(Cerita Rakyat)
SI TUKANG UBAT
oleh : Noorazimah Taharim
DI pinggir sebuah hutan nipah tinggal seorang nenek tua bersama dua orang cucunya. Cucunya seorang lelaki dan seorang perempuan. Semasa cucu-cucunya masih kecil, kedua ibu-bapa mereka telah meninggal dunia dalam kemalangan sampan terbalik di muara sungai.
Nenek tua ini seorang yang tabah. Walau pun dia miskin, dia tidak sanggup menyerahkan cucu-cucunya kepada orang lain. Ada juga beberapa orang yang menyatakan kesanggupan mengambil cucu-cucunya untuk dijadikan anak angkat tetapi nenek tua ini menolak dengan baik. Hanya kedua cucu inilah keluarganya yang ada di dunia ini. Sekarang cucu-cucunya telah pun besar dan hampir remaja.
Kedua cucu nenek tua ini sangat rajin. Setiap hari mereka membantu membuat pelbagai kerja. Cucu lelakinya akan pergi mencari kayu api di pinggir hutan, dan mengail ikan di sungai untuk dibuat lauk. Dia juga membantu membersihkan sekeliling rumah mereka. Untuk menghiasi halaman rumah, cucu lelakinya menanam beberapa pokok bunga melur dan pokok setawar. Halaman rumah mereka sentiasa kelihatan cantik dan bersih.
Cucu perempuannya pula membantu di rumah. Walaupun umurnya masih muda, dia sudah pandai menanak nasi dan memasak pelbagai jenis lauk-pauk. Semua kerja mengemas rumah dilakukannya dengan cermat. Walaupun mereka miskin, rumah mereka sentiasa kelihatan bersih dan teratur.
Nenek tua itu menyara hidup mereka sekeluarga dengan menganyam. Dia menganyam tikar dan sumpit beras yang diperbuat daripada mengkuang. Tikar dan sumpitnya sangat digemari oleh penduduk kampung kerana anyamannya halus dan kemas. Tikarnya sangat laku terutama sekali ketika orang hendak membuat kenduri perkahwinan.
Pada suatu petang, nenek duduk berehat di bawah sebatang pokok kelapa muda di tepi rumahnya. Melati datang membawa air kopi dan keledek goreng. Tiga bercucu ini pun makan bersama-sama sambil berbual.
Kemudian nenek bangun mengambil sebilah parang untuk mengopek kelapa. Malangnya, tiba-tiba sahaja parang itu tercabut dari hulunya dan terpacak di kaki nenek. Nenek menjerit kesakitan, "Aduh! Aduh!" Secepat kilat nenek mencabut parang itu. Darah memancut keluar dari luka di kakinya.
Melati segera berlari ke rumah untuk mengambil kain. Dia turun semula untuk mendapatkan neneknya. Abangnya sedang bertinggung di tepi nenek sambil menekan bekas luka itu untuk menahan darah dari terpancut.
Melati mencarikkan kain dan terus membalut luka itu kuat-kuat. Berkerut-kerut muka nenek menahan kesakitan. Awang pergi mengambil air dan mencuci kesan darah di tangan neneknya.
Awang dan Melati memapah nenek naik ke rumah. Nenek dibaringkan dengan perlahan. Nenek berkata, "Awang. Pergilah kamu mencari daun halban segera. Nenek nampak pokok halban tumbuh di pinggir hutan hulu sana. Ambillah daunnya banyak-banyak kerana nenek hendak buat ubat".
Awang terus mengambil raga di dapur. Dia berlari ke arah hutan. Di pinggir hutan itu dia ternampak banyak pokok halban tumbuh. Dia pun terus mematah-matahkan batang halban berserta daunnya. Diisinya raga itu penuh dengan daun halban. Awang terus pulang.
Apabila Awang sampai ke rumah, dilihatnya nenek sedang duduk berlunjur sambil bersandar di tepi dinding. Awang terus meletakkan raga berisi daun halban tadi di hadapan neneknya.
