Pu-239 oleh Ken Kalfus

Balik ke Homepage Cikgu Ji

Cerita Pu-239 ini adalah satu cerita berbentuk "malapetaka" yang membayangkan kemungkinan kejadian pencemaran bumi oleh bahan radioaktif, atau mungkinkah ianya telahpun berlaku tanpa kita sedari?

Bahan aktinida yang dimaksudkan di sini adalah elemen yang nombor atomnya 81 - 103, iaitu actinium hingga ke lawrencium. Semua bahan aktinida adalah beradio-aktif. Pu-239 adalah satu contoh bahan aktinida.

Kerana ceritanya agak panjang, ianya dibahagikan kepada 4 bahagian.

 Pu-239 Bahagian Dua

Dia kelihatan tidak tertarik langsung dengan kemewahan dan keselesaan yang khabarnya ditawarkan oleh hotel itu, kerana pendatang Gipsi dan samseng yang berkeliaran di luar lobi hotel telahpun sedikit sebanyak merendahkan taraf hotel itu. Timofey sedar bahawa kawasan longue di dalam hotel itu adalah untuk meniru keindahan bangunan berbumbung kaca bertiangkan marmar di Barat, tetapi bumbung kaca di longue hotel itu cuma bertiangkan dua blok konkrit, dan jelas kelihatan retak pada tingkap kaca sekeliling longue itu. Lantai longue kelihatan sekali lalu seperti lantai kilang kerana tidak dijaga dengan baik. Satu-satunya yang menarik perhatian Timofey adalah satu set pokok bunga yang ditanam di dalam beberapa buah pasu dan diatur di tengah-tengah ruang longue itu.

Timofey dapat mengesan beberapa suara bahasa asing kedengaran di ruang itu, tetapi kebanyakan pelanggan adalah samada bangsa Rusia ataupun "black" - yang bermakna Caucasian. Lelaki-lelaki tidak bercukur dan gempal berpakaian seluar track dan jaket kulit murah bersesak-sesak di sekeliling meja makan bersalut plastik di situ. Masing-masing menghembuskan asap rokok ke muka rakan-rakan mereka. Sekali sekala mereka mendongakkan kepala dari minuman mereka dan memerhatikan sekeliling. Kemudian, mereka akan menyambung tawar menawar mereka, entah apa yang ditawarkan. Di sebuah meja lain, seorang wanita berbaju hitam yang singkat dengan stokin hitam panjang sedang duduk membaca akhbar.

Betul-betul di belakang Timofey, seorang lelaki muda yang sedang duduk bersendirian membuat keputusan bahawa dia tidak ada wang yang cukup untuk mendapatkan seorang teman wanita . Dia berkira-kira Timofey mungkin mempunyai wang dan mungkin dia boleh membuat Timofey kehilangan wangnya itu. Bakal mangsanya itu mungkin ada wang yang cukup untuk mendapatkan seorang dari budak-budak perempuan yang sentiasa berkeliaran di rumah ski berhampiran yang sering melambai-lambai kepada kereta yang lalu lalang. Lelaki yang dipanggil Shiv oleh rakan-rakannya di Moskow itu bangun dari kerusinya,meninggalkan minumannya di atas meja.

"Pertama kali di Moskow, kawan?"

Timofey tidak berlagak terkejut. Dia perlahan-lahan mendongakkan kepalanya dan memerhatikan wajah lelaki itu. Kesimpulan yang boleh dibuatnya adalah samada hidung lelaki itu telah pernah patah beberapa kali, atau hidungnya tidak pernah cedera tetapi semua anggota wajahnya yang lain telah pernah patah beberapa kali, yang menyebabkan pipi dan kelongsong matanya bengkok dan tidak rata. Lelaki itu memakai sehelai blazer import dan baju hitam, sehelai seluar hitam dan sepasang kasut import. Rambutnya yang hitam dan kerinting itu panjang melebihi kolar bajunya. Di lengan dan jarinya kelihatan barang-barang kemas. Agak mustahil untuk menggambarkan kewujudan makhluk seperti itu di 16.

