(Cerita Rakyat)
BERJUTA BINTANG DI BUMI
oleh: Noorazimah Taharim
PADA zaman dahulu ada sebuah kampung bernama Kampung Nyiur. Di
kampung ini tinggal seorang budak perempuan bernama Seri. Seri
adalah seorang anak gadis yang cerdik.
Seri suka berteka-teki dengan kawan-kawannya. Kadang-kadang mereka
dapat memberi jawapan yang betul kepada teka-teki Seri, tetapi
selalunya mereka awal-awal lagi mengaku kalah.
Pada suatu petang, budak-budak bermain di halaman rumah Seri.
Mereka meminta Seri memberi mereka suatu teka-teki. Setelah berfikir
sebentar, Seri pun berkata, "Baiklah. Cuba kawan-kawan fikirkan
jawapannya."
Anak musang, anak rusa,
Anak lipan sedang melata;
Rumah kecil bertiang tiga,
Bawah bumbung penuh jelaga.
Kawan-kawannya pun mulalah berbincang sesama sendiri. Masing-masing
memberi jawapan. Tiada satu jawapan pun yang betul. Akhirnya mereka
meminta Seri memberikan jawapannya. Kata Seri, "Bukankah
di rumah kita semua ada benda ini?"
"Apakah benda itu, Seri? Beritahulah segera," kata kawan-kawanya.
Jawab Seri sambil tersenyum, "Jawabnya ialah belanga di atas
dapur bertungku tiga." Kawan-kawannya semua ketawa gelihati
kerana sekali lagi mereka dikenakan oleh Seri.
Ibu Seri yang sedang duduk di atas tangga rumahnya tersenyum lebar.
Setiap hari anaknya akan melayan kawan-kawan dengan berbagai teka-teki.
Ibu Seri terkenangkan arwah datuk Seri yang pandai menghibur orang-orang
kampung dengan bercerita. Mungkin ada juga bakat arwah datuknya
turun kepada Seri.
Musim hujan sudah pun tiba. Hujan kerapkali turun di sebelah petang
dan malam. Hanya kadang-kadang sahaja hujan turun di sebelah pagi.
Setiap senja hingga ke tengah malam keadaan hingar-bingar dengan
bunyi suara katak betung bersahut-sahutan. Pada suatu malam Seri
tidak dapat lena kerana bising bunyi katak.
Pada pagi esoknya Seri bertanya kepada ibunya, "Ibu, mengapakah
katak suka membuat bising semasa musim hujan? Semalaman Seri tidak
dapat melelapkan mata."
Jawab ibunya, "Masa ibu kecil-kecil dahulu, datuk mu pernah
bercerita mengenai kisah katak. Kata datuk, katak memanggil hujan
kerana dia hendak berpesta. Semasa mereka berpesta, katak akan
mengadakan pertandingan nyanyian. Pertandingan itulah yang Seri
dengar malam tadi."
Mendengar kata ibunya itu, Seri terus ketawa. Katanya lagi, "Seri
akan reka teka-teki mengenai katak untuk kawan-kawan Seri nanti."
Selepas menolong ibunya di rumah, Seri terus turun ke halaman
rumah. Dia berjalan menuju ke arah sebuah kolam di hadapan rumahnya.
Kolam ini tidak berapa luas dan ditumbuhi oleh teratai. Beberapa
kuntum bunga teratai sedang mengembang. Sungguh cantik dan tenang
keadaan di tepi kolam ini.
Seri duduk di atas sebuah bangku kayu yang dibuat oleh ayahnya
di tepi kolam itu. Tempat duduk ini teduh kerana terletak di bawah
sebatang pokok yang rendang. Sambil duduk dia membalingkan batu-batu
kecil ke dalam kolam. Salah satu batu itu terkena badan seekor
katak yang sedang berehat di atas daun teratai. Katak itu terkejut
dan terus meloncat ke dalam air. Seri tersentak dari lamunannya
lalu berkata, "Maafkan aku, katak. Aku tidak sengaja. Aku
tidak nampak kau di situ tadi."
