CINTAKAN ISLAM

     Kalau umat Islam benar-benar cintakan Islam, maka pasti akan tertegak cara
 hidup Islam yang menyeluruh. Cinta itu buta; buta pada sebarang alasan dan
 keuzuran demi mengejar keredhaan yang dicintai. Cinta adalah 'kuasa' yang
 hebat dan kuat. Jika cinta telah diserahkan kepada Islam, pastilah Islam
 itu pula yang nampak hebat dan kuat.
 Kalaulah benar kita cintakan Islam, kita akan bercita-cita besar. Akan
 terasa apa yang kita inginkan dilaksanakan dalam kehidupan ini adalah luas,
 seluas ajaran Islam. Kita akan bermati-matian untuk mengamalkan seluruh
 ajaran Islam sebagai way of life. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah
 kepada yang sebesar-besarnya. Cinta tidak mengatakan tidak pada sebarang
 kehendak oleh orang dicintai. Cintakan Islam akan menimbulkan kesempurnaan
 amalan. Inilah yang dikehendaki oleh Allah SWT di dalam firmanNya:

 "…Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan…" (Surah Al-Baqarah : Ayat 208)

 Ruang lingkup perjuangan hidup kita sehari-hari menjadi begitu luas.
 Seorang yang benar-benar cintakan Islam tidak akan beramal secara
 part-time. Tetapi Islam akan menjadi darah dagingnya sehingga full-time
 malah sentiasa over-time dengan amalan-amalan Islam. Sumbangan tenaga dan
 pemikirannya tidak akan disukat-sukat oleh ganjaran duniawi seperti gaji,
 elaun atau komisyen tetapi semata-mata mengharapkan cinta daripada
 Kekasihnya (Allah SWT).
 Walaupun peranan atau tugas seseorang adalah khusus bersandar pada bakat,
 kemahiran dan kepakaran, tetapi apabila hendak merebut kecintaan, kita
 tidak boleh mengkhususkannya hanya kepada satu bidang sahaja. Sebagai
 seorang muslim, kita mestilah versatile dalam amalan Islamnya. Akhlak,
 sikap dan cakap seorang muslim mestilah ditujukan untuk kepentingan Islam.
 Ia menjadi basahan hidup umat Islam walau di mana sahaja mereka berada.
 Walaupun kadang-kala mereka hidup di negara bukan Islam, tetapi
 amalan-amalan Islam dilaksanakan tanpa sekatan. Amalan-amalan Islam yang
 sesuai dengan fitrah ini jika dilaksanakan, tidak ada akta atau
 undang-undang yang menyekatnya kerana ia sudah menjadi amalan hidup harian.
 Rasa kehambaan. Tegasnya amalan Islam tidak dihalang oleh undang-undang.
 Namun amalan Islam secara syumul tidak akan dapat diamalkan selagi tidak
 ada rasa kehambaan. Rasa kehambaan inilah yang menentukan sama ada Islam
 dapat diamalkan secara syumul atau tidak. Jika rasa kehambaan ada, Islam
 akan dapat diamalkan sekalipun tidak ada akta yang menyuruhnya. Sebaliknya
 jika tidak ada rasa kehambaan, kesyumulan amalan Islam tidak akan dapat
 direalisasikan sekalipun ada akta yang mewajibkannya.
 Masyarakat Islam. Hasil dari rasa kehambaan yang ada pada setiap orang,
 lahirlah sebuah masyarakat yang akhlak dan kehidupan anggota-anggotanya
 kelihatan begitu indah dan menarik seperti bunga-bunga yang berkembang
 mekar di dalam taman. Bunga iman dan Islam; hasil tersemainya Al-Quran dan
 Sunnah dalam jiwa, fikiran dan fizikal manusia. Itulah masyarakat Islam
 sejati.

 WALLAHU ALAM……
 
 
 


back



 
 

1