(Cerita Rakyat)

SULUNG DAN TEMPUA BERTUAH

oleh: Noorazimah Taharim

PADA zaman dahulu ada sebuah kampung yang aman damai. Di kampung ini mengalir sebatang sungai. Pada musim hujan, air di sungai ini naik hingga ke tebingnya. Airnya dalam dan sangat deras. Ibu-bapa selalu berpesan kepada anak-anak mereka supaya tidak bermain di tepi sungai semasa musim hujan.

Apabila musim kemarau, air di sungai menjadi cetek. Ramai budak-budak turun ke sungai untuk bermandi-manda. Suasana menjadi riuh-rendah dengan gelak ketawa mereka. Ada yang terjun dari dahan pokok yang berhampiran, ada yang menyelam sambil menangkap kaki kawan-kawan, dan ada juga yang hanya duduk berendam di dalam air. Sambil bermain mereka menyanyi.

Bakar lilin biar cair,

Awas jangan terbakar diri,

Nanti gelap meraba-raba;

Dok seronok main air,

Biru bibir terketar jari,

Air sejuk tak terasa.

Kecebum…. Kecebum….. Bunyi budak-budak terjun ke dalam air.

Di atas tebing sungai itu kelihatan seorang budak lelaki duduk mencangkung melihat gelagat kawan-kawannya sedang bermain. Hatinya tidak tergerak untuk bermain bersama mereka kerana dia bersedih atas kehilangan bapanya. Seminggu yang lalu bapanya telah masuk ke hutan untuk mencari rotan. Malangnya hingga ke hari ini bapanya masih belum balik. Walau pun telah ramai orang kampung pergi mencari, bapanya masih belum ditemui.

Setiap hari emaknya menangis kerana risaukan keselamatan suaminya. Orang-orang kampung datang bertanya khabar serta memberi bahan makanan. Ada yang memberi beras, gula, kopi dan tepung. Dari pemberian inilah mereka sekeluarga berjimat-cermat untuk menampung makanan harian.

Budak lelaki itu terus bangun untuk balik ke rumahnya. Dia langsung tidak menghiraukan panggilan kawan-kawannya. Sambil berjalan dia mengesat air mata yang mengalir di pipinya. Dia berjalan menuju ke rumahnya yang terletak agak jauh dari sungai itu.

Dari jauh lagi dia nampak emaknya sedang menyapu di halaman rumah sambil mendukung adiknya yang kecil. Dilihat muka emaknya sangat muram. Dia terus menyapa emaknya, "Emak, saya balik."

Emaknya mengangkat muka sambil berkata, "Sulung pergi ke mana tadi? Emak risau kalau anak emak tiada di rumah."

"Maafkan saya emak. Saya cuma ke sungai melihat kawan-kawan bermain," jawab Sulung.

"Baiklah. Pergi naik ke atas rumah dan makanlah lepat pisang yang ada di dapur. Emak dan adik sudah makan," kata emaknya.

Sulung pun membasuh kakinya dengan air tempayan yang terletak di tepi tangga rumahnya. Dia terus naik ke rumah dan menuju ke ruang dapur. Di bawah tudung saji ada lima ketul lepat pisang. Oleh kerana ia lapar, dia pun memakan kesemua lepat itu. Selepas makan, dia menyangkut tudung saji di dinding dan membasuh piring.

Sulung turun ke halaman dan berkata kepada emaknya, "Emak. Biarlah saya selesaikan kerja menyapu ini. Emak pergilah berehat."

"Emak lebih suka mengisikan masa dengan bekerja. Emak terlalu risau akan keselamatan bapamu. Selalunya dia hanya pergi sehari dua sahaja untuk mencari rotan," kata emaknya. Sulung terdiam lalu mengangkat sampah yang terkumpul di tepi kaki emaknya. Dia membawa sampah itu ke sebuah lubang untuk di bakar.

Setelah selesai membersih halaman rumah, mereka pun terus ke perigi untuk mandi. Selepas mandi mereka naik ke atas rumah. Hari mulai gelap dan Sulung mengambil lampu minyak untuk di pasang. Selepas emaknya menyediakan makanan, mereka pun makan malam. Mereka makan nasi berlaukkan ikan kering, kangkung rebus, dan sambal. Selepas makan, Sulung membantu emaknya membasuh pinggan.

