kembali semula

BAB 5

PERBINCANGAN, CADANGAN DAN KESIMPULAN

5.1 Pengenalan

Bab ini akan merangkumi ringkasan kajian, dapatan kajian dan perbincangan, kesimpulan kajian dan implikasi kajian. Pada akhir bab ini akan diberikan beberapa cadangan bagi penyelidikan selanjutnya yang boleh diselidik oleh penyelidik-penyelidik pada masa hadapan.

5.2 Ringkasan Kajian

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenal pasti persepsi murid terhadap perlaksanaan amali pertanian Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3. Maklum balas murid adalah di antara cara yang berkesan untuk mengetahui perlaksanaan aktiviti kurikulum. Oleh itu kajian ini dapat juga meninjau sejauh mana perlaksanaan amali di sekolah sama ada dapat dijalankan dengan lancar atau tidak. Manakala faktor sosio-demografi akan diuji sama ada mempengaruhi sikap pelajar tingkatan 3 terhadap pembelajaran mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu di sekolah menengah.

Penyelidikan dijalankan melibatkan aspek kualitatif dan kuantitatif. Pada keseluruhannya aspek kajian melibatkan pendekatan diskriptif untuk melihat bilangan dan peratusan latar belakang responden, analisis varian dan ujian-t untuk mengkaji perbezaan yang wujud. Secara khususnya pembolehubah bersandar kajian ini terdiri daripada sikap pelajar terhadap pembelajaran amali pertanian iaitu sebanyak 18 item soalan soal selidik dan pencapaian pelajar sebanyak 5 item. Manakala pembolehubah demografi bebas sebanyak 3 item, kemudahan prasarana amali 3 item dan peranan sekolah 2 item.

Fokus utama dalam penyelidikan ini ialah ingin melihat sama ada murid mempunyai sikap yang positif terhadap pembelajaran amali dan ingit mengetahui sama ada apa yang diperolehi membawa faedah kepada diri mereka. Daripada kajian ini juga ingin dikenal pasti amali yang dapat dilaksanakan dengan jaya dan sebaliknya untuk mengenal pasti amali yang kurang dilaksanakan di sekolah. Aspek prasarana amali di sekolah juga ditinjau melalui maklum balas daripada murid untuk mengetahui hubungan di antara amali yang dijalankan dengan kedapatan prasarana.

Populasi kajian ini terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan 3 yang memilih Pilihan 3 dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu di daerah Perak Tengah, Negeri Perak Darul Ridzuan. Di daerah ini terdapat sebanyak 9 buah sekolah menengah bantuan penuh kerajaan yang menawarkan Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 dengan jumlah murid Tingkatan 3 menduduki Pilihan 3 (pertanian) seramai 511 orang. Seramai 226 orang murid dari 9 buah sekolah telah dipilih sebagai sampel kajian. Daripada jumlah sampel tersebut, sebanyak 226 atau 100% borang soal selidik telah dikembalikan dengan lengkap maklumatnya.

Data yang diperolehi daripada borang soal selidik telah dianalisis dengan menggunakan program Statistical Package for Social Science (SPSS windows 7.5) Penyelidikan dijalankan melibatkan aspek kualitatif dan kuantitatif. Pada keseluruhannya aspek kajian melibatkan pendekatan diskriptif untuk melihat bilangan dan peratusan latar belakang responden, ujian-t dan analisi varians untuk menguji sama ada terdapat perbezaan yang signifikan antara pembolehubah-pembolehubah. Kesemua pengujian hipotesis dalam penyelidikan ini tahap signifikannya pada paras 0.05.