Nenek mengambil segenggam daun halban dan diramas-ramasnya. Dia meminta Melati membukakan kain balutan luka perlahan-lahan. Apabila kain itu terbuka, segera nenek menepekkan daun halban yang diramasnya ke lukanya. Dengan segera juga dia membalut luka itu semula.
Pada malamnya, badan nenek menjadi panas. Kali ini nenek menyuruh Awang menumbuk daun-daun halban hingga lumat. Daun halban yang lumat itu diletakkan ke dalam sebuah pinggan dan dibawanya kepada nenek. Nenek menyuruh Melati melumurkan daun halban itu ke dahi, tengkuk dan badan nenek.
Malam itu Melati tidur di sebelah neneknya. Awang masuk ke biliknya untuk tidur, tetapi tidak dapat melelapkan mata. Dia asyik teringatkan darah yang terpancut-pancut dari luka neneknya siang tadi.
Selama tiga hari tiga malam nenek tua itu demam. Awang dan Melati terus melumurkan daun halban yang lumat ke dahi dan badan nenek. Mereka juga membersihkan luka dan membalutkannya semula luka berserta daun halban yang baru. Jiran-jiran juga datang menziarah nenek dengan membawa pelbagai kuih-muih sebagai buah tangan..
Pada pagi hari keempat, demam nenek pun mulai reda. Nenek sudah boleh duduk berlunjur sambil mengurut-utrut lutut dan pehanya. Awang terus duduk di tepi neneknya lalu berkata, "Nenek. Marilah Awang urutkan nenek."
Awang berasa amat bersyukur kerana neneknya telah sembuh. Adalah pada hari itu juga Awang berazam untuk mempelajari ilmu membuat ubat dari berbagai jenis tumbuhan. Dia mahu membantu orang-orang yang sakit.
Selepas makan malam, tiga bercucu ini pun duduk ke tengah rumah. Nenek sudah tidak demam lagi, cuma badannya berasa lenguh-lenguh. Awang berkata, "Nenek. Awang teringin hendak belajar cara membuat ubat dari tumbuhan. Bolehkah nenek ajarkan?"
Nenek kelihatan tersentak mendengar kata-kata Awang itu. Sebenarnya arwah suami nenek tua ini dahulu juga seorang dukun yang terkenal di kampung itu. Arwah suaminya mempelajari ilmu membuat ubat-ubatan dari pelbagai tumbuhan sejak kecil lagi di bawah bimbingan datuknya, seorang dukun di raja. Mungkinkah Awang akan mengikut jejak langkah moyangnya, fikir nenek tua ini.
Awang gelisah kerana neneknya tidak berkata apa-apa. Dia berkata, "Nenek. Mengapakah nenek diam sahaja? Nenek tidak suka akan cadangan sayakah?"
Jawab nenek, "Sebenarnya nenek sedang memikirkan siapakah yang boleh mengajar Awang ilmu ubat-ubatan itu. Nenek ini tahu sedikit sahaja tentang perkara ini. Awang perlu mencari seorang dukun yang berpengetahuan dan berpengelaman sebagai guru." Mendengar kata-kata neneknya itu, barulah lega rasa hati Awang.
Sejurus kemudian, nenek berkata lagi, "Biarlah nenek bertanyakan kepada orang-orang kampung dahulu. Mereka mungkin kenal orang yang boleh menjadi guru. Malam pun sudah sayup, marilah kita tidur dahulu." Walau pun Nenek dan Melati telah lama tidur, Awang terus berjaga. Bermacam-macam yang difikirkannya.
Lima hari kemudian, jiran mereka Pak Mat berkunjung untuk menziarah nenek. Mereka berbual-bual sambil minum kopi. Kemudian nenek memangggil Awang. Dia berkata, "Pak Mat memberitahu nenek bahawa ada seorang dukun yang handal di sebelah bukit sana. Pak Mat bersedia membawa kamu pergi berjumpa dukun itu." Awang berasa sungguh gembira.
Sepekan kemudian, Awang dan Pak Mat pun bertolaklah menuju ke bukit tempat dukun itu tinggal. Semasa dalam perjalanan, mereka berhenti untuk berehat dan makan. Tidak lama kemudian, mereka pun sampai di rumah dukun itu.
