Laman web rasmi Sejak 17 Nov.1998

Hakcipta Terpelihara
Webmaster SMKJ


 



BULETIN

Ilmu Linguistik dan Pengajaran Bahasa

Meor Mohd. Aiyub Meor Zakaria (Dewan Bahasa Januari 2002)
Linguistik dan pengajaran bahasa berhubung rapat antara satu sama lain. Ini disebabkan pengajaran bahasa seiring dengan pertumbuhan bahasa.  Beberapa abad sebelum Masehi golongan Brahmin di India memperoleh pelajaran Sanskerta daripada ahli-ahli tatabahasa melalui pendekatan yang sudah sedia maju. 
 Sebenarnya perkembangan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa tidak begitu banyak berubah semenjak Zaman Yunani sehinggalah pada awal kurun ke-20 ini. Walau bagaimanapun perkembangan alat-alat bantu telah mempengaruhi bidang pengajaran bahasa. 
 Dalam bidang pengajaran bahasa seseorang guru itu perlu tahu linguistik. Ahli linguistik bukan menentukan kegunaan linguistik dalam bidang pengajaran tetapi terpulanglah kepada para pendidik untuk menentukan kegunaan linguistik dalam bidang pengajaran. 
 Robert Lado (1980: 12), menegaskan: 
"Kalau hendak menjadi guru bahasa, maka kebolehan bercakap dalam bahasa itu sahaja tidak mencukupi. Penutur bahasa ibu itu sekalipun tidak dapat memandu pelajar melainkan dia dapat mengasing-asingkan dan menunjukkan pelbagai-bagai unsur dalam bahasa tersebut.  Dia mestilah mengetahui deskripsi bahasa tersebut. Dia harus mengetahui fakta-fakta linguistik mengenai bahasa ibu pelajar supaya dia mengetahui masalah mereka dalam mempelajari bahasa matlamat mereka." 


Sehubungan dengan itu, ilmu linguistik banyak memberi manfaat dalam pengajaran bahasa.  Bidang linguistik yang digunakan dalam pengajaran bahasa merupakan linguistik gunaan atau terapan, iaitu sebagai suatu bidang ilmu yang mempunyai tempat yang tersendiri dalam dunia keilmuan.  Linguistik gunaan berdasarkan teori dan prinsip dan bukan hanya semata-mata bergantung kepada teknik, ataupun prosedur mempraktik sesuatu tetapi cuba melihat prinsip, rasional, generalisasi, hipotesis serta teori yang dapat membantu menerangkan fenomena atau aktiviti yang dihadapinya secara praktikal. 
Linguistik juga merupakan suatu sains yang mengkaji bahasa.  Ini dijelaskan lagi oleh S. Pit Corder (1973: 82) 'Linguistics, or, to be more specific, theoretical linguistics, is often called the scientific study of language'.  Dalamnya terdapat teori dan teknik-teknik menganalisis bahasa yang dipelajari oleh ahli-ahli bahasa untuk merumus sesuatu bahasa melalui pemerhatian-pemerhatian mereka terhadap bahasa.  Penggunaan teori-teori dan teknik-teknik dalam linguistik seseorang ahli bahasa dapat menghuraikan serta menganalisis sesuatu bahasa itu dengan objektif. 
Dalam ilmu linguistik terdapat beberapa bidang kajian yang bergabung di dalamnya seperti sosiolinguistik, psikolinguistik, linguistik komputer, linguistik gunaan dan sebagainya. Setiap satu bidang ini menjadi cabang linguistik yang berkembang hingga menjadi disiplin tersendiri. Sebagai contoh linguistik gunaan yang mengkaji linguistik dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, bahasa telah berkembang begitu luas dan penting menjadi suatu disiplin yang giat dikaji dan dipelajari sekarang. Dalam bidang ini, linguistik digunakan untuk mengkaji kaedah mengajar bahasa, menguji kemahiran bahasa, membentuk bahan mengajar dan sebagainya. 
Oleh itu, pengajaran pula merupakan suatu organisasi yang dirancangkan dan diolah oleh guru untuk menyampaikan pemahaman tentang maklumat atau pengetahuan tertentu kepada pelajar-pelajarnya dalam suatu suasana yang dipanggil bilik darjah. 
Koh Boh Boon  menyatakan pengajaran merupakan suatu proses kompleks yang dipengaruhi oleh pelbagai unsur termasuk kualiti pengajar, kecerdasan, bakat dan minat pelajar serta pengaruh motivasi, persekitaran sekolah, rumah dan dorongan ibu bapa terhadap pelajar itu. 
Oleh sebab itu, pengajaran bahasa sebagai cara-cara guru menyampaikan maklumat kepada pelajarnya tentang bagaimana sesuatu bahasa itu digunakan. Dalam usaha menyampaikan pengetahuan itu, seseorang guru menggunakan pelbagai kaedah untuk membolehkan pelajar memahami dan menggunakan bahasa yang diajar itu dengan betul berdasarkan rumus-rumus tatabahasanya. 

