Perjalanan Pergi
Pada 20 hb Disember 2000 kami telah bertolak ke USA untuk menghadiri perhimpunan musim sejuk di Lafayette, Indiana, dan kemudian terus berjalan ke St. Louis dan Kansas City di Missouri. Kami bertolak awal pagi dan menjangkakan akan tiba di Fort Wayne, Indiana sebelum Maghrib (~5 petang). Sekarang ini musim ribut salji di Midwest, USA jadi kami menjangkakan akan mengambil masa lebih lama dari biasa. Tetapi kami tiba tepat pada waktunya kerana alhamdulillah cuaca hari itu terang dan baik. Bukan sahaja ribut, sebutir salji pun tak turun. Masjid yang baru didirikan sudah boleh digunakan walaupun belum siap sepenuhnya. Kami berbuka puasa dan bermalam di situ, sebelum meneruskan perjalanan ke Lafayette keesokannya. 21 Disember 2000. Cuaca hari ini terlalu buruk, kami tersesat kerana terlepas exit ke Lafayette, dan terpaksa mengikuti jalan lain yang agak jauh dari selatan. Dari dalam kereta, kabus tebal akibat ribut salji menyebabkan kami tak nampak apa-apa tanda jalan di hadapan. Bila dah terlalu dekat, barulah ternampak, menyebabkan banyak kali kami terlepas exit yang sepatutnya dimasuki. Angin yang kuat menyebabkan salji yang sudah ditolak ke tepi lebuhraya, terbang semula menutupi jalan, menyebabkannya licin dan merbahaya. Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa 2 jam, kini menjadi 3 jam. Memandu di dalam ribut salji (jam kamera tercepat sehari). 21-23 Disember 2000. Di Lafayette, menghadiri perhimpunan musim sejuk. Berbuka di masjid yang berdekatan, bersahur pun ambil makanan dari masjid tersebut. Bulan Ramadhan, makanan percuma disediakan. Suhu pada malam hari sangat dingin, salji turun sepanjang perhimpunan. Pada petang 23, aktiviti bermain lungsur salji disediakan. Tajuk-tajuk ceramah kali ini amat menarik, rugi rasanya bagi sesiapa yang tak dapat mendengar atau menyertainya. Malangnya, isteri dan anak kedua, Aisyah, demam dan batuk sepanjang program. Kami belum pernah menghadapi situasi sebegini sebelumnya dan tidak menyediakan ubat yang sepatutnya. Tauladan pertama, sediakan bekalan ubatan dan kecemasan sebelum keluar mengembara. |
St. Louis
24 Disember 2000. Kami bertolak ke St. Louis. Bermula pukul 9 pagi dan tiba pukul 3.30 petang. Terus ke hotel berdekatan dengan arch yang menjadi simbol bandaraya tersebut. Dari jendela hotel kami dapat melihat arch tersebut. Cuaca agak mendung, langit kelabu. Tapi kami keluar juga berjalan ke situ, sebab bimbang ditutup keesokannya. Alhamdulillah sepanjang berada di atas arch, langit terang tidak berkabus. Jadi kami dapat melihat pemandangan sekitar bandaraya dengan jelas. Bayang-bayang arch jelas terbentang di Sungai Mississippi yang penuh dengan ais terapung. |
Pulang ke hotel, kami cuba cari kedai-kedai yang ada menjual makanan seperti roti dan susu, malangnya semua kedai sudah ditutup sempena Krimas keesokannya. Bekalan yang kami bawa seperti rendang dan roti pita bukan selera anak-anak. Bekalan susu juga sudah kehabisan, walaupun cereal ada dibawa. Alhamdulillah semasa ke depan kaunter, terlihat kuih donut disediakan. Itulah makanan berat bagi Rayyan dan Aisyah untuk hari itu.Tauladan kedua, sediakan bekalan makanan secukupnya sebelum tiba hari cuti.
