Tazkirah
Jumaat 30 Rabiul Awal 1419/24 Julai 199
Oleh Tuan Guru Dato Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat
Kejayaan di sebalik halangan
SETELAH selesai menunaikan solat malam lalu Nabi s.a.w. dan juga Zaid meninggalkan "Nahlah" sebuah qariah yang terletak di antara Taif dan Makkah, baginda berdua berjalan pulang menuju ke kota Makkah. Sebaik saja mereka sampai di pinggir kota Makkah, timbullah rasa gusar di hati Zaid kerana mereka tidak dikehendaki oleh penduduk Makkah.
Jika mereka keluar dari kota Makkah kerana tidak diingini oleh penduduknya, maka apakah pulangnya mereka ke kota Makkah itu tidak akan lebih dahsyat dari ketika mereka diusir keluar?Zaid bertanya kepada Nabi s.a.w.: "Ya Rasulullah, Bagaimanakah caranya kita hendak memasuki kota Makkah, tidakkah mereka akan menghalau kita ya Rasulullah?" Jawab Nabi s.a.w.: "Wahai Zaid! sesungguhnya Allah SWT akan menjadikan apa yang engkau lihat itu suatu pendekatan dan juga jalan keluar dari masalah yang dihadapi. Yakinlah wahai Zaid bahawasanya Allah SWT akan tetap menolong agama-Nya dan juga menolong Nabi-Nya."Jawapan Nabi s.a.w. kepada Zaid meng-
gambarkan sikap sebenar Rasul Allah dalam menghadapi apa jua kegawatan, apa yang nyata bahawa Nabi s.a.w. telah meyakinkan anak angkatnya itu yang juga sebagai teman seperjalanan ketika menjalankan tugas dakwah Islam ke Taif.Bahawa masalah yang dihadapi walau sehebat manapun pasti ada jalan keluar. Nabi s.a.w. menanamkan keyakinan kepada Zaid, bahawa Allah SWT tidak akan membiarkan agama-Nya tersekat tanpa kemenangan, dan Rasul-Nya terhenti sekerat jalan tanpa kejayaan.Ketika Nabi s.a.w. tiba di pinggir kota Makkah baginda bertemu dengan seorang, lalu Nabi s.a.w. minta jasa baik baik orang itu supaya bertemu dengan seorang yang bernama "Mut'am bin `Adi" dengan pesanan semoga Mut'am sudi menerima kedatangan Nabi s.a.w. yang baru pulang dari Taif. Meskipun Mut'am bin `Adi masih tidak beriman, namun Allah SWT melembutkan hati Mut'am, dia tidak keberatan untuk menerima kepulangan Nabi Muhammad kembali semula ke kota Makkah itu di bawah
perlindungannya.Demikianlah Allah SWT hendak menyelamatkan Nabi-Nya dari ancaman penduduk kuffar Makkah. Ini suatu kaedah yang lazim bagi masyarakat Arab ketika itu, jika seseorang hendak masuk ke sebuah perkampungan, mereka perlu mendapat jaminan seorang dari kalangan penduduk yang dihormati. Jaminan itu amat penting agar mendapat keselamatan bagi memasuki perkampungan tersebut. Inilah ikhtiar yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. untuk pulang semula ke kota Makkah yang mana baginda telah diusir dari kota tersebut. Dengan takdir Allah SWT Mut'am yang masih belum beriman itu merasa bertanggungjawab untuk menerima kepulangan Muhammad s.a.w. dengan aman dari segala gangguan penduduk Makkah.
Iktibar dan pengajaran dari peristiwa pemergian Nabi s.a.w. ke Taif.Apabila kita perhati mengenai hijrah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. ke Taif, dengan pelbagai halangan, tentangan, cemuhan malah lontaran batu bertubi-tubi dari kanak-kanak yang menerima arahan dari kalangan orang dewasa Taif, sehingga baginda mendapat cedera luka-luka di kaki. Nabi s.a.w. terpaksa menghindari serangan dengan mengheret kakinya yang
berdarah, dan juga Zaid yang turut berdarah di kepala kerana bertindak menjadi benteng untuk melindungi Nabi dari kecederaan yang lebih serius.Dalam pada baginda diburu oleh penduduk Taif dengan rasa kebencian, namun ada juga yang simpati dan memberikan perhatian mendalam terhadap kenabiannya walaupun oleh hanya seorang kuli ladang anggur, iaitu seorang pendatang dari utara Iraq, dan begitu juga berimannya satu rombongan dari kaum jin setelah mendengar ayat-ayat al-Quran yang dibacakan oleh Nabi s.a.w..