Kegunaan Linguistik Dalam Pengajaran Bahasa 
Penggunaan linguistik dalam pengajaran selalunya dikenali sebagai linguistik gunaan dan ini termasuklah kajian fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik dan kadang-kadang termasuk juga tajuk-tajuk lain seperti psikolinguistik dan sosiolinguistik yang masing-masing memberi tumpuan pada teori pemerolehan dan situasi bahasa. Dalam pengajaran bahasa, bidang-bidang linguistik seperti linguistik teoritis, sosiolinguistik dan psikolinguistik tidak dapat dipisahkan kerana semua disiplin ini memberi sumbangan yang berguna dalam menjayakan sesuatu program pengajaran dan pembelajaran bahasa. Terdapat hubungkait antara bidang-bidang tersebut dengan pengajaran bahasa. 
Ilmu linguistik telah lama digunakan oleh guru bahasa.  Cuma yang berbeza mereka menggunakan linguistik tradisi yang penuh dengan pernyataan perskriptif dan normatif, manakala linguistik moden pula bersifat struktural dan deskriptif.  Bagi guru yang menggunakan sebuah buku tatabahasa lama untuk mengajar sebutan, tatabahasa atau semantik sebenarnya menggunakan pengetahuan linguistik, iaitu linguistik tradisional. 
Aspek fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis dan semantik berguna dalam pengajaran sesuatu bahasa.  Asas teori sesuatu bahasa, iaitu deskripsi linguistik akan memberi deskripsi bahasa; struktur dan fungsi bahasa itu. 
Terdapat banyak kegunaan linguistik dalam pengajaran bahasa. Antaranya: 
1. Teori linguistik memberi maklumat tentang struktur dan fungsi-fungsi bahasa dan ini dapat menentukan tujuan, isi dan pendekatan dalam pengajaran bahasa. 
2. Teori linguistik juga memberi suatu bahasa perantaraaan kepada guru. Ini merupakan kesejagatan bentuk seperti jenis-jenis rumusan yang berlainan dalam tatabahasa transformasi generatif dan keseragaman kategori seperti frasa nama, frasa kerja atau ciri-ciri nahuan kata dan perkara ini boleh digunakan oleh guru dalam pengajaran bahasa. 
3. Teori linguistik tentang pemerolehan bahasa mempengaruhi perkaedahan mengajar bahasa. 
4. Sesebuah deskripsi bahasa akan menyedarkan guru tentang struktur bahasa yang diajar dan dapat meningkatkan mutu pengajaran bahasa. 
5. Deskripsi bahasa juga memberi pengetahuan kepada guru tentang unit-unit unsur seperti fonem, morfem dan sebagainya. Ini merupakan suatu sistem rumusan bagi sesuatu bahasa yang boleh digunakan dalam pengajaran bahasa. 
6. Deskripsi bahasa memberi suatu sistem rumusan yang berentetan dan ini boleh digunakan untuk membentuk bahan pengajaran. 

Ahli linguistik dan guru bahasa menggunakan bahan yang sama, iaitu bahasa.  Terdapat hubungan yang penting antara kedua-duanya. Bahasa tidak dapat diajar tanpa sebuah deskripsi bahasa, tetapi ini perlu penyesuaian kerana pengajaran bahasa sentiasa mempengaruhi deskripsi bahasa. 
Terdapat hubungan antara linguistik dengan guru bahasa. Sebagai guru bahasa, hubungan tersebut perlu diketahui. D.A. Wilkins  mengatakan terdapat tiga  jenis hubungan  iaitu: 
1. Linguistik memberi deskripsi bahasa yang sempurna tentang bahasa, tetapi tidak memberi cara mengajar bahasa yang paling baik. 
2. Sebarang perkembangan dalam bidang linguistik itu, janganlah disalah mengertikan sebagai suatu sebab untuk membuat perubahan. 
3. Linguistik selalu mempengaruhi pengajaran bahasa, tetapi pengaruhnya perlu dihadkan pada keperluan semasa. 

