Pada zaman dahulu, ada sebuah hutan yang didiami oleh pelbagai jenis binatang liar. Ada binatang yang tinggal di atas pokok, yang melata di tanah dan juga yang tinggal di dalam sungai dan tasik. Semua binatang-binatang ini hidup dengan aman makmur serta mendapat makanan secukupnya.
Hutan ini juga ditumbuhi oleh bermacam jenis pohon kayu dan tanaman lain. Seluruh hutan kelihatan hijau dengan bunga berwarna-warni menghiasi pokok-pokok. Sungguh cantik pemandangan di hutan ini.
Tidak berapa lama kemudian, datanglah musim kemarau. Pokok-pokok menjadi kering dan kekuningan. Burung-burung terbang meninggalkan hutan itu untuk mencari tempat lain yang ada makanan. Begitu juga dengan beberapa jenis binatang lain.
Di hutan itu juga tinggal seekor harimau. Oleh kerana banyak binatang telah meninggalkan hutan itu, harimau tidak dapat mencari makanan. Harimau berasa lapar kerana sudah dua hari tidak makan.
Harimau merayau-rayau dengan tujuan mencari makanan. Setelah berjalan jauh, harimau pun sampailah di pinggir hutan. Harimau terhidu bau seekor binatang lain. Dengan berhati-hati, harimau pun berjalan sambil terhendap-hendap ke arah bau itu.
Dari celah daun-daun, harimau ternampak seekor kerbau yang sedang meragut rumput kering. Terbeliak mata harimau melihat kerbau di hadapan matanya. Alangkah gembiranya harimau kerana telah bertemu dengan binatang yang boleh dimakan.
Harimau pun bersedia untuk menerkam kerbau. Mendengar bunyi di belakangnya, kerbau menoleh lalu ternampak harimau. Melihat muka harimau, dia tahu bahawa harimau sedang lapar dan hendak memakannya. Kerbau sedar bahawa dia tidak akan sempat lari kerana dia juga kelaparan dan tidak bertenaga.
Kerbau terus terduduk lalu merayu, "hai Sang Harimau, Raja segala binatang. Tidak layak seekor kerbau yang kurus kering seperti aku ini menjadi santapan Raja yang terbilang seperti tuanku. Cubalah tuanku tengok, kakiku hanya tulang dan badanku hanya kulit."
Mendengar kata-kata kerbau, harimau pun berfikir, ya juga kata Si Kerbau ini. Jika aku makannya sekarang,yang aku dapat makan hanya tulang dan kulit. Lagi pun seekor Raja Binatang seperti aku ini kenalah jaga mertabat dan makan yang elok-elok sahaja.
Lalu harimau pun berkata, "Apa cadangan engkau agar aku dapat makanan yang baik-baik".
Mendengar kata harimau itu, kerbau pun menjadi lega kerana ada harapan baginya untuk terus hidup.
Kerbau pun berkata, "Tidak lama lagi hujan akan turun dan kita akan dapat makanan yang banyak dan berkhasiat. Tuanku datanglah lapan bulan lagi. Pada masa itu tentu aku sudah menjadi gemuk dan sedap dimakan".
Mendengar kata-kata kerbau itu, harimau pun sungguh gembira sambil membayangkan jamuan kerbau gemuk lagi lazat. Harimau pun menyahut, "Baiklah. Cukup lapan bulan aku akan datang balik untuk memakan kau. Pastikan engkau berada di sini bila tiba masanya nanti".
Seperti kata kerbau, tidak lama selepas itu musim hujan pun tiba. Pokok-pokok dan rumput mengeluarkan pucuk baru dan menjadi hijau semula. Binatang-binatang mulai kembali ke hutan itu. Makanan juga banyak dan mencukupi untuk semua. Kerbau juga dapat makanan yang berkhasiat dan mula menjadi gemuk.
Apabila masa yang dijanjikan semakin hampir, kerbau mulah gelisah. Dia tahu harimau akan datang menagih janji yang dibuatnya. Kerbau tidak mahu menjadi makanan harimau. Kerbau mahu hidup sampai tua.
