Laman web rasmi Sejak 17 Nov.1998

Hakcipta Terpelihara
Webmaster SMKJ


 


BULETIN

Menurut Islam:
S
eni Sebagai  Media Untuk  Mencapai Keredhaan Allah

Oleh : AZIZAN MOHD ALI

Pengenalan

Seni pada hakikatnya boleh dibahagikan kepada dua iaitu seni tabii (fenomena alam yang sedia wujud yang sedia dicipta Allah dengan segala keindahannya ) dan seni rekreasi insani yang pada hakikatnya sebahagian kecil dari lautan seni dan tidak lain dari pantulan seni tabii yang dihayati oleh seniman – senimannya. Timbulnya rekreasi seni tidak lain dari didorong oleh kecintaan terhadap keindahan. Maka terhasillah seni sastera, seni khat, seni lukis dan sebagainya.

Apabila kita membicarakan tentang seni ini ia meliputi satu daerah yang luas di dalam pelbagai cabang ilmu. Ada pendapat mengatakan bahawa bidang seni sebenarnya tiada hubungan dengan Islam. Pendapat sedemikian adalah bertentangan dengan betapa indahnya Islam itu. Sebenarnya perasaan seni yang tumbuh dalam diri manusia anugerah Allah yang amat berharga.

 Daripada maksud ayat Al Quran dan Hadis, menyedarkan kita betapa pentingnya seni dalam penghayatan individu.

Katakanlah    “Siapakah yang mengharamkan perhiasan (keindahan seni )     

kurnia  Allah kepada hamba-Nya dan menikmati rezeki – rezeki Nya yang baik”

                                                                                    (al – A’ raaf 7 : 32 )

                          “Sesungguhnya Allah itu indah. Dia sukakan kepada keindahan”

                                                                                 (Riwayat : Muslim )

Oleh itu apabila kita membicarakan tentang seni dalam Islam, kriteria keindahan bukanlah semta-mata keindahan indera tetapi keindahan menurut Islam ialah keindahan dari nilai tauhid, syariat dan akhlaknya.

Seni Sebagai Satu Ibadah

Yang jelas d idalam mencari keredaan Allah, seni boleh digunakan untuk mencapai sesuatu tujuan .

Umpamanya seni khat. Ia bukan sahaja dirakam  di atas kertas  seperti tulisan Al- Quran dan kitab bahkan pada bahan sulaman, anyaman, tekatan, tulisan dan sebagainya. Sesungguhnya keindahan seni khat dapat menarik kekaguman indera , kehalusan dan kekudusan jiwa. Umumnya, seni khat  juga digunakan untuk menghias masjid dengan tulisan ayat-ayat suci Al-Quran. Konsep ini boleh digunakan untuk menghias rumah kita tanpa perlu beralih kepada hiasan-hiasan yang mahal dan bertentangan dengan Islam. Biasanya di dalam rumah orang bukan Islam menghias kediaman mereka dengan hiasan yang bertentangan dengan Islam seperti patung-patung, gambar-gambar lucah dan makanan dan minuman yang haram di sisi Islam. Oleh itu, bagi orang Islam, hiasan boleh digunakan asalkan ia tidak bertentangan dengan Islam.

Manakala di dalam Islam, menuntut ilmu itu wajib dalam Islam ke atas lelaki dan perempuan.  Maka tulisan ialah unsur penting dalam menuntut ilmu. Di dalam Islam, tulisan khat adalah cetusan Al-Quran, kerana di dalam Al-Quran telah disebut tentang alat tulis iaitu qalam,

                                                        “Nun, demi qalam dan apa yang mereka tulis”

                                                                                                (al-Qalam: 1)

Umumnya  bidang seni yang sangat kontroversi pada orang islam ialah bidang nyanyian, sama ada pendokongnya, peminat atau pemerhatinya, bidang ini terus dibincangkan. Dari isu rambut panjang bagi lelaki hingga ke pendedahan aurat penyanyi (lelaki atau perempuan).

            Para pengamal seni suara dan mereka yang terlibat dalam industri ini, terus mempertahankan hak mereka sambil di hujah oleh para pengkritik dengan pendapat yang bertetangan. Asasnya bagi penulis, seni itu dianugerahkan Allah, cuma aplikasi dari anugerah itu yang perlu diperhatikan. Dalam Islam, setiap ibadah itu terpelihara dari sebarang unsur subahat dan maksiat. Apabila satu kegiatan nyanyian itu dijadikan kerjaya ia adalah sesuatu yang di benarkan oleh Islam asalkan tidak berbaur dengan unsur maksiat. Umpamanya nyanyian –nyanyian yang mengajak manusia ke arah amal makruf. Contoh-contoh nyanyian seperti itu banyak terdapat di pasaran sekarang. Manakala nyanyian yang tidak di benarkan oleh Islam ialah nyanyian yang mengandungi unsur-unsur maksiat seperti pergaulan bebas antara lelaki perempuan yang bukan muhrim, arak dan dadah, di samping mengagung-agungkan manusia serta mengkhayalkan.

            Hasil dari kegiatan seni iaitu profilnya sering digunakan untuk kerja amal seperti sumbangan kepada pertubuhan orang tua dan anak yatim serta lain-lain kegiatan berbentuk makruf. Apa yang perlu ditekankan adalah punca hasil yang bertujuan baik dari sumber yang halal di sisi Islam.

            Di dalam seni bina Islam, seni binanya lebih dominan membezakan antara kecirian Islam. Umpamanya, falsafah yang tersirat di dalam seni bina adalah sifat kebukaan di dalam pembinaan masjid. Ruangan  untuk didiami oleh individu adalah tanpa mengira sama ada kaya miskin, berpangkat atau tidak. Ia juga mengambil kira ciri pengasinagn antara lelaki dan perempuan. Hal ini dapat menggambarkan perhimpunan manusia untuk mengadap Allah kelak. Manakala kubah masjid menjurus kepada satu puncak yang melambangkan jiwa manusia yang ingin mendekati diri kepada Al Khaliq. Jumlah kubah masjid biasanya dalam bilangan lima yang menggambarkan lima rukun Islam. Sesungguhnya seni bina itu dibina atas kesedaran insan untuk mencari keredaan Allah dalam setiap perlakuan yang dibuat.

           Seni sastera seperti penulisan, puisi dan syair tumbuh dan berkembang dari pokok keagungan Allah dan keindahan ciptaan-Nya dengan berpaksikan tauhid. Puisi serta syair yang memuji keindahan ciptaan Allah dapat memujuk hati kita yang sentiasa rakus dengan alam kebendaan. Ia juga di gunakan untuk mengingati tokoh-tokoh Islam dan menghargai sumbangan mereka untuk mengajak manusia ke jalan Allah.

           Sebagai kesimpulanya seni merupakan anugerah Allah kepada kita. Akal yang diberikan Allah kepada kita adalah satu anugerah yang perlu digabungjalinkan untuk dipergunakan bagi mencari keredaan Allah dalam menjalani hidup yang sementara ini.

            Bibliografi:

1. Mustafa Hj. Daud. 1987, PenghantarTamadun Islam. Petaling Jaya, Media Indah.

2. Syafie Abu Bakar. Keindahan dalam Kesenian Islam. Kesenian Islam, Kuala Lumpur. DBP 1990.

1