(Cerpen)

4024

oleh Noorazimah Taharim


Ring. Riing. Telefon di atas rak buku itu berbunyi.

"Ali. Ooi Ali. Tolong angkat telefon sat. Mak tengah masak ni," laung Mak Timah kepada anak bongsunya, Ali.

"Tak pa, hai. Aku angkat ni," sahut Pak Omar.

"Halo. Ya, saya. Oh, Bang Aji! Nak suruh mai petang ni jugak? Awat, ada kenduri ka? Baiklah. Lepas Jumaat nanti kami pi lah," kata Pak Omar ke dalam telefon.

"Mak hang, ooi. Masak la cepat-cepat sikit. Bang Aji Husin panggil pi rumah dia lepas Jumaat nanti ni," sambil Pak Omar membuka tudung periuk di atas dapur.

"Ada hal apa abang, ooi? Depa ada nak buat baca yasin ka?" tanya Mak Timah.

"Bang Aji tak kata pasai apa pun. Dia suruh kita pi rumah dia saja. Esh, mak hang dok ternganga apa lagi? Lekaslah hidang. Ni dah dekat pukul satu. Saya rasa nak makan sebelum pi masjid ni," gesa Pak Omar.

"Ya lah. Ya lah," rungut Mak Timah sambil meletakkan piring dan pinggan ke atas meja makan.

Selepas makan Pak Omar terus ke masjid bersama Ali. Pesannya sebelum turun, "Mak hang, ooi. Mak hang siaplah pakai-pakai baju. Kita terus pi lepas Jumaat".

Mak Timah segera mengemaskan meja makan. Hatinya tertanya-tanya apakah halnya dengan Haji Husin di Kampung Telui itu. Tidak pernah pula Haji Husin memanggil mereka dengan keadaan yang tergesa-gesa begitu. Juga selalunya dia akan memberitahu hal sebenar apabila memanggil. Kali ini rasa pelik pula. Tiba-tiba suruh datang sahaja tanpa memberitahu sebabnya.

Mak Timah terus mencapai tuala untuk mandi. Berlengas pulak rasa badan ni, fikir Mak Timah. Selepas mandi Mak Timah mengenakan baju jubah yang dibelinya di Mekah tiga tahun dulu iaitu semasa mengerjakan hajinya. Walaupun sudah tiga tahun baju itu dibelinya, dia masih sukakan baju itu. Selesa dan ringkas.

Mak Timah bersedia untuk mengerjakan zohor. Setelah dia nampak jirannya balik dari masjid, dia pun terus bersembahyang. Dalam doanya, dia memohon keampunan Allah atas segala dosanya dan dosa suaminya. Memohon kesejahteraan untuk mereka seisi keluarga, terutama untuk kelima anak-anak mereka. Memohon petunjuk Allah akan setiap pekerjaan yang dibuat. Mak Timah mengesat air matanya yang mengalir turun di pipi dengan hujung telekungnya. Dia mensyukuri kebahagiaan dan keharmonian hidupnya sekeluarga.

"Mak. Mak. Ayah ajak pi rumah Pak Aji Husin," tiba-tiba saja si Ali berada di pintu biliknya.

Mak Timah bergegas bangun. Telekungnya di gantung di ampaian. Dia mengambil tudung hitamnya dari almari. Selepas menempekkan bedak sedikit, dia mengenakan tudungnya. Mak Timah terus turun dan menaiki kereta.

Disepanjang jalan mereka tidak berkata-kata. Benak masing-masing tertanya-tanya sebab mereka dipanggil. Semasa membeluk masuk ke perkarangan rumah Haji Husin, mereka rasa hairan kerana tidak nampak orang lain. Jika ada kenduri tentulah sudah ramai orang kampung di situ.

Pak Omar memberi salam. Haji Husin menjawab salam dari dalam rumah. Pak Omar dan Mak Timah memasuki rumah. Selepas bersalaman, mereka dibawa ke ruang tamu. Di ruang tamu sudah ada tiga orang lelaki separuh umur sedia menunggu. Pak Omar berpandangan dengan Mak Timah. Hati Mak Timah berdebar-debar hendak tahu sebab mereka dipangil petang itu.