5.2 Dapatan dan Perbincangan

Sebagai menjawab persoalan kajian berhubung persepsi murid terhadap amali pertanian, didapati mereka menyetujui bahawa amali pertanian adalah berfaedah. Kerja amali yang mendatangkan hasil seperti hasil tanaman atau ternakan, menjayatumbuhkan tanaman hiasan dan sebagainya disukai oleh murid Murid juga suka kepada amali yang boleh dilakukan apabila balik dirumah. Contoh amali yang boleh mereka manfaatkan apabila mereka balik ke rumah ialah menanam tanaman hiasan, menanam sayur-sayuran atau berternak haiwan ternakan. Sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh Phipps dan Osborne (1990) iaitu pengetahuan dan kemahiran yang berfaedah dan boleh digunakan adalah di antara faktor asas pengajaran pertanian yang baik.Manakala dalam kaedah penemuan pula, penglibatan pelajar secara aktif bermula dengan mengenal pasti sehingga memperolehi hasil dan membuat rumusan boleh menjadikan murid lebih bermotivasi.Sikap positif ini di

Walau bagaimanapun, murid tidak bersetuju sepenuhnya dengan kenyataan bahawa amali yang dilakukan di sekolah belum pernah mereka lakukan sebelumnya . Ini bermakna terdapat amali yang biasa bagi sebahagian daripada murid. Ini mungkin disebabkan 55.8% daripada responden ada latar belakang pertanian. Amali yang lebih mencabar seperti penggunaan teknik terkini dalam pertanian seperti penanaman sayur secara hidroponik disukai oleh murid sebagaimana pandangan Gagne (1977). Didapati murid bersikap positif untuk melakukan sendiri amali dan tidak mengharapkan murid lain membuat amali untuk dirinya. Lawatan sambil belajar boleh menambah pengetahuan murid dan dapat mengaitkan pengalaman di sekolah dengan keadaan sebenar memang disukai murid selaras dengan pandangan Atan Long (1991) dan Shahril et.al.(1993).Semasa menjalankan amali, murid bersikap positif untuk bertanya kepada guru jika ada perkara yang tidak difahaminya.

Berhubung dengan kaedah pengajaran menurut persepsi murid, didapati mereka menyakini kebolehan guru mengendalikan amali pertanian. Guru juga didapati sentiasa bersedia untuk membimbing murid melakukan amali. Kedua-dua aspek ini penting untuk menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran kerana ia boleh menghasilkan interaksi yang positif diantara murid dan guru (Zaidatol Akmaliah : 1990). Menurut murid lagi, guru didapati turut berusaha menerapkan nilai murni iaitu menggalakkan kerjasama dalam kumpulan. Sentiasa menegur murid yang melakukan kesilapan semasa amali dijalankan adalah satu daripada kaedah maklum balas yang disarankan oleh Phipps dan Osborne (1990) didapati diamalkan oleh guru. Dengan cara ini kemajuan dan kualiti kerja murid dapat diketahui segera sebagai asas untuk pencapaian yang berterusan. Arahan yang diberi oleh guru sebelum amali dijalankan juga jelas dan aspek ini penting dalam pengajaran amali kerana arahan yang kabur boleh menyebabkan murid rasa bosan serta pembaziran masa, tenaga dan bahan atau kegagalan.

Walau pun murid bersetuju dengan kesesuaian tempat amali dijalankan di sekolah, secara keseluruhan masih terdapat masalah berkaitan kecukupan bahan dan peralatan untuk menjalankan amali. Contoh bahan yang diperlukan untuk menjalankan amali di antaranya ialah termasuklah baja, hormon pengakaran, pita cantuman, bahan kimia, benih tanaman dan sebagainya. Manakala contoh alat yang diperlukan ialah seperti sekatur, pisau cantuman, radas makmal, kelengkapan ternakan, cangkul, pasu dan lain-lain. Dari segi masa didapati murid tidak sepenuhnya bersetuju bahawa masa yang diperuntukan mencukupi. Sememangnya terdapat amali pertanian mengambil masa yang panjang untuk disiapkan terutama sekiranya saiz kelas yang besar dan peralatan serta bahan yang terhad. Contohnya; penyediaan campuran tanah, pembiakan tanaman hiasan, pemvaksinan ternakan dan lain-lain.