Shiv tidak memperdulikan tenungan tajam dari mata Timofey; tenungan sebegitu menandakan seseorang yang tidak begitu mahir dengan dunia luar. Sebaliknya dia menarik kerusi dan duduk. Dia berkata.

"Di sini tiada sesiapa yang kau kenali. Adakah kau ingin bertemu seseorang?"

Mangsanya itu tidak menjawab. Malah tidak ada tanda yang mangsanya itu mendengar apa yang dikatanya. Mulut Timofey tertutup rapat, dan wajahnya nampak kosong. Shiv berfikir samada mangsanya itu boleh berbahasa Rusia. Shiv tidak boleh berbahasa asing dan amat benci dengan orang-orang asing yang selalu bercakap dalam bahasa mereka. Dia menambah, "Kau telah datang ke tempat yang tepat. Biar aku mengenalkan diriku."

Timofey terus memandang tajam ke wajah Shiv. Terlalu tajam pandangannya sehingga kalau Shiv memahaminya pasti dia akan sedar betapa bahayanya pandangan itu. Orang gila ni, fikir Shiv, membazirkan masa aku sahaja. Tetapi sebaik sahaja selepas dia berfikir begitu, mangsanya pun membuka mulut, bertutur dalam bahasa Rusia tanpa dialek, "Aku ada barang untuk dijual".

Shiv tersenyum menampakkan giginya yang keputihan. "Tahniah. Kau seorang ahli perniagaan rupanya. Hmm, memang ini tempat yang tepat untuk tujuan itu. Akupun seorang ahli perniagaan. Apa barang yang kau ingin jual?"

"Aku tak boleh membincangkannya di sini."

"Baiklah."

Shiv berdiri dan Timofey mengekorinya ke bilik kecil yang penuh dengan mesin video poker. Imej Raja, Permaisuri dan Badut terpancar di muka Shiv..

"Ini tidak cukup."

"Ini dah cukup." Kata Shiv. "Lebih banyak urusniaga dijalankan di sini dari urusniaga di Pasaran Saham Moscow."

"Tak boleh."

Shiv menggelengkan kepalanya sambil berjalan kembali ke mejanya tadi yang telah dibersihkan oleh pelayan. Minumannya tiada lagi di situ. Shiv naik marah sedikit. Dia tahu dia boleh membuat pelayan itu meminta maaf dan menghidangkannya segelas minuman baru yang lebih lazat dari minumannya tadi. Dia dihormati di sini, fikirnya.

"Kau membuat kesalahan yang paling besar dalam hidup kau," Timofey berbisik di belakang telinga Shiv, "Aku akan membuat kau kaya."

Apa yang mengubah fikiran Shiv bukanlah janji itu. Janji sebegitu pada masa sebegini memang kerap didengar, samada di iklan komersial, ceramah politik, atau bisikan cinta. Apa yang mengubah fikiran Shiv adalah dua elemen yang dikesannya di dalam suara mangsanya itu. Elemen pertama adalah tertekan, yang menggambarkan keuntungan. Tetapi, walaupun tertekan, Timofey telah menunjukkan daya kawal diri yang mengagumkan Shiv. Suara Timofey begitu perlahan sehingga hampir-hampir tidak kedengaran. Mungkin dia memang bercakap benar, fikir Shiv.

Dia beralih dan menghadap Timofey, yang terus menerus cuba mempengaruhinya. Dengan sedikit isyarat kepala, Shiv menunjuk ke arah sebuah pintu lif yang dipenuhi poster iklan agen pelancungan dan rumah urut. Timofey berdiri di tempatnya beberapa lama seolah-olah sedang berfikir samada hendak mengikut ataupun tidak. Shiv menekan butang lif tersebut dan selepas beberapa minit, lif pun tiba. Timofey melangkah masuk sebaik sahaja pintu lif terbuka.

Shiv berkata, "Kalau kau cuba nak menipu…."

