[Main]     [Information]    [Email]    [Links]     [Goodies]    [Contact]

 

Abdul Rahim Kajai

Abdul Rahim Kajai sehingga kini masih merupakan satu enigma. Beliau sering dikaitkan dengan dunia persuratkhabaran. Beliau adalah antara wartawan yang dikenali oleh pembaca dalam tahun 1930-an. Kajai yang mula menceburkan diri dalam dunia kewartawaanan Melayu pada Mac 1930 sebagai penolong pengarang Saudara, kemudian berkhidmat dengan beberapa akhbar lain seperti Majlis, Warta Malaya dan cabangnya Warta Ahad dan Warta Jenaka, serta Utusan Malaya dan cabangnya Utusan Zaman dan Mastika

Menurut sahabat-sahabat seangkatan dengannya iaitu, Onn Jaafar, Othman Kalam, Ahmad Noor Abdul Shukur dan Syed Alwi Al-Hadi (lihat lampiran 1), Kajai adalah seorang wartawan yang mashyur dan mendapat tempat utama serta digelar sebagai "Bapa Wartawan Melayu" di kalangan wartawan-wartawan Melayu dalam tahun-tahun 1930-an. Di antara ruangan yang ditulis oleh Kajai yang diminati mereka ialah ruangan rencana pengarang. Ruangan ini banyak mengandungi pengajaran-pengajaran dan kata-kata yang bersemangat untuk memajukan bangsa Melayu. Mengikut pendapat Haji Mohd Yusuf Ahmad, sekiranya beliau menjadi pengurus suratkhabar dalam tahun-tahun 1930-an, Kajailah yang dipilih menjadi pengarangnya kerana beliau mempunyai kebolehan menggunakan bahasa Melayu yang baik dan pandai memikat hati pembaca ketika itu .

Riwayat Hidup Abdul Rahim Kajai

Kajai dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur pada tahun 1894. Beliau terkenal di kalangan orang banyak atau melalui karya-karya penulisannya dengan nama Abdul Rahim Kajai dan yang ringkas sekali, Kajai. Bapa Abdul Rahim Kajai, Salim Kajai berasal dari Kampumg Kajai Minangkabau, Sumatera. Sempena dengan nama kampung tersebut, ayah beliau yang bernama Salim dipanggil Salim Kajai. Ayah Kajai datang dari keluarga yaag agak mewah dan mempuyai pegangan agama Islam yang kuat (lihat lampiran 1).

Kajai dipelihara dengan baik oleh ibu dan neneknya hingga mendapat pendidikan yang sempurna. Kajai dihantar belajar ke Sekolah Melayu Setapak, pada tahun 1900. Beliau merupakan seorang budak yang cergas apabila dipilih untuk melanjutkan pelajaran dengan percuma di Sekolah Inggeris, tetapi ibu bapanya menolak tawaran itu kerana mereka tidak mahu sama sekali Kajai berpendidikan Inggeris. Sebaliknya mereka menghantar Kajai belajar agama di Mekah selama tiga tahun setelah tamat darjah lima sekolah Melayu Setapak pada tahun 1906.[1]

Kajai diberi asuhan dan didikan agama Islam kerana keluarga Kajai sangat taat kepada ajaran Islam. Tetapi hatinya sangat berhajat untuik meneruskan pelajarannya ke Sekolah Inggeris. Ini terbukti apabila beliau sanggup belajar sendiri bahasa Inggeris setelah tiadak berpeluang melanjutkan pelajaran ke sekolah Inggeris.

Setelah kembali dari Mekah pada tahun 1909, Kajai bekerja sebagai penjilid dan kemudiannya menjadi pengatur huruf Melayu di pejabat cap kerajaan di Kuala Lumpur selama tiga setengah tahun. Pada tahun 1912-1913, beliau pergi ke Singapura untuk bekerja sebagai pengantar huruf Inggeris di syarikat Malaya Publishing House.

Atas dorongan untuk meningkatkan kerjayanya, Kajai berhenti setelah beberapa bulan dan pada awal 1913, Kajai kembali ke Kuala Lumpur dan menjadi pelukis pelatih di sebuah pejabat jurutera bangunan. Kemudian, beliau bekerja dengan kerajaan sebagai pelukis sementara di jabatan ukur Kuala Lumpur untuk beberapa bulan.[2]

Apabila bapanya meninggal dunia padatahun 1913, Kajai terpakasa berhenti kerja dan pergi ke Mekah untuk menjaga adik perempuannnya, Maryam. Kajai juga meneruskan pekerjaan bapanya sebagai Sheikh Haji di Mekah. Selepas Perang Dunia pertama, Kajai kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1917 ketika berusia 23 tahun dan beliau tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Ketika usianya 26 tahun (1919/1920), beliau mula meminati bidang kewartawanan. Beliau pernah menyumbangkan rencana-rencana berkenaan sosial dan agama serta berita di dalam Utusan Melayu dan Lembaga Melayu. Di antara guru-guru ilmu kewartawanan Kajai ialah Mohd. Yunus Abd. Hamid dan Syed Syekh Ahmad Al-Hadi.

