BELANJAWAN PAHIT ... Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan Negara 1998 di Dewan Rakyat, 17 Oktober lalu.fe

Tahun kejutan ekonomi negara

Ekonomi tahun 1997 bermula dengan baik dan begitu meyakinkan. Bagaimanapun ekonomi negara dikejutkan apabila bermulanya serangan ke atas mata wang ringgit oleh spekulator asing.

Keadaan diburukkan lagi dengan kejatuhan Bursa Saham Kuala Lumpur. Ini memaksa kerajaan mengambil pelbagai langkah bagi memulihkan ekonomi dan keyakinan pelabur asing.

Ramai pemerhati menyifatkan tahun 1997 sebagai tahun penuh ujian bagi Malaysia setelah menikmati pertumbuhan dan suasana ekonomi yang memberangsangkan sepanjang satu dekad.

Berikut ialah rentetan peristiwa yang membawa kepada pengumuman pemotongan belanjawan dan penurunan ramalan pertumbuhan ekonomi 1998.

13 Januari Ringgit mencapai paras tertinggi 17 bulan 2.4660 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan ramalan bahawa Malaysia akan menghasilkan pulangan tertinggi berisiko-rendah. Pasaran saham juga melambung tinggi.

26 Febuari Indeks Komposit BSKL mencapai paras tinggi 1,278.94 mata dan dijangka terus meningkat berikutan unjuran positif bagi ekonomi negara.

28 mac Bank Negara Malaysia mengumumkan langkah membendung pinjaman bank perdagangan dan institusi kewangan untuk sektor hartanah dan pembelian saham.

31 Mac KLCI jatuh 14.5 mata kepada 1,203.10, permulaan kepada kejatuhan pasaran saham.

1-10 Julai Para peniaga mata wang asing berkata Bank Negara berulang-ulang kali campur tangan di pasaran bagi mempertahankan ringgit. Bagaimanapun, ringgit terus jatuh.

22 Julai Bank Negara berkata rizab pertukaran asing negara jatuh 12.5 peratus kepada RM61.90 bilion pada 1-15 Julai berbanding RM70.71 bilion dua minggu sebelumnya, mengesahkan berita angin campur tangan Bank Negara secara besar-besaran di pasaran pertukaran asing pada awal Julai itu.

3 Ogos Bank Negara menetapkan supaya bank-bank tempatan hanya mengehadkan urus niaga dalam pertukaran asing yang tidak berkaitan dengan perdagangan kepada RM2 juta kepada setiap pelanggan seberang laut.

18 Ogos Firma penarafan Standard and Poor memberi gambaran jangka panjang bahawa mata wang asing dan mata wang ringgit Malaysia adalah stabil.

BSKL jatuh kepada paras terendah 30 bulan, jatuh 3.27 peratus atau 29.73 mata kepada 880.45 mata.

20 Ogos Malaysia melaporkan lebihan RM1.8 bilion bagi tempoh suku pertama 1997, berbanding defisit RM4.5 bilion dalam suku keempat tahun 1996.

21 Ogos Sebuah syarikat penarafan Australia Standard & Poor (S&P) meminda penarafan bagi dua bank utama Malaysia dari stabil kepada negatif.

22 Ogos Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menyelar Amerika Syarikat kerana enggan menganggap kegiatan manipulator pasaran mata wang George Soros sebagai seorang penjenayah.

24 Ogos Dr. Mahathir mengelar Soros seorang 'moron' dan mengatakan beliau tidak mahu mengadakan pertemuan dengannya.26 Ogos - BSKL jatuh ke paras terendah dalam empat tahun 856.00.

27 Ogos Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penarikan balik levi RM100,000 yang dikenakan ke atas pembelian harta oleh orang asing berkuat kuasa serta-merta.

Anwar berkata beliau ada rancangan untuk mengatasi masalah defisit akaun semasa dalam beberapa minggu, dan menambah beliau tidak akan teragak-agak untuk mengenakan langkah keras.

28 Ogos Dr. Mahathir meminta dana-dana tempatan seperti PNB, KWSP dan Khazanah membeli saham-saham di BSKL, dan menambah kata beliau mempunyai bukti dana asing menjual saham-saham yang dipinjam bagi memanipulasi pasaran. Beliau berkata dana tempatan boleh komited berbilion ringgit untuk membeli saham.

27 Ogos BSKL mengumumkan sekatan urus niaga ke atas 100 saham mewah yang menjadi komponen indeks komposit BSKL. Semua jualan singkat diharamkan.

28 Ogos Ringgit mencecah paras terendah 2.8750 berbanding setiap dolar AS dan 1.8967 berbanding dolar Singapura. Indeks komposit BSKL jatuh ke paras terendah terbaru 812.18.

30 Ogos Dr. Mahathir berkata spekulasi di BSKL telah menyebabkan kerugian sebanyak RM400 bilion di segi perkembangan modal, manakala pendapatan per kapita jatuh kepada AS$4,200 daripada $4,600 dan hutang dalam mata wang asing meningkat lebih 10 peratus.

30 Ogos Pendaftar Syarikat membenarkan syarikat-syarikat membeli balik saham mulai 1 September, dua minggu lebih awal daripada dijadualkan.

3 September Dr. Mahathir berkata dana-dana kerajaan akan membeli saham yang dipegang oleh pelabur tempatan pada premium dengan peruntukan RM60 bilion. Beliau berkata pelabur asing yang menjual saham akan dibayar pada harga pasaran.

