(Cerita Rakyat)
GELANG SUASA
oleh: Noorazimah Taharim
PADA suatu masa dahulu, ada sebuah kampung yang jauh di pendalaman. Kampung ini diberi nama Kampung Pinang Tua.
Di kampung ini tinggal seorang perempuan yang kematian suami. Suami perempuan ini meninggal dunia kerana diserang oleh seekor gajah liar semasa dia mengutip petai di hutan. Sejak kematian suaminya, perempuan ini mengharapkan seorang adik lelaki untuk membantu menyara hidupnya.
Perempuan ini mempunyai seorang anaknya bernama Jumat. Jumat ialah seorang budak yang baik akhlaknya. Mereka mempunyai seekor kerbau jantan yang digunakan untuk membuat kerja di sawah. Kerbau ini diberinya nama Gah.
Jumat sangat sayangkan kerbau ini. Jika Gah bekerja di sawah, sudah pasti Jumat ada bersamanya. Oleh kerana Jumat tiada adik-beradik yang lain, Gahlah kawan dia bermain. Lagi pun rumahnya jauh dari rumah orang lain, dan jarang dapat berjumpa dengan budak-budak sebaya dengannya.
Pada suatu hari, ibu Jumat terpijak paku berkarat. Kakinya luka dan menjadi bengkak. Berbagai usaha dibuat oleh bapa saudara Jumat untuk mengubati luka itu, tetapi luka ibu Jumat menjadi semakin teruk. Akhirnya kakinya menjadi hitam serta bernanah. Ibu Jumat merana kesakitan selama lebih kurang sepurnama.
Pada suatu malam, ibu memanggil Jumat duduk di tepinya. Kata ibunya, "Jumat. Ibu rasa ibu tidak akan dapat melihat Jumat menjadi seorang yang dewasa. Ibu mahu Jumat mendengar kata-kata ini dengan baik. Jadilah Jumat seorang yang beriman dan berakhlak mulia. Gelang suasa ini Jumat simpan sebagai kenangan. Jagalah kerbau jantan itu dengan baik kerana jika dia sihat, boleh juga dia membuat kerja di sawah."
Air mata Jumat berlinang mendengar kata-kata ibunya itu. Dia memegang tangan ibunya dan meletakkan kepalanya ke atas dada ibunya. Ibunya mengusap kepala Jumat dengan penuh kasih sayang.
Tiga hari kemudian, ibu Jumat pun menghembuskan nafas yang akhir. Jumat menangis kerana sekarang dia tinggal sebatang kara. Bapa saudaranya mengajak Jumat tinggal bersamanya.
Di rumah pakciknya, Jumat tidur di tengah rumah. Pada suatu malam, sedang dia berbaring, dia terdengar perbualan pakcik dan makciknya. Kata makciknya, "Saya berkenankan gelang suasa arwah Kak Som tu. Apa salahnya kalau diberikan kepada saya. Jumat itu budak lelaki, bukan boleh pakai gelang."
"Bukankah Kak Som telah mewasiatkan gelang suasa itu kepada anaknya? Kita tidak berhak mengambil gelang itu dari Jumat. Bila aku ada wang nanti, akan aku belikan gelang emas untuk awak," kata pakcik.
"Ah, saya tak minat gelang lain. Saya mahukan gelang suasa itu juga," suara makcik makin meninggi. Kemudian Jumat ternampak pakciknya membawa bantal dan selimut keluar dari bilik lalu tidur di anjung.
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi Jumat sudah keluar untuk membawa kerbaunya ke sawah. Gah dibawanya ke suatu tempat yang banyak rumput. Dia duduk di atas tanah sambil menunggu Gah makan. Perutnya berasa lapar.