Pada tahun 1920, Kajai pergi ke Mekah untuk menguruskan hal-hal perniagaan dan pekerjaan Sheikh Haji serta hal-hal persendiriannya. Di samping itu, Kajai juga menjadi wakil wartawan bagi suratkahbar migguan Idaran Zaman yang mula diterbitkan di Pualu Pinang pada Januari 1925. Kajai telah menyumbangkan berita-berita yang menarik dari Mekah lebih kurang tiga tahun sehingga 1927. Pada tahun 1928, Kajai dan keluarganya terpaksa kembali ke Tanah Melayu kerana kematian ibunya di Setapak.

Kajai mula bertugas sebagai penolong pengarang akhbar Saudara pada Mac 1930. Selepas berhenti berkhidmat dengan Saudara, Kajai memegang jawatan sebagai pengarang di akhbar Majlis yang bermula penerbitannya pada 17 Disember 1931 di Kuala lumpur. Pada 1 Februari 1935, beliau memegang jawatan sebagai wakil akhbar Warta Malaya di Kuala Lumpur. Seterusnya pada 7 disember 1936, Kajai dilantik menjadi pengarang Warta Malaya di Singapura. Kajai merupakan seorang wartawan yang mendapat gaji yang paling tinggi sekali ketika berkhidmat dengan Warta Malaya.

Di antara wartawan yang mendapat asuhan Kajai dalam bidang kewartawanan ialah Ramle Hj. Tahir, A. Samad Ahmad dan Ibrahim Hj. Yaakub di Majlis serta Zainal Abidin b. Hj. Ahmad, Mohd Dahlan Mas'od, Syed Abdullah Abd. Hamid dan Ishak Hj. Muhammad di Warta Malaya.

Di samping bekerja sebagai wartawan, Kajai juga melibatakan diri dalam kegiatan-kegiatan sukarela. Semasa menjadi wakil khas Warta Malaya, Kajai dilantik menjadi ahli kehormat "Persidangan Melayu Setapak" yang diketuai Muhamad Zakariah. Kajai tidak ketinggalan melibatkan diri dalam kegiatan keagamaan dan pernah dilantik menjadi ahli jawatankuasa masjid Setapak.

Kajai berhenti secara rasmi dari menjadi pengarang Warta Malaya dan terus berkhidmat sebagai pengarang dengan Utusan Melayu, iaitu sebuah akhbar yang dimodali dan dimiliki oleh 'orang Melayu jati' pada bulan Ogos 1939. Tidak berapa lama kemudian Kajai telah diberi tanggungjawab mengetuai sidang pengarang syarikat Utusan Melayu.

Pada bulan Mac 1941, Haji Othman Abdulah, Kajai dan Haji Dahlan Mas'ud telah bersetuju menerbitkan akhbar yang dinamakan "Perubahan Baharu" atas nasihat Jepun. Kajai juga diminta oleh pihak Jepun untuk bertugas sebagai pengarang akhbar "Berita Malaya" pada 1 Januari 1943. Pada bulan Julai 1943, Kajai diserang penyakit dan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 5 Disember 1943, iaitu setelah lima bulan menderita dalam kesakitan

 

Sumbangan Kajai Dalam Dunia Persuratan Melayu

5.1. Akhbar Saudara (1930-1931)

Pada permulaannya, Kajai telah menulis rencana yang berhubung dengan ekonomi orang Melayu. Kebolehan Kajai dalam bidang kewartawanan telah memberi keyakinan kepada penerbitnya menyerahkan tugas pengarang saudara yang dikosongkan oleh Mohd Yunus Hamid kepada Kajai pada 30 Ogos 1930. Di antara tugas penting Kajai ialah menulis rencana pengarang dan menyunting Saudara. Di dalam ruangan pengarang, Kajai banyak menulis tentang pembaharuan agama Islam mengikut fahaman Kaum Muda.[3] Walaupun perkara tentang keugamaan lebih diutamakan, tetapi perkara-perkara yang berhubung dengan orang-orang Melayu seperti pelajaran, poitik dan ekonomi turut dibincangkan.

