KERTAS KERJA ILMIAH

ILMU PENDIDIKAN

 

Disediakan oleh:

Nor Azlina Binti Ab Razab

KPLI / Sains Komputer

Ambilan Januari 2002

Institut Perguruan Darulaman

Jitra Kedah.

 

 

RANCANGAN PERANCANGAN MENGAJAR

 

Mata Pelajaran          : Teknologi Maklumat

Tingkatan                   : 4 Bestari

Bilangan Pelajar         : 40 orang

Purata Umur               : 16 tahun

Masa                          : 10.30 – 11.20 pagi (80 minit)

Tajuk                          : Pengaturcaraan

Topik                          : Paras Bahasa Pengaturcaraan

 

Objektif                      : Pada akhir pengajaran pembelajaran, pelajar dapat:

1.      Memberikan definisi bahasa pengaturcaraan dengan tepat

2.      Menyatakan ciri – ciri bahasa pengaturcaraan.

3.      Menyenaraikan sekurang-kurangnya 3 paras bahasa pengaturcaraan dan ciri – ciri bahasa pengaturcaraan.

 

Kemahiran KBKK     : Pelajar dapat mengkategori umur mengikut peringkat dan boleh menyusun maklumat berkenaan bahasa pengaturcaraan dengan tepat.

 

Penerapan Nilai         :

1.      Bekerjasama dalam kumpulan.

2.      Bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diberi.

3.      Peka terhadap perkembangan di sekeliling.

 

Sumber / ABM           :  Papan putih, pen papan putih, kertas mahjong, perisian Microsoft Power Point, buku, majalah.

 

 

Langkah

Isi pelajaran

Aktiviti P & P

Catatan

Set Induksi

(5 minit)

Peringkat perkembangan manusia dari bayi hingga dewasa.

 

Contoh soalan:

1.   Ada berapa peringkatkah  proses perkembangan manusia dari bayi hingga dewasa?

2.   Kategori umur bagi setiap peringkat.

3.   Kamu semua berada pada kategori mana?

 

Kemungkinan jawapan:

Bayi

Kanak – kanak

Remaja

Dewasa

 

1.      Guru bersoal jawab dengan pelajar tentang proses perkembangan manusia.

 

2.      Guru mengaitkan peringkat perkembangan manusia dengan topik yang akan dibincangkan.

 

Lakaran pada papan putih

Langkah 1

(10 Minit)

 

Bahasa pengaturcaraan

-          definisi

-          ciri – ciri

 

1.                                        Guru memberikan definisi bahasa pengaturcaraan.

2.                                        Guru menerangkan ciri – ciri bahasa pengaturcaraan.

3.                                        Guru memaparkan maklumat tentang isi pelajaran menggunakan persembahan multimedia.

ABM;

Komputer, LCD projektor, papan putih, pen marker, buku rujukan

Langkah 2

(35 minit)

Paras Bahasa Pengaturcaraan

-          jenis

-          ciri – ciri

-          contoh – contoh bahasa pengaturcaraan

-          kebaikan

-          kelemahan

1.                                          Guru menjelaskan lima paras bahasa pengatucaraan.

2.                                          Guru mengarahkan pelajar membentuk 5 kumpulan dan melantik seorang ketua kumpulan.

3.                                          Guru memberikan arahan bagi setiap kumpulan iaitu:

Satu kumpulan membincangkan satu paras mengikut pembahagian dan cari maklumat mengenai:

-          ciri – ciri

-          contoh – contoh bahasa pengaturcaraan

-          kebaikan

-     kelemahan

4.                  Guru memberikan kertas mahjung dan pen maker kepada setiap kumpulan untuk membuat peta minda / lakaran grafik mengikut kreativiti kumpulan hasil daripada perbincangan yang dibuat.