Selalunya deshurnaya di tingkat empat itu tidak menimbulkan masalah. Tetapi hari itu, perempuan tua yang bertugas sebagai penjaga paras itu sengaja menyusahkan. "Lagi," katanya selepas Shiv menyelitkan lima ringgit ke tangannya. Dia kemudian mengembalikan wang lima ringgit yang kedua kerana ianya terkoyak di bahagian tengah. Shiv mengeluh. Sudah beberapa lama dia cuba untuk menggunakan wang lima ringgit itu. Nampaknya wang kertas yang koyak itu akan kekal bersamanya sampai dia mati. Perempuan itu menerima not yang seterusnya sambil menengking, merenung lama ke loker kuncinya sebelum memilih satu kunci untuk diberikan kepada Shiv.

Sebaik sahaja mereka memasuki bilik tersebut, Shiv mengeluarkan sekotak Marlboro dan pemetik api bersalut emas sambil bersandar ke almari besar berwarna biege yang tersergam di dalam bilik itu. Langsir bilik yang berwarna keunguan itu berbau racun serangga; dan seekor lalat besar sedang hinggap di atas lampu neon di siling. Shiv tidak menawarkan mangsanya sebarang rokok. "Baiklah," katanya. Api dari pemetik api itu didekatkan ke bibirnya. "Ini mesti berbaloi dengan modal yang aku dah keluarkan."

Timofey menyeluk sesuatu di dalam jaketnya dengan pantas dan tidak sedar Shiv yang terkejut dan tangannya yang bingkas mencapai pisau dari poket belakangnya. Timofey mengeluarkan sekeping sampul berwarna hijau dan menunjukkan kepada Shiv. "Tengok ini."

Shiv menyimpan pisaunya. Dia membawa empat bilah pisau berlainan saiz, gred, dan cara memegang.

"Kenapa?"

"Tengok sudah.."

Shiv membuka sampul itu. Kandungannya adalah Dokumen Pengenalan Timofey dan beberapa dokumen lain. Shiv memang tidak biasa dengan sesiapa yang menunjukkan dokumen peribadi kepadanya. Memang dia tidak mengenali mana-mana keluarga ternama di Moskow. Orang ini, fikir Shiv, sudah semestinya gila, dan dia telahpun menghabiskan sepuluh ringgit kepada dezhurnaya tadi. Wajah mangsanya kelihatan memandang dari dalam gambar hitam putih pada dokumen pengenalannya itu seperti sedang memandang dari dalam air. "Timofey Feydorovich, selamat berkenalan. Jadi ?"

"Tengok tempat tinggal aku: Skotoprigonyevsk - 16."

Shiv tidak menunjukkan sebarang tanda kagum, tetapi bagi Timofey, nama itu penuh dengan kekuatan. Bandar yang menjadi kompleks sains pihak tentera yang kewujudannya dirahsiakan sehingga ianya tidak terdapat di dalam peta pihak tentera sendiri. Hinggakan namanya, yang bermakna ianya berada 16 kilometer dari bandar Skotoprigonyevsk yang asal, adalah satu penyamaran; jarak kedua-dua bandar itu lebih 200 kilometer antara satu sama lain. Satu masa dahulu, tanpa kebenaran KGB, adalah mustahil untuk memasuki atau meninggalkan 16. Hingga tiga tahun sebelum itu, Timofey tidak pernah sekali pun meninggalkan bandar itu selama dua puluh tiga tahun. Sekarang dia menyedari, dia terlalu memikirkan tentang peristiwa yang berlaku sepanjang minggu itu hinggakan dia terlupa bukan setakat penjenayah yang diperlukan dalam rancangannya itu, tetapi penjenayah yang berakal, sekurang-kurangnya seorang yang telah membaca akhbar sepanjang lima tahun yang lalu.

"Tengok dokumen-dokumen yang lain. Ini pas aku masuk ke Pusat Pengeluaran Stratejik."

