"Oh Allah! You are my reason and your blessings are my goals. For that I hope, YOU will grant me everlasting LOVE and DESIRE for YOU."
|
MUQADDIMAH KITAB BIYADATUL HIDAYAH (PERMULAAN JALAN HIDAYAH)
OLEH AL-IMAM HUJJATUL ISLAM ABU HAMID AL GHAZALI
Dengan nama
Allah yang sangat pemurah lagi sangat mengasihani. Segala puji bagi Allah
sebenar benar pujian. Selawat dan salam tercurah kepada sebaik baik
makhlukNYA, penghulu kita Nabi Muhammad S.A.W. dan juga kepada keluarga
dan para sahabatnya dan pengikut-pengikutnya.
Ketahuilah ~ Wahai saudaraku yang sangat berminat dan mempunyai perhatian dalam mencari ilmu, yang telah menunjukkan cita-cita yang tinggi dan rasa sangat dahaga terhadap ilmu pengetahuan ~ Seandainya engkau berniat dengan mencari ilmu ini untuk berlumba lumba dan mendapatkan kemegahan dan terkemuka dikalangan kawan kawan dan untuk menarik perhatian orang ramai terhadap dirimu dan menghimpunkan akan kekayaan dunia, maka sebenarnya engkau telah berusaha menghancurkan agamamu dan membinasakan dirimu sendiri dan menjual akhiratmu untuk mendapatkan harta dunia, maka penjualanmu adalah rugi dan perniagaanmu porak-peranda dan guru yang mengajarmu adalah dikira menolongmu dalam membuat maksiat dan ia juga akan merasakan kerugian. Ketika ini guru yang mengajarmu itu laksana seorang menjual pedang kepada perompak seperti sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud,"Siapa yang menolong orang lain melakukan sesuatu maksiat walaupun hanya dengan setengah kalimah maka orang itu dikira berkongsi di dalam melakukan maksiat tersebut." Dan jikalau niatmu didalam mecari ilmu itu untuk mencari keredhaan Allah dan mencari hidayah, bukan semata mata untuk pandai bercakap maka hendaklah engkau bergembira, kerana para malaikat telah mengembangkan sayapnya apabila engkau berjalan (menuju tempat belajar) dan ikan yang ada di dalam laut semuanya meminta ampun bagimu ketika engkau berjalan. Tetapi sebelum itu hendaklah engkau ketahui bahawa hidayah itu adalah buah daripada ilmu dan bagi hidayah itu ada "bidayah" (permulaan) dan ada pula "nihayah" (kesudahan) dan ada "zahir" dan ada pula "batinnya" dan engkau tidak akan sampai kepada "nihayatul hidayah" dan engkau tidak akan dapat menyelami "batin hidayah" kecuali setelah engkau selesai daripada menyempurnakan segala urusan yang berkenaan dengan "zahir hidayah" itu. Di dalam kitab ini saya akan sebutkan "Bidayatul Hidayah" (permulaan jalan menuju hidayah) supaya engkau cuba mengamalkannya pada dirimu dan supaya engkau dapat menguji hatimu. Seandainya engkau dapati hatimu cenderung kepadanya dan nafsumu mahu mengikuti arahannya dan dia dapat memberikan perhatian yang sewajarnya, maka nanti engkau akan sampai kepada "nihayatul hidayah" hingga engkau mampu mengharungi lautan ilmu yang luas itu. Tetapi jikalau engkau mendapati hatimu tidak memberi perhatian kepadanya dan nafsumu suka berlambat lambat dalam melaksanakan perintahnya maka ketahuilah bahawa kecenderunganmu dalam menuntut ilmu sebenarnya hanya tunduk kepada perintah syaitan yang terkutuk yang mahu menipu engkau dengan bermacam macam tipu helahnya. Sehingga engkau akan terjerumus ke dalam jurang kecelakaan. Syaitan sebenarnya bermaksud supaya engkau melakukan kejahatan pada hal engkau mengira bahawa engkau telah berbuat kebaikan. Maka dengan itu syaitan telah berjaya memperdayakan engkau dan ia telah berjaya mengumpulkan engkau bersama sama dengan golongan yang disebutkan dalam ayat yang bermaksud,"Katakanlah ~ Wahai Muhammad! Mahukah kamu aku khabarkan dengan orang yang sebenarnya