Tidak lama kemudian pakciknya sampai. Dihulurnya kepada Jumat satu bungkusan. Jumat mengambil bungkusan itu dan membukanya. Alangkah seronoknya Jumat kerana dalam bungkusan itu ada nasi lemak dan sambal tumis ikan bilis kegemarannya. "Terima kasih, pakcik," katanya sambil mengorak tersenyum.
"Lekas makan. Kita nak ke baruh sana tu untuk tenggala tanah Pak Cup," kata pakciknya. Jumat segera menyuapkan nasi ke mulutnya. Mujur juga pakcik bawa nasi lemak ini, kalau tidak berlaparlah aku, fikir Jumat.
Sehari suntuk pakcik, Gah dan Jumat mengerjakan tanah Pak Cup. Bila hari sudah petang, pakcik pun berhenti. Dia duduk berehat di bawah pokok kekabu yang tumbuh di tepi sawah itu. Jumat baring di atas rumput. Dia mengesat peluh di mukanya.
Selepas berehat, mereka pun bangun untuk pulang. Dalam perjalanan pulang, Jumat singgah di alur. Dia hendak memandikan Gah sebelum pulang ke rumah.
Dia menceduknya air dengan cebok yang diperbuat daripada daun upih dan buluh. Dia menyimbah air sambil menggosok badan Gah dengan sabut. Lumpur yang tadi melekat keras di atas kulit Gah mula lekang bersama air. Jumat terus membasuh seluruh badan kerbau kesayangannya hingga bersih.
Sementara dimandikan, Gah meragut rumput yang tumbuh di tepi alur itu. Mulutnya tak berhenti-henti mengunyah. Gah berpaling ke arah Jumat bila talinya di tarik. Jumat membasuh muka Gah pula dengan air. Jumat tahu bahawa kerbau yang dijaga kebersihannya adalah kerbau yang sihat.
"Ha, Gah. Kamu dah bersih. Aku pula nak mandi," lalu Jumat masuk ke dalam alur. Sabut yang dibuat memberus Gah tadi dicucinya bersih dan digunakanya memberus kaki dan tangannya pula. Sambil dia mandi, disimbahnya air ke badan Gah. Gah terus meragut rumput dan memerhati Jumat.
Setelah selesai, Jumat menarik tali Gah. Gah berpusing dan mengikuti Jumat. Di sepanjang perjalanan, Jumat terus bercakap berseorangan.
"Apalah nasibku ini? Hidup menumpang orang. Aku rasa makcik aku tu tak sukakan aku. Tapi aku terpaksa juga tinggal dengan mereka. Mana lagi tempat boleh aku pergi?" keluhnya.
"Kalaulah ada ibu bapaku, tentu aku disayangi dan dibelai. Tentu makan minumku terjaga. Boleh pakai baju baru, kain baru dan capal pun baru," Jumat terus mengeluh.
"Jangan kamu bersusah hati Jumat. Bukankah aku masih ada menemanimu?" terdengar suatu suara. Jumat terperanjat. Terus dia menoleh ke belakangnya. Tidak kelihatan sesiapa pun selain dari Gah, kerbaunya.
Oleh kerana hari pun makin gelap, Jumat mulalah takut. Dia berlari dan ditariknya tali kerbaunya dengan kuat.
"Aduh. Aduh. Sakitnya hidung aku. Jumat, janganlah tarik taliku kuat sangat!" kata suara itu lagi. Jumat berhenti dan berpaling kepada Gah.
"Eh, Gah. Kamukah yang bercakap tadi? Sejak bila pula kamu boleh berkata-kata?" tanya Jumat kehairanan.
"Sebenarnya memang aku boleh berkata-kata sejak dulu lagi. Dulu kamu hidup senang, aku pun hidup senang juga. Tidak ada yang hendak disusahkan. Tapi kita sekarang sama-sama menumpang orang," kata Gah.
"Eh, Gah. Aku berasa lega kamu boleh berkata-kata. Boleh juga aku meluahkan perasaan," kata Jumat. "Jum kita pulang segera. Nanti kena marah pula," sambungnya.