 

ABM:

Majalah, buku rujukan, kertas mahjong, pen marker, komputer, LCD projektor, papan putih

Langkah 3

(25 minit)

Pembentangan kumpulan

1.      Guru mengarahkan kepada pelajar untuk membentangkan hasil perbincangan pelajar di hadapan rakan – rakan.

2.      Guru menilai setiap pembentangan yang dijalankan.

 

ABM:

Kertas mahjong, pen marker

Penutup

(5 minit)

 

1.                  Guru membuat beberapa penambahan atau pembetulan daripada hasil perbincangan pelajar.

2.                  Guru mengulangkan secara ringkas definisi bahasa pengaturcaraan dan ciri – ciri serta paras bahasa pengaturcaraan.

3.                  Guru mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan pelajar.

 

 

PENDAHULUAN

 

Teknologi Maklumat ialah satu bidang ilmu yang berasaskan pelbagai disiplin terutamanya komunikasi dan sistem komputer. Bidang ini merupakan kajian tentang penggunaan proses dan perkakasan dalam menangani maklumat yang berbagai bentuk. Bidang ilmu ini adalah antara bidang ilmu yang paling pesat berkembang dan takrifan serta skopnya sentiasa disesuaikan seiring dengan perkembangan bidang ilmunya.

 

Salah satu daripada matlamat kurikulum teknologi maklumat ialah untuk membentuk pelajar yang berpengetahuan secara menyeluruh tentang teknologi maklumat dan berkemahiran menangani maklumat dengan menggunakan teknik dan perkakasan teknologi maklumat untuk menyelesaikan masalah. Ini adalah selaras dengan program pendidikan yang digubal berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu:

 

Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

 

Berdasarkan kepada FPK ini beberapa aspek diterapkan untuk menyediakan RPM. Rancangan persediaan mengajar yang dibuat adalah merangkumi salah satu bidang teknologi maklumat iaitu pengaturcaraan dan beberapa aspek akan dibincangkan berdasarkan kepada RPM ini. Antara aspek – aspek yang akan dibincangkan merangkumi:

1.      Penerapan unsur – unsur Falsafah Pendidikan Kebangsaan

2.      Proses perkembangan remaja

3.      Proses dan gaya pembelajaran

PENERAPAN UNSUR-UNSUR FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

 

RPM yang dibuat adalah mengandungi beberapa unsur-unsur FPK yang diterapkan. Antara unsur-unsur FPK yang diterapkan dalam RPM adalah:

 

  1. Kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan

Kepercayaan merupakan keyakinan bahawa manusia dan alam semulajadi tidak terjadi secara sendiri tetapi ada Penciptanya, dan hukum-hukum alam adalah hukum Tuhan. Berdasarkan RPM, pelajar perlu memikirkan tentang proses perkembangan yang mereka lalui atau manusia lalui dari peringkat bayi hingga dewasa. Melalui pemikiran yang dibuat pelajar seharusnya sedar siapa pencipta mereka dan mengapa mereka dilahirkan di muka bumi ini. Pelajar juga akan rasa bertuah dan bersyukur di atas kebesaran kuasa Tuhan kerana menjadikan mereka makhluk yang paling mulia di muka bumi ini. Ini akan menambahkan rasa patuh dengan memikul amanah dan bertanggungjawab kepada Tuhan dalam usaha untuk mencari ilmu dan memanfaatkan ilmu.

 

  1. Memperkembangkan potensi individu

Potensi adalah bakat dan kebolehan yang dimiliki oleh manusia sejak dilahirkan. Potensi individu ini harus diperkembangkan dan dipertingkatkan secara berterusan dan dicungkil kerana potensi tidak dapat disedari oleh kita sendiri jika tidak dicungkil. Melalui RPM yang disediakan terdapat beberapa potensi pelajar yang boleh dicungkil melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan. Contohnya melalui perbincangan pelajar dicungkil bakat dalam berhujah, memimpin (ketua kumpulan) dan berani bersuara untuk mengeluarkan pendapat. Ini bermakna pengajaran dan pembelajaran yang bestari dapat mengilap potensi seseorang individu.

