Sombong, bongkak, angkuh dan takabur atau kibir mempunyai pengertian
yang sama. Iaitu salah satu daripada sifat-sifat mazmumah (sifat
tercela/terkeji). Sifat ini menjadi kebencian dan kemurkaan Allah
kepada sesiapa yang memilikinya, walaupun cuma sedikit, dan menjadi penghalang
daripada syurga. Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat walau
seberat zarah dari perasaan takabur atau sombong."
Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya mereka yang sombong untuk taat sebagai hambaKu, mereka
akan masuk Jahanam sebagai makhluk yang hina dina."(Almukmim:60)
Sifat sombong atau takabur ini boleh di bagikan kepada dua, iaitu, takabur
lahir dan takabur batin. Takabur lahir dapat dilihat melalui
perbuatan dan tindakannya. Gayanya angkuh, mulutnya tajam, mudah
menghina orang yang dianggapnya lebih rendah (pangkat, kealiman, darjat
keturunan) daripadanya.
Ketakburan itu adakalanya dapat dilihat melalui perbicaraan, seperti
tidak mahu mengalah, menganggap dirinya sentiasa benar dan tidak mahu mendengar
dan mengikut nasihat.
Imam Al Ghazali berkata ;
"Orang yang takabur itu ialah orang yang apabila ditegur, ia marah
dan benci, sedangkan kalau ia menegur orang lain ditegurnya dengan
keras dan kasar."
Orang yang sombong atau takabur ini mudah menghina orang lain dan akan
marah jika ada yang mengatasinya.; ia akan dengki apabila orang lain mendapat
nikmat dan akan berdendam dengan orang yang menandingnya.
Takabur batin ialah membesarkan diri di dalam hati.
Inilah maksiat di dalam hati yang dicela. Dengan adanya rasa angkuh
di dalam hatilah lahirnya kata-kata membanggakan diri.
Iblis menganggap dirinya lebih mulia dari Nabi Adam, katanya, " Aku
lebih baik dan mulia dari dia (Adam), aku dijadikan dari api sedangkan
dia dijadikan dari tanah," lalu dengan angkuhnya Iblis enggan tunduk kepada
Nabi Adam, sehingga dengan itu menyebabkan Allah melaknat Iblis dan keturunannya.
Takabur boleh dibahagi kepada tiga: Takabur terhadap Tuhan, Takabur
terhadap RasulNya dan takabur sesama manusia. Takabur kepada Tuhan
ialah tidak memperdulikan ancamanNya dan memandang remeh segala syariat
dan peraturanNya.
Takabur dengan Rasulullah ialah enggan mengikuti petunjuknya.
Orang Quraisy zaman Rasulullah enggan mengikutnya kerana baginda adalah
anak yatim yang miskin. Orang Yahudi pula tidak mahu mengikut Nabi
Muhammad kerana bafinda bukan dari keturunan Bani Israel. Kebanyakan
orang sekarang pula tidak mahu mengikut ajaran Rasulullah kerana menganggapnya
kolot, orthodoks, ketinggalan zaman dan berbagai alasan lagi.
Merasa lebih tinggi dari orang lain adalah takabur sesama manusia.
Orang berpangkat tinggi merasa patut dihormati, dimuliakan dan menganggap
orang lain rendah. Apabila seorang isteri berpangkat tinggi dan ada
nama, susah untuk taat dan memuliakan suaminya, sebagaimana yang dikehendaki
oleh syariat. Seorang alim ulama' bersikap takabur apabila ia memandang
remeh terhadap orang lain kerana menganggap dia sahaja yang benar, jika
ditegur walaupun benar, teguran itu ditolaknya.
Takabur ialah penyakit hati yang merbahaya. Orang yang berpenyakit
ini tidak boleh menjadi pendakwah. Ditakuti melalui tindak tanduknya
akan menampakkan akhlak yang buruk. Kata-katanya pula akan menyakiti
orang hingga menyebabkan mereka hilang kepercayaan. Lebih bahaya lagi jika
ia mewakili jemaah atau parti , nama parti akan terlibat akibat sikap angkuhnya
dan akhlaknya yang buruk.
