itu kasih mengasihi dan saling bersimpati antara satu sama lain, seperti jasad, jika salah satu anggotanya sakit, semua anggota jasad itu akandemam dan tidak dapat tidur. Dan "Masyarakat orang beriman itu seumpama orang- orang yang belayar dalam satu bahtera, sebahagian daripada mereka berada di atas dan sebahagiannya di bawah kapal itu. Orang yang berada di bawah jika hendak mendapatkan air hendaklah naik keatas. Jika salah seorang di bawah itu (kerana enggang naik keatas untuk mendapatkan air) menebok kapal itu dan memancutlah air kedalamnya dan jika perbuatan itu tidak ditegah oleh orang lain, maka seluruh orang yang ada di dalam kapal itu akan tenggelam semuanya". Saudara saudari yang saya kasihi, Tuhan yang maha berkuasa telah ketemukan saya dengan kalian semua di sini, sungguhpun saya tidak pernah ditugaskan secara menyeluruh supaya bersama sama dengan sebahagian dari kamu, saya memuji kebesaran Allah yang meluangkan masa saya, juga kalian semua yang berkenaan untuk berbincang mesra sebagai perhubungan antara guru dengan murid-murid. Ketahuilah bahawa selama ini saya berharap untuk melihat putera puteri saya tidak dinodai oleh kehidupan moden yang telah memperkenalkan hidup yang baru, hidup bernafsu nafsi, yang boleh diibaratkan sebagai daun-daun lalang yang berterbangan, ditiup angin tanpa tujuan. Betapa perkembangan yang saya harapkan telah dapat saya ikuti. Hasrat saya, sebahagiannya telah kalian penuhi; begitu sejuk seluruh pandanganku terhadap diri dan pakaian sebilangan kecil dari saudari semua. Tapi kalian harus ingat akan kata-kata Rasullullah s.a.w., "Bahawa sanya Allah tidak memandang apa-apa perbuatan akan tetapi DIA memandang hati dan niatmu". Saya menyebut tentang perkara-perkara begini kerana ternampak di kalangan kamu (Puteri puteriku) akan gambaran keruh pada I'tikad dan matlamat berpakaian yang sempurna dan bersopan mengikut cara Islam. Anjuran ini adalah bukan sekadar mewarisi tatanilai pakaian kampung (yang boleh dirobah mengikut zaman dengan nama "fesyen"); bukan hanya sekadar melindungi dari mentari yang membakar kehalusan kulit, pun tidak untuk sekadar mematuhi undang-undang sekolah. Kalian telah terdahulu didera oleh hukum- hukum Allah yang azab balasannya amat pedih sekali. Apa yang saya lihat pada puteri-puteri tersayang dalam adat berpakaian seolah olah mulai dipengaruhi oleh cara orang-orang kota. Di hari petang mengapa sudah berubah pakaian antara kamu? Kemana melayangnya cebisan tudung di kepala kamu? Dan apakah hikmat yang mendorong kamu supaya mempamirkan sebahagian tuhbuhmu kepada ramai. Dan dalam keadaan begini kamu bermegah angkuh akan kecantikan dirimu. Ya Allah ya tuhan kami, jadikanlah diri kami di antara gulungan hambamu yang soleh dan bertaqwa kepada Mu dan jadikanlah kami orang-orang yang sentiasa mendapat pertunjuk (kepada jalan yang benar) darimu. Saya tahu betapa penanggunganmu untuk mengekalkan dirimu agar sentiasa dibaluti pakaian, juga agar kecantikan dirimu tidak dipandang oleh insan-insan yang tidak berhak diatas dirimu. Saya percaya, sebahagian dari kamu hanya terturut turut kepada kehendak gadis zaman ini. Pesan saya hanya satu, wahai anak-anak kesayanganku, jangan sekali-kali menggadai keperibadian kita atas nama kehidupan moden. Peliharalah diri dari dilanda dosa dan noda. Biarlah orang lain mengatakan