WALAUPUN beberapa kali pernah bertembung dengan ‘sang bedal’ di Sungai Kelantan yang terletak tidak jauh dari Pasir Mas, Kelantan, semangat Minah Umar tidak pernah luntur untuk meneruskan mata pencarian di sungai berkenaan demi menyara keluarga.
Meskipun menyedari ada kemungkinan reptilia itu bertindak ganas, Minah dan suaminya Mamat Dollah tetap mencari satu khazanah di perut sungai itu.
“Kita tak kacau dia, dia (buaya) pun tak kacau kita,” kata Minah.
Apa yang dicari pasangan ini? Jawapannya ialah ‘etok’, sejenis hidupan air tawar yang mempunyai cengkerang seakan-akan kupang yang menjadi makanan tradisi rakyat Kelantan sejak zaman dulu lagi.
Minah, yang menjadikan kerja mencari etok sebagai sumber pendapatannya sejak lebih 50 tahun lalu, kini sudah berusia 72 tahun.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Nek Minah, tidak lagi turun ke sungai tetapi hanya menjual etok yang disalai di gerainya yang terletak di hadapan Sekolah Kebangsaan Mekasar, Pasir Mas.
Walaupun ada banyak gerai yang menjual etok di sekitar kawasan berkenaan, gerai Nek Minah tetap menjadi tumpuan orang ramai.
Etok salai yang dijual beliau mempunyai rasa yang boleh membuatkan pembeli kembali mengunjungi gerainya lagi. Perniagaan menjual etok itu diwarisi daripada ibunya.
“Etok salai memang terkenal sejak dulu lagi di negeri Kelantan dan menjadi makanan ringan masyarakat,” kata Nek Minah.
Selain disalai, etok juga boleh dimasak dengan cara lain seperti gulai lemak dan masak tumis. Ia juga penambah selera jika dimakan dengan nasi ulam.
Rasanya yang manis dapat membuka selera sesiapa yang memakannya. Bagi mereka yang tidak biasa memakan etok, agak kekok untuk membuka cengkerang dan perlu menggunakan pisau bagi mendapatkan isinya.
Kelantan mempunyai banyak gerai menjual etok. Tidak sah rasanya jika tidak melihat etok dijual di tepi jalan ataupun di pasar.
Bagaimanapun etok Pasir Mas dikatakan mempunyai rasa yang sedap dan lain daripada yang lain.
“Dulu makcik menjaja etok salai di sekeliling kampung sekitar Pasir Mas dari pagi sampai petang. Pendapatannya tidaklah seberapa, hanya RM5 untuk lima gantang,” cerita Nek Minah lagi sambil tangannya ligat membungkus etok kepada pelanggannya.
Sekarang Nek Minah tidak lagi menjaja etok salai memandangkan dirinya sudah dimamah usia.
“Makcik dah tak larat nak berjalan jauh, memadai dengan membuka gerai tepi jalan macam ni, kalau orang nak (beli) mereka akan singgah.” katanya.
Pendapatan yang diperoleh Nek Minah sekarang amat lumayan iaitu RM60 untuk lima gantang berbanding RM5 untuk jumlah yang sama pada waktu dulu. Jika etok berkenaan tidak habis dijual, Nek Minah akan memberi kepada jirannya.
“Dulu susah tak macam sekarang. Makcik dapat stok daripada peraih luar, tiap-tiap hari mereka datang ke rumah makcik untuk menghantar stok jikalau ada,” katanya yang menyatakan harga bekalan etok ketika ini bagi satu gantang adalah RM7.
Peraih luar mendapatkan bekalan etok dari Perak, Terengganu dan Selangor memandangkan bekalan etok di Kelantan semakin berkurangan.
“Bekalan etok bukannya selalu ada, kadang-kadang sampai seminggu makcik tidak dapat bekalan,” katanya.
Apabila tidak ada bekalan daripada peraih, anak keempat Nek Minah akan keluar mencari etok sendiri di Sungai Kelantan. Beliau juga turut menjual etok sebagai sumber rezekinya.
Ada juga warisan muda yang menceburkan diri dalam perniagaan etok ini.
Walaupun mempunyai perasaan malu pada mulanya, tetapi mereka tetap cuba untuk mengatasinya.
“Kakak masa mula-mula menjual etok ni kekok sikit. Malu,” kata Dalina Mohd Yusof apabila ditanya perasaannya menjual etok pada usia muda.
Wanita berusia 31 tahun yang berasal dari Melaka itu mengakui tidak mengenali etok sebelum mengahwini suaminya yang berasal dari Kelantan dua tahun lepas.
“Dulu, kakak tak tahu pun yang etok ni boleh dimakan, sampai Kelantan baru tahu benda ni boleh dimakan,” katanya sambil tergelak kecil.
Beliau berkata, dulu hanya menemani ibu mentuanya menjual etok. Lama-kelamaan, beliau berasa seronok dan ingin mencuba untuk berniaga etok sendiri.
Tambahan pula pendapatan yang diperoleh hasil menjual etok adalah lumayan iaitu keuntungan bersih yang didapati dalam sehari adalah sebanyak RM30. — Bernama
Tergolong dalam spesies seperti kerang, kupang, tiram dan kepah.
Perkataan etok tidak terdapat dalam Kamus Dewan Bahasa kerana ia adalah panggilan dialek Kelantan.
Alat yang sering digunakan untuk mencari etok ialah sejenis pengaut yang menyerupai pengaut sampah. Alat ini akan memudahkan pencari etok untuk mengutipnya.
Etok yang paling besar pernah dilihat Nek Minah adalah sebesar wang syiling 50 sen dan paling kecil sebesar butang baju.
Untuk membuat etok salai bukanlah satu perkara yang rumit. Etok akan direndam semalaman untuk mengeluarkan pasir dan lumpur yang ada di dalamnya.
Dijual RM1 sebungkus.
Untuk empat gantang etok yang akan disalai, guna setengah kilogram bawang putih dan bawang merah, sedikit halia, serai dan garam secukup rasa.
Serai paling banyak digunakan untuk menambahkan aroma dan menyedapkan rasa etok salai selain dapat menghilangkan bau hanyir pada etok.
Proses memerap etok mengambil masa setengah jam sebelum disalai selama satu hingga dua jam.
Cara menyalai etok ialah dengan menggunakan buluh yang dijadikan seperti jaring. Etok disalai menggunakan api yang sederhana dengan jarak ketinggian satu meter.