mendapat kerugian di dalam usaha mereka. Iaitu orang yang telah mensia-siakan perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat baik." (Surah Al Kahfi, ayat 103-104) Ketika itu syaitan sangat pandai mengajar engkau akan kelebihan ilmu dan darjat para ulama' dan ia mengajar engkau beberapa kelebihan mencari ilmu yang telah disebut di dalam hadis dan juga perkataan ulama', sedangkan syaitan dengan sengaja melupakan engkau daripada seumpama sabdaan Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Siapa yang bertambah ilmunya sedangkan hidayahnya (amalannya) tidak bertambah, maka ia hanya bertambah jauh daripada rahmat Allah." Dan syaitan juga melupakan engkau daripada sabda Baginda S.A.W. yang bermaksud:"Orang yang paling dahsyat siksaannya pada hari kiamat nanti ialah orang yang alim yang tidak memberi manfaat akan dia oleh Allah dengan ilmunya." Pada hal Rasulullah S.A.W. selalu berdoa (dengan mengajarkan kepada umatnya) dengan doa yang bermaksud:"Ya Allah, aku berlindung dengan engkau daripada ilmu yang tidak memberi manfaat dan daripada hati yang tidak khusyuk dan daripada amalan yang tidak diangkat (tidak diterima) dan daripada doa yang tidak didengar (tidak dimakbulkan)." Dan syaitan juga melupakan engkau daripada sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:"Aku melalui pada malam aku diisrakkan dengan kaum yang dipotong lidah mereka dengan gunting daripada api. Maka aku bertanya: Siapakah kamu ini? Mereka menjawab: Kami adalah orang yang suka menyuruh orang lain berbuat kebaikan tetapi kami tidak melakukannya dan kami suka melarang orang lain meninggalkan kejahatan tetapi kami mengerjakannya." Maka berhati hatilah engkau wahai saudaraku daripada tipu muslihat syaitan dan janganlah engkau tunduk kepada tipuannya. Syaitan sangat pandai memerangkap engkau (dengan menyetujui engkau mencari ilmu) pada hal sebenarnya ia telah memperdayai engkau (dengan memesongkan niatmu) maka celaka bagi si jahil sekali celaka kerana ia tidak mahu belajar dan celaka bagi si alim seribu kali apabila ia tidak mengamalkan ilmunya. Dan ketahuilah bahawa manusia didalam menuntut ilmu ini terbagi kepada tiga keadaan: Pertama : Orang yang mencari ilmu untuk menjadikan sebagai bekalan ke negeri akhirat maka dia tidak berniat dengan mencari ilmu kecuali hanya mendapat keredhaan Allah dan negeri akhirat. Maka orang ini termasuk di dalam golongan orang yang beruntung. Kedua : Orang yang mencari ilmu untuk mendapatkan keuntungan segera (dunia) dan mendapatkan kemuliaan pangkat dan harta benda, sedangkan dia sendiri menyedari hal ini dan merasakan di dalam hatinya akan kejahatan keadaan yang sedang dialaminya dan kehinaan maksudnya. Maka orang ini adalah berada di dalam golongan yang berbahaya. Jikalau dia mati sebelum sempat bertaubat, maka dibimbangi ia akan mati dalam keadaan "su-ul khatimah" kemudian usrusannya terserahlah kepada kehendak Allah (kalau mahu dimaafkan atau diseksa). Tetapi kalau dia mendapat taufik sebelum matinya lalu dia bertaubat dan sempat mengamalkan ilmu yang telah dituntutnya dan sempat pula membuat pembetulan terhadap apa yang tercedera atau tercuai. Maka bolehlah dia dikumpulkannya bersama golongan orang yang beruntung, kerana orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa. Ketiga : Orang yang telah dikuasai oleh syaitan maka ia menjadikan ilmu yang dituntutnya itu sebagai alat untuk menghimpunkan harta benda dan bermegah megah dengan kedudukkan dan merasa bangga dengan ramai pengikutnya. Dia menggunakan ilmu yang dituntut itu untuk mencapai segala