Jumat membawa Gah masuk ke kandangnya. Diserakkannya jerami padi di atas tanah untuk dimakan oleh Gah. Takungan air minum Gah masih penuh. "Gah. Kamu tidur baik-baik. Pagi esok kena bekerja keras. Banyak lagi sawah yang perlu ditenggala," kata Jumat. Gah cuma menguitkan telinganya sahaja.
Jumat naik ikut tangga dapur. Makciknya sedang memasak. Apabila makciknya nampak Jumat baru pulang, dia berkata, "Amboi. Baru balik? Mengapa tak tidur saja di padang? Taklah penat aku kena memasak untuk kamu."
"Maafkan saya, makcik," jawab Jumat dan segera melangkah ke anjung. Pakciknya sedang duduk berlunjur sambil bersandar ke dinding.
"Jumat. Mari ke sini sekejap. Kamu jangan ambil hati dengan kata-kata makcik kamu tu. Dia tu marahkan pakcik kerana tidak membenarkan dia mengambil gelang suasa ibumu. Gelang suasa ibumu adalah harta pusaka. Kamulah pewarisnya," kata pakcik. "Pakcik nampak nasi dah siap. Jum kita pergi makan," pakciknya mengajak.
Pakcik dan Jumat saja yang makan malam itu. Makciknya telah masuk ke bilik tanpa menegur mereka berdua. Anak-anaknya yang dua orang itu juga dibawanya masuk.
Selepas makan Jumat membasuhkan pinggan mangkuk. Lauk yang berlebih di letaknya di bawah tudung saji. Lesung batu ditelungkupnya di atas tudung saji. Dia tidak mahu kucing mencuri ikan goring.
Malam itu Jumat tidur di tengah rumah. Dia terdengar pakcik dan makciknya masih bercakap-cakap di dalam bilik. Dia dapat mendengar apa yang dikatakan oleh mereka. Dia berasa sedih kerana makciknya masih berkeras mahukan gelang suasa arwah ibunya. Selain dari Gah, hanya gelang suasa itulah peninggalan ibunya.
Oleh kerana malam itu panas, Jumat membawa bantal untuk tidur di serambi. Nyamuk pun kurang kerana pakciknya telah membakar unggun kayu senja tadi. Asap unggun itu telah menghalau nyamuk.
Bulan terang benderang di langit. Bunyi cengkerik memenuhi malam. Angin bertiup sekali sekala. Jumat menangis kerana teringatkan ibunya. Terasa sangat dia keseorangan di dunia ini.
Pagi esoknya Jumat bangun awal. Dia terus ke telaga untuk mandi. Dia naik semula ke rumah. Dilihatnya baru dia seorang sahaja yang bangun. Dia terus ke dapur untuk menjerang air. Sementara menunggu air panas, dia memakan nasi dan lauk semalam. Dia segera membancuh kopi untuk diminum. Apabila telah selesai makan, dia membasuh pinggan dan cawan yang digunanya tadi.
Jumat pergi mendapatkan Gah. Awal-awal lagi Gah telah menegurnya. "Hai Jumat. Mengapa kamu kelihatan sugul sahaja?" tanya Gah.
"Aku serba salah. Makcikku mahukan gelang suasa peninggalan ibuku. Sebelum ibuku meninggal dunia, ibuku berpesan supaya aku menyimpannya dengan baik," kata Jumat.
"Em... susah juga masalah kamu ini. Kamu menumpang di rumahnya pula," kata Gah sambil menggeleng-gelengkan kepala. "Jum kita pergi buat kerja dahulu. Petang nanti barulah kita fikirkan penyelesaian masalah kamu ini," cadang Gah.
Mereka pun berjalan ke arah tanah Pak Cup di baruh sana. Tidak lama kemudian pakcik pun sampai. Mereka menyiapkan kerja menenggala tanah pada petang itu juga.
