Imam Shafie seorang ahli fikir Islam yang mempelopori salah satu
dari mazhab fekah , berfikir bukan sahaja di dalam sedar bahkan beliau
telah menyelesaikan 1000 masalah di dalam tidurnya.
Imam Bokhari yang menghafal sebanyak 60,000 buah hadis dikatakan
sama dengan Saidina Omar di zaman para sahabat kerana kepintarannya.
Beliau pernah diuji oleh 10 orang ahli hadis yang sengaja mengemukakan
sebanyak 100 hadis yang sengaja diputar belitkan. Walau bagaimanapun
Imam Bokhari berjaya membetulkan 100 hadis tadi secara hafalan satu persatu.
Sabda Rasulullah yang bermaksud :
"Berfikir sesaat itu lebih baik daripada ibadah setahun."
Berfikir juga diibaratkan sebagai satu cermin. Dengan cermin
kita dapat melihat yang mana cantik dan yang mana buruk. Begitulah
juga dengan jalan berfikir, diri dapat dinilai samada berakhlak baik atau
jahat, sifat-sifat mazmumah masih menyelubungi hati atau tidak.
Diam itu lebih baik daripada berkata-kata yang sia-sia. Tetapi
bukanlah bermakna diam kosong begitu sahaja. Diamnya itu hendaklah
di dalam keadaan berfikir. Hasilnya nanti, apabila bersuara setiap
patah perkataan
akan dinilai Allah sebagai zikir. Sesungguhnya kata-kata yang
baik juga zikir. Lukman Al Hakim apabila ditanya, mengapa ia suka
bersendirian, beliau menjawab:
"Lamanya bersendirian itu lebih memahamkan lagi berfikir dan lama
berfikir itu menunjukkan ke jalan syurga."
Satu perkara yang tidak ternilai harganya ialah makrifat kepada Allah
SWT dan ini juga dapat dicapai dengan berfikir. Bila kenal Allah,
hati tidak tergamak lagi melakukan maksiat, dosa-dosa lahir dan batin pun
akan berkurang.
Cinta yang hakiki hanyalah cinta kepada Allah dan RasulNya.
Tanpa berfikir nescaya tidak mencapainya. Sebab itulah orang yang
benar-benar bersifat hamba sentiasa mengingati nikmat-nikmat Allah supaya
sentiasa bersyukur kepadaNya.
Satu lagi jalan kebaikan melalui berfikir ialah memikirkan tentang
umur dan ajal. Dengan itu hati akan terdorong untuk menghisap diri
mengenai amal-amalnya samada sudah cukup atau belum, ini akan menjadi benteng
dari ancaman Mungkar dan Nakir di dalam kubur nanti. Hanya orang yang mempunyai
mata hati yang terang saja sentiasa memenuhi kotak fikiran mereka dengan
soalan-soalan berikut:
"Bagaimana kesudahanku di waktu sakharatul maut?"
"Selamatkah aku di atas titian sirat?"
"Apakah aku ahli syurga atau neraka selam-lamanya."
Soalan ini akan menghalang diri dari berterusan melakukan kemungkaran
dan bergelumang dengan maksiat.
Seperkara yang elok difikirkan ialah jasa orang lain kepada kita.
Dengan begitu tentulah tiada lagi timbul hasad dengki, dendam, cemburu,
buruk sangka dan marah memarahi. Jasa dan pertolongan seseorang kawan
di waktu kita kesusahan sangat berharga, kerana itu mengingatkan jasa mereka
akan menimbulkan rasa terima kasih dan mahu membalas jasa.
Berterima kasih kepada manusia hakikatnya bersyukur kepada Allah
SWT. Jika dengan manusia dituntut supaya bersyukur, terhadap Allah
lebih-lebih lagi.
Jarang manusia memikirkan tentang rahsia di sebalik alam yang terbentang
luas ini. Penciptaan gunung ganang yang tersergam gagah, lautan yang
luas saujana mata memandang, angin yang bertiup, serta pergantian siang
dan malam menandakan adanya kekuasaan Allah dan pentadbiran Nya.
Berfikir tentang hal ini akan mendidik hati kita untuk merasakan kebesaran
Allah dan kelemahan diri kita.