Teori-teori Linguistik dan Penerapan Dalam Pengajaran Bahasa 
Terdapat beberapa teori linguistik, tetapi yang paling penting ialah teori behaviourisme dan mentalisme. Pakar-pakar pengajaran bahasa berpendapat, kejayaan setiap pengajaran bahasa itu memerlukan kaedah pengajaran yang berdasarkan teori-teori linguistik.  Linguistik dan psikologi pembalajaran merupakan alat-alat yang dapat digunakan oleh guru-guru bahasa untuk menguatkan kaedah mengajar mereka. 
 Ini disokong oleh Koh Boh Boon  yang menyatakan bahawa pengajaran yang lebih terjamin mutunya ialah berdasarkan pengalaman mengajar yang diperkukuh dengan pengetahuan perkaedahan, kerana pengalaman mengajar dan pengetahuan perkaedahan mempunyai hubungan yang sangat rapat.  Ini disebabkan kesedaran penuh akan teori linguistik yang menjadi asas-asas perkaedahan  dalam pengajaran bahasa akan menolong seseorang guru bahasa membuat keputusan secara lebih matang dan boleh dipercayai tentang cara mengajar yang sesuai untuk sesuatu pelajaran bahasa yang hendak dilaksanakan. 
 Dua teori yang paling popular tentang pemerolehan dan penguasaan bahasa yang tersebut di atas mewujudkan beberapa prinsip tertentu dalam pengajaran bahasa yang menimbulkan pula beberapa kaedah yang boleh diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. 
 Dalam teori behaviurisme terdapat beberapa prinsip, iaitu: 
 1.  Bahasa dikuasai melalui proses pengulangan. 
2.  Bahasa ialah suatu tingkah laku manusia yang sama dengan tingkah laku yang lain yang boleh dikuasai melalui latihan dan pengulangan. 
 3.  Bahasa sebagai alat komunikasi. 
4. Pembelajaran ialah pengukuhan yang dapat ditimbulkan melalui ganjaran yang harus diberikan apabila seseorang pelajar memberikan gerak balas yang betul. 
 5.  Bahasa dihurai secara deskriptif atau struktural. 

 Berdasarkan teori linguistik tersebut maka lahirlah kaedah pengajaran, iaitu Kaedah Dengar-Sebut yang menekan prinsip-prinsip berikut dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa: 
 1.    Lisan diutamakan. 
 2.    Latih tubi ditekankan untuk membentuk kebiasaan. 
3.  Rangsangan mestilah diwujudkan untuk mendapatkan gerak balas   daripada pelajar. 
4. Gerak balas yang diberi oleh pelajar mestilah diikuti dengan peneguhan. 
 5.  Guru sebagai model bahasa yang sebaik-baiknya. 
 6.  Nahu tidak diajar secara formal. 

Oleh itu, mengikut teori mentalisme terdapat beberapa tanggapan terhadap penguasaan dan pembelajaran bahasa, iaitu: 
 1.  Manusia mempunyai kebolehan semula jadi dalam menguasai bahasa. 
2. Terdapat dua bahagian penting dalam penguasaan bahasa, iaitu kecekapan dan prestasi. 
3.  Bahasa mempunyai hubungan erat dengan pemikiran. 
4.  Bahasa mengandungi ciri-ciri kreativiti. 
5.  Aspek makna dan pemikiran ditekankan. 
6.  Bahasa dihuraikan secara transformasi generatif. 
7.  Kesalahan pelajar bukanlah kegagalan tetapi percubaan hipotesis. 

 Teori ini mengemukakan kaedah koda-kognitif yang menekankan prinsip-prinsip yang berikut: 
 1.  Tulisan dan bacaan diutamakan. 
 2.  Pengajaran menekankan penerapan pengetahuan. 
 3.  Makna dan huraian dipentingkan. 
 4.  Kemampuan kreatif pelajar digalakkan. 
 5.  Fungsi guru sebagai nara sumber. 
 6.  Nahu diajar secara formal. 