Sedang kerbau keluh-kesah, seekor burung pipit hinggap di atas seranting kayu lalu bertanya, "Hai Kerbau. Mengapa engkau termenung? Boleh aku tolong?"
Dengan perasaan sedih bercampur takut, kerbau pun menceritakan masalahnya kepada pipit.
Pipit kesihan melihat kerbau. Pipit pun mencadangkan kerbau pergi ke hutan bersebelahan untuk mendapat pertolongan Sang Kancil. Pipit juga pernah di tolong oleh Sang Kancil.
Kata pipit, "Sang Kancil ini cerdik dan suka menolong binatang dalam kesusahan".
Mendengar kata-kata pipit, kerbau pun pergilah mencari Sang Kancil.
Apabila berjumpa dengan kancil, kerbau pun berkata, "Wahai tuan, tolonglah aku. Dalam masa beberapa hari lagi harimau akan datang untuk menuntut janji aku kepadanya. Aku pernah berjanji kepada harimau untuk menjadi makanannya. Oh tuan, tolonglah aku ini. Aku mahu terus menikmati hidup di hutan yang cantik ini."
Kancil berfikir sejenak lalu berkata, "Aku ada satu cadangan. Engkau kena lakukan dengan baik supaya dapat meyakinkan harimau itu. Apabila harimau sudah hampir, akan tampar muka kau dengan kakiku ini. Engkau pula kena berpura-pura jatuh tersungkur seolah-olah tamparan aku itu sungguh kuat dan menyakitkan". Kerbau pun bersetuju.
Kancil meminta pertolongan burung pipit untuk memberitahunya apabila harimau tiba di pinggir hutan tempat kerbau tingggal. Kancil juga meminta kerbau meletakkan ranting-ranting kecil yang kering di lorong sempit yang dilalui oleh harimau dahulu.
Padi hari yang dijanjikan, awal pagi lagi burung pipit bertenggek di atas pohon pinang untuk menunggu kedatangan harimau. Sang Kancil dan kerbau bersiap menunggu kedatangan harimau. Kerbau merasa sangan gementar kerana takut helah mereka tidak berjaya.
Tidak lama kemudian terdengar pipit berbunyi, "Pit, pit,pit. Harimau lalu jalan sempit. Pit, pit, pit".
Kancil dan kerbau segera bersedia untuk melakonkan adegan yang dirancang. Apabila mereka terdengar bunyi ranting kering dipijak, kancil pun berdiri di hadapan kerbau sambil menampar muka kerbau dengan kaki depannya. Kerbau pun dengan tempikan yang kuat terus tersungkur ke tanah.
Harimau yang sedang menuju ke arah kerbau, sungguh terkejut melihat kejadian tersebut. Tanpa berfikir panjang, harimau terus lari menuju ke tengah hutan. Harimau berlari dengan kencang tanpa melihat ke kiri atau ke kanan.
Harimau melanggar apa sahaja yang ada di hadapannya. Habis pokok-pokok kecil dirempuhnya. Tiba-tiba harimau bertembung dengan seekor babi hutan yang sedang berjalan. Harimau terus melanggaar babi hutan hingga kedua mereka terjatuh ke tanah.
"Hoi! Tak nampak aku kah?" tanya babi hutan dengan marah. Beberapa kali babi hutan cuba bangun, tetapi gagal kerana terlalu sakit.
Harimau yang termengah-mengah keletihan sambil lidahnya terjelir terus menutup mukanya dengan kaki depannya. Badannya menggeletar ketakutan.
Babi hutan menyandarkan badannya ke pangkal pokok untuk cuba bangun. Matanya memandang ke arah harimau yang terketar-ketar itu.
Babi hutan hairan melihat keadaan harimau lalu bertanya, "Eh! Mengapa engkau ni, Harimau? Apakah yang berlaku hingga engkau jadi begini?"
Harimau membuka matanya dengan perlahan. Dari celah kaki yang menutup matanya, ia ternampak babi hutan. Lega hatinya bila melihat babi hutan itu.