Dari segi perlaksanaan amali yang disenaraikan di dalam huraian sukatan pelajaran, didapati ramai murid yang masih belum melakukan amali tersebut. Murid yang belum melakukan amali adalah seperti berikut; ujikaji pH tanah 56.2%, ujikaji kadar saliran 46.9% dan ujikaji kandungan tanah 46.7%.Amali ini boleh dijalankan dalam makmal atau bilik darjah tetapi ramai yang tidak membuatnya dimana amali ini sepatutnya telah dilaksanakan semasa di Tingkatan I. Bagi amali menanam sayur-sayuran, peratus maksimum murid yang terlibat ialah 78.8% iaitu bagi aktiviti penyediaan batas dan menyiram. Hanya 66.8% yang menyemai benih, 54.0% mengubah, 64.2% menyiram, 64.2% membaja dan 54.0% memetik hasil. Keadaan ini mungkin disebabkan kemudahan kebun sayur yang terhad bagi sekolah tertentu dimana 17.3% murid menyatakan sekolah mereka tidak terdapat kebun sayur. Tetapi jika berdasarkan maklum balas responden, sepatutnya peratus murid yang terlibat dalam aktiviti kebun sayur ialah 82.7% dan dilaksanakan semasa Tingkatan I. Begitu juga dengan tanaman jagung yang dijadualkan dilaksanakan semasa Tingkatan II, penglibatan murid hanya 52.7% tanpa mengambil kira aktiviti penjagaan dan pungutan hasil jagung yang didapati peratusnya lebih rendah. Walaupun kawasan terhad, kebun sayur boleh diusahakan untuk menanam jagung.

Menternak ayam atau puyuh atau arnab disyorkan dijalankan semasa Tingkatan II. Didapati penglibatan murid paling rendah iaitu sebanyak 19.5%. Punca penglibatan murid yang rendah ini boleh dikaitkan dengan kedapatan kemudahan untuk menjalankan aktiviti ternakan di sekolah. Sebanyak 78.3% responden menyatakan sekolah mereka tidak mempunyai reban ternakan. Tanpa reban memang sukar dijalankan aktiviti ternakan bagi tujuan pembelajaran. Oleh itu, ramai murid yang `terlepas’ peluang untuk memperolehi kemahiran asas di bidang penternakan terutama aspek pengurusan bermula daripada peringkat `mendidik’ sehingga pemasaran.

Perlaksanaan amali tanaman hiasan disyorkan semasa Tingkatan III. Sehingga kajian ini dijalankan, penglibatan pelajar ialah 64.6% dan dijangka akan meningkat sebab berpandukan sukatan pelajaran, amali masih terus berjalan sehingga sebelum Peperiksaan Menengah Rendah bermula.

Walaupun hanya 57.1% responden menyatakan di sekolah mereka terdapat unit hortikultur, amali ini masih boleh dijalankan dengan kemudahan ruang khas yang minimum. Bagaimana pun dengan mempunyai unit hortikultur, proses pengajaran dan pembelajaran dapat diadakan dengan lebih menarik dan berkesan.

Berdasarkan pengujian hipotesis, didapati tidak ada perbezaan di antara murid lelaki dan murid perempuan berkaitan sikap mereka terhadap amali pertanian. Mereka mempunyai sikap yang positif dalam melaksanakan aktiviti amali. Begitu juga dengan murid yang latar belakang keluarga mereka ada kaitan dengan pertanian dan murid yang keluarga mereka tidak ada latar belakang pertanian juga tidak ada perbezaan persepsi mengenai pembelajaran amali pertanian. Walau bagaimana pun terdapat perbezaan sikap di antara murid yang memilih sendiri untuk mengikuti Pilihan 3 (pertanian) dengan murid yang telah ditetapkan oleh sekolah dalam Pilihan 3. Sikap murid yang telah ditetapkan mengikuti Pilihan pertanian lebih positif berbanding murid yang dibiarkan memilih sendiri jurusan yang dikehendaki. Dari segi pencapaian akademik mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu, terdapat perbezaan di antara murid lelaki dan murid perempuan. Didapati pencapaian murid lelaki dalam mata pelajaran ini lebih baik berbanding murid perempuan. Ini ada kaitan dengan perbezaan persepsi faedah amali pertanian di antara murid lelaki dan murid perempuan. Hasil kajian mendapati murid lelaki sikap yang lebih positif berkaitan faedah amali pertanian berbanding murid perempuan. Selaras dengan pandangan Atkinson (1978), dengan menyedari faedah pembelajaran, murid lebih bermotivasi dan berusaha untuk mendapat sesuatu dengan lebih baik.

