Bukit Antarabangsa masih zon kecemasan

KUALA LUMPUR 16 Mei - Pihak berkuasa masih meletakkan kawasan Bukit Antarabangsa di sini sebagai zon kecemasan berikutan beberapa kejadian kecil tanah runtuh sejak kejadian pertama pukul 5.40 pagi semalam.

Kejadian terbaru melibatkan runtuhan berukuran 15 hingga 20 meter di kawasan tebing kira-kira 50 meter dari kondominium Wangsa Height, di kawasan Taman Hillview iaitu salah sebuah daripada dua kondominium yang diarah supaya dikosongkan atas sebab keselamatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kecemasan Bukit Antarabangsa, Datuk Seri Fuad Hassan berkata, runtuhan batu dan pasir di tebing kondominium Wangsa Height itu mungkin berlaku malam tadi atau awal pagi ini berdasarkan pemeriksaan berterusan sejak petang semalam.

''Pakar-pakar berpendapat keadaan masih tidak selamat, sehingga itu keadaan diletakkan di bawah keadaan berjaga-jaga.

''Kita juga meminta semua penghuni khususnya di kawasan sekitar meninggalkan rumah masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian buruk,'' katanya selepas mengadakan mesyuarat antara agensi-agensi penyelamat di sini, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Teknologi Maklumat Selangor berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengiringi Menteri Besar, Datuk Seri Abu Hassan Omar melawat kawasan kejadian.

Dalam pada itu, orang ramai dikehendaki menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Sungai Sering sejauh dua kilometer melalui Taman Bukit Mulia untuk pergi dan balik ke taman-taman terbabit di bukit itu.

Jalan alternatif itu kini sedang dinaikkan tarafnya kepada jalan yang lebih kukuh memandangkan keadaannya yang tidak begitu baik buat masa ini.

''Kenaikan tarafnya penting memandangkan ia akan digunakan oleh lebih 10,000 penghuni di taman terbabit mulai esok,'' jelasnya.

Dalam kejadian semalam lebih 10,000 penghuni di tujuh taman perumahan, Bukit Mewah, Bukit Jaya, Mulia, Utama, Ukay, Wangsa Ukay dan Taman Hillview terperangkap setelah jalan utama, Jalan Wangsa 3 sepanjang 150 meter tertimbus dalam kejadian tanah runtuh.

Runtuhan itu membabitkan tebing setinggi 130 meter di kawasan seluas dua hektar. Runtuhan kedua berlaku pada pukul 11 pagi semalam di kawasan seluas 0.5 hektar membabitkan kawasan sub-stesen Tenaga Nasional Berhad dan loji Indah Water Konsortium.

Ia bagaimanapun tidak mengganggu bekalan elektrik ke kawasan terbabit.

Fuad seterusnya berkata, sebuah lagi kediaman, Kondominium Athenaeum yang mempunyai 340 unit rumah dengan jumlah penghuni lebih 1,000 orang telah hampir kosong, kecuali dua keluarga warga Iran yang enggan meninggalkan Kondominium Athenaeum atas alasan tidak mempunyai tempat untuk dituju.

''Kita telah bertemu dengan mereka dan memberitahu bahawa sebuah kawasan telah disediakan bagi berteduh, tetapi mereka tetap enggan berpindah dan memberikan pelbagai alasan termasuk isteri sedang sarat mengandung,'' katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih merasa bimbang dengan keadaan sekarang berikutan keadaan cuaca yang dilaporkan akan berterusan dengan hujan lebat sehingga akhir Mei ini.

Kata Fuad, faktor penyebab kejadian itu masih belum dapat dipastikan kerana Jabatan Geologi, Pejabat Tanah dan Galian dan Pejabat Daerah Gombak masih meneruskan tugas.

Jelas beliau, perkembangan seterusnya akan dapat diumumkan selewat-lewatnya tengah hari esok selepas jawatankuasa tersebut mengadakan mesyuarat.

Ditanya apakah kerajaan negeri akan meminta bantuan pakar asing bagi menangani masalah itu, beliau berkata:

''Kita mempunyai pakar-pakar tempatan yang terlatih bagi menangani masalah ini, penglibatan mereka (pakar asing) setakat ini belum diperlukan.''

Beliau menambah, berikutan kejadian itu, satu laporan keseluruhan akan disediakan oleh pihaknya bagi dibentangkan pada mesyuarat Exco, Rabu ini.

Sementara itu beliau berkata, bekalan air yang terputus setelah paip ke kawasan itu musnah dalam kejadian itu akan terus dihantar menggunakan tujuh lori tangki Jabatan Bekalan Air (JBA) Selangor.

''Kita juga akan meletakkan tangki-tangki statik di tempat yang sesuai bagi memastikan bekalan air bersih ke kawasan ini tidak terputus,'' jelasnya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Mohamad Nik memberitahu, jalan masuk ke taman itu yang telah pun dibersihkan kesan runtuhan tanah terpaksa ditutup kepada umum kerana ia disifatkan berbahaya.

Katanya, ia hanya dibuka untuk laluan logistik sahaja seperti membawa masuk bekalan air dan penyediaan bekalan elektrik untuk penghuni terbabit.


© UTUSAN MELAYU (M) BHD, 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur.
E-mail: online@utusan.com.my
1