Sambil mengangkat kakinya dari matanya, harimau pun berkata, "Maafkan aku babi hutan kerana melanggar kau. Hari ini aku telah terlihat seekor binatang kecil yang mempunyai kekuatan yang amat menakutkan. Binatang kecil ini telah menampar muka kerbau yang besar dan berat, dan membuat kerbau itu bertempik kesakitan dan terus tersungkur dan tidak boleh bangun lagi".
Babi hutan pun bertanya, "Binatang apa yang boleh berbuat demikian?"
"Aku pun tidak tahu kerana sepanjang hidupku, aku belum pernah melihatnya. Kalaulah binatang sekecil itu sahaja boleh menjatuhkan kerbau yang besar, bila dia menjadi besar nanti, tentu huru-hara hutan ini," jawab harimau.
Babi hutan teringin sangat mengetahui apakah jenis binatang yang dilihat oleh harimau itu.
Babi hutan pun berkata, "Engkau tunjukkan aku binatang itu. Mungkin aku mengenalinya".
Harimau menggelengkan kepalanya. "Aku tidak akan pergi dekat pinggir hutan itu lagi. Di tengah hutan ini lebih selamat," kata Harimau.
Babi hutan tidak putus asa dan terus memujuk Harimau. Babi hutan pun berkata, "Aku tidak tahu arah mana patut aku tuju untuk melihat binatang itu. Jika kau mahu, mari kita ikat ekor supaya kita tidak terpisah. Engkau pun tentu berasa lebih selamat kalau aku akan sentiasa berada dekat".
Setelah berfikir seketika, harimau pun bersetuju. Harimau juga teringin hendak tahu binatang jenis apahkah yang amat kuat itu.
Sepanjang perjalanan, badan Harimau masih terketar-ketar. Babi hutan dapat merasakan ketakutan Harimau. Semakin jauh perjalanan, semakin takut Si Harimau. Babi hutan pula mula merasa takut. Hatinya berdebar-debar kerana mungkin juga binatang kecil yang dikatakan oleh harimau akan mencederakannya pula.
Burung pipit yang mengikuti harimau dari udara telah mendengar perbualan harimau dan babi hutan. Dia pun segera terbang kepada kancil dan memberitahu tentang kedatangan harimau dan babi hutan. Kancil menyuruh kerbau bersedia untuk berlakon sekali lagi.
Apabila babi hutan dan harimau hampir tiba, burung pipit pun berkata, "Pit, pit, pit. Harimau dan babi hutan jalan berkepit. Pit, pit, pit".
Apabila terdengar bunyi ranting kering dipijak, kancil pun menendang kaki belakangnya ke muka kerbau. Kerbau sambil mengeruh kuat terus terlentang sambil keempat-empat kakinya naik ke atas, dan mulutnya mengeluarkan buih.
Ternampak sahaja kejadian itu, babi hutan yang berjalan di hadapan amat terkejut. Tanpa menoleh ke kanan atau ke kiri, babi hutan terus pecut lari. Kerana terlalu terkejut, ekornya terputus pun dia tak sedar.
Sementara itu, sebahagian daripada ekor babi hutan tertinggal pada harimau. Harimau yang juga lari lintang-pukang hingga tidak sedar bahawa ekornya telah bersambung dengan sebahagian ekor babi hutan.
Babi hutan juga lari dengan amat deras sekali tanpa mendongak ke atas. Dengan tiba-tiba dia terlangggar satu-satunya pokok gajus yang sedang berbuah dengan lebatnya. Hidung babi hutan tertumus dengan kuatnya di pangkal pokok gajus. Hidung dan tengkok babi hutan terperosok ke dalam.
Pokok gajus yang sedang berbuah dengan lebat itu pula terkejut amat sangat. Biji gajus yang sedang hendak matang itu terpancut keluar dari buahnya. Mujurlah buah gajus dapat memegang bijinya sedikit. Itulah sebabnya biji gajus terlekat sedikit di luar buah.
Sejak hari itu, ekor harimau menjadi panjang dan ekor babi hutan menjadi pendek. Juga hidung dan tengkuk babi hutan terperosok ke dalam dan menjadi pendek. Biji gajus pula terus duduk di luar buah seperti yang ada sekarang.
[Previous] |
[Go Home] |
[Next Page] |