Kesemua itu merupakan kerja-kerja yang mesti dilakukan oleh Nabi dalam bentuk tabligh. Tabligh bukanlah sekadar berkata-kata dalam bentuk syarahan mengajak orang ramai supaya beriman kepada Allah dan hari akhirat, tabligh ialah mendedahkan diri kepada kerja-kerja Islam sama ada bentuk melawan bala yang ditimpakan oleh pihak musuh, iaitu menghadapi kebencian orang ramai sehingga menerima pelbagai azab dan kepahitan
hidup.Termasuk juga menerima sokongan dan simpati dari seorang kuli tukang kebun, ataupun dari kaum jin yang berusaha mencari kebenaran. Demikian juga usaha Nabi untuk menghindari perseteruan yang lebih parah penduduk Makkah dengan mengutus seseorang menemui Mut'am bin 'Adi untuk mendapat perlindungan.Semua kerja-kerja Islam yang melibatkan dengan kawan ataupun lawan, yang senang dan susah, maka kesemua itu
adalah tabligh yang patut kita contohi.Kerana tindak-tanduk Nabi itu bukan secara kebetulan, tetapi semua kerja-kerja Nabi itu telah diatur begitu kemas dan dipakej begitu sempurna oleh Allah SWT untuk menjadi contoh ikutan oleh umatnya sepanjang zaman. Nabi dihantar oleh Allah SWT ke muka bumi ini mempunyai mesej yang jelas, untuk menyatakan dengan sebenarnya pegangan hidup iaitu aqidah yang betul. Nabi juga menyedarkan manusia bahawa kehidupan insan
di muka bumi ini hanyalah sekadar menumpang hidup di bumi Allah, berteduh di sebuah planet yang cukup sesuai dan serasi untuk kehidupan manusia yang sementara, dengan udara yang nyaman, hujan yang turun membasahi bumi menjadi punca turunnya rezki dari Allah.Dengan demikian supaya manusia dapat memahami kedudukan diri mereka sebagai makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT, yang mana seluruh kehidupan mereka semata- mata bergantung atas ihsan Allah SWT. Meskipun manusia hidup di muka bumi ini melakukan ikhtiar sehingga mereka memiliki segala apa yang mereka hajati, menikmati kesenangan melalui harta kekayaan yang mereka miliki. namun mereka dikehendaki menanamkan sikap sesuai sebagai makhluk, bahawa semuanya hanyalah milik Tuhan belaka, yang ada di tangan manusia hanyalah amanah Allah SWT agar mereka melaksanakannya dengan betul bagi mencapai keredhaan-Nya. Bukan sahaja harta benda itu milik Tuhan, bahkan diri mereka, nyawa dan umur mereka adalah milik-Nya jua.
Mereka boleh mengambil apa jua manfaat dari diri, nyawa dan usia serta mata benda yang diperolehinya, namun semata-mata digunakan untuk berbakti kepada Allah Taala. Mempergunakan segala-gala anugerah Allah itu mengikut cara yang dibenarkan sahaja, apa yang terlarang mesti dihindari. Selain dari menerangkan tentang perkara yang bersangkut paut dengan aqidah, maka tabligh Nabi juga mengajar manusia tentang urusan
ibadat dengan Allah SWT. Begitu juga perkara yang bersangkut dengan akhlak dan budi pekerti, termasuk juga urusan muamalat sesama manusia.Begitu juga menjadi tanggungjawab Nabi mengajar manusia tentang wajib bersabar, bukan saja secara teori tetapi yang lebih penting ialah melalui contoh pengalaman hidup Nabi yang sentiasa bersabar, sebagaimana Nabi menghadapi pelbagai rintangan dan tentangan dari penduduk Taif.Bersabar bukan bererti Nabi mesti menetap di kota Makkah sahaja menerima apa jua yang ditimpakan oleh Quraisy kuffar, apabila Nabi pergi ke Taif
tidak pula bermakna Nabi tidak sabar berada di Makkah. Sebaliknya ia menunjukkan sifat cekal, kerana tentangan terhadap dakwah Nabi tidak kurang hebatnya di Taif. Apabila Allah SWT memerintahkan supaya bersabar, bererti akan menghadapi cabaran dan rintangan. Perjuangan menegakkan Islam tidak dapat dielak dari menempuh ujian.