PERINGATAN UNTUK
PEMIMPIN.

(Surat Sayyidina Ali r.a. kepada Al-Malik Ashtar,
Gabenor Mesir)

Malik,

Aku mengarahkan engkau untuk bertakwa kepada Allah , memilih Allah dan jalan-Nya lebih daripada yang lain . Berikan keutamaan perhambaan dan ingatan kepadanya. Taat kepadanya dengan penuh keyakinan. Ikuti arahan Al-Qur’an dan Sunnah Rasulnya s.a.w. Siapa yang mengingkarinya akan menerima azab yang pedih. Kegagalan menuruti titah perintah Allah akan menandakan kegagalan hidup di dunia dan di hari kemudian. Justeru itu, hendaklah engkau berdiri di atas prinsip-prinsip Ilahi, mempertahankan nikat dan perkhabaran baik dari –Nya.

Aku mengarahkan engkau Malik, agar menggunakan fikiran, hati, tangan dan mulut serta segala pancaindera untuk menolong agama Allah. Allah mengarahkan dirimu agar menahan nafsu amarah dan kehendakmu, mengawal ddiri dan keangkuhan khususnya dari kemilai kekayaan yang menjerumuskan dirimu ke dalam kejahatan dan dosa. Dirimu selalu bertindak menghasut, memaksa dan membenam dirimu kepada kecelakaan dan kerosakan.

Khazanah Yang Terkaya

Ketahuilah wahai Malik, bahawasanya aku mengutuskan engkau ke sebuah negeri yang terdahulunya pernah merasai kedua-dua pemerintahan yang adil dan zalim. Manusia selalunya akan meneliti tingkah lakumu dengan mata yang terbuka dan akan membicarakan perilakumu sebagaimana engkau pernah memperkatakan perihal mereka sebelum ini. Ketahuilah hakikat bahawasanya orang awam hanya akan memperakui mereka yang melakukan kebaikan. Maka sesungguhnya khazanah yang terkaya yang harus engkau pupuk ialah amal salih. Tundukkanlah nafsu buasmu dan pagarilah dirimu dari apa yang telah diharamkan oleh Tuhanmu, kerana, hanya dengan secara demikian sahajalah engkau dapat membezakan kepada mereka antara yang hak dan yang batil.

Pupuklah di dalam hatimu sifat cintakan rakyat jelatamu dan biarkan ianya menerap kepada mereka. Jangan sama sekali engkau berlaku biadab kepada mereka, dan janganlah engkau ambil sedikitpun apa-apa yang menjadi hak mereka. Ingatlah rakyat jelatamu itu adalah antara dua jenis sahaja, sama ada mereka itu saudaramu dalam agama, atau mereka itu manusia sepertimu jua. Mereka boleh melakukan kesilapan, malah setengah dari mereka sentiasa melakukannya. Akan tetapi maafilah mereka sebagaimana engkau sukakan Tuhan memaafkanmu. Engkau dipertanggungjawabkan ke atas mereka, sebagaimana aku dipertanggungjawabkan ke atas kamu. Di atas kita adalah Tuhan yang mempertanggungjawabkan kita semua ke atas rakyat jelata seluruhnya. Dan kita akan disoal tentang apa yang kita lakukan ke atas mereka.

Janganlah sama sekali engkau memusuhi Tuhanmu, kerana engkau tidak mempunyai sedikitpun kekuatan untuk berlindung dari kemurkaan-Nya dan engkau tidak berupaya untuk membiarkan dirimu keluar dari naungan Kasih Sayang dan Keampunan-Nya. Janganlah engkau berasa kesal sekiranya engkau memaafkan sesiapa dan jangan pula engkau merasa bangga menghukum sesiapa. Dan janganlah engkau menaikkan marahmu kerana ianya tidak akan menguntungkan sesiapa.