 

  1. Menyeluruh dan bersepadu

Melalui aktiviti P & P dalam kelas potensi pelajar boleh dikembangkan ke peringkat optimum iaitu dengan cara mengintegrasikan bakat dan kebolehannya yang saling berkait antara satu sama lain. Jika pelajar mempunyai kebolehan untuk berhujah, pelajar ini boleh diserapkan sebagai peserta pidato sekolah untuk mengembangkan lagi potensi diri.

 

  1. Insan yang harmonis dan seimbang

Pelajar boleh membuat kerja yang diberikan sehingga selesai dan bekerjasama dalam perbincangan. Pelajar menggunakan bahan yang diberikan dengan rasa penuh amanah dan bersyukur dengan kemudahan yang diberikan. Pelajar juga digalakkan berbincang dan bebas menyuarakan pendapat mereka kepada guru. Daripada aktiviti ini insan yang seimbang dan harmonis boleh diwujudkan sekiranya pelajar mengikuti kelas dengan tenang.

 

  1. Unsur intelek

Pelajar diberikan soalan yang boleh mencetuskan pemikiran mereka. Intelek mereka akan berkembang jika mereka banyak diserapkan dengan pemikiran. Pelajar juga akan cuba untuk mencari jawapan dengan cara mereka tersendiri melalui perbincangan dengan rakan dan sebagainya yang akan mengembangkan lagi daya berfikir mereka. Setelah selesai aktiviti pembentangan, guru akan membimbing pelajar untuk memperbetulkan dan menambah maklumat yang mereka perolehi. Oleh itu mereka akan lebih memahami apa yang hendak disampaikan dan akan merasa lebih bersyukur kerana mendapat ilmu yang benar.

 

  1. Unsur rohani dan emosi

Pelajar diterapkan dengan nilai-nilai murni yang sudah semestinya dituntut oleh agama. Segala aktiviti yang baik dapat membantu pelajar meningkatkan taraf rohaninya ditambah lagi dengan penerapan unsur agama di dalam RPM di atas. Pemikiran mereka terhadap proses perkembangan manusia dari lahir sehingga dewasa akan menambahkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan dan mereka akan merasa bersyukur di atas nikmat yang ada sekarang.

 

  1. Unsur jasmani

Aspek ini meliputi ciri-ciri kecergasan fizikal dan kesihatan diri. Pelajar dilatih untuk bergerak pantas semasa aktiviti kumpulan dan tidak hanya duduk di satu tempat sahaja. Pelajar bebas bergerak untuk mencari maklumat mengikut arahan yang telah diberikan.

 

  1. Rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan

Pelajar diterapkan bahawa betapa pentingnya ilmu yang mereka perolehi dan seharusnya ilmu tersebut hendaklah diamalkan serta disebarkan. Melalui aktiviti di dalam kumpulan, pelajar secara tidak langsung dapat berkongsi ilmu dengan pelajar yang lain dan mendengar pendapat rakan sebaya. Pengetahuan pelajar ke atas sesuatu bidang mungkin bertambah dan dapat dipertingkatkan melalui aktiviti perbincangan atau persembahan.

 

  1. Rakyat Malaysia yang berketrampilan

Aktiviti P & P juga dapat melahirkan pelajar yang berketrampilan di mana pelajar yang mempunyai pengetahuan dalam sesuatu bidang boleh memberikan pendapat mereka dan juga mereka dapat menyiapkan aktiviti yang diarahkan dalam jangkamasa yang singkat dari masa yang diberikan.

 

  1. Rakyat Malaysia yang berakhlak mulia

Perbincangan kumpulan membolehkan pelajar untuk berbincang dan mendengar pendapat orang lain yang mungkin menjadikan pelajar seorang yang menghormati pendapat orang lain, bekerjasama dalam kumpulan dan mempunyai kata sepakat atau secara bersatu untuk membuat keputusan. Ini adalah antara akhlak pelajar yang boleh diwujudkan melalui P & P.