Kajai telah menggunakan rencana-rencana dan ruangan rencana pengarang untuk mengemukakan pandangannya terhadap kemajuan bangsa Melayu. Bagi Kajai, rencana-rencana pengarang yang bersemangat sangatlah penting unutk menaikkan semangat pembaca. Di samping itu, beliau berkata:

…di mana kepala rencana sebolehnya-bolehnya dirupakan dan dijadikan suatu letupan yang terlalu hebat supaya menarik dan membangkitkan hati pembacanya.[4]

Di antara rencana pengarang yang ditulis oleh Kajai ialah "Jinjang Penghidupan Kita" (27 Disember 1930) yang menggalakkan orang Melayu bercucuk tanam. Begitu juga Kajai turut membincangkan tentang peri pentingnya pelajaran Inggeris seperti pada keluaran 7 Mac 1931 di bawah tajuk "Pelajaran Inggeris di Sekolah Melayu" dan "Rintisan Fikiran Atas Perjalanan Pelajaran Anak-anak Melayu di Sekolah Melayu" (21 Mac 1931)

 Kajai turut membincangkan tentang penglibatan politik di Tanah Melayu ketika itu. Umpamanya ruangan rencana pengarang keluaran 18 april 1931, yang bertajuk "Orang-orang Melayu Denagn Tanahair Watan Datuk Nenek Moyangnya", membincangkan keadaan Tanah Melayu ketika itu di mana orang asing asyik menuntut haknya di Tanah Melayu. Begitu juga tajuk-tajuk yang berhubung dengan politik turut dibincangkan oleh Kajai seperi "Perhimpunan Besar Kongres Malaya" (25 April 1931) , "Adakah Kebangsaan Melayu Itu bersemangat lagi?" (9 Mei 1931) dan lain-lain (lihat lampiran 3).

Kajai turut memainkan peranan penting mengkritik akhbar-akhbar yang wujud ketika itu seperti Lidah Benar,[5] berhubung dengan masalah amalan agama Islam tentang 'taklid'. Semasa berkhidmat denga akhbar Saudara, beliau telah menulis tidak kurang lima buah rencana yang berhubung dengan sosioekonomi orang Melayu di bawah tajuk "Pemandangan di Atas Kemunduran Melayu" pada keluaran 1, 19, 26 April dan 3 Mei 1930.

5.2. Akhbar Majlis (1931-935)

Di samping menulis di dalam ruangan rencana pengarang, Kajai turut juga menulis ruangan kecil di setiap keluaran Majlis di bawah tajuk "Macam-macam" dengan menggunakan nama samarannya si Luncai. Di dalam ruangan rencana pengarang, Kajai menulis tentang persoalan-persoalan yang berhubung dengan kemajuan orang Melayu. Ruangan tersebut banyak memberi pandangan dan teguran kepada pemerintah Inggeris   supaya orang Melayu diberikan perhatian yang sewajarnya. Kali ini Kajai menitik-beratkan tentang keraguannya terhadap orang -orang asing di Tanah Melayu, baik dari segi bilangan mahupun tuntutan mereka. Ini terdapat di dalam ruangan rencana pengarang seperti, "Seruan Kita Kepada Anak-anak Melayu, Hendaklan Sabar, Tekun, Setia dan Amanah Lain-lain Lagi Wajib Memandang Lebih jauh" (11 April 1932), dan "Benih Pecah Belah Subur, Melayu Dagang Dicemburui, Peluang Bangsa Melayu Semakin Terbuak", (17 November 932).

Berhubung dengan kepentingan oarng Melayu, Kajai lebih membincangkan tentang ekonomi dan politik orang Melayu supaya mereka lebih maju dan bersatu untuk menandingi bangsa-bangsa asing seperti dalam rencana "Orang Melayu Jangan Membuang Baka, Persekutuan Melayu Am Wajib Diadakan", (8 September 1932) dan "Mari Bersatu", (12 Jun 1933) Kajai turut memainkan peranan yang penting di dalamn menyumbangkan idea-idea seperti yang telah dibincangkan di dalam Majlis Mesyuarat Persekutuan berhubung dengan kepentingan orang Melayu.

Masalah kepentingan pelajaran, bahasa Melayu amalan agama Islam dan mengikiskan adat-adat yang lapuk, turut juga dibincangkan oleh Kajai. Ini seperti yang terdapat di bawah tajuk, "Bahasa Melayu Tidak Berharga" (11 Januari 1932), "Anak Melayu dengan Pelajaran Inggeris" (21 November 1932) dan "Urusan Agama Mesti Diratakan Lagi" (26September 1932) .Peristiwa-peristiwa penting yang berlaku demi untuk kepentingan orang Melayu turut dibincangkan oleh Kajai seperti masalah desentralisasi, tanah simpanan Melayu, pertentangan idea kaum muda dengan kaum tua, masalah kemelesetan ekonomi (1931-1932) dan sebagainya (lihat lampiran 7).

5.3. Syarikat Akhbar Warta Malaya (1935-1939)

Di ruangan rencana pengarang, Kajai tetap mengingatkan orang-orang Melayu tentang bahaya-bahaya orang asing. Masalah masyarakat Melayu tentang pelajaran, ekonomi, bahasa dan pergerakan poitik turut juga dibincangkan oleh Kajai. Di antaranya ialah "Belia-belia Melayu yang Berpelajaran" (26 Disember 1936), "Peraturan Melayu Pahang" (2 Mac 1938) dan "Takrif Bahasa Melayu".