"Comrade," Shiv berkata dengan gaya mengejek, " kalau kau fikir aku nak beli dokumen kau ni…"

"Dengar sini. Tugas utama unit aku adalah untuk membekalkan kuasa senjata strategik. Reaktor kami mengeluarkan Pu-239 sebagai bahan kumuhan fission untuk ditukarkan kepada kepala bom nuklear. Operasi ini telahpun dihentikan, tetapi reaktor terpaksa dibiarkan beroperasi seperti biasa. Menutup reaktor bermakna kos yang yang lebih tinggi dari membiarkannya beroperasi - dan nak biarkannya beroperasipun kita dah tak mampu lakukan dengan baik." Suara Timofey bertukar perlahan-lahan ke nada marah. "Banyak kes kecuaian dari segi prosedur keselamatan yang telah berlaku."

Timofey merenung Shiv untuk memerhatikan samada Shiv faham apa yang cuba dikatakannya. Tetapi Shiv tidak mahu mendengar; dia tidak suka dileteri ataupun disuruh membaca sesuatu, walaupun dokumen-dokumen pengenalan. Dunia memang penuh dengan manusia yang tahu lebih dari Shiv, dan Shiv membenci semua mereka. Dirinya bergumpal dalam api kemarahan. Semakin banyak Timofey bercakap, semakin pula keinginan Shiv untuk mencederakannya. Pun begitu, pada masa yang sama, sejak dia mendengar nama "Skotoprigonyevsk-16" dituturkan, Shiv semakin bertambah sedar yang dia sedang berhadapan dengan sesuatu yang besar yang belum pernah dialaminya sebelum ni.

Timofey bertutur dalam ayat-ayat yang pendek dan cuba menerangkan kepada Shiv. "Satu kemalangan telah berlaku dan aku telah kena kontaminasi. Aku ada isteri dan anak, dan aku tidak ada apa-apa untuk ditinggalkan kepada mereka. Sebab itu aku ke mari."

"Kau tak payah cerita kat aku pasal isteri dan anak kau. Mereka boleh pergi jahanam.You can fuck them both to hell. Aku seorang ahli perniagaan."

Buat sementara waktu, Timofey terkejut dengan keganasan yang terbayang dalam suara lelaki itu. Tetapi, dia mengingatkan kembali dirinya ketika dia mula-mula tiba di Moscow, inilah kali pertama dalam dua puluh enam tahun dia melintas ke kawasan di mana keganasan adalah komoditi dan matawang yang paling berharga dan tidak berubah nilainya. Mungkin lelaki ini memang tepat untuk urusniaganya. Tidak perlu ada ruang untuk bersentimental.

Dia menenangkan dirinya. "Baiklah. Ini saja yang kau perlu tahu. Aku telah mencuri sedikit bahan fission dan aku ingin menjualnya."

Shiv mengeluarkan saputangan dari jaketnya dan menghembus hingus dari hidungnya. Timofey sedar yang Shiv sedang mengalami selesema. Pendedahan radiasi yang melampau boleh melemahkan daya ketahanan seseorang, dan selalu menyebabkan jangkitan bakteria yang membawa maut. Dia memikirkan mungkin bakteria dari lelaki di hadapannya itu ditakdirkan untuk membunuhnya.

Timofey berkata, "Macam mana? Kau berminat?"

Untuk melindungi tanda-tanda kelemahan yang ditunjukkannya ketika menghembus hidungnya tadi, Shiv menghembuskan segumpal asap rokok dari mulutnya.

"Berminat untuk apa?"

"Adakah kau mendengar apa yang aku sedang katakan? Aku mempunyai lebih kurang 300 gram bahan plutonium yang boleh dibuat senjata nuklear atau bom atom. Aku mahu $30,000 sebagai harganya."

Sebagai mengikut syarat, Shiv ketawa. Dia selalu ketawa bila seseorang penjual menamakan harganya. Tetapi kali ini dia merasa seram yang menyelinap ke tulang sum-sumnya bila dia ketawa.

"Harganya akan bertambah beberapa kali ganda di pasaran. Iraq, Iran, Libya, Korea Utara - semua mereka ada program senjata nuklear. Tetapi mereka tiada teknologi untuk menghasilkan bahan fission yang dikayakan. Mereka sangat memerlukannya. Saddam Hussein akan bayar apa sahaja untuk mendapat bahan ini."