 

  1. Rakyat Malaysia yang bertanggungjawab.

Pelajar dilatih menjadi seorang yang bertanggungjawab dengan melaksanakan tugas yang diberikan kepada mereka dengan jayanya. Dengan ini mereka akan menjadi rakyat Malaysia yang amanah terhadap Tuhan, masyarakat dan diri serta bertanggungjawab terhadap negara.

  1. Rakyat Malaysia yang berkeupayaan menikmati kesejahteraan diri

Aktiviti dalam kelas membolehkan pelajar memahami rakan sebaya mereka dan sebagai rakyat Malaysia pelajar akan sentiasa berusaha agar dapat menikmati hidup yang sejahtera dan gembira. Pelajar dilatih saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.

 

  1. Rakyat Malaysia yang dapat memberi sumbangan

Apabila para pelajar dilatih melaksanakan tanggungjawab, mereka akan menjadi seorang rakyat yang rela memberikan sumbangan pada bila-bila masa. Mereka rela berbakti dan berkorban untuk masyarakat dan negara.

 

  1. Keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara

Apabila pelajar bekerjasama di dalam kumpulan, mereka akan bekerja dengan pelbagai bangsa seperti Melayu, India dan Cina. Oleh itu ini dapat memupuk semangat perpaduan. Oleh itu ini akan mewujudkan keharmonian, kemakmuran masyarakat dan negara.

 

 

PROSES PERKEMBANGAN REMAJA

     

Perkembangan adalah sesuatu yang tak dapat diukur dan dilihat kerana ianya adalah satu proses berterusan yang dipengaruhi oleh faktor baka dan persekitaran. Perkembangan berbeza dengan pertumbuhan di mana pertumbuhan merupakan satu perubahan yang boleh diukur secara kualiti seperti tinggi dan berat iaitu perubahan pada tubuh badan. Perkembangan ialah perubahan tingkah laku mental. Pelajar di kelas ini adalah berumur lingkungan 16 tahun di mana dikategorikan sebagai remaja. Proses perkembangan remaja akan dilihat dari segi fizikal, kognitif (mental), emosi, sosial dan rohani.

 

1.      Perkembangan Fizikal

 

Pelajar –pelajar adalah di peringkat remaja iaitu berumur dalam lingkungan 16 tahun. Pada peringkat ini organ – organ deria temasuk anggota-anggota badan telah dikembangkan ke tahap kematangan dan sedia melaksanakan kerja dan tugas yang kompleks. Pelajar pada peringkat ini tidak lagi sukakan kerja yang remeh dan mereka lebih cenderung kepada kerja-kerja yang rumit dan mencabar. Dilihat dari luar, bentuk badan berubah dengan jelas terutama bagi perempuan berbanding pelajar lelaki. Oleh itu pendekatan pendidikan hendaklah mengambil kira faktor perkembangan fizikal ini agar tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam masyarakat. Seseorang guru juga turut memainkan peranan yang penting di dalam mendidik pelajar agar mereka dapat bergaul secara baik. Mereka bukan lagi pelajar sekolah rendah yang lebih agak bebas dalam pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Aktiviti yang dijalankan di dalam kelas juga haruslah mengambil kira faktor ini. Tidak salah sekiranya di dalam sesebuah kumpulan digabungkan di antara lelaki dan perempuan tetapi ianya adalah di bawah pengawasan guru.

 

2.      Perkembangan Kognitif

 

Selaras dengan perkembangan fizikal, remaja juga berkembang dari segi kognitif. Pada peringkat ini, pelajar telah boleh memikir secara abstrak dan boleh menyelesaikan masalah yang lebih kompleks. Mereka juga boleh memikir secara deduktif dan induktif iaitu menggunakan pembuktian serta membuat rumusan. Mereka juga boleh menggunakan logik untuk menyelesaikan masalah dan mengaitkan sesuatu konsep dengan konsep lain. Pada ketika ini mereka sudah boleh membuat andaian tentang sesuatu perkara. Walaupun otak berkembang dengan baik untuk membolehkannya menjadi matang, kematangan yang sempurna tidak akan dicapai tanpa rangsangan dari alam sekeliling terutama melalui pendidikan.