Kajai juga turut membincangkan rencana-rencana yang berhubung dengan pergolakan politik dan peperangan di luar negeri. Di antara rencana-rencana beliau ialah "Cina bersungguh-sungguh Negeri-negeri Domakrat Berteguh" (4 Mei 1939) , "Perubahan Baru bagi Dunia Arab" (25 Mei 1939) dan sebagainya (lihat lampiran 5)

5.4. Syarikat Akhbar Utusan Melayu ( 1939-194)

Kali ini Kajai banyak membincangkan dan memberi nasihat kepada orang-orang Melayu supaya berhati-hati dengan orang-orang Islam yang bukan dari keturunan Melayu. Di antara yang ditulis oleh Kajai dalam ruangan rencana pengarang  ialah, "Matahari Takrif Melayu", (1 Jun 1940) dan "Siapa Yang Berkata Melayu  Malas", (10 Ogos 1940).

Di samping itu, Kajai lebih mengingatkan orang-orang Melayu supaya bekerja keras dan berhati-hati demi untuk mencapai kejayaan. Di antaranya ialah rencana pengarang yang bertajuk "Bahasa Melayu" 917 Disember 1939) dan "Cemburulah Kepada Derma Pelajaran", 9-10 Mac 1940).

 

Cara dan Gaya Kajai Dalam Penulisan Rencana dan Rencana Pengarang

Semasa Kajai melibatkan diri dalam kewartawanan, beliau mempunyai pengalaman dan kebolehan menulis berita, rencana, rencana pengarang, ulasan ringkas, puisi dan cerpen. Kebolehan Kajai ini sukar ditandingi oleh wartawan-wartawan sekarang dan sezaman dengannya. Sejak beliau menceburkan diri dalam dunia kewartawanan, dalam jangka masa yang singkat sahaja beliau telah diberi kepercayaan oleh majikannya untuk mengetuai sidang pengarang.

Kajai bolehlah dikatakan sebagai seorang penulis rencana pengarang dan rencana yang berkaliber serta diminati ramai. Kajai lebih banyak menulis dalam ruangan rencana pengarang daripada rencana. Kebanyakan rencana-rencana yang ditulis olehnya ialah tentang perkara-perkara yang berlaku di Tanah Melayu dan sedikit-sebanyak tentang hal berkaitan luar negeri. Melalui rencana-rencana ini, Kajai cuba membuat pembelaan dan kritikan demi untuk kepentingan bangsa Melayu, dengan membuat teguran-teguarn membina terhadap dasar kerajaan Inggeris dan memberikan kesedaran di kalangan masyarakat Melayu.

Tidak kurang sembilan puluh peratus rencana dan rencana pengarang Kajai membincangkan tentang perkara-perkara yang berhubung dengan orang Melayu. Semasa beliau bekerja dengan Saudara, Kajai telah menulis sebanyak 45 daripada 50 buah rencana pengarang (lihat lampiran 3,4,5) yang membincangkan tentang perkara-perkara yang berhubung dengan orang Melayu.

Kajai adalah antara wartawan Melayu yang menggunakan teknik penulisan yang baik. Beliau dapat menyesuaikan diri dan menimbulkan minat kepada pembaca ketika itu terutama sekali dalam ruangan rencana pengarang dan rencana, begitu juga dengan penyampaian dan maksudnya yang mudah difahami oleh pembaca. Untuk menyedapkan penulisannya, Kajai kerap menggunakan bunga-bunga bahasa yang menarik seperti peribahasa dan kata-kata bidalan. Kadang-kadang beliau menggunakan perkataan Inggeris dan Arab. Gaya bahasa Arab yang digunakannya itu sesuai dan diterima oleh masyarakat di zamannya.

Kajai lebih berminat menulis rencana-rencana yang bercorak penjelasan dan penghujahan. Melalui corak ini, Kajai ingin bertindak sebagai seorang pemimpin atau seorang guru yang inginkan perubahan dan memperjuangkan cita-citanya untuk menyatupadukan dan membela nasib bangsa Melayu. Untuk membuktikan hujah-hujahnya, Kajai sentiasa menggunakan sumber-sumber sezaman yang terbaru seperti perangkaan, laporan dan dasar kerajaan.

Mengikut Haji Mohammad Salleh Haji Awang (Misbaha)[6], Kajai ialah seorang wartawan yang dapat menyesuaikan diri dengan selera pembaca-pembaca akhbar Melayu. Penyampaiannya mudah difahami manakala ayat yang digunakan mudah 'ditangkap'. Saranan-saranannya menjadi buah mulut di kalangan wartawan-wartwan dan pembaca-pembaca ketika itu. Kejujuran dan keberanian Kajai dalam sesautu perbahasan menyebabkan beliau diminati ramai. Walaupun Kajai suka mengkritik, tetapi beliau tidaklah melulu, sebaliknya beliau akan menerangkan maksud kritikannya supaya difahami oleh pembaca-pembaca.