kamu gadis kampung yang tidak pernah kenal perubahan pakaian zaman kini. Biarlah betapa berat penanggunganmu untuk menghadapi cemuhan orang orang moden, kerana apa yang baik pada dirimu itu pasti ada orang yang beriri hati untuk mendapatkannya. Bisa dibayangkan betapa nilainya jika saya bandingkan ini dengan intan yang mahal dan kalian semua sebagai pelombong yang pahit. Cahayanya (intan) seperti melambangkan kemegahan hidup para pemiliknya. Imam Al-Ghazali pernah berpesan; "Manakala yang dicari itu bermutu tinggi serta mulia, akan susah mencapainya, panjang jalannya dan banyak akibatnya". Kata kata ini telah memberi beberapa pengajaran dalam hidupku. Tersebut kisah batu intan, saya teringat akan satu tulisan Iqbal - Intan dan Batu Arang: Intan dan Batu Arang "Wahai teman yang bijaksana", sahut Intan Tanah hitam, bila membatu, kian tinggilah mutunya Sesudah berjuang dengan lingkungannya sendiri Dia menjadi matang dan tumbuh keras penaka batu Inilah sifat sifat yang memberikan sinar padaku Dan mengisi wujudku dengan cahaya Olih sebab wujudmu belum masak Kau menjadi hina terlempar Olih sebab tubuhmu lunak, kau pun dibakar orang. Kamu, anak-anak tercinta, juga diri saya, diibaratkan sebagai batu arang yang masih belum cukup matang. Lantaran itu kita perlu bersedia dan berusaha untuk proses pematangannya. Ya Allah, ya Rabbi, berilah aku ilmu yang berguna disisiMu. Hanya kepada Mu dan untuk Mu aku mengabdi dan hanya kepada Mu aku memohon berilah aku petunjuk dan hidayah agama jalan hidup yang benar pedoman hidup yang pernah Engkau berikan kepada mereka yang soleh sebelum kami Janganlah Engkau sesatkan kami setelah Engkau memberi petunjuk. Ketahuilah putera puteraku! Tiap apa yang kita pertimbangkan, mana yang elok dan harus kita lakukan hendaknya tidak kita berdasarkan kepada Neraca Nafsu. Akan tetapi sebagai insan yang waras kita harus merujuk kepada Akal kurniaan Allah yang maha pemurah - InsyaAllah kita akan diberi petunjuk olehNya - Allah berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman, sabarlah dan lawanlah hawa nafsu dan teruskanlah perjuangan itu dengan gagah". Kalian! Tersebut akan nafsu, saya teringat kepada kata-kata Imam AlGhazali; "Dan ketahui pulalah, bahawa lidah yang lepas dan hati yang tertutup dan penuh dengan kelalaian dan keinginan yang rendah-rendah itu alamat kemalangan besar. Jika nafsu itu tidak engkau kalahkan dengan jihad yang bersungguh sungguh maka sekali kali hati kamu tidak akan hidup dengan Nur ma'rifat".(1) Allah berfirman; "Dan adapun orang-orang yang merasa takut terhadap kedudukan Tuhannya dan ditahannya nafsunya dari keinginan yang rendah-rendah, maka sesungguhnya syurgalah tempat diamnya", (An-Naziat, A. 40-41). Dan "Orang-orang yang takutnya hanya kepada Allah akan mendapat dua kebahagian" (Al-Rahman, A.46). Tetapi Iman dan jiwa kita memang mudah terganggu, mudah ternoda. Nafsu kita jelas mempengaruhi kita - Astaghfirullah. Ya Allah ya tuhan kami, bukakanlah hati kami dan hati sekalian keturunan kami sebagai hati wali-wali Allah, yang tidak merasai takut dan gentar terhadap hal-hal kedunian. Bimbingkankah hati kami supaya cinta kepada Akhirat dan benci kepada 'Dunia', dan tunjukkanlah kami ilmu ibadat dan jalan memisahkan hati dari dunia untuk beribadat kepada Mu. Ya Allah ya rabbi, lindungilah diri kami