DEMOKRASI III

Demokrasi - Part 3



Ramai orang yang salah faham bahawa demokrasi itu bermaksud kemajuan dalam pelbagai bidang seperti sains dan teknologi. Kekeliruan ini adalah disebabkan mereka melihat bahawa negara-negara Barat yang mengamalkan demokrasi mencapai kemajuan material. Pandangan ini tidak tepat kerana ketika Islam memerintah selama lebih daripada 1300 tahun, umat Islam juga mencapai kemajuan material yang pesat ketika mereka berpegang teguh kepada ajaran Allah SWT dan mereka tidak sedikit pun mengenal demokrasi. Malah ketika Eropah berada dalam zaman kegelapan (Dark Ages) yang mana mereka ketinggalan dari segi kemajuan material, umat Islam mencapai pembangunan yang mengkagumkan. Ketika Hitler memerintah Jerman secara kuku besi (diktator) yang bertentangan dengan demokrasi, rakyat Jerman mencapai kemajuan yang pesat dalam pembangunan material. Industri-industri tumbuh di Jerman bagai cendawan. Begitu juga ketika Rusia dan negara-negara Eropah Timur melaksanakan komunisme, mereka mampu melahirkan pakar-pakar dan saintis yang hebat serta mengeluarkan peralatan yang canggih. Kita lihat India yang didakwa oleh negara-negara Barat sebagai negara demokrasi terbesar di dunia tetapi merupakan salah sebuah negara termiskin di dunia dan sentiasa bergolak. Kita lihat di Filipina hari ini yang mengamalkan demokrasi (selepas kejatuhan Presiden Marcos) masih lagi bergantung kepada Amerika khasnya dan dilonggokkan dengan beban pinjaman hutang yang banyak dari institusi-institusi kewangan.

Pembangunan material boleh dicapai oleh sesiapa pun dan bukan semestinya dalam negara demokrasi. Kemajuan material itu lahir hasil dari pemikiran yang produktif dan inovatif. Pemikiran bagi umat mana pun adalah sebuah kekayaan yang tidak ternilai harganya yang mereka miliki dalam kehidupan mereka. Bahkan, ia merupakan peninggalan yang begitu berharga yang akan diwarisi oleh generasi yang seterusnya apabila umat itu telah menjadi sebuah umat yang memiliki identiti dalam bentuk pemikirannya yang maju.

Sedangkan kekayaan yang bersifat material, penemuan-penemuan ilmiah, industri serta hal-hal yang lainnya, masih jauh kedudukannya dengan pemikiran. Bahkan, semuanya boleh dicapai melalui pemikiran dan ia dapat kekal hanya jika pemikiran itu masih lagi wujud.

Oleh itu apabila kekayaan sebuah bangsa yang bersifat material hancur, maka dengan segera akan boleh dipulihkan kembali selagi bangsa itu meneruskan kekayaan berfikir mereka. Contohnya, negara Jerman di bawah pemerintahan kedidaktoran Hitler telah berjaya bangkit setelah mengalami kekalahan teruk dalam Perang Dunia Pertama walau pun akibat perang tersebut, banyak infrastrukturnya musnah dan ia dipaksa tunduk oleh negara-negara Barat yang lain. Di bawah pemerintahan Hitler, beliau telah menggalakkkan pemikiran yang produktif dan inovatif dan hasilnya Jerman bangkit dari kemusnahan yang dialaminya. Artikel ini bukan bertujuan untuk mempertahankan Hitler atau orang-orang kafir yang lain tetapi tujuannya ialah untuk menunjukkan bahawa kebangkitan material tidak terikat dengan idealogi demokrasi tetapi terikat dengan kaedah pemikiran yang bernas yang boleh dicapai oleh sesiapa pun termasuklah umat Islam sendiri tanpa mengamalkan demokrasi.

Namun apabila kekayaan berfikir mereka telah diabaikan dan sebaliknya, mereka malah berpuas hati dengan kekayaan material, maka kekayaan itu akan segera musnah dan mereka akan kembali menjadi miskin. Kita lihat kebanyakan penemuan-penemuan ilmiah yang telah ditemukan oleh bangsa tersebut, mungkin sahaja akan berulang kembali apabila bangsa tersebut telah meninggalkan penemuan-penemuan itu dengan tidak meninggalkan kaedah berfikirnya. Sebaliknya, apabila mereka telah meninggalkan kaedah berfikirnya yang inovatif, maka pasti mereka akan ketinggalan dan mundur hinggakan penemuan-penemuan yang mereka miliki itu akan musnah.