Kajai adalah wartawan yang amat berhati-hati di dalam penulisannya. Walaupun Kajai mempunyai hasrat hati menyatakan sesuatu kepada pembaca, tetapi beliau akan menggunakan ungkapan-ungkapan yang kononnya tidak datang darinya. Di antaranya ialah ungkapan-ungkapan seperti untuk perbincangan sahaja; tidak akan haram disebut; pada pemandangan orang-orang Melayu; pada pemandangan kita; menurut pengetahuan kita dan sebagainya.

 

7. Penulisan Cerpen

Dalam bidang cerpen, Kajai dapatlah dianggap sebagai seorang cerpenis yang produktif. Cerpennya yang pertama ditulis pada 7 September 1936 dalam Warta Jenaka, melalui ruangan "Cetra Kita", bertajuk "Awang Budiman". Seterusnya Kajai telah berjaya menghasilkan tidak kurang 48 buah cerpen yang dimuatkan dalam akhbar dan majalah yang dikendalikannya. Di dalam Warta Jenaka, Kajai telah menghasilkan tidak kurang daripada 43 buah cerpen, dan dalam Warta Malaya pula, dua buah cerpen, dalam Utusan Zaman, 8 buah cerpen dan dalam majalah Mastika sebanyak empat buah cerpen.

Kajai boleh disifatkan sebagai seorang penulis cerpen yang tekun. Beliau menulis cerpen terus-menerus tanpa membuat persiapan terlebih dahulu. Di samping itu, beliau dapat mereka cerita-cerita yang menarik dan menghiburkan hati pembacanya. Cerpen-cerpen Kajai ini telah memberikan jasa yang besar kepada pengkaji-pengkaji atau peminat-peminat sastera untuk memahami sejarah dan kemasyarakatan Melayu di tahun 1930-an.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

8. Pemikiran Kajai Bagi Memajukan Bahasa Melayu.  

Sebagai seorang pengarang, Kajai tidak lupa memberi perhatian yang serius di dalam ruangan rencana pengarang akhbarnya untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu kepada semua pihak di samping meninggikan imej dan tarafnya. Pemikiran beliau terhadap perkembangan bahasa Melayu sangatlah serius dan beliau terlalu bimbang jika bahasa Melayu merosot penggunaannyan.  Beliau mengharapkan agar bahasa Melayu dijaga dengan rapinya dan diubahsuaikan mengikut keperluan penggunaannya.

Kajai merasakan bahawa hidupnya sesuatu bangsa itu adalah bergantung kepada hidup bahasanya sebagaimana kata pepatah,  'Bahasa menunjukkan bangsa'. Bagi Kajai, sesuatu bangsa yang bermaruah biasanya mempertahankan bahasanya dari binasa dan sedaya upaya akan menokok dan memperkayakan bahasanya. Dengan cara ini seseorang itu bolehlah menggunakan bahasanya untuk mengarang apa jua karangan yang sesuai mengikut kehendak zaman. Untuk meninggikan mutu bahasa Melayu, Kajai mengharapkan agar bahasa Melayu mempunyai kaedah ejaan yang tetap dan mengambil kalimah-kalimah dari bahasa lain, asalkan ia diterima ramai.

Kajai sungguh mengambil berat tentang penggunaan bahasa Melayu. Bagi Kajai, walaupun bahasa Melayu tidak begitu terkenal di dunia ketika itu, tetapi bahasa Melayu bolehlah dimajukan secara beransur-ansur. Orang Melayu hendaklah mendidik anak-anaknya sejak dari kecil supaya mereka mempunyai sikap ingin menggunakan bahasa Melayu di masa akan datang.

Kajai adalah di antara wartawan yang telah mencipta perkataan baru atau mengambil dari perkataan Inggeris untuk digunakan di dalam bahasa Melayu di tahun-tahun 1930-an, seperti radio (tetuang udara); basikal (kereta lereng) dan sebagainya. Di samping itu, beliau telah dilantik menjadi ahli kehormat Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Di Raja johor, bagi membincangkan masalah bahasa Melayu di penghujung tahun 1930-an.

Kajai juga merupakan seorang yang suka mempertahankan bahasa Melayu tulisan jawi.   Beliau inginkan tulisan Jawi digunakan sebagai ejaan rasmi bahasa Melayu. Kajai berpendapat bahawa penduduk Tanah Melayu sesuai menggunakan tulisan Jawi sahaja sebab tulisan ini telah terkenal dan digunakan oleh orang Melayu sebelum kedatangan orang Inggeris.

Kajai berasa khuatir tentang dasar kerajaan Inggeris yang ingin menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi mendapat sanggahan dan tentangan dari semua pihak terutama sekali orang bukan Melayu di Negeri-negeri Selat. Bagi Kajai, bahasa Melayu boleh dijadikan bahasa perhubungan di kalangan bangsa ynag berada di Tanah Melayu. Kajai menyeru orang Melayu supaya meminta Kerajaan Inggeris meluaskan pengguanan bahasa Melayu. Bagi Kajai di antara jalan untuk menghidupkan orang Melayu ialah dengan meluaskan penggunaannya dengan disokong oleh Kerajaan Inggeris. Kerajan Inggeris pula hendaklah memulakan penggunaan bahasa Melayu di pejabat-pejabat kerajaan.   