Janganlah engkau dengan bongkaknya berkata: "Akulah Ketua dan pemimpin kamu semua, maka tunduklah kepada setiap arahanku", kerana ini akan mengotorkan hatimu, melemahkan pegangan agamamu dan memporak-perandakan negara. Sekiranya kamu merasa megah dengan kedudukanmu dan merasa sombong dan bongkak dengan kekuasaanmu, maka renungilah akan kedudukan dan kekuasaan Kerajaan Ilahi yang menguasai seluruh alam semesta. Ini akan mengembalikan kewarasan kepada fikiranmu dan akan memberikan ketenangan dan kelembutan kepada watakmu.

Berjaga-jagalah! Jangan sama sekali engkau menandingi kekuasaan dan kehebatan Tuhanmu; kerana Allah sentiasa menjatuhkan penderhaka Tuhan dan penindas manusia.

Biarlah jelas padamu hak-hak Allah dan hak-hak manusia, dan ajaklah kerabat handaimu untuk menghormatinya. Sekiranya engkau gagal untuk berbuat demikian, maka engkau akan menzalimi dirimu dan manusia seluruhnya yang menjadikan dirinya sendiri musuh Allah. Dia akan dianggap berperang dengan Allah sehinggalah dia memohon keampunan.

Tidak ada satu perkara pun yang akan lebih mempercepatkan kemurkaan Allah dari kezaliman dan penindasan. Allah akan sentiasa mendengar rayuan hamba-Nya yang ditimpa kezaliman. Tiada jaminan yang lebih kukuh dari jaminan Allah untuk membela hamba yang tertindas.

Orang Awam

Utamakanlah keadilan dalam pemerintahanmu dan carilah kerestuan dari seluruh rakyat jelatamu, kerana kekacauan di kalangan orang awam akan menjejaskan orang atasan dan kekacauan di kalangan orang atasan akan membinasakan orang awam. Awasilah, orang atasan tidak akan membantumu dalam saat-saat kesusahan, malah mereka akan menyisihkanmu dari keadilan, mereka akan meminta apa yang diberikan kepada mereka. Mereka tidak gentar menghadapi pengadilan dan tidak segan silu dengan keburukan yang mereka lakukan. Sesungguhnya hanyalah orang-orang awam yang memberikan kekuatan kepada negara dan agama. Merekalah yang akan mempertahankan negara dari musuh. Maka rapatilah mereka dan jagalah segala keperluan dan kehendak mereka.

Jauhilah sesiapa yang suka memburuk-burukkan kelemahan orang lain. Kelemahan itu adalah lumrah manusia. Adalah menjadi kewajipan pemerintah melindungi dan memperbaiki kelemahan rakyatnya. Janganlah dicungkil kelemahan yang tersembunyi dan baikilah apa yang sudah terserlah. Allah melihat apa yang kamu sembunyikan. Sedaya upaya kamu lindungilah kelemahan rakyatmu, Allah akan melindungi kelemahan-kelemahanmu pula. Kurangkanlah ketegangan di antara kamu dengan rakyat jelata dan ketegangan sesama mereka. Janganlah mudah kamu menerima bisik-bisikan, kerana pembohong itu selalu menyerupai seorang teman yang setia.

Penasihat-Penasihat

Janganlah kamu meminta nasihat dari orang yang kedekut kerana ia akan mengikis kemurahanmu dan menakutkan kamu kepada kemiskinan. Jangan meminta nasihat dari orang yang penakut kerana ia akan memalingkan kamu dari cita-cita dan keazamanmu. Jangan meminta nasihat dari orang yang rakus kerana ia akan menanam tamak dalam hatimu dan menjadikanmu pengkhianat. Sifat kedekut, rakus dan penakut akan menjauhkan manusia dari Tuhannya.

Seburuk-buruk panasihat ialah mereka yang menasihati Kerajaan yang zalim dan bersubahat dengan penganiayaan mereka. Jadi, jauhilah mereka yang menjadi penasihatmu. Engkau boleh mencari penasihat yang lebih baik hikmah, bersih dari dosa, dan sentiasa enggan bersubahat dengan pemerintah yang zalim. Mereka ini tidak akan membebanimu, sebaliknya merekalah yang akan membantumu sepanjang masa. Mereka akan menjadi temanmu dan musuh kepada lawanmu. Dikalangan mereka ini utamakanlah mereka yang cekal dengan kebenaran dan tidak pernah cenderung kepada larangan Tuhan

Dekatkanlah dirimu kepada orang-orang yang takut kepada Allah dan biarkanlah mereka tahu bahawa engkau tidak mengharapkan sokongan dan pujian terhadap apa yang tidak patut diberi sokongan dan pujian kerana yang demikian itu akan memusnahkan kamu.