Dalam erti kata lain, kematangan seseorang remaja itu adalah hasil daripada perkembangan otak  dan pengalaman yang dilalui dalam kehidupan seharian. Sebab itu dalam pendidikan , pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara pemeringkatan daripada yang mudah kepada yang lebih payah.

Begitu jugalah dalam RPM di atas, peringkat pengajaran dan pembelajaran dimulakan daripada yang mudah kepada yang lebih payah. Pelajar digalakkan belajar melalui kaedah mencari dan mengalami sendiri. Ini menjadikan mereka lebih menghargai sesuatu ilmu yang didapati. Mereka juga akan lebih memahami sesuatu ilmu yang disampaikan. Pelajar juga digalakkan berfikir secara kritis dan kreatif disamping berani mengeluarkan pendapat. Ini lebih menggalakkn perkembangan kognitif.

 

  1. Perkembangan Emosi

 

Perkembangan emosi adalah berkait rapat dengan perkembangan fizikal. Emosi adalah perasaan jiwa yang kuat yang dialami oleh seseorang dalam tindak balasnya terhadap sesuatu rangsangan. Adakala ia boleh berbentuk positif seperti riang, gembira, seronok dan kasih; adakala ia berbentuk negatifseperti sedih, marah, benci dan dendam. Setiap remaja mengalami perasaan ini silih berganti. Sebagai salah satu daripada empat unsur kejadian manusia, emosi berkembang. Jika perkembangan ini tidak terganggu, remaja akan menjadi manusia yang normal, tetapi jika terganggu, dia boleh menjadi manusia yang abnormal. Pada peringkat ini pelajar mula menaruh minat pada rakan sebaya yang berlainan jantina dan mula bersosial dengan rakan sebaya dan suka melibatkan diri dalam aktiviti berkumpulan.

Melalui RPM yang bersepadu dan menerapkan unsur-unsur  Falsafah Pendidikan Kebangsaan seperti yang telah disebutkan di atas serta melalui pendekatan yang tepat dapat mebuatkan para pelajar berasa gembira dan bertambah minat mereka untuk belajar. Pelajar pada peringkat remaja amat emosional. Perasaannya cepat tersentuh. Oleh itu, guru perlu pandai mengawal keadaan ini agar para pelajar berasa selesa untuk belajar.

 

  1. Perkembangan Sosial

 

Dari segi perkembangan sosial pelajar pada peringkat ini sudah mula belajar dengan cara sendiri iaitu mereka mempunyai gaya tersendiri untuk belajar sesuatu, berjaya menunjukkan tingkah laku yang dapat diterima dalam pergaulan sosial dan menerima bentuk fizikal dan menggunakan fungsi anggota dan organ deria mereka secara berkesan. Pembentukan kumpulan contohnya, boleh menggalakkan lagi perkembangan sosial pelajar-pelajar. Pelajar dapat belajar menyesuaikan diri mereka dengan rakan sebaya dan menilai kendiri mereka serta menjadikan mereka seorang yang perihatin terhadap rakan sebaya dan tidak mementingkan diri sendiri. Mereka dapat mempertingkatkan lagi sahsiah dengan mencari kekurangan diri dan membuat penilaian terhadap diri sendiri.

 

  1. Perkembangan Rohani

 

Rohani merupakan sesuatu yang berlawanan dengan jasmani, iaitu perkara yang bukan berbentuk fizikal dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Perkembangan rohani remaja mengikut pandangan Islam di mana pada peringkat ini remaja mula mempunyai pegangan agama yang kukuh, mula mempersoalkan aspek-aspek kerohanian secara logik dan mula memikirkan Tuhan dan sifat-sifat ketuhanan secara abstrak.

