BAB 3
METODOLOGI PENYELIDIKAN
3.1 Pengenalan
Metodologi penyelidikan merujuk kepada cara memperolehi maklumat bagi mencapai sesuatu matlamat penyelidikan (Majid : 1993). Tujuan kajian ini dijalankan ialah untuk mengetahui persepsi murid terhadap perlaksanaan amali pertanian di sekolah. Oleh itu bab ini akan membincangkan kaedah penyelidikan yang digunakan dalam mengukur sikap murid pelajar terhadap amali pertanian mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu. Bab ini akan menjelaskan rekabentuk kajian, alat yang telah digunakan untuk menjalankan kajian, populasi dan persampelan kajian. Selain itu, bab ini akan menbincangkan tatacara pengumpulan dan penganalisisan data yang diperolehi daripada responden.
3.2 Reka Bentuk Kajian
Menurut Kerlinger (1973), reka bentuk kajian adalah bertujuan untuk mencari maklumat dan mengawal varians yang tidak berkaitan dengan penyelidikan. Oleh itu satu reka bentuk kajian yang kemas diperlukan untuk mendapatkan maklumat bagi menjawab persoalan kajian. Dalam kajian ini, penyelidik telah memilih reka bentuk tinjauan (survey) dengan menggunakan kaedah soal selidik. Kaedah tinjauan didapati sesuai dalam pengurusan kajian seperti ini kerana tinjauan yang hendak dilakukan hanya mengenai sikap responden terhadap tajuk persoalan yang dikemukakan. Selain itu ia hanya melibatkan kerja-kerja pengumpulan data dan maklumat daripada responden yang terlibat sahaja. Kajian ini tidak berhasrat untuk membuat perbandingan atau mengkaji perkaitan atau mencari sebarang perkaitan. Oleh itu lain-lain kaedah penyelidikan tidak diperlukan.
Menurut Issac (1982), kaedah tinjauan adalah satu cara untuk mengumpul maklumat bagi menjelaskan ciri-ciri atau sifat pelbagai data termasuk data yang merangkumi pandangan dan sikap. Maklumat yang diperolehi akan digunakan untuk menyatakan keadaan sebenar sesuatu perkara yang berkaitan dengan sesuatu komuniti dalam konteksnya yang tersendiri.
Maklumat yang diperolehi akan digunakan bagi menjawab persoalan-persoalan yang ditimbulkan pada bahagian awal sesuatu kajian. Antara kelebihan kaedah tinjauan ialah ianya boleh meliputi populasi yang luas. Kaedah ini juga boleh digunakan untuk mengumpul data daripada responden menyentuh persoalan nilai, pandangan dan perhubungan sosial responden berkenaan.
Babbie (1973) menyatakan, kaedah tinjauan menggunakan soal selidik sebagai alat kajian adalah bersifat logik, saintifik dan khusus. Ukuran secara kuantitatif dan kualitatif mudah diperolehi dan dengan ini dapat membantu penyelidik dalam meninjau pandangan responden berkaitan nilai, pengalaman dan perhubungan sosial mereka.
Menurut Syed Arabi (1993) soal selidik adalah satu alat yang penting bagi seseorang pengkaji kerana kualiti atau mutu soal selidik akan menentukan nilai penyelidikan pada keseluruhannya. Jika soalan dalam soal selidik kabur, maka jawapan yang diperolehi itu tidak akan memberikan pengertian yang nyata.
Kajian berbentuk soal selidik adalah satu bentuk kajian yang popular digunakan di kalangan penyelidik kerana soal selidik boleh merangkumi bidang yang luas dan boleh dirangka dengan mudah. Soalan-soalan dinyatakan dengan jelas sehingga responden boleh menjawabnya tanpa memerlukan kehadiran penyelidik. Melalui soal selidik maklumat berhubung dengan responden boleh dirahsiakan. Ini membolehkan responden menjawab soalan berkenaan dengan selesa tanpa perlu rasa tertekan atau bimbang.