Semasa membandingkan sikap mengenai faedah amali pertanian di antara murid daripada keluarga berlatar belakang pertanian dengan murid daripada keluarga tiada latar belakang pertanian didapati kalangan murid tiada latar belakang pertanian lebih positif. Kecenderungan murid untuk mengetahui sesuatu perkara yang tidak diketahui sebelumnya akan menarik minat murid jika digarap dengan bijak (Eggen & Kauchak :1997). Berkemungkinan murid yang telah biasa dengan pertanian menganggap amali yang dilakukan adalah perkara biasa dilakukan. Manakala murid yang mempelajari sesuatu yang baru akan lebih berminat dan lebih bersungguh-sungguh untuk mempelajarinya serta beroleh faedah darinya.

Sikap murid terhadap amali juga ada kaitan dengan kemudahan amali yang disedoiakan oleh sekolah. Murid di mana sekolah mereka mempunyai kelengkapan yang lebih baik mempunyai sikap yang lebih positif berbanding murid yang sekolah mereka kurang kemudahan melaksanakan amali pertanian.

Terdapat tiga kelompok saiz kelas iaitu kecil (15 murid sekelas atau kurang), sederhana (16 hingga 30 murid sekelas) dan besar (lebih daripada 15 murid sekelas). Sebanyak 39.5% responden menyatakan mereka menduduki kelas yang mempunyai ramai murid. Dari segi pengajaran dan pembelajaran, banyak masalah yang timbul terutama semasa sesi amali. Berkemungkinan besar murid terpaksa berkongsi bahan dan alat serta menghadapi masalah ruang. Guru juga akan menghadapi masalah penyeliaan yang berkesan. Walau bagaimanapun hasil soal selidik mendapati tidak ada perbezaan persepsi terhadap amali pertanian di antara ketiga-tiga kelompok kelas ini.

5.3 Kesimpulan

Daripada kajian yang telah dijalankan, kesimpulan dapatan ini adalah seperti berikut:

5.3.1 Murid-murid di daerah Perak Tengah mempunyai persepsi yang positif terhadap amali pertanian Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3.

5.3.2 Murid-murid mempunyai persepsi yang positif terhadap guru yang mengajar mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3.

5.3.3 Dari segi faedah pembelajaran amali pertanian, murid-murid bersikap positif dan menyatakan mata pelajaran ini adalah berfaedah kepada mereka.

5.3.4 Kemudahan menjalankan amali pertanian di sekolah yang menawarkan Mata Pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 masih belum mencukupi terutama untuk amali ternakan.

5.3.5 Terdapat ramai murid yang tidak melaksanakan beberapa tajuk amali semasa di Tingkatan I dan Tingkatan II terutama berkaitan ternakan.

5.3.6 Terdapat perbezaan dari segi pencapaian akademik di antara murid lelaki dan murid perempuan. Didapati pencapaian murid lelaki lebih baik berbanding murid perempuan.

5.3.7 Terdapat perbezaan dari segi pencapaian akademik murid dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu bagi sekolah yang lebih lengkap kemudahan amali berbanding sekolah yang kurang kemudahan amali.