Sewaktu Pak Mat dan Awang sampai, dukun itu sedang berehat di serambi rumahnya. Mereka pun memberi salam, dan dijemput oleh dukun itu naik. Dukun itu berkata, "Marilah naik. Boleh juga kita membasah tekak." Pak Mat dan Awang naik dan bersalaman dengan Tok Aki.
Selepas minum dan hilang penat, barulah Pak Mat memberitahu hajat mereka datang. Tok Aki memegang janggutnya yang putih sambil tersenyum. Katanya, "Baguslah begitu. Anak-anak muda jarang sekali mahu belajar ilmu ubatan asli begini. Tok Aki pun sudah tua. Tok Aki amat suka hati untuk memberi semua ilmu yang Tok Aki ada." Awang berasa sangat gembira mendengar kata-kata orang tua itu.
Tok Aki mempelawa Pak Mat untuk bermalam. Kata Tok Aki, "Esok sajalah pulang. Hari pun dah mulai gelap." Pak Mat menerima pelawaan itu dengan besar hati. Pak Mat dan Tok Aki berbual hingga ke larut malam. Awang sudah lama tidur kerana penat berjalan sehari suntuk.
Pada keesokkan harinya, selepas sarapan, Pak Mat meminta diri untuk pulang. Dia bersalaman dengan Tok Aki dan berkata kepada Awang, "Ini adalah peluang yang paling baik bagi mu menimba ilmu. Jangan sia-siakan."
Jawab Sulung, "Saya berjanji akan belajar dengan rajin. Kirimkan salam saya kepada nenek dan Melati. Beritahu mereka saya akan kembali apabila tamat pembelajaran saya ini." Awang pun bersalaman dengan Pak Mat.
Setelah Pak Mat tidak lagi kelihatan, Tok Aki memanggil Awang. Dia menyuruh Awang pergi ke hutan di belakang rumah. Kata Tok Aki, "Pergilah kamu ke hutan belakang itu dan kutip sepuluh jenis tumbuhan yang kamu jumpa di situ. Pastikan kau membawa akar pokok itu sekali. Nah, bawalah golok ini untuk kegunaan mu." Awang pun berjalanlah menuju ke hutan belakang.
Dilihatnya bermacam-macam jenis pokok besar dan kecil di hutan ini. Dia pun memilih hanya sepuluh tumbuhan. Semua kutipannya dimasukkan ke dalam guni dan dibawanya pulang. Dilihatnya Tok Aki sedang memotong pelbagai jenis akar-kayu di serambi.
Awang menyusun semua tumbuhan yang dikutipnya di atas lantai. Tok Aki mengajar Awang mengenali jenis-jenis tanaman yang dibawanya pulang. Setiap hari selama tiga purnama Awang disuruh mengutip pelbagai jenis tumbuhan untuk dikenalpasti. Setelah genap tiga purnama, Awang telah mengenali setiap tumbuhan yang ada di hutan itu.
Seterusnya pula Awang diajar mengenai tumbuhan yang boleh dijadikan ubat. Tok Aki juga mengajar Awang mengenai tumbuhan yang beracun. Awang mengikuti ajaran Tok Aki dengan tekun dan tabah. Memandangkan ketabahan Awang, Tok Aki berasa sangat bersemangat untuk mengajar. Semua ilmu yang diketahui Tok Aki diajarkan kepada Awang. Tanpa disedari, sudah dua tahun masa berlalu.
Pada suatu malam, selepas keduanya makan, Tok Aki berkata, "Awang, sekarang tamatlah pengajianmu. Tok Aki bersyukur kerana dapat memanjangkan ilmu Tok Aki kepada orang muda seperti mu."
Awang pun berkata, "Saya amat berhutang budi kepada Tok Aki. Saya berjanji akan menggunakan ilmu ini untuk menolong orang yang memerlukan. Izinkan saya untuk membawa pelbagai bekalan akar-kayu dan ubat-ubatan bersama saya nanti." Tok Aki mengangguk tanda bersetuju.