Walau bagaimanapun, langkah pengawasan yang longgar boleh mengakibatkan tahap perolehan yang rendah. Selain itu mungkin terdapat soalan-soalan dalam soal selidik yang sukar difahami oleh responden atau ayat yang dikemukakan akan menghasilkan tafsiran yang berbeza-beza di kalangan responden. Ini akan menghasilkan jawapan yang kurang tepat dari responden yang berpunca dari kelemahan penyelidik dalam menyusun struktur ayat dalam soal selidik tersebut.
Bentuk soalan yang dikemukakan dalam soal selidik ini adalah soalan tertutup. Jenis soalan ini mudah untuk dianalisis dan menyenangkan responden untuk memberikan jawapan kerana dia hanya dikehendaki memilih satu dari beberapa jawapan yang diberikan (Syed Arabi: 1993).
3.3 Populasi Dan Sampel
Persampelan merupakan pengambilan sebahagian pecahan dari suatu populasi atau juzuk penuh sebagai mewakili populasi atau juzuk itu (Kerlinger,1973). Sampel kajian diambil daripada sembilan buah sekolah menengah di Daerah Perak Tengah yang menawarkan mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3.
Sekolah yang terlibat ialah:-
3.2.1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Azlan Shah
3.2.2 Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Abdul Rahman Yaakob
3.2.3 Sekolah Menengah Kebangsaan Changkat Lada
3.2.4 Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Seri Maharajalela
3.2.5 Sekolah Menengah Kebangsaan Lambor Kiri
3.2.6 Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muzaffar Shah I
3.2.7 Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-layang Kiri
3.2.8 Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muhammad Shah
3.2.9 Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Abdul Jalil Shah
Bentuk persampelan adalah berdasarkan kaedah Rawak Mudah Berstrata . Jumlah pelajar Tingkatan Tiga ( Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 ) sekolah menengah bantuan penuh kerajaan di daerah Perak Tengah ialah sebanyak 511 orang. Oleh itu sampel yang disyorkan adalah sebanyak 226 ( Sekaran : 1992 ).
Berikut adalah bilangan borang soal selidik yang diagihkan dan bilangan yang diterima mengikut sekolah
Jadual 3.1 : Agihan dan Terimaan Semula Borang Soal Selidik
Nama Sekolah |
Sampel |
Terimaan |
SMK Agama Sultan Azlan Shah |
35 |
35 |
SMK Dato Abdul Rahman Yaakob |
30 |
30 |
SMK Changkat Lada |
28 |
28 |
SMK Dato Seri Maharajalela |
14 |
14 |
SMK Lambor Kiri |
12 |
12 |
SMK Sultan Muzaffar Shah I |
32 |
32 |
SMK Layang-layang Kiri |
14 |
14 |
SMK Sultan Muhammad Shah |
35 |
35 |
SMK Sultan Abdul Jalil Shah |
26 |
26 |
JUMLAH |
226 |
226 |
3.3 Instrumen
Alat kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah satu set soal selidik yang terdiri daripada 43 soalan. Teknik soal selidik digunakan memandangkan ia mempunyai kelebihan. Sekaran (1992) berpendapat bahawa kajian soal selidik bagi mendapatkan data merupakan cara terbaik dalam pengumpulan maklumat. Terdapat banyak instrumen yang dihasilkan untuk mengukur sikap. Responden dikehendaki menjawab semua soalan yang dikemukakan secara bertulis berdasarkan arahan yang disertakan.
Soal selidik di bahagikan kepada tiga bahagian iaitu :-
Bahagian A
Bahagian ini mengandungi 18 pernyataan berkaitan amali pertanian yang dilaksanakan di sekolah. Pernyataan diikuti dengan skala Likert yang diubahsuaikan menjadi 4 pilihan jawapan iaitu sangat setuju, setuju, tidak setuju dan sangat tidak setuju. Responden dikehendaki memilih satu daripada empat pilihan tersebut.
Bahagian B
Bahagian ini terdapat 16 tajuk amali pertanian sebagaimana yang terdapat di dalam sukatan pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Tingkatan I hingga Tingkatan III. Responden dikehendaki menandakan sama ada telah melaksanakannya. Sekiranya responden telah melaksanakannya, mereka diminta menandakan pada `1 (Ya) dan sekiranya belum menandakan pada `2 (Tidak).