Seperti biasa, dalam perjalanan pulang, Jumat membawa Gah pergi mandi di alur. Sampai di sana, Gah pun berkata, "Jumat. Semasa kamu masih kecil, ibumu sering menyanyikan sebuah lagu. Aku rasa ada rahsia di sebalik lagu itu." Gah pun menyanyikan lagu itu.
Gelang suasa, gelang pusaka,
Tersilap pakai, bera wajahnya,
Tiada penawar, apa pun cara,
Melain insaf akan salahnya.
"Apakah maksud lagu itu? Adakah ia berkaitan dengan gelang suasa yang ditinggal oleh ibu itu?" tanya Jumat.
"Aku rasa ada kaitan di antara lagu itu dan gelang suasa ibumu. Cuma aku kurang pasti maksud sebenar lagu itu," kata Gah lagi.
Selepas keduanya mandi, mereka pun pulang ke rumah. Jumat naik melalui tangga depan kerana di lihatnya makcik sedang berada di dapur. Dia duduk di serambi sambil memandang ke arah pakciknya yang sedang berjalan pulang dari telaga.
Tiba-tiba terdengar makciknya menjerit. Pakcik yang sedang membasuh kaki di kaki tangga terus bergegas naik. Hiruk-pikuk bunyi suara makcik menjerit.
Jumat juga meluru ke arah makciknya. Makcik sedang menutup mukanya dengan tapak tangan sambil meraung sekuat hatinya. Pakcik cuba mententeramkan makcik, tetapi makcik terus meraung.
Pakcik memegang tangan makcik dan meminta ditunjukkan mukanya. Makcik membuka tangannya. Alangkah terkejutnya pakcik kerana muka makcik telah menjadi hitam legam. Jumat juga tersentak kerana belum pernah dilihatnya muka orang menjadi hitam seperti itu.
Makcik terus menangis. Jumat berlari ke gerobok kayu tempat dia menyimpan bajunya. Dia mencari gelang suasa yang diletakkannya di dalam lipatan kain. Dilihatnya hanya kain itu sahaja yang ada. Gelang suasanya telah pun diambil orang.
Jumat berlari semula ke bilik makcik. Dilihatnya gelang suasa berada di pergelangan tangan kiri makcik. Makcik masih lagi menangis. Pakcik kelihatan tergamam dan tidak dapat berkata apa-apa.
Jumat beredar dari bilik itu lalu pergi mendapatkan Gah. "Gah. Sekarang aku faham maksud lagu yang dinyanyikan oleh ibuku dahulu," kata Jumat. "Makcikku telah mengambil dan memakai gelang suasa ibu tanpa izinku. Sekarang mukanya hitam legam. Apa patut aku buat?" katanya lagi.
Gah diam seketika. Kemudian dia berkata, "Aku rasa baik kamu nyanyikan lagu itu supaya didengar oleh pakcik dan makcikmu. Moga mereka segera faham akan maksudnya."
Jumat naik semula ke rumah. Tangisan makcik masih terdengar dari bilik. Pakcik sedang termenung di tepi tingkap. Jumaat pun menyanyikan lagu ibunya.
Pakcik berpaling kepada Jumat lalu berkata, "Bukankah itu lagu yang ibumu selalu nyanyikan semasa kamu masih kecil? Cuba kamu nyanyikan sekali lagi. Kali ini nyanyikan perlahan-lahan supaya boleh pakcik dengar senikatanya." Jumat pun nyanyikanlah lagu itu sekali lagi untuk pakciknya.
Selepas itu pakcik terus masuk ke bilik mendapatkan makcik. Terdengar suara pakcik berkata-kata dengan makcik. Sebentar kemudian kedua mereka keluar.
Makciknya terus duduk di hadapan Jumat sambil berkata, "Oh Jumat. Maafkanlah makcik. Makcik telah mengambil gelang suasa ibumu dari gerobok kain. Nah, ambillah balik gelang ini. Makcik benar-benar insaf atas sifat tamak makcik."