Suasana malam itu terasa sangat panas. Sulung tidak dapat tidur di dalam kelambunya. Dia juga tidak dapat tidur kerana teringatkan bapanya yang hilang. Dia pernah mengikut bapanya mencari rotan di hutan. Dia yakin boleh mencari jalan ke tempat di mana bapanya mengutip rotan. Dia mengambil keputusan akan mencari bapanya esok.

Pagi-pagi lagi Sulung sudah bangun. Dilihat emaknya sedang menjerang air di dapur. Dia pun pergi ke dapur dan berkata, "Emak, saya hendak cuba mencari ayah di hutan. Saya harap emak mengizinkan saya pergi hari ini."

Emaknya terkejut mendengar kata-kata Sulung. "Sulung jangan tinggalkan emak. Sudahlah bapamu tiada, emak tidak mahu kamu juga hilang," kata emaknya sambil air matanya mengalir.

"Sulung tahu tempat bapa mengutip rotan. Berilah peluang Sulung mencarinya. Sulung akan meninggalkan tanda-tanda disepanjang perjalanan agar tidak sesat," kata Sulung.

Selepas berfikir seketika, emaknya pun bersetuju. "Makanlah dahulu sebelum memulakan perjalanan," kata emaknya sambil menghulurkan piring berisi ubi rebus. Sulung memakan ubi rebus itu dengan ikan kering. Dia menghirup air kopi yang dibancuh oleh emaknya.

Emaknya masuk ke dalam bilik dan mengambil sehelai kain batik yang sudah buruk. Kain itu dicarikkannya hingga menjadi cebisan-cebisan yang sama panjang. Emaknya meletakkan beberapa biji pisang, ubi rebus, tabung air serta cebisan kain tadi ke dalam sebuah raga. "Bawalah bekalan ini. Gunakan cebisan kain ini sebagai penanda jalan. Emak mendoakan Sulung kembali bersama bapa dengan selamat," kata emaknya sambil memeluk Sulung.

Sulung mencium tangan emaknya dan terus turun ke bawah. Dia tidak mahu berpaling kerana dia tahu emaknya sedang menangis. Dia sangat sayang emaknya, tetapi dia juga yakin bapanya masih hidup dan memerlukan pertolongan.

Sulung terus berjalan ke arah sungai. Dia menyusur tebing sungai hingga sampai ke satu rumpun buluh yang besar. Dia mengambil secebis kain dan diikatnya kepada sebatang buluh. Semasa dia mengangkat raganya, terdengar bunyi keluhan dari dalam rumpun buluh itu.

Crit, crit, crit, crit;

Tak menang, hati sakit.

Dengan perlahan Sulung mengintai ke dalam rumpun buluh itu. Dia tidak nampak apa-apa pun. Dia berfikir mungkin dia tersilap dengar lalu beredar dari situ. Sekali lagi dia terdengar bunyi suara itu.

Crit, crit, crit, crit;

Jika menang, senyum meleret.

Kali ini Sulung terus berpaling ke arah rumpun buluh itu lalu berkata, "Hai suara, siapakah kamu? Keluarlah. Mungkin aku boleh tolong."

Kemudian terdengar bunyi daun diselak dan keluarlah seekor burung tempua jantan. Mukanya berwarna hitam, belakang kepalanya berwarna kuning dan badannya pula berwarna coklat muda. "Akulah yang berkata-kata tadi," kata tempua.

Sulung pun berlutut sambil bertanya, "Apakah yang kamu keluhkan?"

"Aku telah memasuki pertandingan membuat sarang, tetapi aku tidak yakin aku boleh menang kerana banyak burung lain yang handal menganyam sarang," kata burung itu. "Bolehkah kamu menolong aku?" tanyanya pula.

Sulung termenung sebentar sambil berkata, "Aku dalam kesusahan sekarang. Bapaku hilang di dalam hutan dan sekarang ini aku ingin pergi mencarinya. Jika kamu boleh tolong aku mencari bapaku, aku berjanji akan menolong kamu." Burung tempua pun bersetuju. Sulung pun menceritakan tempat di mana bapanya selalu pergi untuk mencari rotan.