Pagi menjadi semakin panas, dan tiba-tiba Seri berasa mengantuk.
Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Seri terlelap di atas bangku
itu. Tiba-tiba dia terkejut, dan di depannya ialah seekor katak
besar. Katak itu dengan rupa yang marah berkata, "Bangun!
Engkau tidak boleh tidur di sini. Ini tempat tinggalku."
Katak itu melompat menghampiri Seri. Seri menjadi cemas. Mungkinkah
ini bapa katak yang terkena batu yang aku lempar tadi, fikir Seri.
Seri bangun untuk lari. Malangnya kakinya tersangkut pada akar
lalu terjatuh.
Seekor katak kecil datang menghampirinya. Katak kecil yang baru
tiba ini berkata kepada katak yang besar, "Janganlah menakutkan
gadis ini. Dia tidak mengganggu sesiapa pun."
Katak besar bertanya, "Bukankah dia melemparkan batu kepadamu
tadi?"
Kata katak kecil, "Oh, itu cuma satu kebetulan sahaja! Dia
tidak berniat untuk menyakitiku. Lagi pun dia telah meminta maaf.
Aku pun telah memaafkannya."
Katak besar itu berpuas hati dengan penerangan katak kecil lalu
meninggalkan tempat itu.
Seri yang terjatuh tadi pun terus duduk di atas tanah. Sambil
memandang kepada katak kecil, dia berkata, "Terima kasih
kerana menolongku. Aku betul-betul cemas tadi. Orang tua-tua kata,
jika katak marah, dia akan memancutkan air kencingnya ke mata
orang yang dimarahinya. Orang yang terkena kencing katak akan
menjadi buta."
Katak kecil tersenyum lalu berkata, "Sebenarnya itu cuma
cerita orang tua-tua. Sepanjang aku hidup, belum pernah katak
berbuat begitu."
Seri juga turut tersenyum. "Aku meminta maaf sekali lagi
kepadamu atas perbuatanku tadi," kata Seri.
"Ah. Lupakan saja perkara itu. Aku tidak mahu katak besar
itu menganiayai kamu," kata katak kecil.
"Terima kasih atas pertolongan mu tadi," kata Seri.
Seri bertanya pula kepada katak kecil, "Aku teringin hendak
tahu mengapa katak selalu berbunyi dengan kuat pada musim hujan.
Ibuku menyatakan bahawa katak membuat pertandingan menyanyi di
musim hujan."
Jawab katak kecil, "Betul kata ibumu itu. Itu adalah bunyi
katak mendengarkan suara masing-masing. Tujuannya adalah untuk
menunjukkan kehandalannya. Di masa inilah kaum katak mencari pasangan
masing-masing. Musim hujan adalah masa paling sesuai untuk bertelur.
Telur katak perlu menetas di dalam air kerana anak katak yang
dipanggil berudu memerlukan air untuk hidup. Jika tiada air, semua
berudu akan mati. Jika itu terjadi, akan pupuslah bangsa kami
di dunia ini." Seri mendengar dengan penuh minat akan penerangan
katak kecil itu.
"Seri! Seri!" Seri tersentak apabila mendengar suara
ibu memanggil namanya.
Seri menjawab, "Ya ibu. Saya duduk di tepi kolam ini."
Panggil ibunya lagi, "Segera pulang."
Seri pun mengucapkan selamat tinggal kepada katak kecil. "Aku
akan datang bertemu dengan mu lagi," kata Seri.
Seri segera berlari ke arah rumahnya. Dilihatnya ada tiga orang
pemuda sedang bercakap dengan ibunya di halaman rumah. Seri berasa
hairan kerana dia belum pernah melihat mereka sebelum ini. Melihat
Seri datang, pemuda-pemuda itu meminta diri dan terus berlalu
dari situ. Seri terus mendapatkan ibunya sambil bertanya, "Ibu.