Pada hari perpisahan, Awang bersalaman dengan Tok Aki. Awang berasa sangat hiba untuk meningalkan Tok Aki yang telah membela Awang seperti anaknya sendiri. "Hanya tuhan sahaja boleh membalas budi baik Tok Aki kepada saya," kata Awang.
Awang berjalan meninggalkan Tok Aki. Dibawa bersamanya bekalan ubat-ubatan dan bungkusan pemberian Tok Aki. Sedang dia berjalan merintasi suatu hutan kecil, terdengar bunyi binatang berlari. Awang menoleh ke arah bunyi itu dan ternampak seekor anak rusa putih yang sangat cantik. Anak rusa putih itu melompat-lompat seolah sedang bermain.
Awang menyembunyikan diri di belakang semak. Dia mengintai ke arah anak rusa itu bermain. Kemudian kelihatan seorang anak muda yang tampan berlari ke arah anak rusa itu. Dari pakaian anak muda itu, Awang mengagak bahawa anak muda itu seorang bangsawan.
Awang keluar dari tempat dia menyembunyikan diri. Dia mengutip bungkusan bekalannya untuk meninggalkan tempat itu. Tiba-tiba dia terdengar bunyi suara orang menjerit. Dia menoleh ke arah suara itu dan ternampak anak muda yang tampan tadi jatuh ke tanah. Di belakangnya terpacak sebatang anak panah.
Awang segera berlari kepada anak muda yang cedera itu. Anak muda itu sedang mengerang kesakitan. Mata anak panah yang terpacak itu menembusi tulang belikat anak muda itu. Awang segera mematahkan batang panah itu. Anak muda itu ditelentangkannya. Dengan memegang kuat mata anak panah itu, ditariknya dengan pantas hingga tercabut keluar.
Kemudian Awang mengambil kain tanjak orang muda itu lalu diikatnya luka yang berhamburan darah itu. Diikatnya kuat-kuat supaya darah tidak mengalir keluar. Dilihatnya muka anak muda itu pucat lesi. Awang menuangkan sedikit air ke bibir anak muda itu.
Awang terasa sesuatu menggesel belakangnya. Awang terkejut tetapi berasa lega kerana yang menggesel tadi hanyalah anak rusa putih. Anak rusa itu seolah-olah meminta Awang mengikutinya. Awang terus bangun dan mengikuti anak rusa putih itu.
Anak rusa itu membawa Awang ke pinggir sebuah kampung. Hairan juga Awang kerana dilihatnya semua orang di kampung ini tampan dan lawa. Wanitanya pula cantik dengan senyuman yang amat menawan. Anak rusa putih itu pula terus menyondol kakinya. Awang bangun dan mengikut anak rusa itu ke arah sebuah rumah yang sangat cantik dan besar.
Seorang tua keluar dari rumah itu. Awang memberi salam dan berkata, "Maafkan saya jika saya mengganggu. Di hutan sana seorang pemuda bangsawan terkena panah. Telah saya cabutkan anak panah itu dan dia memerlukan pertolongan segera."
Orang tua itu tidak menjawab cuma menepukkan tangannya beberapa kali. Kemudian datang enam orang pemuda yang sama tampan. Mereka seolah-olah berhubung diantara satu sama lain melalui kuasa pemikiran. Walau pun tiada sepatah perkataan keluar dari mulut orang tua itu, mereka seperti memahami arahannya.
Ke enam orang muda itu bergegas mengikuti jejak anak rusa putih. Orang tua itu mengisyaratkan dengan tangannya supaya Awang naik ke rumah yang tersergam indah itu. Awang ditunjukkan ke sebuah bilik di mana telah tersedia pakaian yang sungguh cantik. Orang tua itu mengisyaratkan kepadanya untuk mandi dan memakai baju yang cantik itu.
Selepas mandi, Awang pun mengenakan pakaian yang disediakan. Dia keluar dari biliknya dan berjalan ke arah anjung. Orang tua tadi sedang bersila di atas sehelai hamparan merah. Ternampak sahaja Awang, dia terus berkata, "Duduklah wahai anak muda yang baik hati. Aku adalah penghulu kampung ini. Apakah namamu dan dari mana kamu datang?"