"Kita habak teruslah pada si Omar ni. Tak payah buang masa lagi," kata Haji Husin kepada ketiga tetamunya.

"Sebenarnya kami ni nak pi hantar belanja. Kami ni nakkan Omar mai sama," jelas Haji Husin.

Kelihatan Pak Omar menghela nafas sambil berkata, "Yang tu saja ka? Amboi, saya ingatkan perkara cemas apa ka? Tapi hantar belanja untuk sapa? Anak dara mana?"

Haji Husin pula berpandangan dengan ketiga tetamunya. Dia berpusing ke arah Pak Omar lalu berkata, "Rumah sebelah rumah ni saja". Jarinya menuding ke arah tepi rumahnya.

"Untuk si Mud," jelasnya ringkas.

"Tapi pasai apa kena tunggu saya? Nak berbisan dengan jiran saja. Bukan dengan orang jauh," kata Pak Omar inginkan penjelasan.

Haji Husin berpandangan dengan ketiga tetamunya. Ketiga mereka berpandangan diantara satu sama lain. Mak Timah rasa tak sedap hati. Ini mesti ada hal lain, benaknya berkata.

"Aku ajak hang sama supaya boleh dapat harga murah sikit," ujar Haji Husin.

Pak Omar ketawa. "Macam mana pulak tu. Saya tak kenal jiran Bang Aji pun," kata Pak Omar.

"Hang boss kepada Mail Mandor. Si Mail tu pak penakan budak perempuan tu. Aku nampak Si Mail dah pun ada kat rumah tu dari pagi tadi. Kalau hang ada sama mesti Si Mail tu rekomen adik dia jangan letak mahal sangat!" terang Haji Husin.

Pak Omar senyum melerek. "Yang tu kat tempat kerja. Yang ni hal keluarga depa. Mana ada kaitan," kata Pak Omar.

Kata Haji Husin pula, "Aku tak mau pi. Omar, ooi. Hang jadi kepala rombongan pi letak belanja. Nah ni dua ratus. Kalau tak jadi, hang jangan tinggal duit tu. Kalau jadi saja hang tinggalkan". Haji Husin menghulurkan not seratus kertas dua keping kepada Pak Omar.

"Hang jangan terima kalau depa letak tinggi-tinggi. Aku sanggup had bawah tiga ribu. Kalau depa letak lebih, aku cari anak dara lain," kata Pak Husin sambil mengiringi Pak Omar beserta ketiga tetamunya ke pintu..

Hai, bunyi macam tak berkenan saja. Ada pulak letak-letak cengkeram. Macam nak beli peti televisyen, protes Mak Timah di dalam hatinya.

"La, Mak Tam. Bila sampai? Saya kat dapur tadi," kata Som, anak tua Haji Husin sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

Katanya lagi, "Mak pi kedai depan sat. Mak pi beli kopi. Kopi dalam tong tu masuk angin. Keras macam batu".

Mak Timah sudah tidak dapat menahan sabar lagi lalu terus bertanya, "Eh Som. Awat yang pelik sangat bunyi Pak Aji Husin hari ni?"

"Adui, Mak Tam. Tau tak kami sekeluarga pening dibuat oleh budak si Mud tu. Mula-mula dia suruh ayah dan mak cari bini kat dia. Jadi ayah dan mak pi lah cari. Banyak duit habis kena sewa kereta. Bila kita habak dah ada anak dara untuk dia, dia buat main-main. Kata tak pekenan la, tak lawa la, tua dari dia la. Dah tu kelmarin baru dia habak suruh pinang si Leha budak sebelah rumah. Macam mana tak haru sebab mak pak budak tu dah tau kata ayah dan mak dok pergi risik kat kampung lain. Jadi depa pun rasa kecil hatilah. Macam kami pulak yang tak pekenan kat anak depa," jelas Som dengan panjang lebar.