 

 

PROSES PEMBELAJARAN

 

  1. Perhatian

Sebelum pembelajaran dapat berlaku, murid hendaklah memberikan perhatian yang teliti terhadap penerangan atau demonstrasi guru. Perhatian seseorang individu bergantung kepada faktor-faktor seperti saiz dan warna objek, kekuatan bunyi, pergerakan di sekeliling, sesuatu yang diulangi, perbandingan, contohnya seorang murid yang gemuk dan seorang yang kurus, sesuatu yang luar biasa, dan motif seseorang pemerhati atau pendengar. Perhatian perlu diberi kepada sesuatu rangsangan sebelum sesuatu konsep atau gambaran dibentuk.

 

  1. Jangkaan

Jangkaan merujuk kepada prestasi murid yang diharapkan pada akhir satu-satu pembelajaran. Menurut Gagne, murid-murid hendaklah diberitahu terlebih dahulu tentang jangkaan prestasi mereka pada peringkat awal pembelajaran. Dalam konteks RPM ini, pelajar telah diberitahu lebih awal  tentang jangkaan prestasi agar mereka lebih bermotivasi untuk berusaha ke arah mencapai prestasi yang dijangkakan itu.

 

  1. Perolehan ingatan kembali

Fasa ini penting untuk memperoleh kemahiran atau pengetahuan baru. Murid menggunakan pengetahuan yang sedia ada untuk membantunya memahami konsep yang baru.

 

  1. Pemilihan persepsi

Pemilihan persepsi merujuk kepada tindakan seseorang membezakan rangsangan  yang penting dan relevan daripada yang kurang penting. Dalam kes ini, guru perlu menekankan suara agar pelajar berminat untuk memilih suara guru sebagai persepsinya. Dengan menggunakan Alat Bantu Mengajar seperti perisian MS Power Point dan komponen sebenar, ini akan lebih menarik perhatian pelajar.

 

  1. Mengekod dan penyimpanan jangka panjang

Peringkat ini meliputi keupayaan murid membuat kod terhadap maklumat yang diterima untuk disimpan ke dalam sistem saraf pusat.

 

  1. Gerakbalas / prestasi

Gerakbalas atau prestasi merujuk kepada tingkah laku.Menurut Gagne, apabila perubahan tingkah laku atau prestasi telah dapat dilihat, maka pembelajaran telahpun berlaku. Di dalam bilik darjah, prestasi ialah gerakbalas murid-murid. Dalam konteks ini, untuk mengetahui prubahan tingkah laku pelajar, soalan-soalan dikemukakan kepada pelajar. Di bahagian penutup RPM ini, soalan-soalan dikemukan kepada para pelajar untuk mengetahui tindakbalas mereka terhadap apa yang telah dipelajari.

  1. Maklumbalas dan peneguhan

Peringkat maklumbalas  penting dalam proses pembelajaran. Dalam konteks pengajaran berdasarkan RPM di atas, guru akan bertanya soalan kepada pelajar dan bagi setiap jawapan yang betul diberikan, sudah tentu guru akan memberikan maklumbalas yang positif seperti ‘baik’, ‘bagus’, ‘satu cubaan yang baik’ dan sebagainya dalam usaha untuk memberikan peneguhan kepada para pelajar agar mereka merasa lebih bersemangat untuk belajar. Sekiranya jawapan yang diberikan salah guru akan sentiasa memberikan dorongan kepada para pelajar. Maklumbalas akan dberikan kepada para pelajar secepat mungkin.