"Baiklah! Kamu tunjukkan jalannya, dan apabila sampai di tempat itu, aku akan terbang di kawasan sekitar sehingga terjumpa bapamu," kata burung tempua. Sulung pun bersetuju dan meneruskan perjalanannya. Dia tidak lupa mengikatkan cebisan kain pada pokok dan ranting di sepanjang jalan sebagai penanda.

Burung tempua terbang sambil mengikut Sulung. Apabila Sulung berasa letih, dia berhenti untuk berehat di bawah sebatang pokok yang rendang. Burung tempua turun ke tanah dan mematuk-matuk permukaan tanah untuk mencari biji-biji rumput untuk di makan. Sulung memakan bekalan yang di bawanya.

Apabila telah hilang penat, mereka pun meneruskan perjalanan. Matahari telah naik tinggi di langit, tetapi oleh kerana ada angin bertiup, Sulung tidak berasa panas sangat. Tidak berapa lama kemudian, mereka pun tiba di tempat yang di tuju.

Sulung melihat di sekelilingnya tetapi tidak nampak sesiapa. Sulung pun melaung, "Bapa, Sulung datang!" Kemudian dia mendiamkan diri dan memasang telinganya dengan harapan terdengar bapanya menyahut. Tempat itu sunyi sepi kecuali bunyi burung-burung berkicauan di atas pokok.

Burung tempua datang menghampiri Sulung lalu berkata, "Biarlah aku terbang di kawasan sekitar. Jika aku ternampak sesiapa, aku akan datang ke sini dan memberitahu kamu."

Sulung pun menjawab, "Baiklah tempua. Aku akan tunggu di sini."

Sementara itu, Sulung terus memanggil bapanya. Tidak lama kemudian, Sulung ternampak burung tempua terbang ke arahnya. "Aku ternampak orang disebelah gaung sana. Mungkin itu bapamu," kata tempua. Tanpa berkata apa pun, Sulung terus berlari mengikut arah tempua terbang. Dia terhenti di tepi sebuah gaung yang dalam.

Dari tebing gaung itu, tidak kelihatan apa-apa. Sulung melihat tempua terbang menuruni gaung dan berhenti di pertengahannya. "Ada orang di dalam gua kecil di tepi gaung ini. Jika kamu hendak turun, kamu kena berhati-hati kerana gaung in tersangat dalam," kata tempua.

Sulung melihat ke bawah. Dilihatnya beberapa akar kayu yang besar dan teguh berjuntai di tepi gaung itu. Dia pun menuruni gaung sambil berpaut kuat kepada akar-akar itu. Apabila sampai ke mulut gua, Sulung menghulurkan kakinya perlahan-lahan. Apabila kakinya menjejak tanah yang keras, dia pun memasukkan badannya ke dalam gua kecil itu.

Alangkah gembiranya Sulung bila ternampak bapanya sedang terbaring di situ. Dia cuba menggerakkan bapanya supaya bangun, tetapi bapanya tidak sedarkan diri. Dia pun memanggil tempua, "Tempua. Apa patut aku buat? Bapaku tidak sedarkan diri."

Tempua yang berada di mulut gua itu pun berkata, "Aku rasa eloklah kamu balik ke kampung dan meminta pertolongan. Aku akan tunggu di sini sehingga kamu datang."

Sulung dengan segera memanjat tebing gaung itu. Apabila sampai di atas, dia cuba menjenguk ke bawah. Dia nampak burung tempua sedang terbang di mulut gua. Dia pun mengambil secebis lagi kain dan di ikatnya kepada ranting kayu mati yang ada di situ. Raga bekalannya juga di tinggalnya di tepi tebing itu sebagai tanda.

Dengan pantas dia berlari menuju ke arah kampungnya. Nasib baik kain-kain penanda ada di sepanjang jalan. Kalau tidak tentu susah juga Sulung hendak mencari jalan balik ke kampung. Sulung terus ke rumah ketua kampung. "Tok Ketua! Tok Ketua!" jerit Sulung.

