Fikrah Islamiyah
Jumaat 30 Rabiul Awal 1419/24 Julai 199
Dari Masjid Rusila
Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi AwangTiada kemuliaan selain dari Islam
SEMASA umat Islam menyambut peristiwa kelahiran Rasulullah s.a.w hendaklah kita mengerti dan faham betapa besarnya maksud dan matlamat dibangkit dan diutuskan baginda Rasulullah saw. Kelahiran baginda ini menjadi satu peristiwa yang sangat penting kepada sejarah manusia seluruhnya khususnya kepada umat Islam sendiri.
Untuk menunjukkan betapa besar makna kelahiran Rasulullah s.a.w, Allah Taala telah memaklumkan kepada para nabi dan rasul alaihimus solatu wassalam semenjak beribu- ribu tahun sebelum lahirnya Rasulullah sepertimana firman Allah Taala yang bermaksud:"Orang-orang yang diberi kitab (Yahudi dan Nasrani) mengenalinya (Nabi
Muhammad saw) sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka." (Surah al-Baqarah ayat 146).Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Dan ketika berkata Isa anak Mariam "Wahai Bani Israel sesungguhnya aku adalah Rasulullah yang diutuskan kepada engkau, membenarkan kitab Taurat yang diturunkan sebelum daripada aku dan memberi khabar gembira tentang kedatangan seorang Rasul selepasku bernama Ahmad (Muhamad s.a.w.)." (Surah as-shaf ayat 6).
Oleh itu Allah Taala telah meletakkan asas kelahiran Rasulullah s.a.w dengan memerintahkan Nabi Ibrahim a.s membuka Kota Mekah dan membawa keluarganya tinggal di Mekah yang daripada keturunannya itulah lahir Rasul akhir zaman, Rasululah s.a.w. Nabi Ibrahim a.s. diperintah membina Kaabah untuk dijadikan qiblat kepada umat
Nabi Muhammad s.a.w dan apabila selesai baginda berdoa maksudnya:"Wahai Tuhan kami, utuskanlah kepada mereka (zuriat keturunan kami) seorang Rasul dari kalangan mereka yang membacakan ayat-ayat-Mu, mengajar kepada mereka kitab dan hikmah (sunnah) serta membersihkan mereka (daripada kekotoran dosa dan syirik), sesungguhnya Engkau Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Baqarah ayat 129). Kedatangan Rasulullah s.a.w. adalah untuk menyambung perjuangan Islam yang telah dilakukan oleh para nabi dan Rasul sebelum daripada baginda.Islam adalah satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah Taala dan satu-satunya ajaran yang dapat menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat.Firman Allah SWT Maksudnya: "Sesungguhnya agama yang diterima di sisi Allah ialah Islam." (Surah Ali Imran ayat 19).Firman-Nya lagi yang bermaksud: "Sesiapa mencari agama selain daripada Islam maka tidak akan diterima oleh Allah dan di akhirat termasuklah ia di
kalangan orang-orang yang rugi." (Surah Ali Imran ayat 85).Sehubungan itu umat Islam akhir zaman ini yang mengaku menjadi umat Rasulullah s.a.w hendaklah menolak agama- agama, fahaman-fahaman dan ideologi lain selain daripada Islam kerana semuanya tidak membawa keselamatan di dunia dan di akhirat.Selain daripada itu umat Islam bukan sahaja diperintah supaya menurut ajaran Islam bermula dengan mengucap kalimah syahadah, tetapi juga memerintah supaya mereka bangun berjuang menegakkan Islam supaya Islam menang dan mengatasi agama-agama yang lain sebagaimana firman Allah Taala maksudnya:"Dialah (Allah) yang mengutuskan Rasul-Nya dengan hidayah dan agama yang benar supaya memenangkan ke atas agama-
agama yang lain seluruhnya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir." (Surah at-Taubah ayat 33).Namun begitu segala kelemahan dan penghinaan yang dihadapi oleh umat Islam hari ini adalah puncanya meninggalkan Islam, tidak beramal dengan syariat Islam, undang-undang Islam, politik Islam, ekonomi Islam dan lain-lain cara hidup Islam.Benarlah ucapan Khalifah Abu bakar As-Siddiq r.a :Ertinya: "Tidak meninggalkan suatu kaum (umat Islam) akan jihad, melainkan Allah akan mengenakan ke atas mereka semua kehinaan dan kemusnahan."Berkata Umar Al-Khattab r.a maksudnya:"Kita satu kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Bagaimana pun kita mencari kemuliaan dengan selain daripada Islam, kita akan dihina oleh Allah."Adakah umat Islam tidak