"Aku tak tahu bagaimana nak jual barang tu.."

"Jangan jadi bodoh" Timofey berkata. "Aku pun tak tahu juga. Sebab itu aku ke mari. Tetapi kau kata kau seorang ahli perniagaan. Kau mesti ada ramai kawan, mesti ada orang yang boleh bawa barang ni keluar dari negeri ini.."

Shiv merengus. Dia cuma mahu melewat-lewatkan masa sekarang, cuba berfikir dan mengatur strategi. Perkataan "bodoh" melekat di fikirannya seperti sekeping daging busuk.

"Mungkin aku ada. Mungkin aku tiada"

"Dan keputusan kau?"

"Mana barang tu?"

"Ada bersama aku."

Kerlipan mata Shiv membayangkan seperti pemangsa memerhatikan mangsanya. Tetapi, Timofey memang sudah dapat menjangkakannya. Dia perlahan-lahan membuka butang bajunya. Bajunya tertanggal mendedahkan sebuah rekaan yang mengambil masa beberapa jam untuk disiapkan di dapur pada hari selepas kemalangan itu berlaku. Semasa itu, dia cuma membayangkan makhluk apakah yang telah merasuk dirinya sehingga dia sanggup melakukan perbuatan itu. Sekarang, di bawah lengannya, satu celepa besi terlekat pada rusuk kirinya, dan diikat dengan ikatan yang kompleks yang terdiri dari talipinggang, tali, cangkuk, dan pengikat nilon.

"Kau nampak tak macam mana aku dah ikatkan celepa ni?" katanya "Cuma ada satu jalan yang betul untuk menghuraikan ikatan ini dan banyak jalan yang salah. Sekali kau cuba jalan yang salah, celepa ini akan terbuka dan bahan di dalamnya akan tertumpah keluar. Kau tahu tak ciri-ciri radioaktif bahan dalam celepa ni? Dan kesannya kepada setiap makhluk bernyawa?"

Shiv hampir-hampir ketawa. Dia pernah mengenali seorang budak perempuan yang memakai ikatan seperti yang sedang dilihatnya sekarang.

"Bagi aku tengok."

"Bahan ini adalah plutonium. Ia hanya boleh diperiksa di bawah pengawasan yang teliti di dalam makmal. Jumlah yang mikroskopik pun, kalau tersentuh pada tubuh kau, akan mengeluarkan radiasi yang akan merosakkan tisu badan dan bahan nukleik sel badan kau. Satu perseribu gram dah boleh membunuh. Secara mudah, apa saja yang menyentuhnya akan mati."

Shiv memang ada kawan perniagaan yang mampu menilaikan barang sebegini, tetapi dia telah ditipu oleh mereka beberapa bulan yang lepas semasa dia menolong mereka menyeludup heroin dari Uzbek yang bernilai kira-kira setengah juta ringgit. Dia sebenarnya telahpun memegang beg-beg itu dengan tangannya dan mencubit serbuk itu beralaskan plastik. Dia cuba menggambarkan betapa kuantiti yang begitu sedikit mampu meletakkan harga nilai yang begitu besar. Tetapi, sebaik sahaja dia menyelesaikan kerja penyeludupannya dan menyerahkan bahan itu, ahli perniagaan yang menjadi pelanggannya itu hanya memberikannya dua ribu ringgit. Di hujung meja yag beralaskan kain yang baru dicomotkan itu, Don - namanya adalah Voronenko, dari Tambov, dan berkeras agar dipanggil Don, sambil memakan sphagetti dan meatball untuk makan tengaharinya, tersenyum memerhatikan kekecewaan pada wajah Shiv. Shiv memang mahu memprotes, tetapi dia ketakutan. Selepas itu, dia merasa terlalu marah sehingga dia menghabiskan jumlah wang itu di meja judi dan pada pelacur dalam masa satu malam sahaja.

Dia berkata,"Jadi, satu kemalangan telah berlaku. Macam mana aku boleh tahu bahan tu masih baik?"