Apabila Ketua Kampung keluar, Sulung menceritakan masalah yang dihadapinya. Setelah mendengar cerita Sulung, Ketua Kampung segera menyuruh anaknya memanggil orang ramai. Seorang budak juga di suruh memberitahu emak Sulung dan memesan supaya dia menunggu sahaja di rumahnya. Tidak berapa lama kemudian, orang-orang lelaki kampung itu pun datang ke rumah Ketua Kampung.

Setelah mendapatkan maklumat yang diperlukan dari Sulung, Ketua Kampung pun menyuruh orang membawa parang, tali, dan kain tebal. Orang-orang kampung pun segera mengikut Sulung ke arah hutan. Hari semakin petang, jadi mereka perlu cepat kerana kalau hari sudah gelap, tentulah menjadi sukar membawa bapa Sulung balik.

Sulung menunjukkan jalan dengan berpandukan cebisan-cebisan kain yang diikatnya. Apabila sampai ke tebing gaung itu, dua orang turun menggunakan tali yang mereka bawa. Tidak lama kemudian, bapa Sulung telah dapat di tarik naik ke atas. Muka bapa Sulung disapukan dengan air, dan diberikan sedikit air untuk diminum.

Orang-orang kampung memotong dua batang dahan yang lurus dan kuat. Dengan kayu dan kain tebal yang mereka bawa, mereka membuat sebuah pengandar. Beberapa orang kampung membakar pelepah kelapa kering sebagai penyuluh kerana hari telah gelap. Bapa Sulung dikandar balik ke rumahnya.

Apabila sampai di rumah Sulung, kelihatan emaknya menunggu di muka pintu. Beberapa orang perempuan juga ada menemaninya. Bapa Sulung diangkat naik ke rumah dan dibaringkan ke atas tikar mengkuang dan bantal yang telah disediakan di tengah rumah. Beberapa orang tua membantu mengubati luka bapa Sulung.

Apabila telah jauh malam, semua orang pun meminta diri untuk balik ke rumah masing-masing. Emak Sulung mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka kerana telah bersusah payah membantunya.

Sulung pergi menghampiri emak dan adik yang sedang menemani bapanya. Emaknya memeluk Sulung tanpa berkata apa-apa, tetapi Sulung tahu bahawa emaknya bersyukur kerana Sulung telah berjaya membawa balik bapanya. Oleh kerana terlalu letih, Sulung terus tertidur di sisi bapanya hingga ke siang.

Pada keesokkan harinya, Sulung terkejut kerana bapanya tiada di tempat tidur. Rupanya emaknya sedang memapah bapanya untuk mandi. Selepas mandi, bapanya duduk di dapur untuk bersarapan. Setelah selesai makan, barulah bapanya dapat menceritakan bagaimana ia boleh berada di gua kecil di tepi gaung itu.

Pada hari bapanya pergi mencari rotan, seekor babi hutan telah mengejarnya. Bapanya telah cuba melarikan diri, tetapi telah tergelincir di tepi gaung. Mujurlah dia dapat berpaut kepada akar-akar kayu yang ada, dan ternampak gua kecil itu. Oleh kerana tangan kanannya cedera, dia tidak berupaya memanjat tebing gaung itu lalu terperangkap di situ. Dia terpaksa duduk di dalam gua itu menunggu pertolongan. Dia bersyukur kerana Sulung menjumpainya sebelum dia mati kebuluran.

Sulung pun menceritakan bagaimana seekor burung tempua telah menolongnya. "Aduh, saya telah terlupa janji saya kepada burung itu!" kata Sulung. Dia pun menceritakan apa yang telah berlaku semasa dia pergi mencari bapanya. "Emak dan bapa, izinkan saya mencari tempua untuk menepati janji saya," kata Sulung. Mereka mengizinkan, lalu Sulung pun terus ke rumpun buluh di tepi sungai.

Apabila sampai di situ, dia pun memanggil, "Tempua, ini aku datang!"

Tidak berapa lama kemudian, tempua pun terbang ke tepinya. Kata tempua, "Sebenarnya aku mengagak tentu kamu tidak dapat datang hari ini, jadi aku pun pergi mengutip rumput-rumput untuk mula menganyam sarangku ."