Janganlah engkau menyamakan yang orang-orang yang baik dan orang-orang yang jahat. Yang demikian itu, akan menyekat yang baik dari berbuat baik dan menggalakkan yang jahat berterusan di dalam maksiat mereka. Ingatlah bahawa hubungan baik di antara pemimpin dan rakyatnya tumbuh subur hanya melalui kasih sayang, keadilan dan khidmat bakti. Maka sebarkanlah jalinan mesra antara rakyat jelata, kerana hubungan kemesraan antara merekalah yang akan menyelamatkan dari merbahaya. Kecintaanmu kepada mereka akan dibayar dengan kepercayaan mereka terhadapmu, manakala permusuhanmu kepada mereka akan ditimbal balik dengan pudarnya kepercayaan mereka terhadapmu.

Janganlah kamu mengingkari tradisi mulia yang telah disemai oleh golongan tua mereka; janganlah memulakan sesuatu yang boleh menjejaskan manfaat yang ditimbulkan olehnya. Pelajarilah dari mereka yang berilmu dan berakal, selalulah meminta pandangan mereka dalam urusan pemerintahanmu supaya kesejahteraan yang telah ditimbulkan oleh orang-orang sebelummu dapat diteruskan berpanjangan.

Kepelbagaian Manusia

Sedarilah bahawa masyarakat itu terdiri dari berbagai kelompok manusia. Kejayaan satu kelompok bergantung dengan kejayaan kelompok yang lain; dan tidak ada satu bahagian pun yang boleh bebas dari yang lain. Kit ada bahagian ketenteraan, pentadbiran, kehakiman, kewangan, dan perhubungan awam. Rakyat jelata pula terdiri dari orang-orang Muslim dan orang-orang kafir Zimmi dan mereka terdiri daripada buruh, ahli perniagaan, pekerja dan yang tidak mempunyai pekerjaan. Allah telah menggariskan kepada kita akan hak-hak, tugas dan tanggungjawab mereka. Perkara ini telah dimeterikan di dalam Al-Qur’an dan ajaran Nabi kita s.a.w.

Golongan tentera dengan Kurniaan Allah, adalah seumpama kubu mempertahankan negara dan rakyatnya. Merekalah yang meninggikan kedaulatan agama dan mengekalkan keamanan. Tanpa mereka, porak-perandalah negara. Untuk itu, mereka haruslah didokong sepenuhnya oleh

orang awam memerlukan persefahaman dan kerjasama yang erat. Tidak ketinggalan juga golongan pentadbir dan pemungut cukai, golongan buruh dan saudagar, mereka mempunyai peranan masing-masing dalam menjadikan sesebuah negara berfungsi sepenuhnya. Allah telah memberi setiap hamba-hambanya kedudukan yang berpatutan di dalam masyarakat. Adalah menjadi kewajipan pihak berkuasa untuk menunaikan hak ke atas setiap golongan yang wujud.

Golongan Tentera

Nasihat dan tunjukajarmu kepada golongan tentera tidak akan sedikitpun berkesan sehinggalah kamu dapat buktikan kasih sayangmu kepada mereka; supaya mereka tidak menganggap bahawa tugas dan tanggungjawab kepada Kerajaan itu satu beban yang amat berat dan akhirnya akan membawa kepada keruntuhan kerajaan itu sendiri.

Berterusanlah engkau menyempurnakan hajat dan kehendak mereka dan hormatilah jasa dan sumbangan yang telah mereka berikan. Sikap sedemikian, Insya Allah akan memberangsangkan mereka untuk bertambah berani dan jalan-jalan mencapai keberanian.