dari godaan nafsu dan godaan syaitan. _________________________________________________________________ (1) - Dari Risalah AlGhazali 'Aljawaher AlGhazali'. Anak-anak tersayang, putera puteriku, Munkin kalian tertanya tanya akan apa yang saya fahamkan dengan 'Dunia'. Sengaja saya bawa berbincang tentang ini agar kalian tidak nanti akan keliru bila diseru untuk membenci 'Dunia'. Pengertian 'Dunia' dalam kehidupan orang-orang beriman dan bertaqwa ialah: Pertama, dunia yang membawa kepada akhirat iaitu dunia uyang disebut di dalam hadith Rasullullah sebagai 'Dunia yang menyampaikan kita menuju akhirat'. Dan kedua, dunia semata- mata untuk dunia. Adapun dunia yang dianjurkan supaya dibenci, tentulah dunia yang semata-mata untuk dunia, iaitu dunia yang tidak ada sedikit pun guna dan persangkutan dengan jalan kesempurnaan akhirat.(2) Demikian juga Islam tidak suka kepada 'Monachism' (iaitu satu cara hidup zahid yang menolk segala keenakkan hidup, hanya beribadat sahaja tanpa memperdulikan perkara-perkara lain) dan menolaknya sama sekali, kerana Islam berpendapat tidak ada jalan untuk ketinggian rohani manusia diluar daripada kehidupan masyarakat, tetapi di dalamnya.(3) Pada sebahagian dari kalian, pernah saya bercerita akan seorang puteri sufi, puteri Baghdad yang masyhur, Rabiatul AlAdawiah; Beliau pernah menggambarkan bentuk cinta (kepada Allah) yang di manifestasikan dalam seluruh kehidupan dalam syair-syairnya. _________________________________________________________________ (2) - Dari Risalah AlGhazali 'Aljauher AlGhazali'. (3) - Abu A'la AlMaududi 'Nizom Alhayat Fi AlIslam'. Maka saya petik ini dari satu tulisan Mohammad Ridhwan Ibrahim Lubis(4), untuk renungan kalian semua: Aku tidak mengabdi kepada Mu kerana takut akan ancaman neraka Mu bukan pula mengharap syurga Mu seperti penyewa yang mengharapkan upah, tapi aku mengabdi, beribadat kerana cinta dan rindu pada Mu. Betapa lazatnya hidup yang dirasakan olih Rabiatul AlAdawiah; dalam ibadatnya ia tenggelam di lubuk cinta dan kasih mesra, rindu berjumpa dengan Tuhannya, sehingga seluruh ibadatnya tidak lagi kerana takut akan ancaman Allah, bukan pula kerana mengharap balasan syurga, tetapi kerana rindu dan cinta kepada Tuhannya. Sebenarnya anak-anak tersayang, yang saya hurmati; Bijaklah orang itu yang mahu merenung sebentar selepas tiap-tiap sembahyang subuh memikirkan hal dirinya dan berkata kepada jiwanya: "Wahai jiwaku, engkau hanya hidup sekali. Tiap-tiap saat yang berlalu tidak akan datang lagi dan tidak akan dapat diambil kembali kerana di hadhrat Allah, bilangan nafas turun naik yang dikurniakan kepada engkau itu telah ditetapkan dan tidak boleh ditambah lagi. Inilah perjalanan hidup dalam dunia hanya sekali, tidak ada kali yang kedua dan seterusnya. Olih itu apa yang engkau hendak buat, buatlah sekarang. Anggaplah seolah olah _________________________________________________________________ (4) - Panggilan Azan. hidup mu telah berakhir, dan hari ini adalah hari tambahan yang diberi kepada engkau dengan kurnia Allah jua. Alangkah ruginya membiarkan hari ini berlalu dengan sia-sia. Tidak ada yang lebih rugi dari itu lagi.