Imam Al Ghazali telah memberi beberapa panduan untuk mengelakkan sikap
takabur atau sombong ini. Apabila kita berjumpa dengan kanak-kanak,
anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia dari kita. Kerana kanak-kanak
itu belum diberati dosa, sedangkan kita sudah berlarut-larut hampir setiap
langkah berbuat dosa. Apabila kita berhadapan dengan orang tua, anggaplah
orang tua itu lebih mulia, kerana ia lebih lama beribadah daripada kita.
Ketika kita berjumpa dengan orang alim, anggaplah beliau lebih
mulia dari kita kerana banyak ilmu-ilmu yang tidak kita ketahui tetapi
beliau mengetahuinya. Kalau kita melihat orang yang jahil, anggaplah
dia lebih mulia dari kita , kerana dia berbuat sesuatu kesalahan atau dosa
kerana kejahilannya sedang kita berbuat dosa dalam keadaan kita mengetahuinya.
Kalau kita berjumpa dengan orang jahat, jangan lah anggap kita mulia
atau lebih baik daripadanya, tetapi katakanlah bahawa orang jahat itu mungkin
di masa tuanya ia bertaubat, memohon ampun dari perbuatannya. Sedangkan
kita sendiri belum tahu lagi bagaimana kita akhirnya. Apabila berjumpa
dengan orang kafir, katakanlah dalam hati, bahawa sikafir itu belum tentu
kafir selamanya, mungkin di suatu hari datang keinsafan padanya, dia memeluk
Islam dan semua dosanya di dalam kekafiran dulu diampuni Tuhan, sedangkan
kita ini sejak lahir sudah ISlam, tetapi dosa terus dikerjakan juga dan
balasan pahala belum tentu lagi.
Lawan daripada sifat sombong ialah sifat tawadhuk atau rendah diri
. Sekiranya seseorang telah berjaya mengikis sifat sombongnya akan
datanglah sifat tawadhuk padanya, sifat terpuji yang disukai Allah dan
makhluk seluruhnya.
Dari Ibnu Abbas, bersabda Rasulullah;
"Tidak seorang pun kecuali di kepalanya terdapat dua rantai, satu rantai
sampai ke langit ke tujuh dan satu rantai yang lain sampai ke bumi yang
ketujuh. Apabila seseorang itu merendahkan diri, Allah mengangkatnya
dengan rantai yang di langit ketujuh dan apabila ia sombong, Allah merendahkannya
dengan rantai yang di bumi ke tujuh."
Urwah bin Azzubair berkata; " Tawadhuk ialah alat untuk mencapai kemuliaan.
Lantaran itu Rasulullah, para Nabi, para sahabat , para aulia' dan orang-orang
soleh suka merendahkan diri dan memiliki sifat tawadhuk. Rasulullah
S.A.W. bersabda:
"Aku diberi kunci kekayaan bumi, lalu disuruh pilih di antara menjadi
hamba dan Nabi atau menjadi Nabi dan Raja, maka Jibril memberi isyarat
kepadaku supaya bertawadhuk dan menjadi Nabi dan hamba , maka saya
pilih Nabi dan hamba, maka diberikan kepadaku itu dan aku pertama manusia
yang keluar dari bumi kelak dan aku yang pertama memberi syafaat kelak."
Tegasnya untuk menghilangkan sifat sombong dan takabur perlulah bermujahadah
bersungguh-sungguh. Buat sesuatu yang menyebabkan kita dipandang
rendah. Datangkan rasa rendah diri dan berlaku tawadhuk. Sesungguhnya
tidak hina orang yang merendah diri. Allah telah memuji hambaNya
yang tawadhuk dan akan mengangkat darjat mereka.
Teguran adalah
diterima atas mana-mana kesilapan untuk ingatan dan panduan bersama (Artikel
dari pembacaan saya).
Email
Saya
Tajuk Panduan lain yang dalam koleksi saya:
-
Awasilah
Siapa Kawan-Kawan anak kita.
- Utamakan
Sembahyang Qadha' Dari Sembahyang Sunat.
- Diamnya
Berfikir, Kata-katanya Zikir
- Qanaah
Penyeri Rumahtangga
-
Sendiri Dalam Nikmat, Sendiri Dalam Cemas.
- Memandu
Muhajahadatunnafsi.
- Sombong
Pusaka Iblis.
- Agungkan
Tuhanmu.
- Allah,
Dia lah yang Memberikan Segalanya Kepadamu.