Cubalah dengan hemat sekali untuk memahami perasaan orang lain dan janganlah mencerca kesilapan seseorang kepada yang lain serta janganlah merungut-rungut tentang ganjaran yang diberikan. Hati-hatilah supaya jangan engkau memulakan sesiapa yang tidak berbuat apa-apa jasa bakti kepada umum kecuali kedudukan keluarganya yang tinggi. Sebaliknya pula janganlah engkau menyisihkan sesiapa yang banyak jasa baktinya tetapi kedudukan keluarganya rendah dipandang masyarakat.

Petunjuk Sebenarnya

Kembalilah engkau kepada Allah dan Rasul-Nya apabila kamu sudah sangsi terhadap apa yang akan kamu laksanakan. Telah termaktub perintah Allah kepada hamba-hamba-Nya yang ingin mendapat petunjuk:

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan pemimpin di kalangan kamu, dan sekiranya ada perselisihan di antara kamu kembalilah kepada Allah dan Rasul-Nya".

Kembali kepada Allah bererti merujuk semula kitab Allah dan kembali kepada Rasul bererti mengikuti jejak langkahnya dalam setiap hal.

Barisan Kehakiman

Berjaga-jagalah! Berilah keperihatinan sepenuhnya didalam urusan memilih barisan kehakiman yang bakal berkhidmat; kerana jawatan inilah yang selalu direbut oleh mereka yang mementingkan diri sendiri dan kepuasan diri mereka sahaja. Kekalkan jawatan mereka hanya selepas mereka diberi tempoh latihan dan percubaan terlebih dahulu. Jangan sekali-kali memilih seseorang untuk memegang satu jawatan yang penting kerana yang demikian itu akan membawa kamu ke arah ketidakadilan dan kerosakan.

Pilihlah orang-orang yang berpengalaman, kukuh imannya, dan mulia keluarganya untuk menjawati kedudukan yang tinggi. Mereka seumpama itu tidak mudah untuk dijadikan mangsa kepada kemahuan yang melulu dan mereka akan berkhidmat semata-mata untuk menyumbangkan bakti kepada masyarakat umum. Tinggikan gaji mereka supaya mereka dapat hidup dengan sempurna. Mereka tidak akan terdorong untuk mengikis pendapatan orang-orang bawahan untuk kegunaan mereka sendiri. Mereka tidak akan mempunyai sebarang helah lagi untuk menentang arahan-arahanmu atau menyalahgunakan harta kerajaan. Perhatikanlah tingkahlaku mereka tanpa pengetahuan mereka, supaya mereka menjadi orang-orang yang taat dan benar. Mudah-mudahan mereka menjadi orang-orang yang benar-benar jujur dan mahu berbakti kepada rakyat seluruhnya. Apabila engkau menerima laporan akan kegiatan khianat mereka dan ianya telah disahkan oleh penyiasat sulitmu, maka hukumlah mereka tanpa ratu-ragu lagi. Jadikan hukuman itu keras dan jalankannya ditempat awam yang telah dijanjikan.

Urusan Kewangan

Berhati-hatilah kamu mengawasi dan mengamati dalam urusan pentadbiran kewangan untuk memastikan kesejahteraan mereka yang membayar cukai negara; kerana dengan kesejahteraan merekalah yang akan membawa kepada kesejahteraan seluruh rakyat. Engkau mesti memastikan penggunaan tanah itu menjadi lebih penting dari pemungutan cukai kerana hasil dalam negeri hanya dapat dipungut setelah tanahnya produktif. Sesiapa yang memeras cukai hasil tanpa menolong pengusahanya untuk menyuburkan tanah sebenarnya tidak menghargai kedudukan pengusaha tanah dan meruntuhkan negara. Pemerintahan pemimpin sedemikian tidak akan berkekalan. Sekiranya pengusaha tanah meminta untuk diturunkan harga cukai kerana tanaman diserang penyakit, kemarau atau hujan yang berlebihan dan banjir, maka rendahkanlah cukai mereka ke tahap yang sepatutnya. Janganlah engkau bimbang terhadap kekurangan hasil negara dengan sebab yang demikian kerana lambat laun ianya akan kembali kepadamu di zaman yang lebih makmur dari itu. Kamu juga akan dapat membaiki keadaan bandar-bandar dan meninggikan prestasi negara. Engkau akan dipuji ramai kerana langkah itu. Rakyat akan menyakini keadilanmu. Keyakinan yang mereka tunjukkan kepadamu akan membuktikan keutuhanmu, kerana mereka akan bersedia menanggung bebanmu bersama.