(5) Ketahuilah anak-anak yang saya kasihi; Tiap tiap yang hidup pasti akan mati, melalui alam menuju keabdian. Di kala itu aku tidak akan berharap mendapatkan taburan seguni bunga-bunga harum diatas pusaraku, tetapi sehendaknya Roh ku akan terus diiringi bidadari masuk kesyurga. Ya Allah ya tuhan kami, berilah kami kebaikkan di dunia dan di akhirat. Kalian, Semasa terbujur kaku berkapan putih jasad kita menanti kerandanya diusung saudara taulan, tiga perkara yang pasti akan bersama menemani kita ke persemadian yang kekal abadi; Pertama ialah saudara mara sahabat handai, Kedua, harta kekayaan, dan yang Ketiga ialah amalan, walau dalam bentuk apa jua ia nya. Dan ketahuilah bahawa hanya satu di antaranya akan kekal bersemadi bersama kita buat bekal di hari depan. Itulah amal dalam apa jua bentuk dan nilainya - sehendak hendaknya amal yang soleh. Yang selebihnya akan kembali meninggalkan kita bersendirian. Perhatikanlah sebahagian dari hikayat yang diceritakan olih Imam AlGhazali, maka saya petik akan apa yang hanya perlu untuk kalian _________________________________________________________________ (5) - Imam AlGhazali 'Kimia Assaadat'. mengetahuinya........Tiap-tiap mereka (makhluk) mempunyai kekasih dan kecintaan tempat hatinya tertambat. Sebahagian dari kekasihnya itu hanya menemaninya sampai kepada sakit yang membawa mati dan yang sebahagian lagi sampai ketepi kubur. Sesudah itu kesemuanya kembali dan meninggalkanya terbaring seorang diri, tak seorang jua pun yang masuk bersama-sama dengan dia kedalam kuburnya.....Kekasih yang seutama-utamanya ialah yang menyertainya masuk kedalam kubur dan menghiburkannya di dalamnya. Yang demikian tak ku dapati selain dari amal yang soleh. Sebab itu maka aku ambillah ia menjadi kekasih ku, supaya ia kelak menjadi pelita di dalam kubur ku menghiburkan dan tidak meninggalkan daku seorang diri.(6) Kalian yang tercinta, Kita dianjurkan supaya sentiasa mengingati kepada mati dan bersedia untuk itu. Sabda Rasullullah s.a.w., 'Banyakkan olih kamu akan menyebut yang memutuskan segala kesedapan dan keenakkan iaitu mati'. Dan bahawasanya alamat bagi orang yang sentiasa mendapat pertunjuk dari Allah itu ialah tiada lalai ia daripada mengingati mati dan bersedia ia pada pagi dan petang dengan taubat dan amal yang baik. Jika ia hidup sampai petang maka bersyukur ia akan Allah taala atas taatnya dan jika ia hidup pada malam sampai paginya maka bersukacita ia dengan tiada kosong malamnya daripada amal yang soleh. 'Mati' orang-orang begini adalah tuah baginya dan 'Hidup' itu akan bertambah kebajikannya. _________________________________________________________________ (6) - Dari Risalah AlGhazali. Saudara saudari yang saya hurmati, Semoga Allah memberi kalian dan diri saya kebahgiaan yang maha tinggi yang ingin dicapai olih manusia, menjadikan kita orang yang dipilihnya untuk naik kedarjat yang paling tinggi dan sentiasa mensyukurkan NYA pada segala gerak dan diam berkhidmat akan Tuhan Ilahilmanan. Akhir kata saya doakan moga-moga satu hari nanti, kalian semua akan dikurniakan Allah sepenuh kejayaan dalam apa yang kalian harapkan selama ini. Semoga tulisan ini akan mendapat Ridha Allah, bermanfaat bagi kita semua - InsyaAllah. Cukuplah Allah menjadi penolong bagi kami dan Allah adalah sebaik baiknya sebagai pelindung. Segala puji bagi Allah pada permulaan dan penghabisan, pada zahir dan batin. Yang fakir lagi mukhlis, Nik Mohamed Abdulmajid. Kubang Kerian, Kota Bharu. September 1978. ____________________________