Sulung pun duduk di atas tanah lalu berkata, "Aku rasa tentu kamu juga handal menganyam sarang. Kalau tidak, tentu kamu tidak akan memasuki pertandingan itu."

"Memang aku boleh membuat sarang, tetapi kali ini adalah satu pertandingan yang istimewa. Pengadilnya adalah Puteri Bongsu Tempua. Jika dia menyukai sarangku, aku akan dapat mengahwininya," jawab tempua.

Sekarang barulah Sulung mengerti betapa mustahaknya pertandingan ini kepada tempua. Dia terdiam dan bertafakur sebentar untuk mencari ilham. Tempua bertanya, "Apa yang kamu menungkan?"

"Oh, maafkan aku. Aku sedang mencari ilham untuk menolong kamu," kata Sulung. "Cubalah ceritakan kepada ku cara kamu membuat sarang. Aku teringin juga hendak tahu," kata Sulung lagi.

Tempua pun menceritakan, "Sebelum membuat sarang, burung tempua perlu memilih pokok dan tempat yang sesuai. Pokok yang dipilih mestilah tinggi seperti pokok kelapa atau rumpun buluh. Tempat yang sesuai adalah kawasan yang berhampiran sungai atau sawah padi. Demi untuk menjaga keselamatan, kami akan memilih pokok yang ada sarang tebuan, penyengat atau kerengga. Dengan itu, binatang lain tidak akan mengganggu kami."

Sambungnya lagi, "Hanya tempua jantan sahaja boleh membuat sarang. Dia akan memilih helaian rumput atau daun padi muda yang sesuai. Dia menggunakan paruhnya untuk memotong rumput atau daun padi itu. Kemudian dia akan memintal beberapa helai rumput kepada ranting pokok sebagai punca sarangnya. Punca sarang ini dipintal dengan begitu kemas dan rapi untuk mengelakkan daripada terjatuh apabila ditiup angin. Selepas itu barulah dia menganyam sarangnya hinggalah siap. Apabila sarang-sarang itu siap, tempua betina akan memeriksa dan akan menduduki sarang yang paling disukainya. Begitulah caranya kaumku mendapatkan pasangan hidup."

Terpegun Sulung mendengar cerita itu. Dia rasa bertuah kerana dapat mengetahui sedikit mengenai resam hidup burung tempua. Dia pun berkata, "Bolehkah kamu menunjukkan kepadaku rupa bentuk sarang-sarang mu?"

"Sudah tentu boleh. Mari aku bawa melihat sarang-sarang yang akan memasuki pertandingan itu nanti," jawab tempua.

Sulung mengikut tempua ke sebatang pokok kelapa. Beberapa sarang yang sudah siap tergantung dari pelepah-pelepah kelapa itu. Ada yang besar, dan ada juga yang kecil. Sulung juga ternampak beberapa ekor tempua sedang menganyam sarang yang separuh siap. Sulung terpegun melihat betapa tekunnya mereka bekerja untuk menyiapkan sarang masing-masing.

"Wah, cantik sungguh sarang mereka!" kata Sulung.

"Inilah yang membuat aku susah hati kerana bukan senang hendak mengalahkan mereka," kata tempua.

Sulung berfikir sejenak lalu berkata, "Aku rasa kita perlu membuat sesuatu yang berlainan untuk menang."

"Apa maksudmu?" tanya tempua.

"Semasa aku kecil, nenekku selalu bercerita kisah raja-raja. Dia sering menceritakan tentang keindahan istana. Jika kamu ingin memikat hati Puteri Bongsu Tempua, kamu mesti menyediakan istana untuknya," kata Sulung.

"Aku tidak faham maksudmu," kata tempua.

"Aku rasa jika kamu menyediakan sebuah sarang yang indah dan besar, tentu puteri itu suka. Juga kamu patut sediakan beberapa bilik supaya Tuan Puteri dapat tinggal dengan selesa. Kau juga boleh sediakan buaian untuk Tuan Puteri bermain," kata Sulung.

Tempua mengangguk-nganggukkan kepalanya tanda bersetuju, lalu berkata, "Itu satu cadangan yang amat menarik. Kita mesti merahsiakan perkara ini dari tempua-tempua yang lain."