Urusan Pentadbiran

Perhatikanlah sepenuhnya terhadap urusan pentadbiranmu, dan pilihlah yang paling baik di antara kamu untuk sebarang perhubungan sulit seperti mereka yang mempunyai akhlak yang mulia, boleh dipercayai yang tidak akan menggunakan kedudukan istimewa mereka untuk memberontak terhadapmu yang bilamana memeterikan perjanjian tidak mudah mengikuti perasaan melulu dan tidak akan mengkhianati kepentinganmu yang dapat menyelamatkan engkau dari kekecuhan dan di dalam melaksanakan tugasnya menyedari tanggungjawabnya kerana sesiapa yang tidak menyedari tanggungjawabnya sendiri tidak akan menyedari tanggungjawabnya kepada yang lain. Janganlah memilih sesiapa untuk tugas sedemikian semata-mata kerana tarikan pertemuan pertama, atau kerana belas kasihan, atau kerana baik hatimu, kerana ramai orang yang tanpak baik tetapi tiada kejujuran hati dan sanggup menipu hatta sebijak-bijak pemimpin. Pemilihan haruslah dibuat setelah diberikan tempoh percubaan yang sepatutnya mengukur darjah kesolehan seseorang. Dalam membuat lantikan terus dari rakyat jelata, pastikan ianya dipilih dari orang-orang yang terkenal kejujurannya pada pandangan umum; kerana pemilihan sedemikian direstu oleh pemimpin dan Allah sendiri. Bagi setiap Jabatan lantiklah seorang pemimpin yang tidak dirundung bimbang bila diuji dan tidak jemu apabila dilanda tekanan kerja. Dan ingatlah sebarang kejelikan yang terdapat didalam pentadbiranmu yang tidak engkau pedulikan akan dituliskan sebagai penentangmu di dalam kitab amalanmu.

Perniagaan dan Perusahaan

Wujudkanlah skima yang berguna untuk mereka yang berkecimpung di dalam perniagaan dan bantulah urusan mereka. Setengah mereka tinggal dibandar dan setengah yang lain pula daripada satu tempat ke satu tempat yang lain bersama-sama alat-alat kelengkapan dan mencari sara hidup melalui usaha tangan sendiri. Perniagaan dan perusahaan adalah sumber keuntungan kepada negara. Orang-orang awam tidaksanggup memikul beban mereka, namun mereka mengangkut hasil-hasil negeri dari dekat dan jauh, merentangi tanah dan menyeberangi lautan, mendaki pergunungan dan meredah hutan demi untuk mencari keuntungan.

Golongan ini cintakan keamanan dan tidak perlu kita bimbangi ancaman dari mereka. Jelajahilah negeri untuk mewujudkan hubungan peribadi dengan golongan ini untuk menyelidiki keadaan mereka. Tetapi ingatlah bahawa ada dikalangan mereka yang tamak dan mudah mengkhianati urusan perniagaan. Mereka menyorok gandum dan menjualnya dengan harga yang tinggi, itu amat merbahaya kepada umum. Adalah wajib bagi seseorang pemimpin membanteras kegiatan sebagini. Hentikan mereka dari menyorok kerana ianya dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Dan pastikan supaya urusan perniagaan dapat dijalankan dengan selicin yang mungkin, dan sukatan timbangan disamaratakan, dan harga ditetapkan supaya kedua-dua pembeli dan penjual tidak kerugian. Dan sekiranya setelah mendengar arahanmu masih terdapat kegiatan menyorok, hukumilah mereka dengan seburuk-buruk balasan.