 

  1. Generalisasi / Pemindahan pembelajaran

Generalisasi merupakan pemindahan pembelajaran dalam suatu situasi kepada suatu situasi yang lain

 

 

GAYA PEMBELAJARAN

 

Gaya pembelajaran adalah stail atau cara belajar seorang individu yang bertindak dengan persekitarannya supaya memproses, mentafsir dan memproleh maklumat, ilmu pengalaman atau kemahiran yang diingini. Gaya pembelajaran bagi setiap pelajar adalah berbeza mengikut beberapa faktor tertentu. Mengikut Dunn dan Dunn (1982), terdapat lima rangsangan atau lima faktor penting yang mempengaruhi gaya pembelajaran seseorang iaitu persekitaran, emosi, sosial, fisiologi dan psikologi. Jika dilihat dari segi faktor persekitaran, ada pelajar yang boleh belajar dengan berlatar belakangkan bunyi atau muzik, cahaya yang terang, suhu yang sejuk dan rekabentuk bilik yang selesa. Dari segi sosial, ada pelajar yang boleh belajar secara berseorangan, berpasangan dan juga secara berkumpulan. Fisiologi juga mempengaruhi gaya pembelajaran iaitu masa pelajar yang tidak terhad, pemakanan, persepsi pelajar itu sendiri dan juga dari segi mobiliti atau keupayaan pelajar untuk belajar. Faktor psikologi mempengaruhi dari segi penggunaan otak kiri dan otak kanan, gerak hati, refleksi dan analitik. Emosi juga mempengaruhi iaitu motivasi diri yang tinggi, keazaman, tanggungjawab dan struktur.

 

Daripada huraian di atas, jelas bahawa personaliti  seseorang amat mempengaruhi gaya pembelajarannya. Misalnya, seseorang yang bersifat berdikari akan belajar dengan lebih berkesan melalui teknik dapatan atau penemuan. Bagi sesetengah pelajar pula mereka lebih suka belajar sekiranya terdapat unsur-unsur alam sekitar seperti bunyi, cahaya, suhu dan sebagainya. Oleh itu, gaya pembelajaran amat berbeza mengikut individu. Seseorang guru perlu mengenalpasti bagaimana seseorang pelajar dapat belajar secara berkesan dan seterusnya mengubah cara-cara pengajaran yang boleh menghasilkan pembelajaran maksimum.

 

Menurut Honey dan Munford (1986) pula, terdapat empat gaya pembelajaran utama seperti berikut :

 

  1. Aktivis

Pelajar-pelajar yang tergolong dalam kumpulan ini mempunyai sikap tidak sabar dan tergesa-gesa, perasaan ingin tahu yang tinggi, bergerak pantas dan cepat membalas dan gemar mencari pengalaman baru. Mereka juga berfikiran terbuka, penuh semangat dan fleksibel serta mempunyai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Pelajar dalam kumpulan ini biasa telibat dalam permainan, sukan dan aktiviti kokurikulum.

 

  1. Reflektif

Cara belajar bagi golongan ini adalah dengan memerhati, memikir, menilai, menyoal siasat dan membuat refleksi kendiri dengan kemahiran berfikir. Strategi pembelajaran dan pengajaran untuk golongan ini adalah kaedah penyelesaian masalah, projek dan perbincangan.

 

  1. Teoris

Pelajar-pelajar ini bersifat objektif dan berdisiplin. Kaedah P & P yang sesuai adalah kaedah induksi dan deduksi, perbincangan, mengumpul data dan membuat analisis, tafsiran dan kaedah penyelidikan.

 

  1. Pragmatis

Golongan pelajar ini suka menggunakan bahan-bahan konkrit untuk menjalankan aktiviti pembelajaran. Kaedah kerja praktik, strategi pemusatan bahan, carta dan gambar rajah adalah sesuai untuk mengajar golongan ini.

 

Untuk memastikan objektif pembelajaran tercapai dan berkesan guru perlu memainkan peranan untuk mengetahui bagaimana gaya pembelajaran yang dapat diterima oleh pelajar. Guru perlu menggunakan teknik-teknik yang berlainan pada setiap kali ingin mengajar memandangkan gaya pembelajaran bagi pelajar adalah berbeza. Jadi guru yang kreatif akan menjadikan pelajar bersemangat dan bermotivasi untuk belajar.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

1