Siri Kembara Keluarga 2
Tasik-tasik Besar dan New England




Peta Tasik-Tasik Besar dan New England.

Tobermory, Ontario ! Sudbury, Ontario ! Sault Ste Marie, Ontario
Madison, Wisconsin ! Chicago, Illinois ! Indiana Dunes, Indiana
Port Clinton, Ohio ! Syracuse, New York ! Providence, Rhode Island
Bridgeport, Connecticut ! Boston, Massachusetts ! Pulang melalui Vermont


Laman Utama! Kembara 1! Kembara 3! Kembara 4! Kembara 5! Kembara 6! Kembara 7


[klik gambar untuk besarkan]
Tobermory: Georgian Bay Tobermory: Tasik Huron Tobermory: Feri ke Pulau Manitoulin Sudbury: Bekas lombong bawah tanah nikel sejak tahun 1751 Sudbury: Kedai kraf tangan Indian
Sault Ste Marie: Kilang bijih besi di tepi Tasik Superior Air terusan separas Tasik Superior Air terusan kini separas Tasik Huron Indiana Dunes: Batu-batu yang tercanai licin Pantai curam dan berombak besar di Indiana Dunes
Chicago: Rayyan sedia nak main air Bandaraya Chicago Chicago: Dari Menara Sears Chicago: Kereta polis ada di mana-mana Boston: MIT
Chicago: Bersantai di tengahari Port Clinton: Di tepi pantai Tasik Erie Berhenti sebentar di Pennsylvania  Syracuse University Pulang: Aisyah dah penat





Tobermory

Kami memulakan perjalanan pada 15 Julai 1999. Ketika ini Rayyan berusia 2 tahun 8 bulan dan Aisyah 6 1/2 bulan. Bermula dari Waterloo naik ke utara di Tobermory, Ontario lalu menyusuri laluan sepanjang tasik-tasik besar dan seterusnya ke negeri-negeri New England di USA. Sepanjang jalan, hutan daun luruh (seperti pokok mapple) iaitu hutan semulajadi di selatan Ontario, bertukar sedikit demi sedikit menjadi hutan daun tirus apabila kami mendekati bandar Tobermory. Tobermary bermaksud 'the Virgin Mary' dalam bahasa Scottish. Bandar ini terletak di hujung semenanjung Bruce yang memisahkan Tasik Huron dan Georgian Bay.

Di sepanjang jalan menghampiri Tobermary pula kami dapat lihat rama-rama putih berterbangan memenuhi ruang udara sehingga kelihatan seperti hujan salji. Rayyan pula merayu-rayu ayahnya supaya tidak melanggar rama-rama tersebut. Tanah pertanian yang subur pula bertukar menjadi berbatu batan. Di celah-celah rekahan atau di atas batu yang menampung air hujan tersebut, terdapat lumut-lumut yang tumbuh. Semakin banyak lumut semakin sesuai keadaan di situ untuk tumbuh-tumbuhan lain termasuklah anak-anak pohon tirus. Akhirnya wujudlah hutan daun tirus yang unik di atas batu-batan.
Canola: minyak masak popular di Kanada
Ladang canola

Di Kanada ketika ini cuaca amat panas. Suhu siang boleh mencecah 40 C. Di Tobermory Rayyan sempat bermain air di dua pantai, satu mengadap Georgian Bay (berbatu-batu dan curam) dan satu lagi mengadap tasik Huron (pantai yang sangat landai dengan riak-riak ombak yang halus). Kami juga menaiki bot melihat kawasan semulajadi di sini. Di sini ada banyak kawasan 'camping', sebab penduduk Kanada selalu menghantar anak-anak mereka ber'camping' semasa cuti musim panas. Hotel kami terletak berhampiran bandar, jadi mudahlah berjalan kaki mengelilingi pekan.

Kelihatan pengikut Mennonite di belakang
Di atas feri
Keesokannya kami naik feri pergi ke Pulau Manitoulin yang terletak di tengah-tengah di antara Georgian Bay dan Tasik Huron. Pulau ini dikatakan berada di bawah air satu masa dahulu jadi ada banyak fosil haiwan laut yang boleh kita dapati kat sini. Pulau ni sangat cantik, ada banyak tasik-tasik kecil yang biru airnya seperti air di lautan. Kebanyakan nama tempat diambil dari nama Indian, iaitu penduduk asli di sini. Tidak nampak aktiviti atau bandar besar di sini selain dari kawasan 'camping' dan kedai-kedai pengumpulan bahan kraf orang Indian.