"Nama saya Awang dan saya datang dari kampung di hilir sana. Apakah nama kampung ini?" tanya Awang.
"Kamu sekarang berada di Kampung Lindungan. Aku berharap kamu boleh membantu mengubati anakku yang luka itu. Tinggallah di sini dahulu sebelum kamu pulang ke kampungmu," kata orang tua itu lagi.
Tidak berapa lama kemudian, anak muda yang tercedera tadi diusung masuk. Salah seorang daripada enam orang pemuda itu meletakkan bungkusan ubat-ubatan Awang di hadapannya. Awang mengucapkan terima kasih. Pemuda tersebut hanya menganggukkan kepalanya.
Awang terus mengeluarkan bahan yang diperlukannya untuk mengubati luka anak muda itu. Dia meminta lesung batu dan menumbuk bahan akar kayu yang dikeluarkan dari bungkusannya itu hingga lumat. Dituangnya sedikit air dan digaulkan bahan yang lumat tadi.
Sambil membuka kain balutan dengan cermat, ditepeknya bahan tadi pada luka anak muda itu. Dibalutnya luka itu dengan kain yang bersih. Anak muda itu diberi minum air ubat bagi menahan sakit. Awang terus tinggal bersama keluarga bangsawan ini hinggalah anak muda itu sembuh.
Bila anak muda itu telah sembuh, Awang memohon untuk pulang ke kampungnya. Orang tua itu memujuk Awang supaya tinggal di situ dan membantu orang-orang kampung yang sakit. Awang berasa serba salah, lalu menerima pelawaan orang tua itu untuk berkhidmat di kampung itu sebagai dukun.
Awang sering dipanggil mengubati orang-orang sakit. Upah yang diberi juga adalah lumayan. Orang yang kaya memberi upah wang emas, dan yang lain memberi upah wang perak. Segala keperluan Awang diberi oleh orang kampung. Sebuah rumah lengkap dengan perabut dan pembantu-pembantu juga disediakan untuknya. Awang sangat disayangi oleh orang kampung itu.
Lapan purnama berlalu dan Awang mulalah berasa rindu untuk pulang ke kampungnya. Dia terkenangkan nenek dan adiknya yang telah hampir tiga tahun ditinggalkan. Dia menyatakan hasrat untuk pulang kepada tok penghulu. Dia memberitahu yang dia terlalu rindukan nenek dan adiknya.
Orang tua itu pun mengizinkan Awang pulang ke kampungnya. Awang mengambil masa beberapa hari menziarahi orang-orang kampung untuk mengucapkan selamat tinggal.
Sebelum meninggalkan kampung itu, Awang mengucapkan terima kasih sambil berjabat salam dengan tok penghulu dan anaknya. Awang terus mengangkat bungkusan ubatnya dan anak rusa putih ke arah hutan.
Sampai sahaja Awang di pinggir hutan, anak rusa itu tiba-tiba hilang dari pandangannya. Awang meneruskan perjalanannya. Badannya berasa gatal-gatal. Dia pun menggaru dadanya. Alangkah terkejutnya Awang apabila bajunya koyak. Bajunya yang cantik tadi bertukar menjadi daun pisang kering.
Awang menoleh ke arah Kampung Lindungan, tetapi yang kelihatan hanyalah hutan belantara. Kampung Lindungan tidak kelihatan langsung seolah-olah telah ditelan oleh hutan itu.
Awang segera membuang daun pisang kering itu dan memakai pakaiannya sendiri. Bungkusannya yang tadi berat dengan kepingan wang emas dan perak menjadi ringan. Bila dibukanya bungkusan itu, didapati di dalamnya hanya kepingan kayu kering. Awang berasa seram.
Awang terus berjalan ke arah kampungnya. Dari jauh lagi dia telah nampak bumbung atap rumah neneknya. Dia melihat tiga orang kanak-kanak bermain di halaman rumah. Kelihatan seorang wanita muda yang meriba bayi sedang duduk berbual dengan neneknya di bawah pokok kelapa.
