Panduan Hidup
 



                                                                                                                    Hidupkan Ibadah
TUHANMU AGUNGKANLAH

Salah satu rukun sembahyang ialah Takbiratul ihram yang lafaznya berbunyi AllahuAkhbar sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Apabila kamu berdiri untuk mengerjakan sembahyang, maka bertakbirlah." Riwayat Muslim

Dinamakan takbiratulihram kerana setelah mengucapkannya, diharamkan mengerjakan sesuatu yang sebelumnya halal dikerjakan, seperti makan dan berjalan-jalan.

Hikmah memulai sembahyang dengan takbir ialah untuk menghadirkan maknanya, sehingga dapat menumbuhkan dan menyempurnakan kekhusyukan dan terasa betapa kecilnya berhadapan dengan allah Taala.  Kalau manusia yang diciptakanNya ini bersifat dapat membuat karya-karya besar seperti komputer, tentulah siPencipta manusia itu bersifat Maha Besar daripada manusia.

Apabila makna AllahuAkhbar ini benar-benar dapat dihadirkan dalam hati, jiwa dan fikiran kita, maka sifat-sifat sombong, ego dan angkuh akan segera lenyap dari dalam diri kita.  Sebab kita selalu sedar yang kita ini amat kecil dan tidak bererti apa-apa di hadapan Allah SWT. Sunat di kala menuturkan takbiratul ihram mengangkat kedua tangan dari permulaan takbir.  Batas tapak tangan bertentangan dengan bahu, hujung jari bertentangan dengan daun telinga teratas dan dua ibu jari bertentangan dengan kedua hujung anak telinga. Tapak tangan dibuka,jari tangan diluruskan, direnggangkan sedikit dan dihadapkan ke arah kiblat.

Gerakan takbiratul ihram ini serupa sengan gerakan seorang tawanan perang yang menyerah kalah pada musuh. Gerakan ini tanda penyerahan diri secara total kepada Allah SWT.
Ini bererti kita telah kehilangan hak dan kuasa pada diri sendiri.  Kesannya pada akhlak, kita tidak akan mudah menyuruh-nyuruh atau memerintah orang lain sebab kita selalu sedar jangankan pada orang lain, kepada diri sendiri pun kita tidak punya hak dan kuasa apa-apa.

Sunat menurunkan kedua tangan bersamaan dengan berakhirnya takbir.  Kalau sudah selesai mengucapkan takbir, sunat meletakkan kedua tapak tangan di bawah dada dan di atas pusat. Tapak tangan dan semua jari menggenggam pergelangan tangan kiri. Hikmah gerakan ini agar tangan itu diletakkan di atas anggota tubuh yang termulia iaitu hati. Hati adalah tempat niat, ikhlas dan khusyuk.
Sudah menjadi fitrah manusia kalau ia mempunyai  perhatian terhadap sesuatu maka diletakkan atau diarahkan tangannya pada sesuatu itu.  Sebagaimana seseorang yang bermaksud menyatakan indahnya gunung pada orang lain, tentu ia menunjuk ke arah gunung itu bukan pada laut atau danau. Dengan demikian bertambahlah perhatian mereka dan makin terasalah keindahan gunung itu.

Demikian pula dalam meletakkan tangan di atas hati, kita berharap agar perhatian kita benar-benar tertumpu di dalam hati.  Dengan demikian kita dapat menghadirkan seluruh makna gerak dan ucapan sembahyang sehingga makin terasalah kekhusyukan dan kelazatan sembahyang itu, sebagaimana perintah Allah SWT;
"Berdirilah untuk Allah (dalam sembahyangmu)dengan khusyuk."(Albaqarah :228)
Berikut ini panduan untuk menghadirkan diri dalam takbiratul Ihram.
*Bersedia di tempat sembahyang 15-20 minit sebelum masuk waktu selepas melepaskan ketegangan daripada aktiviti sebelumnya. Pada masa ini banyakkan berselawat dan mengingati Allah supaya hati benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan Allah.

*Lupakan masaalah dunia dengan mengingati mati dan seksa Akherat.
*Mohon perlindungan Allah sebelum takbir, misalnya dengan membaca taawuz (a'uzubillah) dan surah An Nas.
 



Teguran adalah diterima atas mana-mana kesilapan untuk ingatan dan panduan bersama (Artikel dari pembacaan saya).
 
MY EMAIL

Tajuk Panduan lain yang dalam koleksi saya:

-     Awasilah Siapa Kawan Anak-anak Kita.
-   Tidak Hina Orang Yang Merendah Diri. 
-    Utamakan Sembahyang Qadha' Dari Sembahyang Sunat.
-    Diamnya Berfikir, Kata-katanya Zikir      
-    Qanaah Penyeri Rumahtangga
-    Sendiri Dalam Nikmat, Sendiri Dalam Cemas.
-    Memandu Muhajahadatunnafsi.
-     Sombong Pusaka Iblis
-    Allah, Dia lah yang Memberikan Segalanya Kepadamu.

  1