Apabila hari telah petang, Sulung pun baliklah ke rumahnya. Dia tidak dapat bertemu tempua beberapa hari kerana membantu bapanya di rumah.

Pada suatu hari, Sulung meminta izin bapanya untuk keluar. Dia pun terus menuju ke tempat di mana tempua berada. Dilihatnya tempua sedang termenung. Dia pun bertanya, "Hai tempua, mengapa pula kamu termenung?"

Tempua berpaling kepadanya dan berkata, "Burung tempua yang lain mentertawakan sarang yang aku buat. Aku hampir putus asa."

"Jangan begitu! Kamu kena yakin pada diri sendiri. Aku juga yakin yang Puteri Bongsu Tempua akan memilih sarang mu," kata Sulung memberikan dorongan kepada tempua. Katanya lagi, "Biarlah sekarang mereka tertawa. Apabila kamu menang nanti, kamu pula yang tertawa gembira." Mendengar itu, tempua pun meneruskan kerja menganyam sarangnya.

Tidak lama kemudian, tibalah hari yang dinanti-nantikan iaitu hari pengadilan sarang-sarang yang bertanding. Puteri Bongsu Tempua datang bersama ayahanda dan bondanya. Dia singgah dan memeriksa di luar dan di dalam setiap sarang. Akhir sekali dia tiba di sarang yang panjang dan bertingkat-tingkat.

Di tepi sarang panjang ini ada sebuah buaian yang dianyam dengan kemasnya. Buaian ini mempunyai bumbung melengkung berserta tali buainya sekali. Puteri Bongsu pun hinggap di atas tali buai itu. Dia menghayun buaian itu dengan badannya sambil menyanyi perlahan-lahan.

Hayun badan bergerak buai,

Angin sepoi mencecah pipi;

Hati tertarik padamu, aduhai,

Sudah berjumpa pilihan hati.

Selepas itu, dia terbang dan memasuki sarang yang bertingkat-tingkat itu. Didapatinya ada sebuah bilik yang dibuat pada setiap tingkat. Di dalam setiap bilik ada kunang-kunang yang menerangi bilik tersebut. Puteri Bongsu sungguh gembira melihat sarang yang indah ini. Dia pun memilih sarang ini sebagai juara. Sejak hari itu, Puteri Bongsu Tempua tinggal di sarang yang besar itu. Tempua-tempua yang lain berasa kecewa.

Selang tiga purnama kemudian, Sulung pergi mencari tempua untuk bertanya khabar. Di atas rumpun buluh itu, dilihatnya beberapa ekor anak tempua sedang bermain buaian. Tidak lama kemudian, datanglah tempua kepadanya. "Aku ingin mengucapkan terima kasih kepadamu. Kamulah yang memberi keyakinan kepadaku dahulu. Sekarang aku telah pun mengahwini Puteri Bongsu dan mempunyai tiga ekor anak. Aku berasa sangat bertuah dan sungguh bahagia sekarang," kata tempua.

Sahut Sulung, "Sebenarnya aku lebih terhutang budi kepadamu. Kamu telah membantu aku mencari bapaku dahulu. Aku juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mu."

"Tahukah kamu bahawa buaianku menjadi ikutan kaum tempua? Di mana sahaja mereka membuat sarang, sudah pasti mereka juga akan menganyam buaian. Puteri Bongsu juga amat suka menyanyi ketika bermain buaian. Lihatlah betapa gembiranya Puteri Bongsu bermain dengan anak-anak kami," sambil tempua mendongak ke atas pokok di mana sarangnya berada.

Mereka berdua terus berbual sambil mengimbas masa pertemuan dahulu. Sulung berasa amat besar hati dapat mengenali tempua. Apabila hari hampir senja, Sulung pun bangun lalu melambaikan tangannya kepada tempua sambil berkata, "Aku perlu balik dahulu. Kita akan berjumpa lagi wahai kawanku." Sulung pun beredar dari situ untuk pulang ke rumahnya.

- Tamat -


Previous
[Previous]
Go Home
[Go Home]
Next Page
[Next Page]
1