Siapakah orang-orang tadi? Mengapa ibu kelihatan cemas?"
Ibunya terus duduk di atas tangga. Dahinya berkerut-kerut seperti
sedang memikirkan sesuatu. Dia memandang kepada Seri sambil berkata,
"Pemuda-pemuda tadi adalah dari kampung di seberang sana.
Mereka memberitahu bahawa ayah dan abangmu sedang ditahan oleh
seorang tua yang kaya dan berkuasa di kampung mereka. Orang tua
itu mengatakan bahawa ayah dan abangmu telah melalui kawasan larangan
di tanahnya. Sesiapa yang lalu di situ akan dijadikannya hambanya."
Seri berkata, "Kita patut pergi menolong ayah dan abang.
Orang tua itu seorang yang tidak siuman agaknya."
"Janganlah kita menuduh orang sebelum kita mengenalinya.
Mungkin ada sebab lain orang tua itu menahan ayah dan abangmu,"
kata ibu. Sambung ibu lagi, "Marilah kita bersiap. Esok selepas
subuh kita pergi ke kampung seberang. Ibu ada seorang sepupu di
kampung itu. Mungkin dia boleh menolong kita."
Malam itu Seri dan ibunya pun mengemaskan pakaian. Ibunya membungkus
pakaian mereka dalam dua helai kain pelekat. Diambilnya beberapa
sikat pisang emas dan diikatnya dengan tali. Pisang emas itu diletaknya
di tepi kedua bungkusan kain. Setelah selesai berkemas, kedua
beranak ini pun masuk ke bilik untuk tidur.
Seri terjaga apabila ayam berkokok di waktu subuh. Dia segera
menggerakkan ibunya. Mereka turun ke perigi dalam gelap gelita
itu dengan berlampukan pelita. Selepas mandi, mereka naik ke rumah
untuk bersembahyang. Ibunya berdoa agar mereka dapat balik dengan
selamat bersama ayah dan abang Seri. Selepas itu mereka pun bersarapan.
Hari semakin cerah, lalu Seri dan ibunya pun membawa bungkusan
pakaian dan pisang emas dan berjalan ke arah sungai. Apabila mereka
sampai di pangkalan, seorang penambang sedang menunggu di dalam
sampannya. Ibu Seri terus meminta penambang membawa mereka ke
kampung seberang di hilir sungai. Penambang itu pun menyuruh mereka
menaiki sampan dan mengayuh sampannya menghala ke hilir sungai.
Seri memandang kedua belah tebing sungai. Di sepanjang sungai
dilihatnya banyak pokok berembang tumbuh. Jejari akar yang menujah
keluar dari tanah memenuhi kawasan tebing sungai itu. Sungguh
tenteram dan aman suasana pagi itu di sepanjang sungai.
Seri juga melihat beberapa orang perempuan sedang membasuh kain
dan mandi di beberapa tempat di sungai itu. Kebanyakan mereka
bertemankan beberapa orang budak yang sibuk bermain air. Seri
belum pernah mandi di sungai kerana rumahnya jauh dari sungai.
Penambang itu mengayuh ke arah tebing sungai. Di tebing itu terdapat
pangkalan kayu yang besar. Apabila sampan itu sampai di pangkalan,
ibu Seri pun menghulurkan wang sebagai bayaran tambang mereka.
Seri dan ibunya menaiki tangga pangkalan dengan cermat.
Ibunya berjalan ke arah sekumpulan orang yang sedang menunggu
sampan. Dia bertanyakan arah rumah Long Esah. Setelah mendapat
panduan jalan, mereka pun berjalanlah ke arah yang ditunjukkan
oleh orang tadi.
Setelah bertanya beberapa kali, sampailah mereka ke rumah Long
Esah. Mereka memberi salam kepada Long Esah yang sedang menjemur
kain. Long Esah sungguh gembira dengan kedatangan mereka. Long
Esah terus memeluk ibu Seri sambil berkata, "Amboi, lamanya
kita tidak berjumpa!"