 Berdasarkan teori dan prinsip behaviourisme dan mentalis, telah melahirkan beberapa kaedah.  Bagi teori behaviouris tercetus kaedah terus, kaedah psikologi dan sebagainya. Manakala daripada teori dan prinsip mentalis timbullah kaedah nahu, kaedah terjemahan, kaedah nahu-terjemahan dan sebagainya. 
 Daripada kaedah pula disokong oleh pendekatan yang berkaitan dengan proses pengendalian pengajaran bahasa sama ada pendekatan analisis atau sintesis atau eklektik.  Teknik pengajaran pula berhubung dengan strategi sesuatu isi pelajaran disampaikan. Sesungguhnya teori, kaedah, pendekatan dan teknik berkait rapat. 
 Dalam linguistik teoritis pula, memang terdapat hubungan dengan pengajaran bahasa kerana disiplin ini mengemukakan teori-teori linguistik yang boleh digunakan untuk memberi deskripsi  tentang bahasa sebagai suatu sistem dan memberikan maklumat tentang bagaimana penutur-penutur bahasa berkomunikasi dengan menggunakan bahasa. 
Teori linguistik tradisional merupakan teori huraian bahasa yang tertua yang memerihal bahasa menggunakan bahasa tulisan sebagai bahan kajian. Kajian ini tidak begitu saintifik dan penekanan kajian tertumpu dalam aspek penggolongan perkataan. Teori ini mempengaruhi kaedah nahu, kaedah terjemahan dan nahu-terjemahan.  Pengajaran menekan kemahiran menulis dan tatabahasa yang diajar bersifat normatif dan preskriptif. 
Teori linguistik struktural muncul dalam abad kedua puluh dan menumpukan kajian terhadap struktur bahasa serta menganggap bahasa adalah pertuturan.  Bahasa yang dijadikan kajian berbentuk lisan dan menganggap bahasa juga adalah alat komunikasi. Bahasa ialah suatu sistem, iaitu sistem bentuk-bentuk yang di dalamnya terkandung unsur-unsur, item-item yang jika digabungkan berdasarkan peraturan-peraturan tertentu akan menerbitkan ayat. Analisis semestinya berdasarkan fakta-fakta yang dapat dilihat dan mestilah objektif serta berdasarkan struktur. Unsur-unsur bahasa tidak dikaji secara terasing kerana unsur-unsur itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan suatu sistem yang besar dan di antara unsur-unsur itu ada pertaliannya antara satu sama lain. Teori ini mempengaruhi kaedah terus, kaedah fonetik, kaedah semula jadi, kaedah psikologi dan kaedah situasi. Tatabahasa tidak diajar secara formal dan aspek makna tidak dipentingkan. 
Teori linguistik tranformasi genaratif telah diasaskan oleh Noam Chomsky dan tumpuan kajian terhadap aspek kecekapan yang dimiliki oleh penutur jati.  Kecekapan berbahasa adalah sesuatu yang semula jati (innate) dan melaluinya seseorang itu boleh bertutur dengan membentuk ayat-ayat mereka sendiri. Kecekapan di sini dimaksudkan pada rumus-rumus atau peraturan-peraturan bahasa yang ada dalam pengetahuan seseorang yang akan digunakan untuk membentuk ayat-ayatnya sendiri ataupun untuk memahami dan menganalisis pertuturan ayat, iaitu struktur dalaman dan luaran.  Berdasarkan teori ini tidak melahirkan kaedah-kaedah pengajaran dengan nama-nama tertentu tetapi pada dasarnya mereka memperakukan kaedah-kaedah pengajaran yang melibatkan proses mental. 

Bahan-bahan Pengajaran Bahasa 
Faktor penting untuk menjayakan program pengajaran bahasa ialah bahan.  Bahan-bahan boleh menggerakkan pembelajaran, menimbulkan rangsangan dan keinginan pelajar untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik.  Ini akan mengakibatkan pembelajaran yang lebih berkesan. 
 Tugas guru bahasa menghasilkan bahan pengajaran yang bermutu tinggi, sesuai untuk situasi matlamatnya, membolehkan pelajar belajar dengan  mudah dan cepat dan menjadikan tugas-tugas guru menarik serta bermanfaat. Bagi menghasilkan bahan-bahan seperti ini, pereka bentuk pengajaran bahasa mestilah bukan sahaja ahli bahasa tetapi juga ahli pedagogi. Sehubungan dengan itu, linguistik terapan memainkan peranan sebagai penggabung kedua-dua jenis ahli ini dalam mereka bentuk sesuatu pengajaran bahasa. 
 Teori bahasa menghasilkan analisis bahasa yang sesuai dipersembahkan dalam bentuk yang sesuai untuk pengajaran bahasa. Kedua-dua pendekatan teori bahasa dan teori pembelajaran digabungkan untuk menghasilkan bahan-bahan pengajaran yang ditetapkan oleh objektif program pembelajaran tertentu. 
Linguistik dan pengajaran bahasa mempunyai hubung kait yang sangat rapat. Pengetahuan linguistik sangat penting untuk seseorang guru bahasa.  Pengetahuan linguistik ini dapat diterap dalam pengajaran bahasa. 
 Teori-teori linguistik digunakan untuk menghuraikan unsur struktur-struktur bahasa. Aspek fonologi, morfologi, sintaksis, semantik dan sebagainya merupakan huraian yang dibuat.  Hasil huraian ini menjadi model penting untuk guru bahasa, iaitu menjadi isi atau bahan pengajaran yang akan disampaikannya kepada pelajar. Guru dapat melengkapkan dirinya  untuk menjadi guru bahasa yang berkesan jika  ia mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam linguistik kerana ia akan berupaya mengajar struktur-struktur bahasa dengan betul dan dapat mendeskripsi bahasa dengan tepat. 
 Dengan adanya pengetahuan tersebut, guru akan dapat mengenal pasti segala kesilapan yang dilakukan oleh pelajarnya. Huraian bahasa yang disumbangkan oleh ahli-ahli linguistik teoritis, teori-teori pembelajaran dan manifestasi penggunaan bahasa dalam masyarakat akan membantu guru dalam pengajarannya.

 

1