Golongan Miskin

Awasilah! Takutilah Allah dalam menyelesaikan masalah golongan miskin. Mereka tidak ada tempat berlindung, lemah, tidak mempunyai apa-apa kekuasaan dan sentiasa menjadi mangsa kepada keadaan dan kejadian sekeliling. Di kalangan mereka ramai yang tidak pernah menyoalkan nasib hidup mereka dan rela dengan kesengsaraan yang mereka alami, namun meminta sedekah mereka enggan sama sekali. Demi Allah, tunaikanlah hak-hak mereka kerana di atas bahumulah terletaknya tanggungjawab untuk melindungi mereka. Peruntukanlah sebahagian besar dari harta kerajaan (Baitul Mal) untuk meninggikan taraf hidup mereka , walau di mana sahaja mereka berada samada disekitarmu atau jauh dihujung negeri. Mereka semua mempunyai hak yang sama. Jangan sama sekali kesibukan melupakan kamu kepada mereka. Jangan engkau ketepikan kepentingan mereka di dalam mengambil sebarang keputusan. Awasilah dirimu dari mereka yang memandang enteng kehendak golongan miskin dan mahukan kamu melupakan mereka.

Pilihlah dari kalangan kamu pemimpin yang rendah diri dan sentiasa takut kepada Allah, kerana mereka ini boleh mengingatkan engkau akan nasib golongan miskin. Peliharalah keperluan mereka supaya engkau tidak mencari apa-apa helah lagi apabila tertemu Tuhanmu kelak; kerana golongan miskinlah yang paling layak untuk mendapat perhatian dan kemurahan darimu. Carilah keredaan Tuhanmu dengan menunaikan setiap hak mereka dan jadikan ini sebagai tugas yang maha suci di sisimu. Pelaksanaan tugas inilah yang menjadi cabaran yang utama kepada setiap pemimpin, dan ianya akan direstui oleh orang-orang yang bijak pandai di kalangan kamu. Hanya masyarakat sebeginilah yang menunaikan janji mereka kepada Allah.

Perjumpaan Terbuka

Bertemulah engkau dengan golongan miskin selalu di dalam majlis-majlis terbuka dan dengan hati yang khusyuk serta rendah diri, bercakaplah kepada mereka dari hati ke hati. Janganlah engkau biarkan sesiapa sahaja dari pegawai peribadimu atau pengawalmu atau pegawaimu, bersamamu ketika itu supaya golongan miskin dapat mencurahkan segala keluhan dan keresahan mereka tanpa ada segan silu dan ragu-ragu lagi. Kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tidak ada satu bangsa pun yang diangkat kedudukannya sekiranya yang kuat dikalangan mereka tidak melaksanakan tanggungjawab mereka (membela) golongan yang lemah".

Bersabarlah engkau sekiranya mereka berbahasa kasar sedikit kepadamu dan janganlah engkau jemu jika mereka sukar berbicara dengan jelas, kerana dalam keadaan sebegitu, Allah akan membuka pintu Rahmat-Nya seluas-luasnya padamu. Apa sahaja yang boleh engkau berikan kepada mereka berilah dengan penuh kerelaan, dan apa yang tidak mampu engkau berikan, jelaskanlah kepada mereka keadaan sebenarnya dengan ikhlas.

Ada beberapa perkara yang memerlukan tindakan yang segera. Pastikanlah apa-apa sahaja permintaan atau permohonan yang dikemukakan pada hari itu sampai kepada perhatianmu meskipun pegawai-pegawaimu enggan menyampaikannya kepadamu. Sempurnakanlah kerja sehari pada hari itu juga kerana hari esoknya ada tugas lain pula yang mesti dilaksanakan.

Hubungan Dengan Allah

Janganlah engkau lupa untuk mengkhususkan sedikit masa untuk berhubung dengan Tuhanmu, walaupun sebenarnya setiap masamu adalah untuk Allah di dalam menyumbangkan khidmat baktimu kepada rakyat jelata. Masa yang engkau khususkan itu penuhilah dengan mendirikan sembahyang yang diwajibkan ke atas kamu. Sibukkanlah masamu di siang hari dan malamnya untuk mengerjakannya dan panjangkanlah sembahyangmu sekira-kira kamu tidak merasa jemu mengerjakannya. Apabila engkau mengimami sembahyang pendekkanlah bacaanmu supaya pengikutmu tidak merasa keberatan mengerjakannya kerana dikalangan mereka ada yang lemah dan sibuk dengan pekerjaan mereka.

