Kingston
Pada awal bulan Mei 1999, kami sekeluarga telah keluar melancong ke Kingston, Ottawa, Montreal dan Quebec City selama 4 hari. Selepas kelahiran anak kedua kami 4 bulan yang lalu, dan setelah musim sejuk berakhir, inilah masanya untuk kami berjalan sekeluarga. Kingston terletak di pertemuan antara Tasik Ontario dan hulu sungai St Lawrence. Sebuah kota lama tempat pertahanan askar British dibina di atas bukit yang menganjur ditengah-tengah sungai St Lawrence. Kami hanya berada di situ sekejap sahaja sebelum meneruskan perjalanan ke Ottawa. |
Ottawa
Ottawa bandaraya yang sungguh cantik, dibuka khas untuk dijadikan ibu negara Kanada. Bentuknya tersusun dan mempunyai bangunan-bangunan unik yang biasa terdapat di Eropah. Kebanyakan penduduk di sini adalah pekerja-pekerja kerajaan dan kedutaan asing. Letaknya di tepi sungai Ottawa yang menjadi sempadan Ontario dan Quebec. Ottawa dahulunya hanyalah hutan belantara, sementara Niagara, Toronto, Montreal dan Quebec City sudah dibangunkan. Apabila Kanada ingin dibentuk, Quebec yang dikuasai Perancis(Lower Canada), dan Ontario yang dikuasai British(Upper Canada), berebut supaya bandar utama mereka dijadikan ibu negara. Akhirnya mereka mendirikan bandar baru, Ottawa yang terletak ditengah-tengah antara dua kerajaan ini. Walaupun tidak bersefahaman, mereka terpaksa bersatu untuk melawan Amerika Syarikat yang berhasrat meluaskan negaranya. |
Tulip adalah antara bunga terawal yang menguntum pada bulan Mei. Setiap tahun di Ottawa ada pertunjukan bunga tulip di mana berjenis-jenis tulip ditanam di beberapa taman sekitar bandaraya. Tulip di Ottawa ada sejarahnya sendiri yang mana setiap tahun kerajaan Belanda akan menghadiahkan benih-benih tulip untuk ditanam. |
Montreal
Keesokannya, kami terus ke Montreal. Bandaraya Montreal terletak di sebuah pulau di tengah-tengah Sungai St. Lawrence. Old Montreal adalah bandar asal Montreal, dahulunya antara pelabuhan utama di sepanjang sungai, sebelum lebuhraya dibina. Kini ia tidak sesibuk dahulu, hanya ada beberapa kapal pelancongan dan perniagaan yang berlabuh. Membawa ke tengah pulau adalah Montreal moden. Tempat ini lebih sesak dan dipenuhi dengan bangunan-bangunan pencakar langit. Kami dapati nama-nama jalan di bandaraya ini adalah sempena nama-nama pendita, atau rahib Christian. Betapa pentingnya ugama bagi mereka yang mula-mula berhijrah ke Kanada, sehingga setiap perjalanan pasti ada mubaligh dibawa bersama. Gereja-gereja besar banyak terdapat di sekitar bandar lama ini. |
Kami tidak menempah bilik hotel lebih awal kerana mahu melihat sendiri bilik hotel yang berdekatan dengan tempat yang ingin kami lawati. Akhirnya kami bermalam di Lord Berri Hotel yang agak berpatutan harganya, terletak hanya satu blok dari jalan utama dalam bandar(Rue St Catharine) dan 15 minit berjalan kaki ke Old Montreal, tempat paling bersejarah di bandaraya ini. Hotel tersebut hanya di seberang jalan University of Quebec, dan dikelilingi dengan kedai-kedai kecil 24 jam. Sempurna!