Makciknya cuba membuka kancing gelang tersebut, tetapi tidak berjaya membukanya. Pakcik pula mencuba tetapi tidak berjaya juga. Jumat pula mencuba, gelang suasa itu masih tidak dapat dibuka. Makciknya mulai cemas. Dia menarik-narik gelang itu hingga luka pergelangan tangannya. Keadaan menjadi gamat semula.
Jumat berlari ke kandang kerbau. Dilihatnya Gah sedang memakan jerami. Dia terus bertanya, "Gah. Gelang suasa kepunyaan ibuku tidak boleh ditanggalkan dari tangan makcik. Apa yang harusku buat?"
Gah menguitkan kedua telinganya mengipas lalat yang hinggap di situ. Selepas beberapa ketika barulah Gah berkata, "Aku rasa lagu yang ibumu sering nyanyikan dulu mempunyai dua rangkap. Yang aku ingat hanya rangkap pertama sahaja. Cuba kamu fikirkan baik-baik. Mungkin kamu masih boleh ingat rangkap kedua itu."
Jumat termenung sebentar. Ditutup matanya dan cuba mengingatkan rangkap kedua lagu ibunya. Secara tiba-tiba lagu ibunya seolah-olah terdengar di telinganya.
Gelang suasa, gelang pusaka,
Tersilap pakai, bera wajahnya,
Tiada penawar, apa pun cara,
Melain insaf akan salahnya.
Pohon maaf seikhlas hati,
Berbuat baik setiap hari,
Tidak berdendam di dalam hati,
Kembali muka elok berseri.
Jumat menyanyikan lagu ibunya. Gah mengangguk-ngangguk menyatakan itulah lagu yang lengkap. Gah menyuruh Jumat menyanyikan lagu itu untuk didengar oleh pakciknya.
Jumat segera mencari pakciknya. Dia menjumpai pakciknya sedang hendak pergi mencari ubat untuk makcik. Jumat menyanyikan lagu ibunya supaya didengar oleh pakcik. Pakcik naik semula ke rumah dan berjumpa makcik.
Jumat juga naik ke rumah. Sejurus kemudian makciknya datang kepadanya. Dengan rendah diri makciknya memohon maaf kepada Jumat atas perbuatannya mengambil gelang suasa itu tanpa izin. Jumat dengan linangan air mata berkata, "Saya maafkan makcik. Saya ini anak yatim piatu. Hanya makcik dan pakciklah tempat saya bergantung harapan. Buatlah saya ini seperti anak makcik dan pakcik sendiri."
Mendengar kata-kata Jumat, makciknya menangis. Dipeluknya Jumat erat-erat. Tiba-tiba terdengar bunyi benda jatuh ke atas lantai. Jumat tunduk dan ternampak gelang suasa di atas lantai. Dilihatnya muka makcik bertukar menjadi seperti biasa.
Pakcik memberitahu makcik yang mukanya sudah seperti biasa. Makcik berlari ke bilik. Terdengar makcik terus menangis. Dia sungguh menyesal atas perbuatannya terhadap anak saudaranya.
Malam itu makcik menyediakan masakan istimewa. Makcik memasakkan gulai ikan haruan dan kerabu pucuk paku. Jumat pula membakar ikan di atas dapur kayu sementara makciknya menyediakan air asam. Malam itu mereka sekeluarga makan bersama.
Jumat terus tinggal bersama makcik dan pakciknya
dengan aman damai. Gah dan Jumat sering kelihatan berjalan-jalan
di batas sawah. Dari jauh kelihatan seperti Jumat bercakap-cakap
seorang. Gah pula selalu dilihat menguit-nguitkan telinganya seperti
mendengar kata-kata Jumat.
[Previous] |
[Go Home] |
[Next Page] |