hajatnya dan untuk mengaut keuntungan dunia. Walaupun demikian, dia masih terpedaya lagi dengan sangkaannya bahawa dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah kerana dia masih lagi pada zahirnya meyerupai ulama. Dia bercakap seperti percakapan ulama dan berpakaian seperti pakaian ulama, pada hal zahir dan batinnya penuh dengan tamak dan haloba dalam menghimpun kekayaan dunia. Orang yang seperti ini termasuk dalam golongan orang yang binasa, jahil dan tertipu dengan helah syaitan dan sangat tipis harapan untuk ia bertaubat kepada Allah kerana dia telah menyangka bahawa dirinya termasuk di dalam golongan orang yang baik, pada hal ia telah lupa akan firman Allah Ta'ala yang ber maksud:"Wahai orang yang beriman, kenapa kamu perkatakan barang yang tidak kamu amalkan?" (Surah As Shof, ayat 2) Dan orang ini sebenarnya termasuk dalam golongan yang dimaksudkan oleh Rasulullah S.A.W. dalam sabdanya yang bermaksud:"Selain daripada Dajjal ada satu perkara yang sangat aku bimbangkan lebih daripada Dajjal. Lalu ada yang bertanya: Apakah itu wahai Rasulullah? Nabi S.A.W. menjawab: Mereka adalah Ulama' Su' yakni ulama' yang jahat." Dajjal itu tujuannya sudah jelas untuk menyesatkan manusia tetapi ulama' Su' ini walaupun lidahnya pandai memalingkan orang lain daripada cinta dunia, namun amal dan perbuatan mereka adalah mengajak orang lain membuat kejahatan kerana amalan seorang itu lebih berkesan daripada percakapannya. Dan orang ramai lebih mudah tertarik dengan perbuatan ulama' Su' daripada perkataan mereka. Maka apa yang dapat dirosakkan oleh ulama' Su' ini dengan perbuatan mereka adalah lebih banyak daripada apa yang dapat dibaikkan oleh lidah mereka. Orang yang jahil sebenarnya belum berani menghimpun dunia banyak banyak kecuali setelah mereka melihat keberanian ulama' Su' ini. Maka ilmu yang ada pada mereka menjadi sebab keberanian orang ramai membuat berbagai maksiat. Maka inilah yang sangat dibimbangkan oleh Nabi S.A.W. Namun demikian, nafsu ammarah ulama' Su' ini selalu membisikkan di telinga mereka bermacam macam angan angan dan membisikkan kepadanya bahawa dia telah banyak menabur jasa di kalangan manusia sehingga dia layak untuk menerima bermacam macam anugerah daripada Allah. Nafsunya juga mengkhayalkan kepadanya bahawa dia adalah lebih baik daripada hamba hamba Allah yang lain. Wahai para penuntut - Maka jadikanlah dirimu bersama dengan golongan yang pertama dan hati hatilah supaya engkau tidak termasuk di dalam golongan yang kedua kerana banyak sekali orang yang lalai yang telah diragut oleh kematian sebelum dia sempat bertaubat lalu rugilah ia. Dan jangan sama sekali engkau termasuk kedalam golongan yang ketiga maka engkau akan terjerumus ke jurang kebinasaan yang tidak diharapkan dapat diselamatkan atau diperbaiki lagi. Maka apabila engkau bertanya: Apakah itu,"Bidayatul Hidayah" (Permulaan jalan menuju hidayah) untuk dapat aku mencubanya bagi diriku maka ketahuilah bahawa permulaan jalan hidayah itu adalah "taqwa yang zahir" dan "Nihayatul Hidayah" (kesudahan jalan hidayah) itu ialah "taqwa yang batin" dan syurga itu tidak akan dicapai melainkan dengan taqwa. Dan tidak ada petunjuk kecuali bagi orang yang menyediakan dirinya untuk bertaqwa. Dan taqwa itu terbahagi kepada dua: Pertama : Menjunjung segala perintah Allah Taala (melaksanakan ketaatan) Kedua : Menjauhi sehala larangan Allah Taala (meninggalkan kemaksiatan) Maka didalam kitab ini akan saya sebutkan kedua dua bahagian ini dengan serba ringkasnya. ~Wallahu a'lam~ |
Mohammed Nazree Hairi's HomePage © Copyright 2001