Private Whizz secara serius bermain muzik pada tahun 1999, bermula apabila
mereka melahirkan sebuah E.P yang bertajuk Glass of Hope. Pengasas kumpulan
ini, Ahmad Hamidi Ahmad (Midi) mula bermain muzik pada mulanya secara
suka-suka bersama rakan-rakan yang lain pada awal 1997. Mereka sering
memainkan lagu-lagu cover popular sekitar 70-an seperti kumpulan Deep Purple
dan Led Zeppelin sehinggalah kumpulan-kumpulan popular awal 90-an seperti
Alice In Chains, Pearl Jam dan Soundgarden.
Selain lagu-lagu Ingeris, mereka juga gemarkan muzik rock dari Malaysia, iaitu
Search dan juga Wings.
Dengan pengaruh daripada kumpulan-kumpulan tersebut, Midi mula menulis
lagu yang pertama berjudul Bohemian yang telah diselitkan di dalam E.P
pertama mereka Glass of Hope. Selain Ahmad Hamidi Ahmad (penyanyi/gitar),
Private Whizz juga dianggotai oleh Mohd Rezwan 'Wan'(bass), Mohd Hasanul Abu
Bakar 'Anul' (drums) and Hasrul Hafizi 'PG' (gitar utama).
Setelah lima bulan menjual sendiri E.P tersebut, mereka telah dipanggil oleh
seorang penganjur untuk mengantikan sebuah kumpulan yang telah menarik diri
untuk salah satu persembahan. Mereka terus bersetuju dan pada 19 Oktober
1999 menjadi satu tarikh bersejarah dan yang begitu bermakna bagi Private Whizz
kerana tarikh itu merupakan kali pertama mereka membuat pertunjukan pentas
dikhalayak ramai.
Akan tetapi, tidaklah ramai mana pun. Private Whizz merasa sedikit hampa
apabila persembahan pertama mereka yang terletak di Colors Damansara Utama itu
tidak mendapat sambutan ramai orang. Walau bagaimana pun, Private Whizz tetap
memberikan satu persembahan yang terbaik.
Dan dengan melakukan yang terbaik itulah, Private Whizz ditarik keluar oleh
seorang lagi penganjur. Penganjur kali ini telah mengajak Private Whizz bermain
di sebuah persembahan yang agak besar di Plaza Phoenix. Untuk pertunjukan
yang kedua ini Private Whizz berkongsi pentas bersama 23 lagi kumpulan yang
hebat, di antaranya termasuklah nama-nama besar pada waktu itu seperti LyMe
dan Custom Daisy.
Sehingga kini Private Whizz bukan sahaja banyak menerima persembahan
underground malah bermain juga di majlis-majlis prompt nite sekitar hotel-hotel
terkemuka di Kuala Lumpur. Selain itu, Private Whizz turut terlibat dalam sesi
temuramah bersama majalah-majalah dan surat khabar utama di Malaysia,
di antaranya ialah Majalah Dragon, ROTTW, Konsert, Majalah 3G, Bacaria,
Harian Metro, The Star, The Sun dan beberapa lagi.
Bukan itu sahaja, Private Whizz juga dijemput untuk ditemuramah oleh
bebeberapa stesen radio tempatan seperti Red 104.9, Wow fm, dan X-fresh fm.
Pada tahun 2002 Private Whizz diterima untuk bersama empat lagi kumpulan
lain untuk menghasilkan sebuah kompilasi yang diterbitkan oleh Life Records.
Pada tahun 2003 Private Whizz mengambil langkah untuk senyap seketika, kerana
ingin memberikan tumpuan penuh terhadap E.P yang baru. Private Whizz terpaksa
menghadkan persembahan waktu itu, walau pun banyak menerima jemputan dari
pihak penganjur.
Ia mengambil masa yang lama untuk menyiapkan E.P terbaru ini kerana
kesibukan ahli-ahli kumpulan dengan kerjaya masing-masing. Walau bagaimana
pun, Private Whizz berjaya menyiapkan sepenuhnya E.P tersebut dan ia telah
dipasarkan pada November 2004. Ia merupakan E.P pertama Private Whizz dalam
Bahasa Melayu dan diberi judul A Proloque to Something Better.
Juara merupakan salah satu lagu yang terkandung dalam E.P ini telah pun
diputarkan beberapa kali di stesen-stesen radio tempatan seperti X-fresh fm,
Red 104.9, Radio Muzik (Muzik fm) dan salah satu ruangan di Era fm
(rock di era selama tiga minggu berturut-turut).
Apa yang menarik lagi, Private Whizz telah dijemput oleh pihak TV2 untuk
ditemubual dalam salah satu rancangan mereka berjudul Let's Jam.
Pada akhir tahun 2005 (tahun sengsara bagi Private Whizz) kesemua anggota
Private Whizz telah bersepakat untuk melahirkan sebuah album. Setelah berlatih
berbulan-bulan kemudian masuk ke studio dan setelah rakaman siap Private Whizz
cuba ke beberapa syarikat rakaman.
Banyak kesukaran berlaku diantara pihak kumpulan dan juga syarikat rakaman.
Ada syarikat yang ingin menerima tapi disuruh rakam semula lagu mengikut
kehendak syarikat rakaman. Apabila dirakam semula, disuruh tunggu pula.
Ada juga yang suruh Private Whizz tukar konsep ikut ala-ala indon. Itu takkan
mungkin berlaku. Ada yang dah bagi kontrak, tapi belum sempat nak sign syarikat
tutup pula. Proses rakaman telah dibuat banyak kali tapi tidak juga dapat untuk
menambat hati syarikat rakaman.
Pada tahun 2007 Private Whizz bersepakat untuk mengeluarkan sendiri album
ini tanpa pertolongan orang lain. 70 % lagu ditulis balik. 100% lagu dirakam semula.
Jalan menjadi kembali lurus, malah kerja-kerja yang dirancang dapat
dilaksanakan dengan sempurna. Ini mungkin kerana anggota kumpulan sudah
biasa dengan kerja-kerja D.I.Y. Private Whizz mengeluarkan satu prinsip baru yang
berbunyi "Kalau orang taknak tolong, kita buat sendiri".
Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Album Private Whizz bakal muncul
pada 29 Oktober 2007 nanti, dan akan diedarkan oleh Power Records Sdn. Bhd.
Album ini diterbitkan sendiri oleh Private Whizz dengan menggunakan nama
The Whizz Kit Music Entertainment.
Album tersebut diberi judul Lebih Agresif dan mengandungi 11 buah lagu. Album ini
juga telah mendapat sentuhan tangan dari Fauzi Marzuki kerana beliau telah
mengadun dan masteringkan lagu-lagu yang terkandung.
Ahmad 'Jimmy' Ali pula bertindak sebagai producer bersama sekali anggota
kumpulan.