Tafsir Al-Quran


 
 

Jumaat 30 Rabiul Awal 1419/24 Julai 1998

Oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Tafsir Surah An-Nisa' ayat 42

Ketakutan orang kafir

Ayat ini menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w. turut dibawa sebagai saksi di mahkamah Allah pada hari qiamat dalam satu perbicaraan yang adil sama ada membicarakan 'Umat Ijabah' (umat yang menyahut dakwahnya) ataupun 'Umat Dakwah' (umat yang menjadi sasaran dakwah termasuk orang-orang bukan Islam).

Mengikut riwayat Minhad bin 'Amar , dia mendengar Sai'd bin Musayyab (seorang ulama' Tabi'in, menantu Abu Hurairah yang tidak sempat dengan Rasulullah s.a.w.) berkata bahawa Allah Ta'ala akan membentangkan kepada Nabi s.a.w. setiap hari di waktu pagi dan petang, apa yang dilakukan oleh umatnya, lalu dia mengetahuinya dengan tanda-tanda dan amalan-amalan mereka dan  itulah  yang dimaksudkan dengan penyaksian.

Pendapat yang lebih 'Ashoh' (shahih) ialah sebagaimana hadith diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud yang lalu menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. akan dipanggil menjadi saksi pada hari qiamat sebagaimana nabi-nabi dan rasul-rasul yang lain. Firman Allah yang bermaksud:"Pada hari itu orang-orang yang kafir dan yang menderhaka kepada Rasulullah, suka jika sekiranya mereka disamaratakan dengan bumi (ditelan bumi) dan (pada ketika itu) mereka tidak dapat menyembunyikan sepatah katapun dari pengetahuan Allah." (Surah an-Nisa: 42)

Pada hari itu (hari qiamat) orang-orang kafir dan yang menentang Rasulullah s.a.w. suka sekiranya mereka disamaratakan dengan bumi dan percakapan mereka tidak dapat disembunyikan walaupun sedikitpun dari Allah SWT,Ulama' berkata yang dimaksudkan dengan disamaratakan dengan bumi ialah mereka dijadikan bumi apabila mereka melihat ia tidak dimasukkan ke dalam neraka. Oleh itu mereka mengharapkan mereka menjadi
tanah semula supaya perkara berkenaan tidak menimpa mereka sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud:"Dan orang-orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalanku dan menerima balasan.)." (Surah an-Naba': 40)

Berkata setengah ulama' yang dimaksudkan disamaratakan dengan bumi ialah dijadikan mereka seperti binatang  yang dimatikan menjadi tanah semula selepas dibicarakan di hari berkenaan. Inilah harapan orang-orang kafir pada hari tersebut tetapi semua harapan itu tidak berguna lagi.Setengah ulama' yang lain mengatakan bahawa orang-orang kafir itu menghendaki supaya bumi dibuka agar mereka dapat menyembunyikan diri di dalamnya.

Sementara itu Ibnu Abbas ditanya oleh golongan Khawarij berhubung dengan pengakuan orang musyrik di dalam al-Quran yang bermaksud:"Demi Allah, Tuhan kami! Kami tidak pernah menjadi orang-orang yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)." (Surah al- An'am: 23)Ibnu Abbas berkata, ini adalah ucapan mereka apabila tiada seorangpun yang masuk syurga melainkan orang Islam sahaja. Lalu mereka teringin
masuk syurga seperti orang Islam sehingga terkeluarlah dari mulut mereka ucapan itu.Justeru itu ayat yang ditafsirkan ini tidak berlawanan dengan ayat yang menjadi bahan perdebatan golongan berkenaan.
 


1