"Dah tu macam mana?" tanya Mak Timah lagi.

" Inilah yang kami peningkan ni. Pak mak budak tu dah kata kalau tak mau anak depa pun tak apa. Lepas tu ayah dan mak pulak rasa kecil hati sebab depa rasa depa tak bersalah. Yang bersalah si Mud ni. Dia yang tak mahu berterus terang dari awal. Kalau awal-awal habak nak menikah dengan Leha, tak la jadi macam ni," kata Som lagi.

Tiba-tiba, salah seorang dari empat orang yang pergi ke rumah sebelah kembali.

"Aaii, hang balik sorang pasai apa?" tanya Haji Husin kepada lelaki itu.

"Si Derus tu tak keluar bilik pun. Kami dok berunding dengan Si Mail saja," jelas lelaki itu.

"Esh, awatlah jadi susah awal-awal lagi," keluh Haji Husin.

"Hang pi lah tunggu keputusan depa," pinta Haji Husin.

Haji Husin sudah macam kuching kehilangan anak. Sekejap duduk di atas kerusi. Sekejap berjalan ke tingkap mengintai arah rumah jirannya. Apabila kedengaran bang menandakan waktu asar, Haji Husin terus mengambil wuduk. Selepas sembahyang, Haji Husin mundar-mandir berjalan di tengah rumah. Mak Timah dan Som memerhatikan saja telatahnya.

"Mula-mula susah, lepas tu senang. Mula-mula susah, lepas tu senang," ngomel Haji Husin berulangkali. Dia seolah-olah berdoa.

Tidak berapa lama kemudian, rombongan merisik tadi kembali. Pak Omar dan ketiga lelaki bersamanya mengambil tempat dekat dengan Haji Husin. Haji Husin merenung muka mereka dengan penuh harapan.

"Hasrat kita tidak berjaya," kata salah seorang dari lelaki bertiga itu.

"Mula-mula depa letak empat ribu lapan ratus. Bila dah minta kurang, depa kata depa bagi tetap kat empat ribu dua-puluh empat. Kami nak minta tiga ribu macam yang Pak Aji minta pun depa tak bagi. Perasan depa tak turun lagi dah," sambungnya lagi.

"Kan aku dah kata tadi, kalau lebih dari tiga ribu, aku tak mau. Biar aku cari anak dara lain," dengus Haji Husin.

Mak Timah memerhatikan saja telatah Haji Husin dengan rasa kesal. Fikirnya, yang nak kahwin Si Mud. Kalau depa nak letak tinggi sikit pun, pandai-pandai lah Si Mud cari duit. Pinjam duit koperasi atau pinjam kat keluarga dulu. Nanti depa kahwin lari, semua orang jadi susah.

Tiba-tiba bahu Mak Timah disentuh orang. Sepasang tangan dihulur untuk bersalam. Mak Timah mendongakkan kepalanya sambil menyambut salam.

"Hang rupanya," kata Mak Timah sambil menyambut tangan Hajah Esah, isteri Haji Husin.

"Macam mana? Depa dah terima kah pinangan kami, tu?" tanya Hajah Esah kepada Mak Timah. Mak Timah memandang kepada Som. Som menceritakan kepada emaknya apa yang didengarnya dari perbualan ayahnya dengan rombongan yang pergi merisik tadi.

Hajah Esah kelihatan kecewa. Dia susah hati kerana dia rasa kalau Haji Husin berkeras hati dengan keputusannya dengan hantaran tiga ribu sahaja, mungkin perkahwinan ini tidak akan terjadi. Malam sebelumnya Si Mud telah memberitahunya bahawa dia hanya akan kahwin dengan Leha sahaja. Kalau susah-susah, depa nak kahwin lari saja.

"Timah. Kamu dulu pun nak menikah dengan Omar susah jugak, kan?" tanya Hajah Esah kepada Mak Timah.