Long Esah kemudian beralih memandang Seri dan berkata, "Adakah
ini Seri? Sudah besar panjang anakmu ini." Seri terus bersalaman
dengan Long Esah. Dia menghulurkan pisang emas yang dibawanya.
Kata Long Esah, "Eh, ada buah tangan juga! Terima kasih."
Long Esah menjemput mereka naik ke atas rumahnya. Dia menyuruh
anaknya menyediakan minuman. Long Esah mengajukan berbagai pertanyaan
kepada ibu Seri. Selepas minum barulah ibu Seri menceritakan tujuan
sebenar mereka datang. Long Esah sungguh terkejut mendengar ayah
dan abang Seri dikurung oleh orang tua kaya kampungnya.
Long Esah menyuruh anaknya memanggil Long Man di kebun. Tidak
berapa lama kemudian tibalah Long Man. Setelah Long Esah menceritakan
apa yang telah berlaku, Long Man segera ke rumah orang kaya itu.
Long Man kembali ke rumah di waktu senja. Dia memberitahu ibu
Seri supaya bersabar. Dia akan membawa Seri dan ibunya bertemu
orang tua kaya itu pada esok harinya.
Pada keesokan harinya, Seri, ibunya, dan Long Esah mengikut Long
Man ke rumah orang kaya itu. Apabila mereka sampai di halaman
rumah orang kaya itu, ibu Seri ternampak suami dan anak lelakinya
di dalam kurungan yang diperbuat daripada buluh. Seri dan ibunya
terus menerpa ke arah kurungan itu. Menangislah mereka empat beranak.
Long Man menghampiri ibu Seri sambil berkata, "Bersabarlah
dahulu. Perkara ini boleh diselesaikan dengan baik. Mari kita
berjumpa orang kaya dan minta penjelasannya."
Setelah memberi salam, mereka dijemput naik ke anjung rumah orang
kaya itu. Tidak berapa lama kemudian, keluarlah orang kaya itu.
Rambut, kening serta janggutnya semuanya putih. Dia menjawab salam
mereka dengan baik. Long Man menerangkan tujuan mereka datang.
Orang kaya itu tidak berkata apa-apa, cuma mengangguk-nganggukkan
kepalanya sahaja.
Sambil merenung muka ibu Seri, dia berkata, "Suami dan anak
lelaki puan telah menceroboh masuk ke dalam kawasan larangan saya.
Mereka perlu dihukum atas kesalahan mereka itu." Ibu Seri
merayu agar suami dan anaknya diampunkan. Lagi pun mereka datang
dari kampung seberang dan tidak tahu mengenai peraturan di kampung
ini.
Orang kaya bertanya sama ada ibu Seri sanggup membayar kepadanya
lima puluh mayam emas sepuluh mutu. Terkejut ibu Seri mendengar
kata-kata orang kaya itu. Katanya, "Saya bukan orang berada.
Manalah dapat saya carikan tebusan sebanyak itu."
Seri menitiskan air mata lalu berkata, "Tuan yang budiman,
tolonglah lepaskan ayah dan abang saya."
Orang kaya itu berpaling ke arah Seri sambil berkata, "Sanggupkah
kamu mengganti tempat ayah dan abangmu?" Seri jadi tergamam
dan tidak boleh berkata-kata.
Long Man meminta belas kasihan orang kaya dalam hal ini. Orang
kaya itu berkata, "Baiklah. Saya tidak akan melepaskan mereka
berdua tanpa tebusan. Jika kamu semua boleh menjawab teka-teki
ini, saya akan lepaskan tahanan berdua itu."
Dari jauh kamu ke mari,
Tiada pangkat tiada wang,
Cari jawapan dalam syair;
Berjuta bintang turun ke bumi,
Indah berkilau menghias ruang,
Gemerlap cahaya di muka air.
Mereka berempat berpandang-pandangan di antara satu sama lain.