Contohnya, Khilafah Islamiyah dahulunya merupakan negara super power yang gagah yang melahirkan ramai para ulamak, cendekiawan, saintis dan sebagainya seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, al-Jabar, Imam Syafiee dan Zamakhsyari, tetapi apabila sesetengah ulamak menyeru supaya pintu ijtihad ditutup (antara sebab utamanya ialah untuk menghalang kemasukan falsafah-falsafah asing seperti falsafah Greek, Hindu dan Farsi dalam benak pemikiran umat Islam) dan kaedah pemikiran yang produktif dan inovatif merosot dengan drastik, maka status mereka sebagai negara yang unggul di peringkat antarabangsa mula terhakis. Mereka kalah satu demi satu dalam peperangan khasnya sejak mereka disekat dalam peperangan di Vienna, Austria. Akibat dari pintu ijtihad ditutup, maka sesetengah ulamak telah membuat silap kerana menyangkakan teknologi itu bersangkut paut dengan idealogi Barat dan akibatnya mereka telah mengharamkan beberapa teknologi seperti talipon, alat percetakan, alatan perang dan sebagainya. Ada ulamak yang mengatakan talipon itu adalah bisikan syaitan dan bermacam-macam lagi fatwa yang aneh. Walaubagaimana pun, ini bukanlah kelemahan Islam sebaliknya adalah kelemahan ulamak-ulamak tersebut yang tidak memiliki pemikiran Islam yang sempurna sebagaimana ulamak-ulamak yang sebelumnya. Adalah salah untuk mengatakan kerana mereka menolak demokrasilah, maka terjadi perkara-perkara tersebut sedangkan kalau kita lihat Rasulullah SAW dan para sahabat serta Khilafah yang seterusnya mencapai kemajuan yang pesat dalam pelbagai bidang sedangkan mereka tidak mengenali demokrasi langsung. Mereka mencapai kemajuan kerana mereka mengamalkan ajaran Islam yang bersih dari pemikiran dan falsafah-falsafah asing serta mengamalkan kaedah berfikir yang produktif lagi inovatif.

Oleh itu, maka yang harus dijaga pertama kali adalah pemikiran hingga dengan dasar pemikiran ini berserta kaedah berfikir yang inovatif, mereka akan boleh meraih kejayaan dalam bidang material serta berhasil menemukan penemuan-penemuan ilmiah dan membangunkan industri mahu dalam hal-hal yang lain.

Yang dimaksudkan dengan pemikiran di sini adalah aktiviti berfikir pada diri umat tentang realiti kehidupan yang mereka hadapi. Di mana mereka masing-masing secara keseluruhan sentiasa mempergunakan maklumat (pengetahuan) yang mereka miliki, ketika mengindera pelbagai fakta atau fenomena untuk menentukan hakikat fakta atau fenomena itu. Dengan kata lain, mereka sentiasa harus memiliki pemikiran yang boleh mereka gunakan dalam memantapkan kehidupan mereka. Jika mereka mempergunakan pemikiran yang cemerlang, maka akan muncullah kaedah berfikir yang inovatif pada diri mereka.

Umat Islam pada ketika telah hilang kaedah berfikirnya yang inovatif. Oleh itu, mereka ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara lain dan ramai yang menderita kemiskinan walaupun pada hakikatnya umat ini memiliki kekayaan material yang melimpah seperti yang terdapat di Arab Saudi, negara-negara Teluk dan Brunai. Mereka juga secarra umumnya lemah dari segi kreativitinya hingga tidak banyak menemukan penemuan-penemuan ilmiah mahu pun membangunkan industri walaupun secara teori mereka mempelajari, mendengar dan menyaksikan penemuan-penemuan tersebut. Mengapakah keadaan ini berlaku? Adakah kerana mereka tidak melaksanakan demokrasi ? Tidak. Jawapannya ialah kerana mereka tidak mengikuti ajaran Allah SWT yang suci dari kotoran idealogi-idealogi buatan manusia dan kerana mereka tidak memiliki kaedah berfikir yang inovatif yang boleh mendorong mereka untuk mencapai kemajuan.

Masalah paling berat yang dihadapi oleh umat Islam serta penyakit paling parah yang menyebabkan mereka hidup dalam keadaan tertindas dan menderita adalah masalah pemikiran yang bersangkutan dengan persoalan pemerintahan dan ekonomi kerana pemikiran-pemikiran inilah yang paling banyak diterima dan disambut dengan penuh kebanggaan oleh umat Islam. Disamping itu, pemikiran-pemikiran inilah yang paling aktif diterapkan oleh Barat secara praktikal bahkan mereka sentiasa mengawasi supaya penerapannya di kalangan umat Islam diterapkan dengan gigih dan berterusan. Apabila umat Islam dipimpin dengan mempergunakan sistem demokrasi - dan ini merupakan usaha negara imperialis kafir supaya penjajahan serta sistem mereka boleh tetap dipertahankan - maka umat Islam secara de facto dipimpin dengan mempergunakan sistem ekonomi Kapitalis pada semua sektor kehidupan perekonomiannya. Akibatnya mereka akan terus ditindas dan dipermainkan oleh negara-negara Barat seperti apa yang berlaku dalam krisis ekonomi yang melanda Asia sekarang.



1