 

Kesimpulan

Kegigihan Abdul Rahim Kajai dalam memperdalamkan ilmu pengetahuan serta memberi sumbangan ke arah kemajuan serta perkembangan bangsa dan bahasa Melayu memang tidak dapat disangkal lagi. Ini telah beliau lakukan dalam bidang persuratan yang memang berkait rapat dengan bidang bahasa . Oleh itu tidaklah hairanlah beliau layak digelar sebagai "Bapa Wartawan Melayu' oleh para pengkagum dan pengkritiknya. Tulisannya dalam akhbar-akhbar serta majalah-majalah banyak memberi aspirasi dan motivasi kepada sesiapa jua yang membaca dan menghayatinya. Lantaran itu,  wajarlah generasi kemudian mengenang perit jerih pejuang yang telah menjadi kebanggaan bangsa Melayu pada awal kurun ke-20 ini  dengan menghayati serta menjiwai sejarah perjuangan beliau..

Ratusan rencana, artikel, cerpen dan buku yang diilhamkan oleh beliau membuktikan kesungguhan dan minat yang mendalam serta tidak mengenal erti penat lelah dalam menyampaikan berita-berita serta gagasan-gagasan yang amat bermakna kepada seluruh masyarakat. Kekuatan isinya, kebernasan ideanya seta kemantapan gaya bahasanya sering menjadi kegilaan di kalangan pemujanya dan oleh yang demikian tidak hairanlah dalam usia yang begitu muda, beliau sudah dapat memegang tampuk jawatan yang dimimpikan oleh setiap insan yang terjun dalam bidang kewartawanan.

Pemikiran dan tulisannya bukan setakat diterima oleh kalangan bangsanya malahan pihak Jepun dan Inggeris juga menyanjungi akan kedudukan beliau serta sentiasa merujuk kepadanya apabila mengambil keputusan yang berkait dengan bangsa dan bahasa Melayu. Usaha beliau yang tidak berputusan untuk mendapatkan pengiktirafan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama amat besar harganya. Pemergiannya yang kini telah berusia setengah abad bagaikan menjadi satu nostalgia yang tidak dapat dilupakan oleh semua.

 

Senarai Karya Abdul Rahim Kajai

Rencana Pengarang Saudara

 

1.       "Kemuslihatan Melayu", 30 Ogos 1930, m/s3

2.       "Bagaimanakah Kebenaran Itu Diterima di Semenanjung", 6 September 1930, m/s 3

3.       "Iktilaf Riwayat Balik Pulau", 13 September 1930, m/s 5

4.       "Kehasilan Persidangan Ahli al-Sunnah Waljamaah di Balik Pulau", 20 September 1930, m/s   3

5.       "Bagaimana Kebenaran Itu Ditolak di Semenanjung", Saudara,27 September 1930,m/s 3

6.       "Kelemahan pengertian Kita", Saudara, 4 Oktiber 1930, m/s  3

7.       "Pencanai Otak" 4 Oktober 1930, m/s 5

8.       "Perusahaan Padi di Semenanjung", 18 Oktober 1930,m/s 5

9.       "Kemalangna dan Kesempitan Kaum Islam", 25 Oktober 1930, m/s 5

10.  "Perangai atau Tabiat Alam", 1 November 1930, m/sn 5

11.  "Persidangan atau Perbahasan di Antara Kitab Allah dan Sunnah Rasulnya Dengan Kitab Ulama dan Fahamnya", 8 November 9130, m/s 5

12.  "Pelajaran Anak-anak Melayu dan Adakah Anak-anak Melayu Berhajat Kepada Pelajaran Agama?", 15 November 1930, m/s 5

13.  "Tuduhan Ahli-ahli Pesona Kerana Menipu Orang yang Awam", 22 November 1930, m/sn 5

14.  "Persidangan atau Perbahasan di Antara Al-Quran dan Al-Hadis Dengan Kitab Ulama dan Fikirannya", 29 November 1930, m/s 5

15.  "Ke Pucuk Ruan Imam Kaum Tua Bertaklik ke Mekah Berkurangan", 6 Disember 1930,m/s 5

16.  "Di Sebelah Manakah Pihak yang Benar?" Dan Sekiranya…", 13 Disember 1930, m/s 5