Bagi soalan terakhir, responden diminta menyatakan sama ada terdapat kemudahan tertentu untuk menjalankan kerja amali di sekolah masing-masing. Kemudahan atau prasarana amali bermaksud bangunan atau tempat khas yang dikhususkan untuk aktiviti amali tertentu. Terdapat tiga kemudahan asas untuk melaksanakan amali iaitu Unit Hortikultur, Kebun Sayur dan Reban Ternakan. Jika terdapat kemudahan berkenaan, responden diminta menanda pada `1 (Ya) atau jika tidak terdapat, responden menanda pada `2 (Tidak).
Bahagian C
Bahagian ini memerlukan responden memberikan maklumat mengenai diri mereka. Maklumat meliputi sedikit faktor demografi, penentuan pemilihan mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu dan pencapaian responden dalam mata pelajaran ini. Responden dikehendaki menandakan pilihan jawapan yang berkaitan dengan diri masing-masing. Bagi maklumat bilangan rakan sekelas, bilangan murid kurang daripada 15 orang adalah dianggap `kecil, 16 hingga 30 murid adalah `sederhana dan lebih daripada 30 orang adalah `besar. Manakala pencapaian dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu adalah merujuk kepada panduan penilaian kerja kursus Penilaian Menengah Rendah oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia iaitu ; `A (Cemerlang), `B (Baik), `C (Sederhana), `D (Lemah) dan `E (Tidak mencapai tahap).
3.3 Kajian Rintis
Soal selidik ini telah dibuat kajian rintis terlebih dahulu untuk menguji ketekalan dalaman (internal consistensy). Ujian kesahihan dan kebolehpercayaan penting untuk mengukur kebolehan instrumen yang digunakan. Kebolehpercayaan ialah ketepatan dan kestabilan mata atau markah dari skala pengukuran (Davis dan Cosenza : 1993) Kebolehpercayaan jawapan responden daripada kajian rintis yang diperolehi ialah pada µ 0.709 (Lampiran C). Keseluruhan koeffisien Alpha item soalan menunjukkan lebih dari 0.60. Ini bererti kebolehpercayaan alat ujian boleh digunakan (Mohd Majid:1990). Menurut Sekaran (1992), semakin hampir nilai alpha kepada 1.0, maka semakin tinggi kebolehpercayaan dalamannya. Nilai Alpha yang kurang dari 0.60 dianggap lemah, 0.60 hingga 0.79 boleh diterima manakala 0.80 ke atas dianggap sebagai baik
3.4 Prosedur Pengumpulan Data
Kebenaran untuk menjalankan kajian di sekolah-sekolah menengah diperolehi daripada Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pendidikan. Seterusnya penyelidik mendapatkan kebenaran menjalankan soal selidik daripada pengetua sekolah berkenaan.
Dengan kebenaran pengetua sekolah dan kerjasama guru mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu, penyelidik mengedarkan borang soal selidik kepada responden yang telah dipilih secara rawak.
Responden diberi masa tiga puluh minit untuk menjawab soal selidik tersebut dan diberi peluang bertanya sekiranya terdapat soalan yang kurang jelas atau kurang difahami. Sesi menjawab soal selidik dilaksanakan selepas waktu persekolahan dan murid tidak terdesak untuk menjawab dengan tergesa-gesa.
3.5 Prosedur Analisis Data
Maklumat yang diperolehi dari soal selidik telah dianalisis secara statistik diskriptif dan statistik inferensi dengan menggunakan program Statistical Packages for Social Science for Window Release 7.5 Analisis deskriptif digunakan untuk menguji kekerapan, min, peratusan serta penyusunan data. Manakala analisis inferensi digunakan untuk pengujian hipotesis. Hipotesis diuji dengan menggunakan perbandingan min Ujian-t dan analisis varians (ANOVA) pada aras signifikan 0.05 sebagai panduan bagi penerimaan atau penolakan sesuatu hipotesis. Maklumat yang dipersembahkan hanya intipati atau rumusan daripada keluaran komputer (computer output).
3.6 Kerangka Konseptual
Angkubah Bebas Angkubah Bersandar
1.Jantina 1.Persepsi murid mengenai
2. Latar Belakang Keluarga kepentingan amali
3. Ras KHB Pilihan 3
4.Saiz Kelas 2.Pencapaian Murid
Rajah 3.1 : Kerangka Konseptual Kajian