Sudbury Ke atas

Kami terus menuju ke Sudbury, sebuah bandar perlombongan. Di Sudbury, kami pergi ke sebuah lombong tinggal nikel yang telah dijadikan tempat pelancongan. Kami turun ke dalam lombong bawah tanah menggunakan lif. Ada banyak lombong seperti ini di sini dan kedalaman setiap lombong dikadarkan dengan ketinggian menara di atas lombong tersebut. Di bawah ada sebuah gua tempat membiakkan tanaman sebagai bahan eksperimen. Di dalam tanah lombong tersebut semuanya batu keras bercampur bahan galian. Salah sebuah lombong tinggal itu telah dijadikan makmal penyelidikan neutrino.

Bekas lombong bawah tanah nikel

Suhu di dalam tanah sentiasa 20 C walaupun di luar musim panas atau bersalji. Tetapi jika turun beratus batu ke dalam lagi, suhu akan naik sedikit demi sedikit seninggalah ke pusat bumi. Di sini ada banyak batu yang bergaris-garis permukaannya kerana terkena hempapan glasier berat yang bergerak semasa zaman air batu. Bila bumi semakin panas, ais mencair dan mewujudkan tasik-tasik kecil yang beribu-ribu jumlahnya di Kanada ini.



Kiri: Paru-paru rosak dicemari asap rokok
Sudbury pernah terkena hujan asid (sulfurik) dalam tahun 20an kerana kerja-kerja perlombongan ini, sebab itu sampai sekarang banyak tanah gersang dan permukaan tanah batu menjadi hitam tercemar sehingga beberapa kaki tebalnya. Selepas itu barulah garis panduan industri diketatkan untuk mengelakkan kejadian berulang. Kemudian kami melawat pusat sains yang sangat 'child friendly' sehingga Rayyan terpaksa ditarik keluar kerana terlalu seronok berada di situ. Tingkat bawah muzium ini dibina didalam tanah dan dapat dilihat sebahagian tanah yang telah tercemar itu.


Sault Ste Marie Ke atas

Kemudian kami ke Sault Ste Marie (sebut 'Soo Saint Marie'), bandar pelabuhan yang terletak antara tasik Huron dan tasik Superior. Tasik Superior lebih tinggi beberapa meter dari tasik Huron, oleh itu dibina terusan yang boleh diubah paras airnya diantara dua tasik tersebut. Kami sempat menaiki bot untuk merasa pengalaman berada di terusan ni. Ada 16 terusan seperti ini di sepanjang tasik-tasik besar sehingga ke lautan Atlantik. Bot tersebut membawa kami melihat kilang bijih besi yang sangat besar di tepi tasik Superior. Loghat Inggeris penduduk di sini dan di Sudbury agak sukar difahami melainkan kita mendengar betul-betul.




Air terusan separas Tasik Superior

Air terusan kini separas Tasik Huron



Madison
Keesokannya kami menyeberang ke tanah US, menempuh jalan ke selatan sepanjang tasik Michigan. Michigan adalah pengeluar ceri terbesar di US. Ladang-ladang ceri banyak terdapat di sepanjang tasik kerana tanah yang sesuai di situ. Kami singgah sebentar di 'Mystery Spot' dan terus menghala ke Madison di Wisconsin, menziarahi sepupu di situ. Wisconsin adalah negeri pertanian dan sepanjang jalan kami banyak melalui ladang sahaja. Madison pula adalah sebuah bandar universiti disamping ibu negeri, bersih dan selamat. Orang-orang di sini pun baik dan suka menyapa.

'Mystery Spot'


Chicago Ke atas


Makan tengahari di Navy Pier
Dari Madison, kami bertolak ke Chicago, Illinois. Bandaraya ini terletak di tepi tasik Michigan dan antara yang terkenal dengan aktiviti jenayahnya. Polis sangat banyak, setiap penjuru jalan kelihatan kereta polis atau polis. Cuaca sangat panas, tetapi ada beberapa air pancut di tepi tasik. Rayyan basah kuyup bermain sepuasnya di bawah air. Tetapi sekejap sahaja baju dia sudah kering. Kami naik ke Menara Sears iaitu antara bangunan tertinggi di dunia. Dalam perjalanan keluar dari bandar, kami melalui beberapa kawasan penempatan orang kulit hitam, China dan Arab.


Indiana Dunes

Kami sempat singgah dan bermalam berdekatan tepi pantai Indiana Dunes di hujung bawah tasik Michigan. Pantai ini berbukit pasir tinggi seperti di padang pasir. Rayyan terpaksa ditemankan semasa bermain air kerana pantai agak curam, ombak besar dan kuat. Batu-batu kecil di tepi pantai cantik-cantik seperti digilap. Kami mengambil beberapa ketul untuk dibawa pulang.



Ohio

Selepas itu kami bertolak ke Toledo, Ohio. Di Toledo kami cuba menelefon pelajar di situ tetapi seorang pun tidak di rumah, jadi kami terus bermalam di Freemont. Untuk menjimatkan ruang dan memudahkan urusan, kami hanya membawa 3 pasang baju siang dan sepasang baju tidur untuk setiap ahli keluarga. Sebab itu setiap 3 hari kami mesti membuat 'laundry'. Kali pertama ketika bermalam di Madison. Cuaca amat panas ketika itu dan kami sempat berehat sebentar di Port Clinton yang terletak di pinggir tasik Erie. Air di situ tidak bersih dan berlumpur. Tetapi di situ terdapat banyak siput-siput yang biasa dijumpai di tepi laut.