5.4 Cadangan

Berdasarkan hasil kajian yang telah dijalankan, pengkaji ingin mengemukakan beberapa syor ke arah menambah baik perlaksanaan amali pertanian Kemahiran Hidup Bersepadu supaya selaras dengan hasrat wawasan pendidikan sebadai wadah kepada wawasan 2020.

5.4.1 Peranan Sekolah

Kemudahan amali adalah prasyarat untuk menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran. Semua sekolah perlu menyediakan bahan, alatan dan prasarana amali sebagaimana yang dinyatakan di dalam Huraian Sukatan Pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Tingkatan I , Tingkatan II dan Tingkatan III. Sokongan pentadbir sekolah terhadap aktiviti kelas atau persatuan adalah diperlukan untuk meniup semangat guru dan murid yang terlibat. Dalam penjurusan pilihan mata pelajaran ini, pentadbir perlu bersikap adil supaya tidak mengelompokkan pelajar lemah di jurusan pertanian mengikut hasil kajian penyelidik sebelum ini. Sekurang-kurangnya murid mesti diberi peluang untuk memilih jurusan yang diminati oleh mereka.

5.4.2 Peranan guru.

Guru perlu bersikap serta bertindak kreatif dan inovatif dalam proses pengajaran untuk menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan. Dari masa ke semasa, guru mesti mengemaskini pengetahuan mereka dengan perkembangan terkini sama ada dari aspek pedagogi dan trend pertanian masa kini.

Guru perlu berusaha menghidupkan aktiviti kokurikulum sebagai sokongan dan kesinambungan aktiviti pembelajaran kerana jadual waktu yang diperuntukan untuk amali pertanian adalah terhad. Contoh aktiviti ialah penanaman sayuran atau tanaman hiasan dan ternakan haiwan atau ikan secara komersil. Pemilihan jenis tanaman adalah yang boleh menarik minat pelajar seperti tomato, asparagus, orkid, ros dan lain-lain. Selain dapat mengukuhkan pengetahuan dan menambah pengalaman murid, guru dapat menerapkan ciri keusahawanan di kalangan murid dengan lebih berkesan. Imej pertanian di sekolah boleh dipertingkatkan dengan penglibatan aktif guru dan murid serta daripada hasil aktiviti yang ditunjukkan.

5.4.3 Peranan Unit Teknikal Jabatan Pendidikan Negeri

Pemantauan secara berkala daripada unit ini adalah penting untuk menentukan perlaksanaan kurikulum dijalankan dengan lancar. Sebarang masalah dapat dikenal pasti dengan segera dan guru atau sekolah yang menghadapi masalah dapat dibantu. Kekangan masa dan tenaga daripada unit ini boleh di atasi dengan menggunakan Kakitangan Sumber mata pelajaran yang dilantik.

Pada masa ini tidak ada panduan menyediakan bangunan atau ruang kemudahan amali pertanian Kemahiran Hidup Bersepadu. Reka bentuk serta penyediaannya adalah di atas inisiatif guru yang mengajar mata pelajaran tersebut di sekolah. Dicadangkan semua Unit Teknikal, Jabatan Pendidikan Negeri-negeri dapat menyelaraskan penyediaan garis panduan ini.

Contohnya, Unit Teknikal boleh mencadangkan `Struktur Pelindung Hujan’ sebagai tempat berkebun sayur di mana kebaikan yang boleh didapati ialah :

Pengeluaran hasil bermutu tinggi

Aktiviti dapat dijalankan tanpa gangguan (terutama hujan)

Penggunaan baja lebih berkesan dan penggunaan racun perosak secara minimum.

Kerjasama daripada agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), Universiti Putra Malaysia, Jabatan Pertanian Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Haiwan boleh diperolehi untuk kepentingan pendidikan negara.