17.  "Haluan Anak-anak Melayu Dengan Pelajaran", 20 Disember 1930,m/s 5

18.  "Jinjang Penghidupan Kita", 27 Disember 1930,m/s 5

19.  "Ulama Taklik Main Silap Mata", 3 Januari 1931

20.  "Peraturan berbahas di Dalam Persidangan", 17 Januari 1931,m/s 5

21.  "Lidah Sendiri Terkunyah Tak Sedar", 24 januari 1931,m/s 5

22.  "Cerca Nista Maki dan Hamun atau Menghina", Saudara, 31 januari 1931, m/s 5

23.  "Tokok Tambah", 7 februari 1931, m/s 5

24.  "Pajak Gadai", 27 jun 1931, m/s 5

25.  "Kita Mencari Kehidupan Bukan Permusuhan", 4 Julai 1931, m/s5

26.  "Persatuan Melayu Selangor", 11 Julai 1931, m/s 5

27.  "Kelantan Dengan Kemajuannya", 18 Julai 1931, m/s 5

28.  "Peranakan Arab Dengan Settlement Melayu Singapura", 25 Julai 1931, m/s 5

29.  "Hadiah $500/-", 1 Ogos  1931, m/s 5

30.  "Hendak Hidup atau Hendak Mati?", 8 Ogos 1931, m/s 5

31.  "Malay Student Society (London Cawanagn di Malaya)", 15 Ogos 1931, m/s 5

32.  "Kongres Melayu Dengan Warta Malaya", saudara, 22 Ogos 1931, m/sn 5

33.  "Ucapan Yang Terutama Tuan Gabenor Bagi Perubahan Peraturan Pemerintahan kerajaan Negeri-negeri Melayu", 29 Ogos 1931, m/s 5

 

10.4. LAMPIRAN 4

Rencana Pengarang Majlis

 

1.       "Menyusun Jari Menghadap Pembaca-pembacanya", 17 Disember 1931,m/s 1

2.       "Anak-anak Negeri atau Orang Melayu", 14 februari 1931, m/s 1

3.       "Kebahagian Melayu Pulau Pinang", 28 Februari 1931 m/s 1

4.       "Pelajaran Inggeris di Sekolah Melayu", 7 Mac 1931 m/s 1

5.       "Pelajaran Inggeris di Dalam Sekolah-sekolah Melayu", 14 mac 1931 m/s 1

6.       "Rintihan Fikiran Atas Perjalanan Pelajaran Anak-anak Melayu di Sekolah-sekolah Melayu, 21 Mac 1931 m/s 1

7.       "Perselisihan Iktikad Agama di Balik Pulau, 28 Mac 1931 m/s 1

8.       "Akal Pengetahuan Dengan Adat Datuk Nenek", 4 April 1931 m/s 1

9.       "Pertolongan Ulama", 11 April 1931 m/s 1

10.  "Orang-rang Mealyu Dengan Tanahair Watan Datuk Nenek Moyangnya", 18 April 1931 m/s 1

11.  "Perhimpunan Besar Kongres Melayu-Congress for Malays", 25 April 1931 m/s 1

12.  "Anak-anak Melayu Dihargakan Bagi Menggantikan Kerani-kerani Bangsa Asing Di Dalam Jawatan Kerajaan", 2 Mei 1931 m/s 1

13.  "Adakah Kebangsan Melayu Itu Bersemangat Lagi?", 9 Mei 1931 m/s 1

14.  "Kebengisan Kerajaan Itali dan Bandingananya", 16 Mei 1931 m/s 1

15.  "Orang-orang Cina Mencerca Nabi Muhammad Nabi Kaum Islam", 23 Mei 1931 m/s 1

16.  "Apa di Udara Itu", 6 Jun 1931 m/s 1

17.  "Anak-anak Sekolah Dengan Agama Islam", 13 Jun 1931 m/s 1

18.  "Memadalah Sudah Bercakap Sahaja", 20 Jun 1931 m/s 1

19.  "Anak Melayu Dengan Pelajaran Inggeris", 4 Januari 1932 m/s 1

20.  "Sambil Menyelam Minum Air", 7 Januarti 1932 m/s 1

21.  "Bahasa Melayu Tidak berharga", 11 Januari 1932 m/s 1

22.  "Bahasa Melayu Tidak Bersemangat (1)", 14 Januari 1932 m/s 1

23.  "Decentralization", 18 Januari 1932 m/s 1

24.  "Anak-anak Melayu Dengan Pelajaran Inggeris", 21 Janauri 1932, m/s 1

25.  "Perasaan Anak negeri dan bangsa Asing Atas Perubahan Baru", 25 Januari 1932m/s 1

26.  "Hutang dan Ekonomi", 1 Februari 1932, m/s 1

27.  "Kesukaran Melayu Dalam Perniagaan", 4 Februari 1922 m/s 1

28.  "Bagaimanakh Menghidupkan Perniagaan Kita?", 15 Februari 1932 m/s 1

29.  "Minta Dihargakan Bahasa melayu", 18 Februari 1932 m/s 1

30.  "Rencana Hak", 22 Februari 1932 m/s 1

31.  "Di Manakah Adanya Keselamatan Melayu?", 25 februari   1932 m/s 1

32.  "Penghidupan Melayu Semenanjung", 3 Mac 1932 m/s 1

33.  "Perjalanan Agama di Dalam Semenanajung", 7 Mac 1932 m/s 1

34.  "Malayan Citizenship", 10 Mac 193, m/s 1

35.  "Kemaraan Politik Yang Akan Datang Ditakuti di Dalam Semenanajung!", 14 Mac 1932 m/s 1