Awang berasa hairan kerana dia meninggalkan kampungnya baru tiga tahun, tetapi neneknya kelihatan sangat tua. Dia memberi salam dan terus berlutut di hadapan neneknya. Neneknya terkejut dan apabila dia mengenali bahawa yang berada di hadapannya adalah cucunya Awang, nenek terus memeluk Awang sekuat-kuatnya.
"Aduh, buah hatiku. Sepuluh tahun kami menunggumu. Tidak sehari pun kami melupaimu," kata neneknya. Giliran Awang pula terkejut.
"Saya hanya pergi tiga tahun, mengapa pula nenek kata sepuluh tahun?" tanya Awang kehairanan. "Siapakah wanita ini? Mana Melati?" tanyanya lagi.
"Abang. Tidakkah abang mengenali saya lagi? Sayalah Melati, adik abang. Saya telah pun mendirikan rumah tangga dan mempunyai empat orang anak," kata wanita itu.
Awang menjadi kebingungan. Setelah beberapa lama memerhati muka wanita itu, barulah dia mengenali wanita itu sebagai adiknya, Melati. Lama juga dia terdiam. Di sekelilingnya kelihatan banyak perbezaan. Pokok kelapa muda di tepi rumah telah menjadi tinggi. Pokok buah-buahan yang ditanamnya di belakang rumah telah besar dan berbuah.
Barulah Awang tahu bahawa apa yang dikatakan oleh nenek dan adiknya adalah betul. Dia telah meninggalkan rumah lebih dari sepuluh tahun dan bukan tiga tahun seperti yang disangkanya.
Nenek menyuruh Melati menyediakan makanan untuk Awang. Awang pergi ke perigi untuk mandi. Selepas mandi Awang makan.
Tidak lama kemudian, suami Melati pun pulang ke rumah. Nenek memperkenalkan Awang kepadanya. Awang menceritakan kisahnya di Kampung Lindungan. Dia juga menceritakan bagaimana baju cantik yang dipakainya menjadi daun pisang kering sebaik sahaja dia keluar dari kampung itu. Begitu juga dengan wang upahan yang diterimanya telah menjadi kepingan kayu kering. Keluarganya menggeleng-gelengkan kepala mendengarkan cerita pelek itu.
Pada keesokan harinya, ramai jiran datang bertanya khabar. Kisah Awang hilang di hutan menjadi buah mulut orang kampungnya. Pak Mat juga datang menemui Awang. Dia memberitahu bahawa Tok Aki telah meninggal dunia dua tahun lalu. Pak Mat meminta Awang menggunakan ilmu yang dipelajarinya dahulu dengan sebaik-baiknya.
Apabila orang kampung mengetahui Awang mempelajari cara-cara membuat ubat dari bahan asli, mereka datang berjumpanya apabila mereka sakit. Nama Awang terkenal hinggalah ke kampung-kampung lain. Dia juga dipanggil untuk mengubati pembesar-pembesar negeri. Namaya dikenali hingga ke istana raja.
Pada suatu hari, permaisuri jatuh gering. Awang dijemput ke istana untuk mengubatinya. Berbagai jenis ubat disediakan untuk menyembuhkan penyakit permaisuri. Selepas sepekan, permaisuri pun sembuh. Raja sungguh gembira lalu melantik Awang menjadi dukun di raja.
Awang memberitahu nenek mengenai perlantikannya sebagai dukun di raja. Nenek tersenyum gembira kerana Awang mengikut jejak moyangnya yang dahulu adalah dukun di raja juga. Awang bersyukur atas kesenangan yang dinikmatinya sekarang. Dibinakannya sebuah rumah yang besar dan cantik untuk nenek dan adiknya kesayangan.
Walaupun Awang telah menjadi dukun di raja, dia tidak
sombong. Jika ada orang miskin datang menemuinya, akan diberinya
sedekah. Jika mereka sakit, dia akan membekalkan ubat secara percuma.
Ketinggian budi Awang mendapat perhatian Tuan Puteri Gurindam
Sutera. Setelah berbincang raja dengan pembesar-pembesarnya, Awang
pun dikahwinkan dengan puterinya, dan tinggallah mereka di istana
dengan bahagianya.
[Previous] |
[Go Home] |
[Next Page] |