Mak Timah tersentak. Dia tidak mahu mengingat peristiwa pedih tiga-puluh tahun lalu. Mak Timah menjawab hambar, "Susah...". Mak Timah gelisah. Dia tidak mahu Som mengetahui cerita lampaunya.

Mak Timah nampak kelibat Pak Omar keluar dari bilik air. Nampak macam Pak Omar hendak mengerjakan sembahyang asar. Mak Timah meminta diri untuk mengambil wudhu'.

Pak Omar menunggu Mak Timah untuk berjemaah dengannya. Selepas memberi salam, Mak Timah menguit bahu Pak Omar.

"Abang. Saya rasa patut abang pujuk Haji Husin. Yang nak kahwin Si Mud. Dia hendak juga budak Leha tu. Som kata depa dah berkawan sejak di bangku sekolah lagi. Kita bagi elok saja lah perkara ini," gesa Mak Timah.

Pak Omar memandang terus ke mata Mak Timah. Dilihatnya dua butir air jernih mengalir turun ke pipi montok isterinya. Dia faham sangat apa yang difikirkan oleh isterinya itu. Dia mengangguk lalu terus berjalan ke ruang tamu.

Lama juga Pak Omar berkata-kata dengan Haji Husin. Mak Timah lihat Haji Husin sekejap mengeleng kepala. Sekejap mengangguk-ngangguk.

"Alhamdulillah," kedengaran Pak Omar berkata. Mak Timah menghela nafas lega.

"Empat ribu dua-puluh empat pun tak apalah," kata Haji Husin.

"Buat cepat-cepat. Bagi depa kahwin cepat, aku tak pening kepala," sambungnya lagi. Mukanya kelihatan jernih dan tersenyum.

Mak Timah dan Hajah Esah berpandangan. Pak Omar berpaling ke arah Mak Timah sambil tersenyum. Mak Timah tidak menunjukkan apa-apa reaksi di mukanya.

Hajah Esah bangun dan berjalan ke arah suaminya. Setelah mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh Haji Husin, Hajah Esah kembali duduk di tepi Mak Timah. Di bibirnya terukir satu senyuman.

"Bang Aji setuju dengan hantaran empat ribu dua-puluh empat tu. Syukur alhamdulillah," sambil tangannya memegang lengan Mak Timah.

"Eloklah tu," jawab Mak Timah.

Som keluar dari dapur dengan membawa rambutan dan manggis. Kemudian dia membawa kopi panas dan kuih dangai. Mak Timah menjamah kuih dangai kegemarannya. Dia tidak banyak cakap. Dia cuma mendengar celoteh Hajah Esah mengenai rancangan kenduri kahwin yang akan diadakan pada cuti sekolah nanti.

Pak Omar mengajak Mak Timah balik. Selepas meminta diri dari Haji Husin dan Hajah Esah, mereka turun menuju ke arah kereta.

Di dalam kereta Mak Timah nampak resah. Tangan kiri Pak Omar menggenggam sebentar tangan kanan Mak Timah. Pak Omar tahu apa yang membuat Mak Timah resah. Kisah perkahwinan mereka tiga-puluh tahun dulu masih menjadi igauan Mak Timah.

Semasa keluarga Pak Omar masuk meminang Mak Timah, keluarga Mak Timah menolak bulat-bulat. Pak Omar dari keluarga yang miskin. Mak Timah anak tunggal orang kaya Kampung Telui. Akhirnya mereka mengambil keputusan nekad untuk kahwin lari.

Pak Omar tahu Mak Timah tidak mahu perkara yang sama berlaku terhadap Si Mud dan Leha. Luka lama berdarah semula dalam ingatan Mak Timah. Kedua orang tua Mak Timah meninggal dunia dalam kemalangan semasa mereka mencari Mak Timah pada hari Mak Timah dan Pak Omar bernikah di Pattani.

- Tamat -


Previous
[Previous]
Go Home
[Go Home]
Next Page
[Next Page]
1