Tapi itu semua kami dapati setelah terperangkap hampir 2 jam dalam tunjuk perasaan di Rue St Catharine (kami termasuk dan tak dapat keluar) dan setelah dimaki-hamun oleh seorang pemandu kereta di dalam bahasa Perancis. Kesalahan yang kami lakukan... menghalang keretanya dari masuk ke parking di dalam kesesakan, di mana dia langsung tak pernah memberi signal. Kami terpaksa berundur sedikit-demi sedikit ke belakang untuk memberinya peluang masuk, kerana kereta-kereta di belakang juga tidak berganjak. |
Di bilik hotel. Setelah semua orang mandi, makan dan solah, kami berjalan kaki ke Old Montreal. Kedua-dua anak kami (Rayyan 2 tahun 6 bulan dan Aisyah 4 bulan) diletakkan bersama di dalam satu stroller. Di Ontario, biasanya orang-orang yang terkejut melihat ada bayi di belakang Rayyan akan menegur seperti, "oh, there is a baby!" dan sebagainya. Tetapi di sini, mereka hanya merenung...tanpa sepatah kata. Bukan dari jauh, tetapi dari hadapan atau sebelah stroller itu sendiri. Merenung, terutama dari jarak sangat dekat adalah pantang bagi masyarakat di US dan Kanada yang pernah saya pelajar. Tetapi di Montreal, mereka ada cara hidup yang tersendiri. |
Kami berjalan pergi menyusur jalan utama di bandar lama, dan berpatah pulang ke hotel melalui St Catharine yang sibuk (seperi Jalan Tunku Abdul Rahman di KL atau Oxford St. di London). Di Montreal papan tanda perniagaan dan nama jalan ditulis sepenuhnya dalam bahasa Perancis. Kedai-kedai di sepanjang China Town juga menggunakan bahasa itu. Kelihatan papan tanda di sebuah kedai yang bertulis dalam bahasa Inggeris telah pun diconteng.
Di sepanjang jalan St Catharine menghala ke hotel, pusat-pusat hiburan lucah berleluasa dan diterangi lampu-lampu berwarna-warni. Paling tak disangka, sebuah daripadanya terletak betul-betul di seberang jalan perpustakaan Universiti. Seorang wanita yang bersolek tebal tetapi kelihatan lesu berdiri di tepi jalan, seolah-olah menanti pelanggan. Ketika itu belum pun pukul 9 malam, tetapi suasana sudah tidak sesuai lagi untuk kanak-kanak. |
Keesokannya awal-awal pagi lagi kami telah keluar berjalan kaki. Hari itu hari Ahad, bandaraya lengang. Sewaktu melintas tempat pejalan kaki di persimpangan lampu merah, seorang pemandu teksi yang hampir-hampir melanggar kami menjerit. Setelah reda dari kejutan, baru kami sedar jeritannya adalah menasihati kami supaya melihat dulu sebelum melintas. Walaupun ketika itu lampu hijau untuk pejalan kaki. |
Pengalaman kedua pula di awal-awal pagi itu, kami melihat sekumpulan lelaki kulit putih keluar dari sebuah rumah penginapan kecil. Masing-masing kelihatan kurus tidak bermaya, dalam lingkungan 30-an, dan memikul beg kecil dibahu mereka... mengingatkan saya suasana di Kuala Lumpur dalam tahun 80an semasa kadar pengangguran agak tinggi. Mereka berpecah ke arah berlainan, mungkin penduduk dari desa ingin mencuba nasib di kota.
Sewaktu kami berpatah balik ke hotel tengahari itu, kami terserempak dengan seorang dari mereka, sedang berjalan perlahan sambil menundukkan wajahnya. Dia berjalan semakin perlahan, memberi kami peluang berjalan dahulu. Bagi saya pemandangan kali ini lebih menyedihkan, kerana pagi tadi mereka keluar dengan penuh harapan. Tetapi sekarang mungkin semakin hampa sedangkan perut sudah lapar minta diisi. |
Kemudian, kami melawat sebuah bukit di pinggir bandaraya, Mont Royal, yang dipenuhi dengan nisan bercampur-campur, Kristian, Islam dan ugama lain. Kawasan perkuburan tersebut sangat besar, memenuhi bukit dari kaki sehingga ke puncaknya. Dari situ nampak hampir keseluruhan bandaraya Montreal dari udara, termasuk Stadium Olimpik yang terletak jauh di sebelah utara. |
Tengahari itu kami meninggalkan Montreal yang penuh cerita duka disebalik bangunan-bangunan tinggi dan penghuni kota yang berpakaian cantik dan bergaya. Pengalaman ini menginsafkan saya, suasana di bandar-bandar besar di mana-manapun di dunia semuanya sama. Di situ budaya elok sesebuah negara seolah-olah tidak bermakna. Pemandu kurang ajar, peminta sedekah, dan pengangguran, sama sahaja samada di Kuala Lumpur, London, New York atau Montreal. |
Quebec City |