Orang kaya itu pun berkata, "Baliklah kamu dahulu. Tiga hari
lagi datanglah dengan jawapannya." Mereka pun meminta diri
untuk pulang.
Di sepanjang jalan, mereka cuba mencari jawapan kepada teka-teki
orang kaya itu. Sampai di rumah, mereka juga terus memerah otak.
Malam itu mereka hanya dapat tidur selepas ayam berkokok.
Pada hari esoknya, mereka berbincang lagi. Beberapa orang jiran
juga datang untuk mendengar apa yang telah berlaku. Masing-masing
cuba membantu, tetapi masih tidak dapat memberi jawapan yang betul.
Begitu juga pada hari kedua. Ibu Seri semakin resah.
Pada malam kedua itu, Seri turun ke halaman rumah. Dia berasa
amat susah hati. Tiba-tiba terdengar suara memanggilnya, "Seri!
Seri!" Seri berpaling ke arah suara itu. Terdengar lagi,
"Aku katak kecil. Aku datang untuk menolongmu." Seri
ternampak katak kecil bertenggek di atas sebatang kayu mati.
Kata katak lagi, "Aku terdengar jiran di sana menceritakan
teka-teki yang diberi oleh orang kaya itu. Dalam perjalananku
ke sini tadi, aku telah melalui suatu kawasan yang menyerupai
keadaan yang disebut di dalam teka-teki itu. Marilah aku tunjukkan.
Tempatnya tidak jauh dari sini."
Seri terus mengikut katak kecil. Mujurlah malam itu bulan agak
terang. Tidak berapa lama kemudian, mereka sampailah di satu tempat
di tepi sungai. Seri menjadi kagum melihat keindahan di tempat
itu. Semua pokok-pokok berembang di hiasi oleh berjuta kelip-kelip.
Di atas permukaan air pula kelihatan bayangan cahaya kelip-kelip
itu. Seluruh kawasan kelihatan seolah-olah semua bintang di langit
turun ke bumi. Seri sungguh gembira kerana sekarang dia mengetahui
jawapan teka-teki orang kaya itu.
Seri dan katak berjalan balik ke rumah Long Esah. Apabila sampai
di rumah, Seri ternampak ibunya, Long Esah dan Long Man masih
berbual-bual di anjung rumah. Seri mengucapkan terima kasih kepada
katak. Seri terus naik dan duduk di tepi ibunya. Dia memberitahu
mereka apa yang dilihatnya tadi. Long Man berkata, "Saya
yakin itulah jawapan teka-teki orang kaya itu." Malam itu
mereka semua dapat tidur dengan nyenyak.
Pada keesokan harinya, mereka segera berjalan menuju ke rumah
orang kaya. Orang kaya telah sedia menunggu kedatangan mereka.
Dia berkata, "Janganlah kita membuang masa lagi. Berilah
segera jawapannya. Saya cuma memberi kamu tiga peluang sahaja.
Jika semua jawapan salah, kedua tawanan itu akan menjadi hamba
saya seumur hidup mereka. Siapa yang akan menjawab teka-teki saya?"
"Saya yang akan menjawabnya," kata Seri. "Jawapan
kepada teka-teki tuan adalah pelita-pelita minyak yang dipasang
di malam hari raya," kata Seri.
Orang kaya itu ketawa sambil menggelengkan kepalanya. "Kamu
hanya ada dua peluang lagi," katanya.
"Jawapanya ialah percikan bunga api yang dipasang semasa
perayaan," kata Seri.
Orang kaya itu ketawa lagi sambil menepuk-nepuk lantai rumahnya.
"Aku rasa ayah dan abangmu akan menjadi milikku," kata
orang tua kaya itu.
Seri memandang terus ke muka orang kaya itu lalu berpantun.
Wahai tuan bijak bistari,
Punya pangkat punya wang,
Ku beri jawapan dalam syair;
Berjuta kelip-kelip di malam hari,
Berkilau indah menghias berembang,
Bayang kerlipan di muka air.