Apabila aku bertanya pada Rasulullah s.a.w. setelah menerima arahannya untuk ke Yaman, tentang bagaimana aku harus mengimami sembahyang, baginda berkata:

"Dirikanlah sembahyangmu walaupun sekadar seorang yang paling lemah dikalanganmu mengerjakannya, dan jadikanlah belas kasihanmu kepada orang-orang beriman sebagai contoh untuk orang ramai".

Dilarang Mengasingkan Diri

Walau barang sekejap pun janganlah engkau mengasingkan dirimu dari masyarakat umum kerana dengan berbuat demikian engkau akan peka kepada hal-ehwal rakyatmu. Perkara ini akan menjadikan seorang pemimpin tidak lagi sensitif terhadap apa yang mustahak dan apa yang tidak, yang baik dan buruk, yang benar dan yang salah. Bukahkah seorang pemimpin itu manusia biasa, beliau tidak akan mendapat pandangan yang sah tanpa ia sendiri melihatnya. Kebenaran itu kadang-kadang tidak dapat dibezakan dari salah. Hakikatnya, engkau adalah salah satu dari dua jenis pemimpin yang adil ataupun yang zalim. Sekiranya engkau adil maka sudah tentu engkau bergaul rapat dengan rakyatmu sentiasa akan mendengar akan rayuan dan keluhan mereka. Disebaliknya sekiranya engkau zalim sudah tentu rakyatmu memulaukan engkau. Oleh itu, dimanakah untung sekiranya engkau menjauhkan diri dari masyarakat umum tetap merugikan.

Kaum Kerabat

Berwaspadalah tentang orang-orang yang berdekatan denganmu, mereka akan menggunakan kedudukan itu untuk menyeretmu supaya mencabul hak-hak rakyat jelata dan mengajakmu bersubahat melakukan kezaliman.Pendamkanlah sifat sebegitu dikalangan mereka. Jadikan satu peraturan bagimu untuk tidak memberikan apa-apa sahaja harta kerajaan walaupun tanah sekeping kepada kaum kerabatmu. Ini akan melindungi engkau dari Kemurkaan Allah.

Berlaku adillah dengan tidak mengira kedudukan seseorang itu hatta kaum kerabatmu yang terdekat sekalipun. Sekiranya terdapat dikalangan kaum kerabatmu menyalahi undang-undang, hukumilah mereka walau berat hatimu untuk melaksanakannya, kerana yang demikian adalah untuk kebaikan Umat. Sekiranya timbul syak wasangka di kalangan rakyat terhadap kepimpinanmu, curahlah seluruh isi hatimu untuk memulihkan kepercayaan mereka kembali.

Perjanjian dan Keamanan

Jangan sekali-kali engkau mensia-siakan tawaran untuk berdamai yang dikemukakan oleh musuhmu sendiri. Terimalah ia, kerana itu akan menggembirakan Allah. Keamanan adalah sumber kesejahteraan kepada tentera; ia akan membuang kebimbangan dihatimu dan menimbulkan keadaan negara y ang tersusun. Tetapi awasilah! Berwaspadalah setelah sesuatu perjanjian dimeteraikan; kerana sesetengah musuh mengadakan perjanjian damai semata-mata untuk memalingkan engkau dari kawalan keselamatan dan mereka akan menyerang kamu apabila tidak berjaga-jaga. Untuk itu, hendaklah engkau berwaspada sepenuhnya dan jangan mempercayai perkataan mereka membuta tuli. Tetapi sekiranya dibawah perjanjian tersebut engkau berjanji untuk melaksanakan sesuatu, maka laksanakanlah ia sepenuh hatimu. Itu adalah satu amanah dan mestilah ditunaikan, jagalah janjimu itu sekuat-kuatnya meskipun terdapat perselisihan pendapat di atasnya kerana ada sesuatu yang lebih mulia dari menunai janji. Amalan ini dilakukan sendiri oleh orang-orang bukan Islam kerana mereka menyedari akibat yang akan ditanggung dari mengkhianati janji. Jadi, janganlah engkau mencari helah untuk tidak menjalankan tanggungjawabmu dan jangan sekali-kali tidak menepati janji; atau menipu musuhnya. Kerana tidak menepati janji bermakna menderhakai Allah dan tidak ada sesiapa yang suka menderhakai Allah kecuali pengkhidnat yang terjahat.