"Kau tahu tak apa maksud separa-hayat? Separa-hayat plutonium 239 ialah 24,000 tahun."

"Itu yang kau nak cakap kat aku..."

"Kau boleh cari tengok samada itu betul atau tidak.."

"Kau ingat aku siapa? Perpustakawan?? Dengar sini, aku tahu teknik dalam perniaagan ini. Mesti ada kau campurkan bahan lain di dalamnya."

Seluruh tubuh Timofey terasa macam terbakar. Dia boleh merasakan setiap anggota badannya ditembusi pancaran radiasi alpha. Ada ketikanya dia terasa macam ingin berbaring di atas salah satu dari katil di bilik hotel itu dan tidur. Bila terjaga dari tidur itu, mungkin dia akan berada di rumahnya dan perkara yang dialaminya sekarang cumalah mimpi ngeri. Tetapi, dia takut untuk membayangkan kemungkinan itu. Dia berkata, "Ya, sememangnya kau betul. Sampel ini mempunyai beberapa peratus uranium dan isotop plutonium, juga sedikit americium dan gallium. Tetapi bahan Pu-239 adalah 94.7 peratus."

"Jadi kau mengaku yang bahan ini bukanlah dari bahan yang tinggi kualitinya. Sekarang baru aku nak bincang pasal harganya."

"Sebarang campuran yang melebihi 93% adalah weapon-grade. Tengok sini, adakah sesiapa yang kau boleh temukan dengan aku untuk perniagaan bahan ini? Kalau tidak, kita hanya membuang masa di sini."

Shiv mengambil sebatang lagi rokok dari jaketnya dan mengetuknya ke belakang tapak tangannya. Sambil menyalakan pemetik apinya, dia meletakkan jarinya pada pencucuh pemetik api itu. Dia melalukan api pemetik itu di depan mukanya sehingga parut pada mukanya nampak jelas di dalam bilik yang agak gelap itu.

"Ya, tapi dia berada di Perkhuskovo. Empat puluh minit dari sini dengan kereta. Aku boleh bawa kau ke sana"

"Aku ada kereta. Aku boleh ikut kau."

Shiv menggelengkan kepalanya. "Itu tak akan berjaya. Orang ini mengawal ketat kawasan dachanya.Tak mungkin kau dapat masuk seorang diri."

"Lupakan saja. Aku akan bawa barang ni ke tempat lain ."

Shiv menaikkan bahunya tanda enggan berkerjasama dan gerak lakunya hampir-hampir menggambarkan kejujurannya. Orang ini terlalu pelik, barang yang dibawanya terlalu pelik. Firasatnya mengatakan lebih baik kalau dia teruskan kerjanya menjadi bapa ayam kepada gadis-gadis sekolah yang berada di luar hotel itu. Tetapi sebaliknya dia berkata, "Kalau kau betul-betul bersungguh, aku tak boleh kata apa-apa. Dengan berseorangan, kau tidak akan dapat temui sesiapa pun yang mempunyai wang tunai $30,000 di dalam poketnya. Ahli perniagaan ini kenal diriku. Aku akan pergi dengan kau dalam kereta kau. Kau boleh pandu kereta tu."

Timofey berkata, "Tidak, kita memandu berasingan."

Mangsanya begitu degil. Shiv hanya tersenyum .

"Baiklah," katanya." Mungkin itu boleh dilakukan. Aku akan menelefon ahli perniagaan itu di lobi dan akan cuba mengatur pertemuan. Aku tak pasti samada ianya boleh dilakukan malam ini."

"Mesti malam ni, Kalau tidak tiada sebarang perniagaan."

"Kenapa kau begitu tergesa-gesa? Kau sendiri yang berkata yang barang tu tahan 24,000 tahun, kan?"

"Cakapkan kepada kawan kau tu yang aku dari Skotoprigonvevsk-16. Katakan barang itu weapon-grade. Itu sahaja yang perlu diketahuinya. Adakah kau faham apa yang aku katakan ini?" 

1