4 September Anwar mengumumkan Akta Industri Sekuriti akan digunakan bagi menahan manipulator saham dan mata wang tempatan. Bagaimanapun beliau berkata tiada bukti orang tempatan yang menjalankan kegiatan manipulator tempatan.

Anwar juga berkata rancangan strategi bersama dengan ASEAN akan diadakan bagi menentang spekulasi.

4 September Dr. Mahathir mengumumkan penjualan singkat bagi 100 saham dalam indeks komposit BSKL ditarik balik mulai 5 September. Beliau juga berkata projek-projek mega akan ditangguhkan berikutan kelemahan ringgit. Ini termasuk projek hidroelektrik Bakun di Sarawak. Beliau turut mengumumkan pemotongan import bagi barang-barang mewah.

4 September Ringgit mencecah paras 3.0 setiap dolar AS dan indeks komposit jatuh di bawah 700.

5 September BSKL berkata status bertanda ke atas 100 saham mewah akan ditarik balik menyebabkan indeks komposit meningkat 12 peratus kepada 821.59.

10 September Anwar kemukakan rancangan untuk mengurangkan defisit yang termasuk menangguhkan beberapa projek mega dan membendung import barangan mewah, tetapi berkata pertumbuhan akan tetap kekal tinggi pada tahun 1998.

14 September Dr. Mahathir dan Anwar bertemu para pengurus dana antarabangsa dalam satu usaha untuk menarik mereka kembali ke pasaran.

17 September Ringgit mencecah paras 3.0 berbanding dolar AS.

20 September Dr. Mahathir yang hadir di persidangan IMF di Hong Kong menyeru supaya diharamkan urus niaga pertukaran asing di seluruh dunia.

25 September S&P meminda penarafan mata wang jangka panjang Malaysia kepada negatif daripada stabil.

17 Oktober Malaysia umumkan belanjawan berjimat bagi tahun 1998. Kadar pertumbuhan ialah 7.0 peratus bagi tahun 1998, defisit akaun semasa 4.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Tarif bagi kereta import dan jentera berat dinaikkan, cukai lebih rendah bagi produk tempatan dan sektor korporat.

Belanjawan itu disifatkan sebagai ubat 'pahit' yang mujarab untuk pemulihan ekonomi.

20 Oktober Pasaran memberikan reaksi negatif kepada belanjawan.

31 Oktober IMF umumkan pakej bantuannya kepada Indonesia di bawah syarat-syarat yang ketat.

13 November Pengarah Urusan IMF, Michel Camdessus berkata Malaysia tidak memerlukan pakej bantuan daripada badan antarabangsa itu.

15 November Malaysia berkata ia telah menyiapkan draf peraturan bagi mengawasi urus niaga mata wang yang akan dikemukakan kepada IMF.

17 November United Engineers (UEM) berkata ia membeli 32.6 peratus kepentingan dalam Renong Bhd., dengan RM2.34 bilion daripada pinjaman. Usaha itu dianggap oleh kalangan pelabur sebagai membantu pemegang saham utama dalam syarikat itu daripada masalah kewangan.

18 November Pasaran saham BSKL jatuh menjunam, kerugian 6.22 peratus kepada 625.77 berikutan isu UEM bekas anak syarikat Renong Bhd. mengambil alih Renong Bhd.

19 November Pengerusi Eksekutif Renong Bhd., Halim Saad menafikan tindakannya ialah untuk menyelamatkan kedudukan kewangannya dan juga urus niaga itu tidak menurut peraturan, tetapi harga saham terus jatuh.

20 November Ekran Berhad menarik diri daripada meneruskan pembinaan projek raksasa empangan hidroelektrik Bakun di Sarawak. Berikutan keputusan itu kerajaan terpaksa mengambil alih projek bernilai RM13.4 bilion itu berkuat kuasa serta-merta. Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, keputusan pengambilalihan itu dibuat setelah Ekran iaitu pemegang saham terbesar Bakun Hydroelectric Corporation Sdn. Bhd. tidak lagi berminat untuk meneruskan projek itu. Ekran Berhad adalah syarikat swasta yang dikawal oleh jutawan Sarawak, Tan Sri Ting Phek Kiing.

21 November Dr. Mahathir berkata bank-bank tidak boleh memberhentikan daripada membuat panggilan margin ke atas para pelabur pasaran saham yang terbabit.

21 November Indeks komposit jatuh ke paras terendah terbaru 512.41, sementara ringgit mencecah paras 3.45.

28 November Malaysia mengumumkan ekonominya bertumbuh 7.4 peratus bagi suku ketiga tahun 1997 berbanding 8.4 peratus dalam suku kedua.

1 Disember Menteri-menteri kewangan ASEAN merangka pelan untuk membantu satu sama lain dengan dana-dana semasa darurat, tetapi tidak bersetuju dengan syor sebuah dana penyelamat yang bebas daripada IMF yang disyorkan Malaysia.

5 Disember Ringgit jatuh ke paras terendah baru 3.8650 bagi setiap dolar.

Pada 4.00 petang itu Anwar mengumumkan bahawa ramalan pertumbuhan bagi Malaysia untuk 1998 telah dipinda kepada 4 hingga 5 peratus daripada 7 peratus, unjuran defisit kepada 3 peratus daripada 4 peratus.

Perbelanjaan kerajaan akan dipotong sebanyak 18 peratus dan kredit akan diperketatkan lagi, yang menyebabkan ringgit dan indeks komposit BSKL meningkat tinggi pada lewat petang.

1