Tetapi manusia yang rakus akan cepat dikelabui oleh mata benda yang
melimpah ruah. Manusia yang sentiasa berfikir akan segera sedar bahawa
pintu kejahatan sedang terbuka di hadapannya apabila nikmat yang datang
berlebih-lebihan dan kesedaran ini akan menyebabkan dia berhati-hati menggunakan
nikmat Allah.
Ramai yang berputus asa bila datangnya berbagai-bagai ujian berbentuk
kesakitan dan kemiskinan. Apabila datang sahaja umpatan dan fitnah
akan segera pula bersikap melenting, ingin cepat membalas dan berdendam.
Tetapi bagi orang yang ada akal fikiran akan merasa bahawa ketika itulah
datangnya pembersihan dan pengampunan dosa daripada Allah SWT.
Setiap makhluk yang Allah ciptakan di muka bumi ini tidaklah sia-sia
sahaja . Semuanya berzikir kepadaNya. Bagaimana caranya, hanya Allah
yang Maha Mengetahui. Bukankah ini satu sindiran kepada manusia yang dikurniakan
akal yang sempurna tetapi tidak mahu mengingati Allah malah sombong dan
berani melakukan maksiat? Kita dijanjikan dengan syurga dan pahala
tetapi pada makhluk-makhluk lain seperti kerusi, meja, burung, pokok-pokok,
awan tidak dijanjikan apa-apa. Oleh itu apakah lagi yang menghalang
kita daripada berzikir kepada Allah.
Seorang bijaksana pernah berkata: "Jangan memikirkan tiga macam
iaitu:
1. Kemiskinan
2. Aniaya orang lain kepada kita
3. Tinggal tetap di dunia "
Orang yang terlalu memikirkan kemiskinan dikhuatiri akan menghilangkan
rasa redha terhadap pemberianNya serta menambahkan rasa kerisauan.
Memikirkan perbuatan orang lain kepada kita akan menyebabkan hati bertambah
keras serta menyuburkan perasaan berdendam dan dengki. Dilarang juga
memikirkan untuk tinggal tetap di dunia kerana ia akan membuatkan kita
semakin gemar menghimpunkan harta dan menundakan amal serta lalai daripada
mengingati mati dan hari kemudian.
Menyelesaikan sesuatu masalah yang buntu, merancang sesuatu dan
sebagainya biarlah bertempat. Umpamanya ketika bermuzakarah, ketika
berseorangan, sebelum tidur (muhasabah diri) atau pada waktu lapang yang
lain. Tentulah malang jika seseorang menggunakan waktu mendengar pengajian
agama untuk memikirkan sesuatu yang tidak sepatutnya difikirkan di waktu
itu. Lebih malang lagi apabila masa sedang bersembahyang digunakan
untuk berfikir selain Allah.
Orang yang mengelamun di waktu sembahyangnya diancam dengan neraka
Wail. Tetapi inilah yang banyak berlaku, sehinggakan kadangkala kunci
yang hilangpun boleh ditemui di dalam sembahyang.
Kesimpulannya orang yang selalu menggunakan akal fikirannya
akan dapat membangunkan peribadi mulia dan berakhlak. Ilmu pengetahuan
akan bertambah dan dapat menajamkan lagi fikiran supaya tidak jumud dan
kosong semata-mata. Fikirkanlah ke arah kebaikan bukannya ke arah
kerosakan. Jadikanlah fikiran kita untuk memberi menafaat kepada
orang lain bukan mendorong orang lain membuat kejahatan. Sentiasalah
mengamati kalimah-kalimah Allah di dalam Al Quran umpamanya:
"Moga-moga kamu dapat memikirkan,"
"Moga-moga kamu memahamkan,"
"Apakah kamu tidak berfikir?"
"Apakah kamu tidak perhatikan?"
Teguran adalah
diterima atas mana-mana kesilapan untuk ingatan dan panduan bersama (Artikel
dari pembacaan saya).
Email
Saya
Tajuk Panduan lain yang dalam koleksi saya:
-
Awasilah
Siapa Kawan-Kawan anak kita.
- Tidak
Hina Orang Yang Merendah Diri
- Utamakan
Sembahyang Qadha' Dari Sembahyang Sunat.
-
Qanaah Penyeri Rumahtangga
- Sendiri
Dalam Nikmat, Sendiri Dalam Cemas.
- Memandu
Muhajahadatunnafsi.
- Sombong
Pusaka Iblis.
- Agungkan
Tuhanmu.
- Allah,
Dia lah yang Memberikan Segalanya Kepadamu.