Poskad: St. Louis dari Sungai Mississippi 25 Disember 2000. Apa agaknya yang boleh dibuat kalau berada ditengah-tengah bandaraya pada hari Krismas. Tidak ada satu kedai atau tempat pelancongan pun dibuka. Di dalam cuaca yang muram dan dingin, angin kuat dan salji tak henti-henti, kami berkereta keliling bandaraya. Alhamdulillah terjumpa masjid di dalam kawasan University of Missosuri, yang masih terletak di dalam bandar. Malam itu, kami kehilangan kertas yang mengandungi alamat dan no telefon yang penting, termasuk saudara kami di Kansas City. Tauladan ketiga, sediakan 2 @ 3 salinan maklumat penting dan letak di tempat berasingan. Masjid di dalam University of St. Louis |
26 Disember 2000. Anak bulan tidak kelihatan, maka hari ini hari terakhir bulan Ramadhan 1421. Kami berjalan ke Botanical Garden yang diliputi salji. Kami masuk ke rumah kaca dan buat pertama kali, Rayyan dapat melihat sendiri pokok-pokok yang biasa didapati di Malaysia seperti padi, kelapa dan pisang. Walaupun Rayyan dilahirkan di Malaysia, dia baru berusia 9 bulan semasa kami bertolak ke Kanada. Antara pokok-pokok lain yang dapat dilihat ialah avocado, pisang kaki, zaitun, tin, dan tamar. Kami tak dapat menikmati taman-taman yang banyak ada di situ kerana angin yang dingin menyebabkan anak-anak tidak tahan lama di luar. |
Kansas City
Tiba di Kansas City hampir pukul 9 malam. Kami berbuka puasa di dalam kereta. Tak boleh keluar kerana cuaca yang terlalu sejuk. Setelah berjaya mencari sekolah Islam yang dikatakan berhampiran rumah mereka, kami terpaksa juga bermalam di hotel berhampiran. Sekolah sudah ditutup dan tidak ada sesiapa di situ. Sekolah tersebut besar, seperti sekolah-sekolah rendah lain yang biasa kita lihat. Malam itu, kami menghabiskan masa mencari no telefon orang-orang Melayu di dalam buku panduan. Setelah berjaya mengesan no telefon saudara kami, line pula berbunyi pelik seolah-olah ada kerosakan. 27 Disember 2000. Pagi itu, kami bertawakkal pergi solat hari raya di pusat bandaraya Kansas City. Alhamdulillah akhirnya kami berjumpa dengan mereka sekeluarga. Isteri saya dan saudaranya, Najwa saling tidak mengenali pada mulanya. Mereka sudah terpisah hampir 20 tahun lamanya, ketika masing-masing masih kecil. Kemudian kami terus ke rumah mereka dan petang itu dapat berjumpa lebih ramai Melayu yang kebanyakannya sudah bekerja dan berkeluarga. 28 Disember 2000. Kami menghabiskan sepanjang hari ini dengan melawat tempat-tempat menarik di Kansas City seperti Hallmark Centre, Union Station, dan Toy Museum. Hallmark bermula dan beribupejabat di sini. Pusatnya besar dan menyediakan banyak kedai dan kemudahan menarik. Kansas City berbukit bukau, menyebabkan banyak bangunan dibina dengan senibina yang cantik dan dapat dilihat dari jauh lagi. Malam itu, Rayyan dibawa ke tempat permainan di sebelah negeri Kansas. Bandaraya Kansas City terbahagi dua, sebelah di Missouri dan sebelah di Kansas. Crayola adalah salah satu barangan keluaran Hallmark |
Perjalanan Pulang
29 Disember 2000. Hari ini Aisyah genap 2 tahun. Kami bertolak pulang awal-awal pagi lagi. Kali ini kami melalui Iowa di sebelah atas. Masuk sahaja ke negeri tersebut, kami sudah ternampak kereta terbalik. Mula-mula kami sibuk mengira berapa bilangan kereta atau kontena yang tersadai/terbalik, tetapi selepas terjumpa hampir sebuah kenderaan tersadai dalam setiap km perjalanan, kami berhenti mengira. Kami lebih menumpukan perhatian pada keselamatan di jalan. Bawa kereta pun hanya 40 km/jam. Jalan yang merbahaya menyebabkan kami masih berada di negeri Iowa ketika hari hampir malam. Kami bermalam di Iowa City dan meneruskan perjalanan keesokannya. 30 Disember 2000. Lebuhraya di Iowa tersangat licin, dan kereta kami hampir dua kali terseret. Tetapi memandu dengan sangat perlahan menyebabkan kami terselamat. Apabila melintasi sahaja negeri Illinois di sebelahnya, suasana ngeri berakhir. Kami hanya berjumpa satu sahaja kereta terhenti di tepi jalan. Itupun setelah merangkak di dalam kesesakan. Rupa-rupanya kesesakan kerana masing-masing memandu perlahan untuk melihat kereta yang tersadai dan polis peronda di sisinya. Berbeza di Iowa, tak seorang polis atau pekerja keselamatan lain pun menunggu di tempat kemalangan. Icicle di Kalamazoo Kami melalui Indiana dan tiba di Kalamazoo, Michigan ketika hampir Maghrib. Bermalam di sebuah hotel yang sangat murah dan teruk. Isteri saya yang sedang mengandung 4 bulan asyik komplen tentang bau busuk yang meloyakannya. InsyaAllah, besok kami akan tiba di rumah akhirnya. Kalamazoo satu masa dulu adalah tempat yang penting dalam pergerakan dakwah pelajar di USA. Akibat kemelesatan ekonomi, pelajar-pelajar Melayu hampir tiada di situ. Sekarang pelajar-pelajar tajaan terhad di beberapa buah universiti sahaja, tidak seperti dahulu. 31 Disember 2000. Michigan keadaannya hampir serupa dengan Selatan Ontario, bukit-bukit salji kelihatan di kiri-kanan jalan. Jumlah salji yang turun di sini lebih banyak dari di selatan walaupun suhu hampir serupa. Negeri-negeri di sekeliling tasik tidak terlalu sejuk dibandingkan dengan yang di tengah benua Amerika, kerana pengaruh air yang besar. Kami singgah Zohor dan Asar di Masjid London, Ontario. Dibekalkan pula dengan makanan jamuan aidilfitri yang sedang disambut oleh penduduk Islam di situ. Kami tiba di Waterloo sebelum Maghrib ... kali ini 3 ahli keluarga demam dan batuk-batuk, kecuali Aisyah. |