Bersarapan sambil tunggu baju kering


Syracuse Ke atas

Dari situ, kami menyusuri sepanjang tasik Erie ke Syracuse, New York. Di sepanjang tasik Erie kelihatan ladang-ladang anggur yang baru berputik. Ladang-ladang anggur ini berterusan sehingga melewati sungai Niagara di Kanada. Di Syracuse ada sepasang suami-isteri yang sedang melanjutkan pelajaran. Mereka bermurah hati menjamu kami barbecue ayam. Sedabnya makan nasi dan ayam selepas berhari-hari makan roti dan sandwich ikan tuna aje. Dari mereka, kami mendapat tahu ada ramai lagi rakan-rakan kami yang sudah menetap di US ni sejak 10 tahun yang lalu.



Providence
Dari situ kami bertolak ke Providence, Rhode Island. Kecil sahaja terletak di antara Connecticut dan Massachusett. Tempat ni juga berdekatan dengan Martha Vineyard tempat JFK Jr kemalangan. Bandar Providence kelihatan tenteram dan sesuai untuk pelajar atau keluarga. Ada seorang rakan semasa di MRSM berada di sini. Kami juga dikenalkan dengan sepasang suami isteri yang bekerja di sini dan sudah mempunyai 4 orang anak. Mereka mengajak kami berkelah makan kari ayam (sedap)dan nasi lemak di tepi tasik kecil di tengah-tengah bandar.

Di hadapan State Capital

Bersiar-siar di bandar


Bridgeport



Di hadapan rumah Nasa
Kemudian kami bertolak ke Bridgeport, Connecticut. Tempat ini berdekatan dengan New Haven dan Hartfort atau lebih dikenali sebagai kampung Melayu, satu masa dahulu. Tapi sekarang Melayu dah tinggal sikit. Kami menumpang di rumah seorang rakan yang masih bujang dan bekerja sebagai manager di stesen minyak Mobile. Inilah kali pertama kami melihat rumah yang sangat kecil, ruang tamunya hanya sebesar setengah saiz bilik dan bilik airnya hanya muat seorang berdiri selesa. Nasa belanja kami nasi beriyani dari kedai India, sedap.


Boston Ke atas

Sebaik sampai ke Boston, kami terus menuju ke Harvard dan MIT. Bukan nak mendaftar, nak tumpang bergambar aje. Kami menghabiskan masa berjalan di bandar Boston sambil membaca catatan-catatan sejarah peperangan dan sebagainya sehingga membawa kemerdekaan dari British. Teringin juga nak naik kapal mencari ikan paus tapi kami terlewat sedikit terlepas perjalanan terakhir untuk hari itu.


MIT

Harvard

Bandar Boston cantik dan bersih, bangunan pun nampak cantik tersusun dengan tone warna yang seragam. Bayangkan kedai MacDonald bercat kelabu untuk disesuaikan dengan warna bangunan-bangunan lain di bandar tersebut. Tidak ada warna terang atau menarik, semuanya hampir serupa. Kami tak tidur di Boston sebab masa cuma tinggal sehari untuk pulang ke rumah. Kami akan cari hotel untuk bermalam di dalam perjalanan nanti.


Bandar Boston yang cantik dan bersih


Perjalanan Pulang

Malam itu juga kami tinggalkan Boston, dan tidur di Lebanon, yang terletak di sempadan antara negeri New Hamshire dan Vermont. Inilah kali pertama kami tidur di hotel dengan kadar bayaran lebih $100 semalam kerana sudah tiada pilihan. Keesokannya kami singgah di ibu negeri Vermont, Montpelier. Bandarnya sangat kecil seperti sebuah pekan tetapi cantik terletak di dalam lembah dan dikelilingi gunung-ganang.

.

Pengembaraan kami berakhir 12 hari kemudian, iaitu pada 27 Julai 1999. Pagi-pagi lagi kami telah memulakan perjalanan melalui Burlington, merentasi Tasik Chaplain yang indah dan menyeberang sempadan US-Canada dari satu kawasan penempatan Indian. Dari sana kami mengambil lebuhraya 401 menuju ke Waterloo selama 9 jam untuk sampai ke rumah. Aisyah yang kini berusia 7 bulan telah pandai merangkak setelah puas belajar sepanjang pengembaraan kami selama hampir 2 minggu tersebut.



Ke Atas!

Laman Utama! Kembara 1! Kembara 3! Kembara 4! Kembara 5! Kembara 6! Kembara 7
1