Sesungguhnya janji-janji Allah adalah rahmat untuk sekelian manusia walaupun yang paling berkuasa dari mereka; kerana tidak ada untungnya seseorang itu tertipu . Jadi, jangan terlalu mudah untuk berjanji sesuatu yang pada kemudian harinya engkau mencari-cari sebab untuk membelakanginya; jangan ditarik balik perkataanmu; jangan pula tidak menepatinya walau pahit kamu rasakan pada permulaannya. Kerana lebih baik engkau menunggu dengan sabar untuk menerima natijahnya daripada mengkhianati janji tanpa memahami terlebih dahulu hakikatnya.

Pertumpahan Darah

Berwaspadalah! Jangan engkau curahkah darah tanpa apa-apa sebab yang sah. Tidak ada perkara yang lebih merbahaya dari perkara ini. Ini akan membawa seseorang kepada keruntuhan. Darah yang dicurahkan sewenang-wenangnya akan membawa kepada keruntuhan negara. Pada hari Pengadilan kelak ia akan menjadi jenayah yang akan disoal oleh Allah. Berjaga-jagalah! Jangan engkau binakan kekuatan negara di atas pencurahan darah; kerana darah itulah yang akan melemahkan negara dan akan melepaskan negara dan pemimpinannya ke tangan orang lain. Di bawah pemerintahan aku dan Tuhanku, tidak ada satu helah pun yang boleh dicari untuk pembunuhan tanpa sebab yang sah diizinkan.

Pesanan Terakhir

Janganlah engkau tergesa-gesa untuk melaksanakan sesuatu tanpa tiba saatnya, atau melengah-lengahkan sesuatu setelah tiba masanya, jangan sama sekali engkau berkeras untuk melakukan sesuatu yang salah atau enggan dan malas untuk membetulkan yang salah. Laksanakan sesuatu pada masa yang sepatutnya dan letakkan ia pada tempat yang sepatutnya. Apabila jemaah seluruhnya telah mempersetujui sesuatu, jangan sekali-kali engkau memaksa pandanganmu ke atas mereka lagi dan jangan engkau berlengah-lengah untuk melaksanakannya pula. Setiap rakyatmu akan meneliti tindakan engkau. Tundukkanlah kemarahanmu dan kawalilah lidah dan tanganmu.

Adalah mustahak sekali bagimu untuk menelaah kembali segala hikmah disebalik kejayaan pemimpin-pemimpin sebelummu. Perhatikanlah sedalam-dalamnya akan warisan yang ditinggalkan oleh Nabi kita s.a.w., sunnahnya, ajaran Kitab Suci Al-Qur’an dan apa jua pelajaran yang engkau terima dariku. Berusahalah sehabis-habis upayamu untuk melaksanakan isi risalahku ini dan bersumpahlah untuk berpegang dengannya. Dengan ini aku memerintahkah engkau supaya tidak mengikut sesuka hatimu dan melupakan tugas dan tanggungjawab yang aku perintahkan kepadamu.

Akhir sekali, aku memohon perlindungan dari Allah Taala yang Kasih Sayang Nya tidak pernah terbatas, dan aku ingin mengajak engkau untuk berdoa bersamaku supaya Allah menjadikan kita hambaNya yang tunduk kepada-Nya; supaya manusia seluruhnya dapat menikmati jasa dan bakti kita. Aku memohon dari Allah keredaan-Nya dan semoga Allah mengurniakan kepada kita makam syahid yang t erpuji. Sesungguhnya kita akan kembali menemui-Nya. Semoga Allah mencurahkan kesejahteraan ke atas penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w. serta seluruh zuriatnya. AMIN!. 1