Berubah muka orang kaya itu menjadi merah padam. Dia cuma berdiam
sambil mukanya tunduk melihat lantai. Kemudian dia mengangkat
mukanya sambil berkata, "Sungguh bijak kamu wahai anak gadis.
Apakah namamu?"
"Saya bernama Seri," jawab Seri dengan perlahan.
"Nampaknya kamu telah berjaya membebaskan ayah dan abangmu,"
kata orang kaya itu. Kemudian dia pun memanggil pembantunya dan
mengarah supaya membawa kedua orang tawanan itu kepadanya.
Ayah dan abang Seri naik ke atas rumah orang kaya itu. Mereka
kelihatan riang dan terus bersalaman dengan orang kaya itu. Tercengang
Seri, ibunya, Long Man dan Long Esah. Sambil tersenyum orang kaya
itu berkata, "Sekarang aku percaya bahawa anak gadis kamu
ini seorang anak yang bijak dan berani. Aku ingin menghadiahkan
dua puluh keping wang emas kepadanya."
Orang kaya itu menyuruh pembantunya mengambil wang emas untuk
diberikannya kepada Seri. Dia berkata, "Sebenarnya ayah dan
abangmu tidak pernah membuat apa-apa kesalahan terhadapku. Semasa
ayah dan abangmu datang menumpang di rumahku dahulu, mereka menceritakan
mengenai dirimu yang pandai berteka-teki. Aku ingin mengetahui
sejauh manakah kebijaksanaanmu. Terimalah hadiah dua puluh keping
emas ini sebagai pemberian ikhlas dariku."
Seri terpinga-pinga sambil merenung muka ayahnya. Ayahnya mengangguk-nganggukkan
kepala menandakan dia memberi izin kepada Seri untuk mengambil
wang emas itu. Seri pun mengambil bungkusan berisi emas itu dan
mengucapkan terima kasih. Selepas itu mereka pun memohon diri
untuk balik.
Setelah dua hari tinggal di rumah Long Man dan Long Esah, mereka
berempat beranak pun memohon balik ke kampung. Mereka mengucapkan
terima kasih kepada Long Esah dan Long Man di atas budi baik mereka.
Dalam perjalanan pulang dengan menaiki sampan, Seri melihat pokok-pokok
berembang yang tumbuh di sepanjang tebing sungai itu. Sungguh
takjub dia memikirkan bahawa apabila malam nanti, pokok-pokok
ini akan dihiasi oleh berjuta kelip-kelip. Jika dia tidak melihat
sendiri keindahan malam itu, mungkin susah baginya mempercayai
bahawa kelip-kelip yang berkumpul boleh menghiasi tempat ini dengan
begitu indah sekali.
Setelah sampai di rumahnya, Seri segera ke kolam. Dia memanggil
katak kecil. Katak kecil muncul dari dalam air dan melompat ke
atas sehelai daun teratai. Seri menceritakan apa yang berlaku
dan mengucapkan terima kasih atas pertolongan katak kecil. Kata
katak kecil, "Sama-sama, Seri. Aku berharap agar persahabatan
kita akan berterusan." Seri tersenyum gembira kerana mempunyai
kawan yang sedia menolongnya ketika dia dalam kesusahan tanpa
mengharapkan apa-apa balasan.
Setiap hari, selepas membantu ibunya di rumah, Seri akan mengunjungi
katak kecil buat beberapa ketika. Setelah puas berbual, Seri pergi
mencari kawan-kawannya untuk mengajukan beberapa teka-teki lagi.
Selepas peristiwa di kampung seberang, Seri menjadi lebih gigih
meneliti alam semulajadi untuk dijadikan bahan teka-tekinya.
Kerbau lapar turun ke padang,
Terputus tali terurai ikat,
Rumput hijau mengabur mata;
Daun tajam seperti pedang,
Batang beruas isi bersirat,
Jika dikunyah manis airnya.
- Tamat -
[Previous] |
[Go Home] |
[Next Page] |