5.4.4 Peranan Pusat Perkembangan Kurikulum

Kurikulum ini telah dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun 1992. Setelah lebih daripada enam tahun, terdapat perkembangan dan trend baru dalam pertanian. Pusat Perkembangan Kurikulum disarankan supaya menyemak semula kurikulum mata pelajaran ini khususnya berkaitan dengan amali pertanian. Penggunaan teknologi baru atau mengikut keperluan semasa dan lebih mencabar boleh meningkatkan imej pertanian dari sudut pandangan murid dan masyarakat. Contohnya; penanaman secara hidroponik sebagai alternatif kepada berkebun sayur secara konvensional, akuakultur ikan hiasan sebagai alternatif kepada ternakan ayam dan bonsai sebagai alternatif kepada tanaman hiasan biasa. Kemungkinan alternatif tersebut boleh dilaksanakan semasa aktiviti kokurikulum tetapi sekiranya pihak Pusat Perkembangan Kurikulum dapat mengemukakan garis panduan lengkap mengenainya, ia akan dapat dijalankan dengan lebih berjaya. Dengan cara ini, pilihan pertanian tidak hanya popular di sekolah menengah luar bandar malahan boleh menarik minat murid yang keluarga tiada latar belakang pertanian di bandar kerana ia masih boleh dimanfaatkan.

5.5 Cadangan Untuk Penyelidikan Akan Datang

Berdasarkan kepada dapatan kajian ini, pengkaji merasakan perlunya dibuat kajian lanjutan untuk memperkukuh dan mendalami bidang kajian. Dalam kajian ini pengkaji hanya tertumpu pada satu daerah sahaja. Untuk penyelidikan akan datang dicadangkan agar responden diwakili oleh semua sekolah yang menawarkan Kemahiran Hidup Bersepadu di Malaysia. Dengan cara ini, dapatan adalah lebih menyeluruh dan dapatan kajian nanti dapat digunakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, Unit Teknikal Jabatan Pendidikan Negeri dan semua sekolah yang menawarkan mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu Pilihan 3 bagi tujuan peningkatan mutu pengajaran dan pembelajaran amali pertanian serta boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh murid.

Dalam kajian ini, responden hanya terdiri daripada murid Tingkatan III. Berkemungkinan dalam jangka masa dua tahun keadaan telah berubah sebab soal selidik menyentuh situasi responden tersebut semasa murid berada dalam Tingkatan I dan Tingkatan II dan keputusan kajian tidak mewakili murid Tingkatan I dan Tingkatan II pada masa yang sebenar. Oleh itu disarankan, penyelidikan akan datang ditumpukan juga kepada murid Tingkatan I dan Tingkatan II. Soal selidik juga disarankan meliputi aspek masalah yang dihadapi murid secara lebih terperinci.

Walaupun ada kajian dijalankan mengenai persepsi guru yang mengajar mata pelajaran ini, ia telah dijalankan di peringkat awal perlaksanaannya iaitu lebih daripada lima tahun yang lepas. Kajian susulan diperlukan untuk mengenal pasti masalah guru yang bertindak sebagai barisan depan melaksanakan kurikulum yang diarahkan serta untuk mengenal pasti keperluan masa kini guru-guru berkenaan.

Tidak dapat dinafikan pentadbir sekolah mempunyai pengaruh terhadap kejayaan perlaksanaan kurikulum di sekolah. Peranan mereka termasuk pembelian alat dan bahan, penyusunan jadual waktu, penentuan jurusan murid, penglibatan murid dalam persatuan, sokongan aktiviti yang berkaitan mata pelajaran dan sebagainya. Sehubungan itu, kajian juga perlu dijalankan ke atas semua pentadbir sekolah untuk mendapatkan pandangan serta mengenal pasti masalah pengurusan mata pelajaran ini dari perspektif pihak pentadbir sekolah.

Walau apa penyelidikan yang akan dijalankan ia perlu menjurus ke arah perancangan yang lebih rapi, mantap dan menyeluruh terhadap mata pelajaran ini untuk memenuhi aspirasi negara mengangkat bangsa kita ke mercu kejayaan dan kemuliaan.

1