cukup lagi dengan kehinaan yang diterima oleh mereka hari ini sehingga mereka dibunuh, diratah, ditindas, dirampas harta dan tanah mereka di mana-mana sahaja seperti di Kashmir, Palestin, Bosnia dan lain-lain lagi.Umat Islam dahulu yang berada di bawah pemerintahan kerajaan-kerajaan Islam yang masih melaksanakan undang-undang Islam dan tuntutan-tuntutannya, walaupun ada berbagai-bagai kelemahan dan kesilapan namun maruah umat Islam tetap terjaga dan dipertahankan sehingga umat Islam tidak boleh dilakukan apa-apa kejahatan oleh musuh- musuh Islam.Satu peristiwa telah berlaku di zaman kerajaan Abbasiyah:Seorang perempuan Islam berniaga di sebuah negara bukan Islam. satu ketika perempuan tersebut terjatuh sehingga sebahagian auratnya dilihat oleh orang-orang kafir lalu diejek-ejek dan ditertawakan oleh orang-orang kafir tersebut. Perempuan itu mengadu dengan katanya: "Ya al-muktasimaah" wahai Khalifah Muktasim.
Kejadian ini dilihat oleh seorang lelaki Islam lalu beliau datang ke Baghdad mengadu kepada Khalifah al-Muktasim tentang penghinaan yang diterima oleh perempuan Islam tersebut. Apabila sampai kepada pengetahuannya, Khalifah al-Muktasim berkata "Labaik ya ammah" Ya wahai ibuku. Lantas al-Muktasim mengarahkan tentera Islam menuju ke negeri tersebut, menyerang dan menawan dengan sebab seorang perempuan Islam dihina
dan dipermain-mainkan.Gambarkan kehinaan yang dialami oleh umat Islam hari ini. ada tanahair mereka dijajah dan dirampas, umat Islam dibunuh dan dizalimi di mana-mana sahaja tanpa ada pembelaan dari mana-mana pemimpin umat Islam.Pemimpin-pemimpin umat Islam diam seribu bahasa melihat penghinaan yang diterima oleh umat Islam.Kita juga dapat melihat kuasa-kuasa besar dunia yang diketuai oleh Amerika secara zahirnya mengharamkan penggunaan senjata nuklear. Tetapi di masa yang sama mereka menubuhkan Kelab Nuklear yang dianggotai terdiri daripada kuasa- kuasa besar dunia dan rakan-rakan mereka termasuklah negara Israel yang membantu program senjata nuklear India.Mereka membenarkan sesama mereka memiliki senjata- senjata nuklear tetapi tidak diberikan kebenaran kepada negara-negara umat Islam.
Apabila negara Iraq dipercayai memiliki kemampuan membuat senjata tersebut maka Bangsa-Bangsa Bersatu melakukan pemulauan dan tekanan yang zalim kepada Iraq. Apabila Pakistan melakukan ujian nuklear sebagai tindak balas kepada India yang melakukan ujian yang sama dengan bantuan negara Israel, masyarakat dunia
mengutuknya. Dalam keadaan ini pemimpin negara-negara umat Islam diam sahaja.Di manakah maruah umat Islam? Di manakah maruah umat Muhammad s.a.w. sedangkan mereka diperintah supaya menjadikan umat Islam mulia dan digeruni oleh musuh-musuh Islam? Semuanya ini kerana kita meninggalkan Islam.Ini kerana kita hanya menyambut hari lahir Nabi Muhammad s.a.w seperti orang-orang Nasrani menyambut hari lahir Nabi Isa a.s. dan perayaan-perayaan agama mereka tetapi ajaran agama tidak menjadi ikutan.Adakah kita juga mahu menjadi seperti mereka? Jika tidak mahu hendaklah kita menyambung perjuangan Islam untuk menjadi umat yang mulia dan dimuliakan oleh Allah Taala.Firman Allah Taala yang bermaksud: "Muhammad itu hanya seorang Rasul. telah berlalu sebelumnya rasul-rasul. Adakah apabila beliau wafat atau terbunuh maka akan berpaling tumit-tumit kamu (murtad). Dan sesiapa yang murtad maka tidaklah dia memberi apa-apa mudharat kepada Allah. Dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." (Surah Ali Imran ayat 144).