36.  "Rencana Hak", 21 Mac 1932 m/s 1

37.  "Adakah Orang-orang Daganag Itu Dijemput ke Semenanjung", 24 Mac 1932 m/s 1

38.  "Ekonomi Negeri Melayu", 28 Mac 1932 m/s 1

 

10.5. LAMPIRAN 5

Rencana Pengarang Warta Malaya

 

1.       "Persekolahan Gadis-gadis Kita", 7 Disember 1936,m/s 10

2.       "Wakil Melayu dan Agin Universiti", 8 Disember 1936 m/s 10

3.       "Budi Pekerti Cina Malaya", 9 Disember 1936 m/s 10

4.       "Teguran Kepada Penulis-penulis Khas Kita", 10 Disember 1936 m/s 10

5.       ""Sekolah Agama Islam Memang Mustahak", 11 Disember1936 m/s 10

6.       "Lembaga Menyiaat Perihal Kuli-kuli Melayu", 17 Disember 1936 m/s 10

7.       "Terjemahan dan Mengarang Bahasa Melayu", 19 Disember 1936 m/s 10

8.       "Sebaik-baik Perkara Itu Sederhana", 21 Disember 1936, m/s 10-11

9.       "Beras Naik Harga Dengan Dahsyat", 24 Disember 1936 m/s 10

10.  "Melayu Yang berpelajaran", 26 Disember 1936 m/s 10

11.  "Kerani State Clerical Service', 28 Disember 1936 m/s 10

12.  "Beras Fitrah di Negeri Pahang", 29 Disember 1936 m/s 10

13.  "Harga Getah Membawa Kemakmuran", 30 Disember 1936 m/s 10

14.  "Utusan Perkulian Indian", 31 Disember 1936 m/s 10

15.  "Pasar Mingguan Melayu Singapura", 3 Mac 1938 m/s 9, 10 , 11

16.  "Dunia Dalam Peperangan Besar", 4 mac 1938, m/s 9

17.  "Tanah-tanah Kawasan Bangsa Asing", 5 mac 1938 m/s 9

18.  "Negeri-negeri Melayu Yang Tidak Bersekutu Wajib Menjaga Jawatan Teknikal Masing-masing", 7 Mac 1938, m/s 9-10

19.  "Negeri-negeri Yang Tidak Bersekutu Wajib Bersedia", 8 Mac 1938, m/s 9

20.  "Siapa Peduli Akan Kita", 9 Mac 1938, m/s 9

21.  "Hukum Melayu Negeri-negeri Yang Bersekutu", 11 Mac 1938 m/s 9

22.  "Pasar Mingguan Kita", 12 Mac 1938 m/s 9

23.  "Apa Peluang Kelulusan Junior Kita", 15 Mac 1938 m/s 9

24.  "Berat dan Ringan Mas Kahwin", 16 Mac 1938 m/s 9

25.  "Hialng Rupa Dek Penyakit", 17 mac 1938 m/s 9

26.  "Ahli-ahli Mesyuarat Counsellor Kita", 18 Mac 1938, m/s 9-10

27.  "Sebuah Kerajaan sudah Cukup", 19 Mac 1938 m/s 9

28.  "Pegawai-pegawai Melayu di Raffle College", 21 Mac 1938 m/s 9

29.  "Persatuan mealyu Pahang", 22 Mac 1938, m/s 9-10

30.  "Kesatuan Ulama Semenanjung Melayu", 23 Mac 1938, m/s 9

31.  "Rumah Bagu Tuan-tuan Kadi", 24 Mac 1 m/s 9938 m/s 9

32.  "Juru-juru Kata Melayu", 25 Mac 1938 m/s 9

33.  "Cina Mengenakan Cukai Beras di Malaya", 26 Mac 1938 m/s 9

34.  "Mohammadan Law", 28 Mac 1938 m/s 9

35.  "Undang-undang (Dosa) Orang Islam", 30 Mac 1938 m/s 9

36.  "Fikiran Melayu Dalam Federal Council", 1 Julai 1938 m/s 9

37.  "Negeri-negeri Melayu Takluk Negeri-negeri Selatkah?", 2 Julai 1938 m/s 9

38.  "Tidak Disangka-sangka", 4 Juali 1938 m/s 9

39.  "Huru-hara Tiba di Malaya", 7 Julai 1938 m/s 9

40.  "Roh Kebangsaan Cina Malaya", Julai 198 m/s.11

41.  "Langkah-langkah Enggan Bekerja", 9 Julai 1938, m/s 9

42.  "Roh Persatuan Mealayu Sampai ke Kelantan", 11 Julai 1938 m/s 9

Copyrighted® by WEBMASTER of UNITEX

1